Friday, September 20, 2013

Kembara Merdeka Sabah 2013 Finale: 50 Tahun Sabah Maju Jaya Dalam Malaysia / 50 Years of Sabah Progression in Malaysia



Salam sejahtera dan salam 1Malaysia,

Sekejap sahaja masa 50 tahun berlalu sejak Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Sesungguhnya, penyertaan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia bukan sekadar penyertaan 2 buah negeri bagi membentuk 13 negeri dalam Persekutuan Malaysia, tetapi juga perpaduan antara 3 entiti berkerajaan sendiri, iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Sejak itu, kedua-dua negeri tersebut terus berkembang, daripada negeri yang hanya ada hutan tebal yang tiada apa-apa kepada negeri yang terus berkembang pesat.

Lihat sajalah apa yang ada di Sabah pada hari ini. 50 tahun dahulu, satu-satunya jalan dari Kota Kinabalu ke Beaufort dan Sipitang hanyalah melalui kereta api; kalau ada pun jalan raya, jalan yang ada hanyalah jalan tanah merah yang berdebu ketika kering dan berlumpur ketika hujan. Namun kini, perjalanan ke Beaufort, Sipitang dan seterusnya Sarawak dan Brunei ternyata lebih mudah dengan adanya Lebuhraya Papar-Sindumin FT1 yang dibuka pada tahun 1981. Begitu juga dengan perjalanan dari Kota Kinabalu ke Sandakan dan seterusnya Tawau, ia direalisasikan melalui pembinaan Jalan Kota Kinabalu-Sandakan FT22 (juga dikenali sebagai Lebuhraya Timur-Barat Sabah FT22) yang siap pada tahun 1982.

Sebenarnya, sejak kemasukan Sabah ke dalam Malaysia, sudah banyak jalan raya baharu dibina, antaranya Jalan Kota Kinabalu-Sandakan FT22 (termasuklah Lebuhraya Tamparuli-Ranau), Lebuhraya Papar-Sindumin FT1, Lebuhraya Tawau-Semporna FT13/SA51, Lebuhraya Sapi Nangoh, Lebuhraya Kimanis-Keningau dan Lebuhraya Sipitang-Tenom. Buat masa sekarang, terdapat dua projek jalan raya yang sedang berjalan iaitu Jalan Kota Marudu-Ranau sepanjang 110 km (dihidupkan semula setelah terbengkalai akibat masalah kewangan oleh kontraktor terdahulu), dan Jalan Kalabakan-Sepulot sepanjang 145 km (terpaksa diturap semula oleh kontraktor baharu akibat skandal korupsi oleh kontraktor asal kaki songlap yang menyaksikan jalan tersebut hanya sekadar ditabur batu kerikil tanpa diturap dengan sempurna). Setakat Ogos 2013, sudah banyak bahagian Jalan Kalabakan-Sepulot yang sudah siap diturap dan dijangka siap Oktober ini, manakala Jalan Kota Marudu-Ranau kini dalam proses mengukur kawasan dan pembinaan.

Ada juga suara-suara yang mengatakan kononnya Sabah mundur disebabkan tiada lebuh raya ekspres sebagaimana Semenanjung. Meskipun pada mulanya saya menyokong dakwaan tersebut, tetapi setelah saya datang sendiri di Sabah, saya tarik kembali kenyataan tersebut. Malah, terus-terang saya katakan, pembinaan lebuh raya ekspres di Sabah masih belum sesuai dimulakan buat masa ini kerana jarak antara pekan-pekan masih lagi jauh, dan pekan-pekan ini masih perlu membesar dan berkembang maju terlebih dahulu. Malah, pembinaan lebuh raya ekspres sebenarnya bakal membunuh nyawa banyak pekan-pekan kecil. Tak percaya? Saya akan ulas lebih lanjut dalam entri Mythbuster akan datang.

Sungguhpun sudah banyak pembangunan yang dicapai oleh Sabah pada masa kini, masih terdapat suara-suara sumbang yang mempertikaikan pencapaian dan tahap kemajuan yang dinikmati Sabah sekarang, dengan dakwaan KDNK Sabah adalah yang terendah di Malaysia. Namun, ingin saya nyatakan di sini bahawa puak-puak yang membuat dakwaan tersebut hanya tahu sembang kosong sahaja tanpa datang sendiri ke Sabah untuk membuktikannya. Sungguhpun KDNK Sabah adalah yang terendah di Malaysia di belakang Kelantan, namun peratus kadar kemiskinan di Sabah menurun dengan ketara daripada 17% pada tahun 1990 kepada hanya 4% pada tahun 2009. Semasa saya berkunjung ke rumah Makcik Dayang Siti Zaleha di Kimanis, Papar, kawasan tersebut memang betul-betul kawasan kampung dengan kebanyakan rumah masih lagi rumah papan, tetapi rata-ratanya kini dilengkapi bekalan elektrik. Malah, jalan masuk utama di kampung tersebut sememangnya berturap cantik dan diterangi lampu jalan; cuma perlu lalu sedikit sahaja jalan batu kerikil untuk ke rumah Makcik Dayang Siti Zaleha. Selain itu, saya turut membuat kajian mengenai daerah Papar dan mendapati bahawa 100% rumah dalam daerah tersebut sudah dilengkapi bekalan elektrik. Bukankah itu satu pencapaian yang sangat baik daripada tidak ada apa-apa separuh abad dahulu? Kepada puak-puak berkenaan, renunglah kata-kata hikmah oleh mendiang Presiden J. F. Kennedy - "Ask not what the country can do for you - ask what you can do for your country" (Usah ditanya apa yang negara boleh lakukan untuk kamu, tetapi tanyalah apa yang kamu boleh lakukan untuk negara).

Benar, masih ada lagi kawasan di Sabah yang masih lagi mundur seperti di sepanjang kawasan pantai timur Sabah. Sebab itulah kerajaan membina Lebuhraya Sapi Nangoh yang mula dicadangkan sekitar penghujung tahun 1980an bagi membangunkan kawasan mundur di timur laut Sabah. Meskipun jalan raya tersebut sekadar dibina dengan kos yang rendah mengikut piawaian JKR R3 (lebar lorong: 3.0 m) dan berkelok-kelok kerana dibina mengikut kontur bentuk muka bumi dengan tarahan yang minima, ia sudah cukup bagus bagi membawa pembangunan di sepanjang laluannya. Hasilnya, pekan Pitas dan Kota Marudu berkembang maju sebagai pekan persinggahan oleh pengguna jalan raya.

Selain itu, serangan oleh tentera pengganas Jamalul Kiram III di Lahad Datu dan Semporna pada Mac 2013 telah membuka mata kerajaan untuk memajukan kawasan pantai timur Sabah yang mundur serta mudah dicerobohi pendatang haram terutamanya dari Filipina. Maka, kita boleh jangkakan bahawa lebih banyak kem tentera akan dibuka di kawasan tersebut bagi mengekang kemasukan pendatang haram serta tentera pengganas. ia seterusnya bakal menawarkan pekerjaan kepada anak-anak watan Sabah untuk berbakti mempertahankan bumi Sabah daripada dinodai tentera musuh.

Sebagaimana yang kita ketahui selama ini, Sabah merupakan salah satu negeri pengeluar minyak utama di Malaysia. Hasilnya, kerajaan kini sedang membina Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis serta pusat latihannya di pekan Membakut yang terletak didak jauh dari Kimanis. Semasa lawatan saya di Sabah, kompleks SOGT kini sudah 90% siap manakala pusat latihannya memang sudah siap. Maka, saya menjangkakan bahawa kedua-dua projek tersebut berupaya menawarkan banyak peluang pekerjaan di kalangan warga Sabah serta melahirkan pakar-pakar dalam bidang tersebut dari kalangan anak watan Sabah sendiri.

Ada juga pihak yang mengatakan bahawa kos sara hidup di Sabah adalah yang tertinggi, berikutan harga makanan yang mahal di sana. Memang saya akui, harga makanan di sana agak mahal sedikit berbanding di Semenanjung. Harga barang keperluan yang mahal di Sabah adalah angkara "lintah-lintah darat" di kalangan syarikat-syarikat perkapalan yang mengenakan kos pengangkutan yang terlampau tinggi bagi penghantaran antara Sabah dengan Semenanjung. Bagi menangani isu harga barang yang tidak masuk akal ini, kerajaan persekutuan telah mengambil langkah menyeragamkan harga bagi barangan keperluan asas seperti gula- tepung, minyak masak dsb. melalui program 1Malaysia 1Harga, di mana kerajaan sendiri menanggung kos penghantaran barangan asas tersebut. Sebab itulah saya dapat rasakan sepanjang saya berada di Sabah, harga makanan kini hampir lebih kurang sama seperti di Kuala Lumpur; kalau mahal pun mahal sedikit sahaja. Selain itu, Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) sebenarnya telah pun mengambil inisiatif bagi menggalakkan para petani menggunakan perkhidmatan kereta api bagi mengangkut hasil pertanian mereka dengan mengenakan tambang yang begitu murah. Namun, kekangan yang dihadapi oleh JKNS kini ialah kekurangan rolling stock - sepatutnya JKNS memiliki 2 buah kereta api diesel-elektrik baharu keluaran CSR Ziyang Locomotive dari China, tetapi salah satu daripadanya musnah terbakar akibat kemalangan dengan sebuah lori tangki minyak Shell yang melalui satu lintasan haram di Kepayan, Kota Kinabalu. Apa yang saya kesalkan ialah pemandu lori tersebut dan Shell langsung tidak mempunyai sifat bertanggungjawab dan tidak membayar walau sesen pun pampasan kepada pihak JKNS. Sepatutnya Shell Sabah dan pemandu tersebut berasa malu kerana telah melumpuhkan nadi pengangkutan dan ekonomi penduduk pedalaman yang bergantung kepada kereta api JKNS akibat kedegilan pemandu tersebut yang menggunakan lintasan haram.

Justeru, saya ingin menggesa kerajaan persekutuan serta badan-badan kewangan agar bersama-sama membantu Sabah membangunkan rangkaian kereta apinya. Saya berasa sungguh kagum apabila JKNS mempunyai perancangan berwawasan tinggi bagi membina rangkaian kereta api sebegitu komprehensif melibatkan pemanjangan landasan sedia ada dari Tanjung Aru ke Pelabuhan Kota Kinabalu dan Pelabuhan Teluk Sepanggar, pemanjangan landasan sedia ada dari Tenom ke Melalap dan Keningau, serta pembinaan laluan baharu dari Beaufort ke Weston dan Sipitang. Malah, pihak JKNS turut mempunyai perancangan jangka panjang untuk membina landasan dari Keningau ke Tawau dan Sandakan. Pembangunan rangkaian kereta api seperti begini amat penting kerana sistem pengangkutan kereta api adalah mod pengangkutan paling cekap kerana berupaya mengangkut barangan dalam jumlah yang sebegitu besar. Buktinya, sebuah lokomotif wap JKNS yang menggunakan bahan api kayu bakau mampu menarik 400 tan muatan pada kelajuan 30 bsj (50 km/j), sedangkan sebuah lori hanya dibenarkan mengangkut barangan sehingga 30 tan sahaja; lebih kurang 11 kali perjalanan diperlukan bagi mengangkut 400 tan barangan. Itu baru lokomotif kayu bakau, belum lagi lokomotif diesel-elektrik CSR baharu JKNS. Kajian oleh pihak JKNS sendiri pun membuktikan bahawa kos spesifik bagi mengangkut barangan menggunakan kereta api adalah jauh lebih rendah berbanding menggunakan lori. Memandangkan sekarang ini zaman harga minyak mahal, maka kerajaan persekutuan sepatutnya memberikan lebih tumpuan terhadap pembangunan rangkaian kereta api yang lebih cekap dari segi kos pengangkutan, kerana jika terlalu bergantung kepada pengangkutan lori dan jalan raya, harga minyak hanya naik 20 sen sahaja pun sudah menyebabkan pesta naik harga barangan sehingga berkali-kali ganda. Ia bukti utama sistem pengangkutan menggunakan jalan raya adalah tidak cekap, selain lebih banyak merosakkan jalan raya.

Kesimpulannya, jelaslah bahawa sepanjang separuh abad Sabah menyertai Malaysia, sudah banyak kemajuan yang sudah dicapai. Jika sebelum ini ramai rakyat Sabah yang miskin terutamanya dari kalangan Bumiputera, kini peratus kemiskinan hanyalah sekitar 4% sahaja. Jika selama ini kebanyakan tempat hanya boleh dihubungi melalui sungai yang berbahaya ketika musim hujan dan kapal terbang yang mahal, kini banyak tempat yang sudah dihubungkan oleh rangkaian jalan raya. Rumah-rumah yang asalnya bergelap dan hanya bergantung kepada cahaya pelita minyak tanah kini diterangi lampu mentol elektrik. Malah, ada beberapa kampung bertuah yang memperoleh bekalan elektrik daripada sumber boleh baharu seperti loji janakuasa suria hibrid dan loji janakuasa hidroelektrik mini. Kesemuanya adalah bukti kemakmuran Sabah yang tidak sepatutnya disangkal sama sekali. Oleh itu, saya ingin mengajak para pembaca Blog Jalan Raya Malaysia sama-sama mendoakan agar Sabah semakin maju dan semakin aman bersama-sama Malaysia selama-lamanya.

Setakat ini sahaja yang dapat saya bawakan dari Sabah kepada para pembaca semua. Insya-Allah saya pasti akan kembali semula ke Sabah untuk lebih banyak reviu jalan raya menarik untuk dikongsi bersama. Akhir kata, jutaan terima kasih kepada para pembaca Blog Jalan Raya Malaysia khususnya dari Sabah yang sentiasa menyokong perjuangan Blog Jalan Raya Malaysia.

No comments:

Post a Comment