Wednesday, September 25, 2013

Demonstrasi dan bantahan lebuh raya ekspres: Apa puncanya / Expressway demonstrations and protests: What are the causes



Tunjuk perasaan menentang pembinaan Lebuhraya SUKE

Salam sejahtera,

Lebuh raya ekspres dibina bagi membolehkan pengguna jalan raya tiba ke destinasi yang dituju dengan lebih cepat dan lebih selesa. Keadaan ini dapat dicapai melalui penggunaan kawalan masuk penuh dan persimpangan bertingkat berlainan aras, bagi meminimakan sebarang bentuk halangan lalu lintas seperti lintasan searas dan simpang-simpang kecil. Lazimnya, majoriti lebuh raya ekspres di Malaysia diswastakan pembinaannya dan dikenakan tol bagi membiayai kos penyelenggaraan di samping membayar balik pinjaman bank. Dengan adanya lebih raya ekspres, mutu perkhidmatan pengangkutan dapat dipertingkatkan dan masa perjalanan yang sebelum ini panjang dipendekkan.

Namun, tidak semua orang yang gembira dengan pembinaan lebuh raya ekspres ini. Orang yang menggunakannya setiap hari tidak berpuas hati kerana terpaksa merabakkan kocek untuk membayar tol yang mahal setiap hari. Ada juga kumpulan penduduk yang tidak berpuas hati kerana kesan sampingan daripada pembinaan lebuh raya ekspres seperti pencemaran udara dan pencemaran bunyi. Ada juga yang mendakwa bahawa nilai rumah mereka sebenarnya jatuh dan bukannya meningkat setelah lebuh raya dibina. Berikutan rasa tidak puas hati yang semakin meluap-luap, ia seterusnya dizahirkan melalui beberapa siri tunjuk perasaan bagi membantah lebuh raya ekspres. Apa pun, jangan salah sangka kerana saya menulis entri ini bukanlah untuk mengajak anda merusuh dan berdemonstrasi di lebuh raya, sebaliknya untuk mengingatkan Lembaga Lebuhraya Malaysia serta pihak berkuasa tempatan agar lebih bijak merancang serta lebih peka terhadap suara penduduk tempatan sebelum merancang mahu membina lebuh raya ekspres.

Untuk memahami secara lebih mendalam mengenai isu tol ini, ada baiknya kita renung beberapa fakta penting ini:-

  1. Pembinaan lebuh raya ekspres diswastakan bagi melepaskan tanggungan beban kewangan kerajaan terhadap kos pembinaan lebuh raya ekspres yang mahal. Dengan kata lain, lebuh raya ekspres dibina tanpa peruntukan walau sesen pun daripada kerajaan. Ia seterusnya membolehkan kerajaan menumpukan lebih perhatian terhadap pembinaan jalan-jalan persekutuan dan negeri serta jalan luar bandar.
  2. Syarikat konsesi lebuh raya membina lebuh raya dengan berhutang kepada bank. Maka, mereka perlu melangsaikan sepenuhnya hutang bank ini sebelum tempoh konsesi mereka tamat.
  3. Bagi memastikan mutu pembinaan dan kejuruteraan lebuh raya ekspres berada pada tahap tertinggi, maka lebuh raya ekspres memerlukan penyelenggaraan yang kerap. Sebab itulah ada baiknya jika lebuh raya ekspres dibina daripada konkrit kerana ia tahan lama dan tidak memerlukan penyelenggaraan, tetapi kos membinanya pula lebih mahal daripada lebuh raya tar biasa. Harus diingat, kos penyelenggaraan lebuh raya ekspres adalah jauh lebih tinggi daripada jalan raya biasa.
  4. Untuk membolehkan pengguna lebuh raya berehat, syarikat konsesi turut mendirikan hentian rehat serta hentian sebelah. Di samping sebagai kemudahan kepada pengguna lebuh raya, ia juga menjadi sumber pendapatan tambahan kepada syarikat konsesi melalui sewaan lot kedai makan. Hentian rehat dan hentian sebelah juga memerlukan penyelenggaraan serta perbelanjaan bil air dan elektrik.
  5. Sistem pencahayaan yang baik adalah amat penting terutamanya pada waktu malam demi keselamatan pemandu terutamanya di persimpangan bertingkat. Maka, banyak lampu jalan dan lampu limpah dipasang bagi menerangi lebuh raya. Sesetengah lebuh raya seperti Lebuhraya ELITE E6 dan NKVE E1 pula dipasang lampu jalan di sepanjang laluan. Kesemuanya memerlukan belanja bil elektrik yang tinggi.
  6. Dalam sesebuah lebuh raya ekspres, ramai pekerja diperlukan bagi tujuan penyelenggaraan lebuh raya. Selain itu, banyak peluang pekerjaan turut ditawarkan sebagai jurutol. Begitu juga dengan kakitangan pengurusan syarikat konsesi. Gaji mereka juga perlu dibayar.
  7. Atas sebab itulah syarikat konsesi perlu mengutip tol bagi membayar hutang bank, menyelenggara lebuh raya, menyelenggara hentian rehat dan hentian sebelah, membayar bil elektrik dan air, serta membayar gaji kakitangannya.
  8. Sebaik sahaja tamat tempoh konsesi, lebuh raya ekspres itu akan diserahkan semula kepada kerajaan. Maka, syarikat konsesi perlu memastikan bahawa mereka sudah melangsaikan hutang bank serta sudah balik modal. Pada masa itu, kutipan tol dimansuhkan.
  9. Masalah utama yang sering dihadapi lebuh raya ekspres yang sudah dimansuhkan kutipan tolnya ialah ketiadaan penyelenggaraan. Lihat sajalah Lebuhraya Salak E37 setelah ia jadi percuma, kualiti turapannya semakin merosot. Jajaran percuma SKVE E26 juga mempunyai masalah kualiti turapan memandangkan ada bahagian yang sudah mendap, di samping garisan jalan yang sudah pudar dan tidak dicat semula. Lampu jalan pun sudah banyak yang tidak menyala tetapi tidak diperbaiki walaupun sudah bertahun-tahun lamanya.
  10. Industri lebuh raya tol sebenarnya bukanlah industri yang menguntungkan, sebaliknya ia adalah satu industri yang berisiko tinggi. Beberapa buah lebuh raya ekspres seperti Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) E15, Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29, Lebuhraya Kajang-Seremban E21 dan Lebuhraya Senai-Desaru E22 merupakan antara lebuh raya ekspres yang mencatatkan kerugian. Kenapa pula ia berisiko? Syarikat konsesi perlu memastikan kadar trafik sebenar lebuh raya adalah mengikut unjuran syarikat kerana sekiranya kadar trafik sebenar lebih rendah daripada unjuran, ia akan menjejaskan proses bayaran balik pinjaman bank. Namun, menaikkan kadar tol pula hanya akan menambah parah keadaan kerana sudah tentunya lebih banyak pengguna yang akan lari jika kadar tol lebih mahal.
Sebenarnya, sejarah bantahan tol bermula pada penghujung tahun 1960an semasa Jambatan Sultan Ismail FT5 di Muar mula dibuka kepada lalu lintas sebagai jambatan tol. Meskipun hanya RM1.50, penduduk dan peniaga rata-ratanya membantah kadar tol yang terlalu mahal pada waktu itu. Malah, pengusaha teksi dan bas turut mengambil tindakan memulaukan jambatan tersebut sebagai tanda protes. Hanya setelah campur tangan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak, kadar tol di Jambatan Sultan Ismail FT5 diturunkan kepada 50 sen pada tahun 1971 sebelum memansuhkan sepenuhnya kutipan tol pada tahun 1975.

Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 juga pernah menjadi mangsa tindakan boikot oleh pengguna jalan raya akibat cubaan menaikkan kadar tol pada tahun 1990an (saya tak ingat tahun spesifiknya). Akibatnya, Lebuhraya Utara-Selatan sangat lengang bagai padang jarak padang terkukur, sedangkan Jalan Persekutuan 1 pula sesak teruk akibat dibanjiri pengguna jalan raya yang memboikot lebuh raya tersebut. Sehubungan dengan itu, Projek Lebuhraya Utara-Selatan Berhad (kini Projek Lebuhraya Usaha Sama Berhad, salah satu divisyen dalam PLUS Expressways Berhad) terpaksa menangguhkan rancangan menaikkan kadar tol dan merayu kepada para pengguna jalan raya tentang kelebihan penggunaan lebuh raya ekspres serta menerangkan ke mana wang kutipan tol dibelanjakan dalam iklan-iklan di dada akhbar.

Selain Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2, beberapa komponen lebuh raya kendalian PLUS Expressways Berhad juga pernah menjadi mangsa bantahan lebuh raya. Lebuhraya Skudai FT1 misalnya pernah menyaksikan beberapa bantahan tol sehinggalah kutipan tol di situ dimansuhkan pada 1 Mac 2004. Namun, komponen lebuh raya kendalian PLUS Expressways Berhad yang paling kerap mengalami tunjuk perasaan bantahan kutipan tol ialah Lebuhraya Persekutuan FT2, sungguhpun sebenarnya memang ada laluan pintasan tol lebuh raya tersebut.



Demonstrasi membantah kenaikan tol LDP E11 oleh MCA

Sementara itu, lebuh raya paling kontroversi di Malaysia, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) E11 juga telah menyaksikan sebegitu banyak tunjuk perasaan membantah kutipan tol sejak mula dibuka pada tahun 1999. Ada banyak sebab yang menjadikan LDP E11 begitu kerap mengalami demonstrasi bantahan kutipan tol - LDP E11 boleh dikatakan sebagai satu projek mi segera yang dibina dengan hanya mengambil beberapa jalan arteri perumahan percuma untuk dijadikan "lebuh raya ekspres" bertol. Ia tentunya menimbulkan kemarahan penduduk Petaling Jaya kerana jalan arteri yang asalnya percuma dan hanya digunakan sesama mereka sahaja kini terlalu sesak akibat bercampur dengan lalu lintas luar. Tambah memburukkan keadaan, Menteri Kerja Raya pada masa itu, Datuk Seri Samy Vellu, menghalalkan amalan korup sebegini dan mengeluarkan kenyataan angkuh bahawa LDP E11 tidak memerlukan laluan alternatif bebas tol kononnya kerana ia baru dibina. Orang-orang Puchong paling malang kerana dikelilingi plaza tol dari arah utara, barat dan selatan. Akhirnya, golongan yang mendapat keuntungan daripada kebobrokan LDP E11 ini hanyalah para penyangak hartanah serta Litrak sendiri sebagai syarikat konsesinya.

Kini, terdapat empat lebuh raya baharu yang bakal dibina di Lembah Klang, iaitu Lebuhraya Damansara-Subang (DASH), Lebuhraya Sungai Besi- Ulu Klang (SUKE), Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) dan Lebuhraya Serdang-Kinrara-Putrajaya (SKIP). Namun demikian, keempat-empat lebuh raya ini menerima bantahan dan kecaman keras dari kalangan penduduk yang terlibat dalam pembinaan lebuh raya tersebut atas pelbagai faktor. Penduduk Cahaya spk dan Mutiara Damansara membantah keras pembinaan Lebuhraya DASH kerana ia bakal membawa kesesakan lalu lintas serta pencemaran udara dan bunyi kepada penduduk, sedangkan penduduk melabur hasil titik peluh mereka untuk memiliki rumah yang selesa di kawasan pinggir Lembah Klang yang bebas daripada kesesakan jalan raya serta pencemaran udara. Penduduk Cheras pula membantah Lebuhraya SUKE kerana ia hanya membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada penduduk. Penduduk Cheras mendakwa pembinaan Lebuhraya SUKE hanya menjadikan pencemaran udara dan bunyi bertambah teruk di samping menyebabkan nilai rumah mereka semakin jatuh. Tindakan mengambil sebahagian Jalan Lingkaran Tengah 2 (KL MRR2) FT28 sebagai sebahagian jajaran SUKE juga merupakan satu tindakan bodoh kerana ia bukan sahaja tidak mampu menyelesaikan masalah kesesakan di KL MRR2 FT28, malah ia hanya menjadikan kesesakan di KL MRR2 FT28 bertambah teruk kerana SUKE bakal melonggokkan kenderaan yang melaluinya di situ. Dengan kata lain, pembinaan SUKE hanya sia-sia sahaja.



Penduduk Damansara Perdana mengadakan tunjuk perasaan membantah pembinaan Lebuhraya DASH

Jadi kenapa keempat-empat cadangan lebuh raya ekspres ini ditolak penduduk? Jawapannya mudah sahaja - gagal merancang. Kerajaan persekutuan gagal merancang lebuh raya tersebut mengikut jangka masa panjang, iaitu dengan tidak membuat kajian kemungkinan pembinaannya sekutar 20 tahun lalu. Pihak berkuasa tempatan pula gagal merancang dengan meluluskan kesemua projek perumahan secara semberono dan membabi-buta tanpa merancang dengan teliti jajaran yang sepatutnya dirizabkan untuk lebuh raya ekspres. Harus diingat bahawa Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) E1, Lebuhraya Shah Alam E5 dan Lebuhraya ELITE E6 berjaya dibina mengikut piawaian kejuruteraan tertinggi di tengah-tengah kawasan tepu bina Lembah Klang hasil daripada perancangan yang begitu teliti. Namun, kegagalan merancang dengan teliti telah melahirkan beberapa projek mi segera seperti LDP E11.



Demonstrasi membantah kutipan tol Lebuhraya Persekutuan FT2 ini diadakan oleh Pakatan Rakyat...



...manakala demonstrasi membantah kutipan tol PJS2 di NPE E10 dianjurkan oleh Barisan Nasional

Jika disebut tentang demonstrasi bantahan lebuh raya dan kutipan tol, maka sudah tentulah ia sering kali dikaitkan dengan Pakatan Rakyat kerana Pakatan Rakyat sering mempolitikkan isu-isu tersebut serta paling kerap mengadakan tunjuk perasaan sedemikian. Namun, sebenarnya Barisan Nasional juga ada mengadakan tunjuk perasaan membantah kutipan tol, misalnya demonstrasi bantahan kutipan tol PJS2 di Lebuhraya Pantai Baru E10 anjuran Umno Petaling Jaya Selatan, manakala MCA juga pernah mengadakan tunjuk perasaan membantah kenaikan kadar tol LDP E11 daripada RM1 kepada RM1.60 sambil menggelarkan Litrak sebagai "perompak" wang rakyat". Maka, memandangkan kedua-dua belah parti politik sama-sama pernah mengadakan tunjuk perasaan membantah tol lebuh raya, bolehlah disimpulkan bahawa isu tol Lembah Klang ini sememangnya isu rakyat kerana kotipan tol menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup di sana.

Jadi patutkah anda membantah kutipan tol lebuh raya? Anda patut membantah sekiranya:-
  1. Terpaksa membayar tol dan tiada langsung laluan pemintas tol (contoh: LDP E11)
  2. Bayar tol pun kualiti lebuh raya jadi teruk
  3. Bayar tol pun masih terlalu sesak
  4. Pembinaan lebuh raya tol menyebabkan pencemaran udara dan bunyi yang sangat teruk dan tiada langkah diambil untuk mengatasinya
Namun, anda tidak wajar membuat bantahan sekiranya:-
  1. Memaksa diri untuk melalui lebuh raya bertol sedangkan masih ada laluan pemintas tol (contoh: Lebuhraya Persekutuan FT2)
  2. Kualiti pembinaan dan tahap keselesaan yang sangat tinggi setelah membayar tol - alah membeli, menang memakai
  3. Bayar tol tetapi masih sesak disebabkan pengguna jalan raya memilih untuk menggunakan lebuh raya tol - sepatutnya, gunakanlah jalan persekutuan
Kesimpulannya, bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak setiap kali hendak membina lebuh raya ekspres. Isu sebegini memerlukan sikap toleransi dan hormat-menghormati dari kedua-dua belah pihak, iaitu penduduk dan syarikat konsesi. Syarikat konsesi perlulah mengambil iktibar daripada projek-projek lebuh raya ekspres lepas (seperti kes JB EDL E14 yang menyebabkan penurunan nilai hartanah akibat kaedah pembinaan yang sangat ortodoks serta memberi kesan buruk terhadap penduduk) dengan mengguna pakai teknologi pembinaan terkini yang meminimakan kesan buruk terhadap penduduk tempatan, seperti menggunakan kaedah pemasangan segmen pra-acuan yang lebih pantas dan kurang kesan buruk terhadap penduduk. Kutipan tol juga mestilah pada kadar yang munasabah dan bukannya mencekik darah. Paling penting, laluan alternatif bebas tol mestilah dikenal pasti agar syarikat konsesi dilihat sebagai syarikat penyedia perkhidmatan pengangkutan dan bukannya sebagai perompak wang rakyat. Kerajaan serta pihak berkuasa tempatan wajar untuk membuat kajian kemungkinan pembinaan lebuh raya terlebih dahulu sebelum sesebuah kawasan itu dibangunkan dengan projek-projek hartanah agar laluan yang dikenal pasti itu boleh dirizabkan dan diwartakan. Kegagalan perancangan hanya akan menyebabkan rakyat merana kerana dibebani bayaran tol tanpa ada laluan bebas tol sebagai alternatif kepada penduduk yang berpendapatan rendah, selaras dengan slogan 1Malaysia - rakyat didahulukan (bukannya kroni didahulukan ataupun duit rakyat didahulukan!), pencapaian diutamakan. Memandangkan sekarang ini zaman harga minyak mahal, adalah lebih baik jika kerajaan lebih menumpukan kepada usaha membina lebih banyak jalan kereta api, laluan MRT, LRT, monorel dan menambah baik sistem pengangkutan awam sebagai alternatif kepada kereta. 

Kepada pengguna lebuh raya pula, sekiranya anda berasa tidak puas hati dengan kenaikan kadar tol, maka langkah pertama yang lebih bijak ialah dengan mengadakan tindakan boikot dengan menjadikan jalan persekutuan yang percuma sebagai laluan alternatif. Harus diingat bahawa tindakan boikot ini hanya akan berkesan sekiranya ia diadakan secara beramai-ramai. Namun, memandangkan ada beberapa "lebuh raya" di Lembah Klang yang tiada laluan alternatif percuma, maka tiada cara lain untuk meluahkan perasaan tidak puas hati selain melalui demonstrasi jalanan. Namun demikian, kadar tol tidak akan turun hanya dengan terpekik-terlolong di tengah lebuh raya, maka jalan terbaik bagi menyelesaikan kemelut sebegini adalah secara rundingan dan dialong dengan penduduk tempatan dan pengguna lebuh raya bagi mendapatkan penyelesaian yang menguntungkan semua pihak.

2 comments:

  1. Assalamualaikum, saudara.

    Saya sangat bersetuju dgn apa yg saudara kemukakan dalam artikel ini. Kerajaan sebenarnya telah gagal merancang dengan teliti pembinaan lebuh raya. Tujuan lebuh raya dikatakan utk mengurang kesesakan lalu lintas, tetapi nyata setelah banyak lebuh raya dibina keadaan tetap sesak.

    Saya berpendapat kerajaan perlu menaiktaraf jalan persekutuan utama agar menjadi hampir sama dgn kualiti lebuh raya ekspres. Saya sebenarnya suka menggunakan laluan tanpa tol ini, tetapi malangnya apabila laluan ini memasuki bandar-bandar utama, terlalu byk pula traffic light menyebabkan masa perjalanan menjadi panjang.

    Saya fikir kerajaan dpt mengusahakan agar laluan persekutuan FT1 dijadikan seperti lebuh raya ekspres tanpa banyak persimpangan lampu isyarat yg byk. Dengan kelebihan ini, saya rasakan ramai juga akan memilih FT1 sebagai pilihan utama selain drp 'kena bayar tol' yg org selalu merungut tapi masih gunakan juga.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Setuju dengan cadangan saudara. Cuma kalau nak naik taraf ke lebuh raya ekspres tu belanjanya sangat besar kerana melibatkan pengambilan tanah yang banyak dan kos yang tinggi untuk pembinaan jejambat. Ada baiknya jika ia dibina dengan gaya seperti Lebuh AMJ FT19 kerana kosnya tidak begitu tinggi tetapi masih boleh dipandu sederhana laju walaupun tidak selaju lebuh raya ekspres.

      Delete