Sunday, September 15, 2013

2013 Honda Wave Dash 110 vs 2013 Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection

Salam sejahtera,

Kenaikan harga bahan api baru-baru ini ternyata memberi kesan negatif terhadap ekonomi negara dan juga rakyat. Akibat kenaikan harga petrol dan diesel, seperti biasa pesta naik harga barang berlangsung dengan meriahnya - meskipun harga petrol RON97 hanya naik RM0.20 seliter, namun harga barang pula naik berkali-kali ganda. Maka, tidak hairanlah jika pihak pembangkang seperti biasa mempolitikkan harga minyak ini serta menganjurkan beberapa siri tunjuk perasaan sebagai tanda "terima kasih" kepada kerajaan kerana menaikkan harga minyak.

Namun, di sebalik keperitan yang terpaksa ditanggung rakyat, kenaikan harga minyak pula dianggap satu limpahan rahmat dan rezeki bagi tauke-tauke kedai motosikal. Apa tidaknya, semakin ramai warga kota yang berhijrah menggunakan motosikal untuk ke tempat kerja kerana tidak lagi tahan menanggung perbelanjaan petrol yang semakin tinggi menggunung akibat kenaikan harga minyak. Selain itu, dua pesaing utama dalam bidang motosikal pula agresif melancarkan model-model kapcai terbaru mereka, iaitu generasi kedua Honda Wave Dash 110 dan Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection.


Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.



Kita mulakan dulu dengan Honda Wave Dash terbaru. Setelah pelancaran model pengganti Wave 110 RS yang begitu mengecewakan sebelum ini, Honda akhirnya tampil dengan model yang sepatutnya dijadikan pengganti bukan sahaja bagi Wave Dash malah Wave 110 RS juga. Ia dilancarkan pada 6 September 2013 semasa negara sedang digemparkan dengan berita kenaikan harga petrol. Sebelum dilancarkan di Malaysia, model ini telah pun dilancarkan di Vietnam pada tahun lalu. Enjin 110cc yang digunakan kali ini sudah pun ditala semula bagi meningkatkan kuasa kudanya kepada 8.39 PS @ 7,500 rpm. Namun, apa yang mengecewakan ialah model ini masih tidak menggunakan pancitan bahan api. Mahu tunggu harga minyak naik berapa banyak lagi baru hendak keluarkan model kapcai pancitan bahan api? Ia sudah tentu sesuatu yang ironi kerana Modenas dan Yamaha sudah terlebih dahulu memperkenalkan model kapcai pancitan mereka, sungguhpun Honda adalah pengeluar motosikal kapcai pancitan bahan api pertama di dunia.


Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.



Seterusnya saya bawakan pula model baru yang amat dinanti-nantikan oleh peminat setia Yamaha iaitu Lagenda 115Z Fuel Injection, dilancarkan pada keesokan harinya. Sebelum itu, ia terlebih dahulu dilancarkan di Indonesia sebagai Yamaha Jupiter Z1 (di Thailand pula Yamaha Spark 115i menggunakan rekaan berbeza). Setelah sudah lama tidak memperkenalkan model baru, sudah tentulah ramai yang tertanya-tanya, apa sebenarnya yang dilakukan oleh Yamaha sehingga membiarkan takhta pengeluar motosikal paling laris di Malaysia telah dirampas oleh Honda yang semakin agresif mengeluarkan model-model baharu mereka. Namun, diam-diam mereka sebenarnya ternyata berisi. Saya sendiri pun sebelum ini ada terdengar khabar-khabar angin mengenai pelancaran kapcai pancitan sulung Yamaha ini, tetapi hanya mempercayainya setelah model tersebut dilancarkan. Jika sebelum ini prestasi Yamaha Lagenda 115Z begitu mengecewakan kerana hanya mampu menghasilkan sekitar 6.0 kW (8.5 PS) sahaja, enjin serba baru ini pula berupaya menghasilkan 7.4 kW (10.25 PS) @ 7,750 rpm, menjadikannya kapcai pancitan bahan api paling berkuasa dalam kelasnya. Ia bukan sahaja jauh lebih berkuasa daripada Modenas 118EFI malah lebih laju daripada Honda Future 125. Inilah jentera yang kita cari-cari selama ini; kita mahukan sebuah motosikal yang bukan sekadar semakin laju tetapi dalam masa yang sama juga ia semakin jimat minyak.

Jadi yang mana satu pilihan saya? Secara jujurnya saya katakan bahawa saya lebih mengesyorkan Yamaha 115Z Fuel Injection kerana ia menawarkan keseimbangan terbaik antara prestasi dan penjimatan bahan api. Sementara Yamaha menjanjikan penjimatan bahan api maksimum melalui Lagenda terbaru mereka, Honda pula menjanjikan ketahanan enjin. Apa pun, ia satu petanda bagus kerana industri motosikal kapcai tanah air semakin meriah dengan kehadiran model-model motosikal pancitan.



Spesifikasi 2013 Honda Wave Dash 110

Enjin: 4 lejang SOHC 2 injap silinder tuggal 110 cc
Sesaran: 109.16 cc
Lubang x lejang: 50 x 55.598 mm
Nisbah mampatan: 9.0:1
Kuasa kuda: 6.18 kW (8.39 PS) @ 7,500 rpm
Tork: 8.15 N-m @ 5,500 rpm
Jarak roda: 1,227 mm
Berat kering: 99 kg
Muatan tangki bahan api: 3.7 liter
Saiz tayar: 70/90-17 M/C 38P (hadapan); 80/90-17 M/C 50P (belakang)

Apa yang saya suka
  1. Rekaan yang cantik dan tidak mengecewakan seperti Wave 110S
  2. Rim sport dan tayar tanpa tiub standard (kali pertama bagi Honda)
  3. Ada pilihan brek cakera belakang
Apa yang saya tidak suka
  1. Masih tidak menggunakan pancitan bahan api
  2. Saiz tangki minyak terlalu kecil


Spesifikasi 2013 Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection

Enjin: 4 lejang SOHC 2 injap silinder tuggal 115 cc
Sesaran: 113.7 cc
Lubang x lejang: 50 x 57.9 mm
Nisbah mampatan: 9.3:1
Kuasa kuda: 7.4 kW (10.25 PS) @ 7,750 rpm
Tork: 9.9 N-m @ 6,500 rpm
Jarak roda: 1,240 mm
Berat kering: 100 kg
Muatan tangki bahan api: 4.05 liter
Saiz tayar: 70/90-17 M/C 38P (hadapan); 80/90-17 M/C 50P (belakang)

Apa yang saya suka
  1. Motosikal kapcai pancitan bahan api paling berkuasa dalam kelasnya - bukan sahaja lebih berkuasa daripada Modenas 118EFI, tetapi juga lebih berkuasa daripada Honda Future 125
  2. Rekaan panel meter yang cantik dan kemas
  3. Segala kelebihan yang ada pada motosikal pancitan bahan api (jimat minyak, mesra alam, mudah dihidupkan semasa sejuk)
Apa yang saya tidak suka
  1. Rekaan lampu belakangnya kurang menarik terutamanya disebabkan penggunaan lampu isyarat membelok jenis tangkai serta pemantul cahaya jingga

(Nota: Siri jelajah Kembara Merdeka Sabah 2013 akan bersambung semula selepas entri ini)







Honda Wave Dash 110 Repsol Honda Race Replica






Honda Wave Dash kini didatangkan dengan pilihan brek cakera belakang






Lampu belakang Honda Wave Dash ini mengingatkan saya pada Kawasaki Z800






Yamaha Lagenda 115ZR Fuel Injection






Anatomi enjin baru Yamaha Lagenda 115ZR






Paparan meter yang cantik dan kemas






Pandangan Yamaha Lagenda 115ZR Fuel Injection dari tepi






Lensa lampu isyarat membelok kali ini diwarnakan jingga pejal bagi mematuhi peraturan yang ditetapkan Kesatuan Eropah






Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection baru saja beberapa hari dilancarkan tetapi sudah mudah didapati di kedai-kedai motor

19 comments:

  1. design lagend baru tuu cantik ke bagi admin??

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sepatutnya rekaan Lagenda kali ini cantik kerana mengikut rekaan Jupiter Z1 Indonesia, tapi apa yang mencacatkan sedikit rekaannya ialah lampu isyarat membelok jenis tangkai di belakang. Jupiter Z1 tak ada lampu isyarat membelok sebegini tetapi disepadukan dengan lampu belakang. Secara peribadinya saya tidak suka rekaan lampu isyarat membelok jenis tangkai kerana mudah patah dan boleh menyebabkan motor kelihatan seperti "motor orang tua" jika lampu belakang besar dan sepatutnya boleh memuatkan lampu isyarat membelok. Kalau pada motor seperti FZ150i, lampu isyarat membelok jenis tangkai memang sesuai disebabkan rekaan lampu belakangnya memang tidak boleh memuatkan lampu isyarat membelok.

      Delete
  2. Admin dah test ker Lagenda FI ni?

    ReplyDelete
  3. Salam bro..sy berura2 nk sambar honda wave dash versi repsol awal januari nt..so soalan saya :
    1.Berapa kelajuan maksimum boleh di capai bg model standard?
    2.Bolehkah kaburator model ini ditukar ke Fuel Injection model thailand/indonesia?Jika boleh berapa anggaran kosnya..
    3.Saiz kotak U-box?(muatkah sebiji helmet)
    4.Sekiranya saya mengubahsuai sistem ekzos ke racing spec dgn menggunakan produk2 berjenama..adakah ianya menyalahi undang2 jalanraya?

    ReplyDelete
    Replies
    1. 1.) Model standard boleh mencecah kelajuan sekitar 110 km/j.
      2.) Boleh, tetapi kos penukarannya sangat mahal kerana melibatkan banyak komponen serta perlu menukar sistem pendawaian. Setahu saya, belum ada bengkel motor di Malaysia yang menawarkan penukaran sistem pancitan, maka anda mungkin perlu ke Thailand untuk melakukannya.
      3.) U-box bagi Wave Dash tidak boleh muat sebiji topi keledar.
      4.) Selalunya ya. Paling selamat, gunakan sahajalah ekzos standard kerana ia sudah ditala dengan paras bunyi yang mematuhi peraturan JPJ dan JAS.

      Delete
    2. TQ bro atas informasi yang jelas..

      Delete
  4. Salam bro nk tny apa beza 115z Dan 115zr?
    Harga on the road bg kedua2nya plak?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Perbezaan varian 115ZR dengan 115Z ialah penyerap hentak belakang yang menggunakan gas absorber, lampu latar meter berwarna biru dan ia hanya didapati dalam warna biru putih sahaja. Varian 115ZR berharga RM5,410 manakala 115Z pula berharga RM4,792 (rim lidi, penghidup tendang) dan RM5,168 (rim sport, penghidup elektrik).

      Delete
    2. Ada tambahan lagi bos.tempat pemijak kaki lagenda zr penunggang boleh lipat sikit berbanding z hu hu hu.

      Delete
  5. Dan blh tak tolong bandingkan 115z / zr ni dgn honda future 125 ? Harap Sgt bro blh tlg.hehe
    Dan yg mna satu plihan bro among this 3 ?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Perbezaan antara kedua-duanya adalah seperti berikut:-
      1.) Sistem bahan api - Lagenda Fuel Injection menggunakan pancitan bahan api manakala Future masih lagi menggunakan karburetor. Jadi, Lagenda Fuel Injection lebih jimat minyak.
      2.) Saiz tangki - Tangki minyak Future lebih besar daripada Lagenda injection.
      3.) Ruang barang bawah tempat duduk: Future mempunyai ruangan simpanan bawah tempat duduk yang cukup besar untuk memuatkan topi keledar full-face, tetapi ruang barang Lagenda sekadar cukup untuk memuatkan peralatan, buku panduan dan sarung tangan sahaja.
      4.) Enjin - Enjin Future lebih besar, tetapi Lagenda lebih berkuasa iaitu sekitar 10.4 PS berbanding Future yang hanya mampu menghasilkan 9.6 PS. Namun, Future mempunyai kelebihan semasa mendaki bukit kerana torknya yang lebih tinggi.

      Pilihan saya? Sebenarnya keda-dua model adalah bagus tetapi saya lebih memilih Lagenda injection kerana lebih jimat minyak dan lebih canggih.

      Delete
    2. Selain lampu depan lagenda fi nie amat terang pki bulb halogen.hu hu hu kereta belakang boleh perasan ada mtr dibelakang.

      Delete
  6. Salam bro..dgrciter model legend baru ni boleh fight ngn 135 LC..btol ker??n braper top speed legennd boleh capai??mohon respon..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kelajuan maksimum Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection ialah sekitar 115-120 km/j. Mungkin belum cukup untuk kalahkan Yamaha 135LC, tetapi jika ditunggang oleh penunggang berbadan ringan, kemungkinan Lagenda Fuel Injection mampu mencabar 135LC.

      Delete
  7. Version baru ni kalau main spoket je brape boleh naik bro ??

    ReplyDelete
    Replies
    1. Standard memang sekitar 110 km/j. Kalau mahu lebih, kena lebih banyak modifikasi seperti menggunakan camshaft racing, coil racing dan CDI racing

      Delete
  8. Kabar baik!!!

    Nama saya teddy dan saya dari Jawa Tengah Indonesia dan alamat saya KP. KADU RT 10 RW 04 KEL SUKAMULYA KEC CIKUPA KAB TANGERANG BANTEN, Saya baru saja menerima pinjaman Rp 3 Miliar (Small Business Admintration (SBA) dari Perusahaan Pinjaman Dangote setelah membaca artikel dari Lady Jane Alice (ladyjanealice@gmail.com) dan Mahammad Ismali (mahammadismali234@gmail.com) tentang cara mendapatkan
    pinjaman dari Perusahaan Pinjaman Dangote dengan tingkat bunga 2% tanpa lisensi atau biaya gurantor, saya baru saja melamar melalui email dan ikhlas selama prosesnya, awalnya saya takut mengira itu seperti penipuan perusahaan peminjaman sebelumnya, tetapi yang mengejutkan saya ini nyata bahwa saya juga berjanji akan memberi tahu lebih banyak orang, percayalah itu nyata 100%, pelamar lain dari negara lain juga dapat bersaksi.

    Email Perusahaan Pinjaman Dangote Melalui email: Dangotegrouploandepartment@gmail.com

    Email saya: teddydouble334@yahoo.com

    ReplyDelete