Wednesday, September 18, 2013

Kembara Merdeka Sabah 2013 Part 8: Merentas 10 checkpoint imigresen dari Miri ke Sindumin / Passing 10 immigration checkpoints from Miri to Sindumin

Salam sejahtera dan Selamat hari Malaysia buat para pembaca setia Blog Jalan Raya Malaysia tak kira di Semenanjung, Sabah dan Sarawak!

Kali ini saya akan bawakan ringkasan mengenai proses imigresen yang perlu anda tempuhi jika anda ingin menggunakan jalan raya untuk memasuki Sabah dari Sarawak. Perjalanan dari Kuala Baram (dekat Miri) ke Sindumin sejauh 288 km mengambil masa lebih kurang 3 jam 40 minit, dan boleh jadi lebih 5 jam pada musim perayaan. Terima kasih diucapkan kepada blogger bumisepi.com kerana sudi memberikan tips perjalanan untuk dikongsi bersama.

Sepanjang perjalanan, anda akan melalui 10 checkpoint imigresen, iaitu:-
  1. Sungai Tujuh (Malaysia)
  2. Sungai Tujuh (Brunei)
  3. Kuala Lurah (Brunei)
  4. Tedungan (Malaysia)
  5. Padaruan (Malaysia)
  6. Kg. Puni (Brunei)
  7. Labu (Brunei)
  8. Mengkalap (Malaysia)
  9. Merapok (Sarawak)
  10. Sindumin (Sabah, berkongsi bangunan dengan kompleks imigresen Merapok, bermaksud perlu melalui 2 lapisan kaunter imigresen)
Sila ambil perhatian bahawa anda wajib membawa bersama pasport antarabangsa dan geran kenderaan jika anda ingin melalui jalan darat, kerana anda akan banyak melalui checkpoint imigresen. Visa tidak diperlukan bagi kenderaan dari Malaysia. Jika anda dari Sarawak tetapi tiada pasport dan ingin memasuki Sabah, maka saya nasihatkan agar anda menaiki pesawat sahaja dari Miri ke Kota Kinabalu, kerana anda hanya perlu mengemukakan kad pengenalan dan mengambil pas lawatan sosial 90 hari yang perlu diserahkan kembali semasa meninggalkan Sabah. Saya tidak pasti mengenai keperluan membeli insurans kenderaan Brunei jika sekadar merentasi Brunei untuk berulang-alik dari Sarawak ke Sabah kerana tidak dinyatakan, tetapi jika anda memang mahu berjalan-jalan di Brunei selama 2 hari atau lebih, ada baiknya anda membeli insurans Brunei.




Laluan ke Kompleks Imigresen Sungai Tujuh




Belok kanan untuk memasuki Jambatan Asean dan Kompleks Imigresen Sungai Tujuh




Kompleks Imigresen Sungai Tujuh (Malaysia)




Kompleks Imigresen Sungai Tujuh (Brunei)




Jambatan Asean




Plaza Tol Sungai Rasau

Dari pusat bandar raya Miri, hanya perlu gunakan jalan raya utama Miri-Kuala Baram FT1 (jalan raya kembar) dan seterusnya belok kanan dekat Kuala Baram untuk memasuki Jambatan Asean FT1 (jambatan tol, RM10) dan kompleks imigresen Kuala Lurah. Kaunter imigresen di sini adalah jenis pandu lalu, jadi tidak perlu turun dari kereta, sebaliknya anda perlu menyerahkan pasport untuk dicap dan mengisi borang kebenaran membawa masuk kenderaan (butiran yang perlu diisi boleh didapati dalam geran kenderaan). Simpan baik-baik borang kebenaran tersebut dan jangan hilangkan kerana anda perlu banyak keluar masuk Malaysia-Brunei sepanjang perjalanan ini. Di Plaza Tol Sungai Rasau, anda perlu membayar tol sebanyak B$3.




Keluar dari Lebuhraya Tutong-Muara di Persimpangan Tutong...




...dan belok kanan di Sengkurong

Seterusnya, jalan terus sehingga memasuki Lebuhraya Tutong-Muara dan keluar dari lebuh raya tersebut di Persimpangan Tutong (persimpangan bertingkat parclo) ke Jalan Tutong (arah Bandar Seri Begawan). Seterusnya, belok kanan di Sengkurong ke Jalan Mulaut-Limau Manis untuk ke Kuala Lurah. Petunjuk utama bagi simpang tersebut ialah ia terletak sebaik sahaja selepas pusingan U dekat Masjid Sengkurong semasa Jalan Tutong berubah menjadi jalan raya kembar. Jalan terus sehingga anda tiba di satu bulatan.




Jalan terus di bulatan pertama dan belok kanan di bulatan kedua untuk ke Kompleks Imigresen Kuala Lurah




Kompleks Imigresen Kuala Lurah (Brunei)




Kompleks Imigresen Tedungan (Malaysia)

Ada 2 bulatan di Kuala Lurah - ambil pusingan pukul 12 (jalan terus) di bulatan pertama dan ambil pusingan pukul 3 (belok kanan) di bulatan kedua untuk ke Kompleks Imigresen Kuala Lurah (Brunei) dan Kompleks Imigresen Tedungan (Malaysia). Sekali lagi, anda perlu menyerahkan pasport (untuk dicap) dan borang kebenaran membawa masuk kenderaan yang siap diisi (untuk diperiksa).




Belok kiri di Kampung Ungi




Simpang tiga ini amat mudah bagi yang datang dari arah Miri tetapi mengelirukan bagi yang datang dari arah Sabah




Belok kiri lagi di simpang Loji Air Laku

Seterusnya, jalan terus sehingga anda terjumpa simpang tiga lebih kurang 42 km dari Kompleks Imigresen Tedungan. Belok kiri di simpang tersebut, dan belok kiri lagi di simpang loji air Laku yang terletak beberapa kilometer dari simpang pertama tersebut.




Peta melalui bandar Limbang




Kompleks Imigresen Padaruan (Malaysia)

Perjalanan melalui Limbang agak mudah - belok kanan dekat KFC Limbang dan belok kiri di persimpangan lampu isyarat pusat bandar, kemudian ambil pusingan pukul 2 di bulatan pertama dan kedua. Jalan terus sehingga tiba di Kompleks Imigresen Padaruan (kompleks pandu lalu). Anda patut tahu apa yang anda patut anda lakukan di situ kerana prosesnya sama sahaja seperti di Kuala Lurah.




Peta laluan Padaruan-Kg. Puni




Feri sungai menyeberangi Sungai Padaruan




Pos Kawalan Puni. Anda wajib berhenti dahulu di sini untuk mengecap pasport...




...dan seterusnya mengecap borang kebenaran membawa masuk kenderaan di pos kastam di Kg. Puni




Keluar dari Brunei di Kompleks Imigresen Labu




Kompleks Imigresen Mengkalap (Malaysia)




Laluan sepanjang Labu-Mengkalap-Batang Trusan

Di Padaruan, anda terpaksa menggunakan feri sungai untuk menyeberangi Sungan Padaruan, yang mana tambangnya ialah RM8 atau B$4. Sebaik selepas menyeberangi Sungai Padaruan, pandu dengan perlahan-lahan dan penuh berhati-hati (lebih kurang 1 km) kerana anda mungkin akan terlepas bangunan kecil yang dijadikan Pos Kawalan Imigresen Puni. Tiada siapa akan menahan anda sekiranya anda terlajak, tetapi jika anda terlajak maka masalah akan timbul apabila di Kompleks Imigresen Labu kerana anda tidak dibenarkan untuk meninggalkan Brunei sehinggalah anda berpatah balik ke Pos Kawalan Puni dan menyerahkan dukumen-dokumen untuk dicap dan disahkan. Kompleks Imigresen Labu pula adalah kompleks sementara yang membolehkan anda pandu lalu untuk mengecap pasport, tetapi anda masih perlu berhenti untuk menyerahkan kembali borang kebenaran membawa masuk kenderaan kepada pegawai bertugas di dalam kabin. Sementara itu, Kompleks Imigresen Mengkalap di bahagian Malaysia pula 100% pandu lalu.

(Kemaskini: Projek Jambatan Pandaruan FT1 mula dibina pada 12 Mei 2012 dan sudah siap dibina. Ia bakal dibuka pada Januari 2014 setelah jalan penghubung ke Kompleks Imigresen baru Pandaruan siap)




Peta laluan bandar Lawas




Peta Merapok-Sindumin dan seterusnya Lebuhraya Papar-Sindumin FT1




Jambatan Batang Trusan. Asalnya ada feri sungai sebelum digantikan dengan jambatan konkrit - Sungai Padaruan bila lagi?
(Kemaskini: Jambatan Pandaruan FT1 sudah hampir siap)




Jambatan selorong yang menyeberangi Batang Lawas - sepatutnya digantikan dengan jambatan dua lorong
(Kemaskini: Jambatan gantung dua lorong kini sedang dibina bagi menggantikan jambatan selorong ini)




Kompleks Imigresen Merapok/Sindumin berkongsi bangunan yang sama, bermakna ada dua lapis pemeriksaan imigresen di kompleks yang sama




Di Bulatan Sindumin, ambil pusingan pukul 3 (belok kanan) untuk ke Kota Kinabalu melalui Lebuhraya Papar-Sindumin FT1

Bahagian terakhir yang anda perlu lalui ialah Lebuhraya Lawas-Merapok-Sindumin FT1. Hanya perlu belok kanan di simpang tiga dekat balai bomba Lawas. Seterusnya, pandu dengan berhati-hati kerana jambatan yang menyeberangi Batang Lawas ialah jambatan selorong sahaja. Akhir sekali, ambil pusingan pukul 3 (belok kanan) di Bulatan Merapok untuk ke Kompleks Imigresen Merapok/Sindumin. Anda perlu melalui 2 lapisan pemeriksaan imigresen dan perlu menyerahkan pasport dan geran kenderaan untuk dicap dan disahkan. Seterusnya, sebaik tiba di Bulatan Sindumin, ambil pusingan pukul 3 (belok kanan) untuk ke Sipitang, Beaufort, Papar dan Kota Kinabalu melalui Lebuhraya Papar-Sindumin FT1, Jalan Pengalat-Lok Kawi A25 dan Jalan Putatan FT1.

Semua kredit gambar oleh: bumisepi.com

2 comments:

  1. Kancil sampai Lawas je...macam teringin nak ke brunei ikut jalan darat

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya pun teringin juga... Cikgu Kancil ke Lawas perlu pakai passport jugak kan?

      Delete