Tuesday, September 3, 2013

Apa Kejadahnya: Kenaikan harga minyak - kegagalan nasional / What The Hell: Fuel price hike - the national failure



Pesta naik harga minyak di stesen minyak sepanjang malam tadi (2 September 2013) setelah kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak kepada RM2.10 hari ini (gambar oleh: Sinar Harian)

Salam sejahtera,

Tengah malam tadi, buat pertama kalinya dalam tempoh 3 tahun, harga petrol RON95 dinaikkan sebanyak 20 sen kepada harga baru RM2.10 seliter. Keputusan menaikkan harga minyak adalah berikutan beban subsidi bahan api yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan iaitu hampir RM1 bagi seliter bahan api (petrol dan diesel) - lebih kurang separuh daripada harga petrol yang dijual sekarang - sekaligus menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang menanggung subsidi bahan api antara yang tertinggi di dunia.

Saya faham, kerajaan terpaksa menaikkan harga bahan bakar bagi mengurangkan beban kewangan negara akibat terus menanggung subsidi petrol dan diesel. Namun, apa yang saya amat kesalkan kerana harga minyak naik pada masa yang tidak sepatutnya. Ekonomi negara masih lagi lembap. Harga barangan keperluan terus meningkat naik. Tarif elektrik sudah pun naik, yang hanya menguntungkan syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) kroni tetapi merugikan rakyat dan Petronas. Namun, gaji tak juga naik-naik bagi yang bekerja di syarikat swasta! Mana perginya "transformasi ekonomi" yang dilaung-laungkan selama ini? Setakat bagi BR1M itu berapalah sangat berbanding beban kos sara hidup yang sangat tinggi sekarang - kerajaan sepatutnya perlu mengambil pendekatan menyeluruh dan holistik untuk mengurangkan beban peningkatan kos sara hidup seperti memperkasa sistem pengangkutan kereta api dan memberi insentif kepada syarikat-syarikat dan pengeluar makanan (termasuk petani dan peladang) untuk menggunakan pengangkutan kereta api bagi mengangkut barangan keperluan asas rakyat. Selain itu, pengangkutan awam masih lagi di takuk lama, sungguhpun sudah banyak kerja-kerja pembinaan transit aliran massa (MRT) dan pemanjangan landasan transit aliran ringan (LRT) sedia ada.

Buat kesekian kalinya pembangkang mengambil kesempatan mempolitikkan isu harga minyak naik bagi mendapatkan sokongan, sekaligus menyalahkan Barisan Nasional dan para pengundinya sebagai punca kenaikan harga minyak, sedangkan harga minyak di seluruh dunia memang sudah naik - kalau ada turun pun ia tidak mungkin boleh jadi semurah dahulu, berikutan kepesatan industri automotif dan lebuh raya ekspres di China yang menyumbang kepada peningkatan bahan api yang mendadak di sana.. Memang benar Pakatan Rakyat membuat homework berkaitan isu harga minyak ini, tetapi homework yang dilakukan itu selalunya hanyalah membandingkan harga Malaysia dengan negara-negara pengeluar minyak lain dan juga "rompakan wang rakyat" oleh para pemimpin dan "kroni-kroni" mereka, tanpa membuat sebarang homework mengenai beban subsidi dan perbelanjaan pembangunan yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan dengan kutipan hasil cukai pendapatan yang begitu terhad kerana majoriti rakyat berada dalam kumpulan yang tidak membayar cukai pendapatan. Mungkin ada macai-macai yang akan mempertikaikan fakta ini dengan mendakwa kononnya rakyat banyak membayar cukai-cukai lain seperti cukai import dan eksais kereta, saman trafik, saman AES, beli kereta Proton dsb. Saya ingin menegaskan di sini bahawa rakyat hanya membayar cukai import dan eksais kereta sekali sahaja semasa membeli kereta baru (kecuali kereta terpakai yang diimport); kereta terpakai tidak dikenakan cukai-cukai tersebut dan harganya hanyalah mengikut susut nilai masing-masing. Tentang saman trafik dan saman AES, kalau dah tahu marah bila disaman, ikutlah peraturan jalan raya dan janganlah buat perangai haram jadah seperti melanggar lampu merah! Tentang kereta Proton pula, membeli kereta Proton sebenarnya sama sahaja seperti membeli kereta jenama lain, tak ada beza langsung kecuali ketiadaan cukai import. Kereta Proton pun dikenakan cukai eksais, cukai jualan dan cukai jalan seperti kenderaan lain. Proton Holdings Berhad pun tetap dikenakan cukai pendapatan korporat sebagaimana syarikat-syarikat lain, tiada pengecualian. Maka, Pakatan Rakyat sepatutnya turut memikirkan cara untuk meningkatkan pendapatan negara dan mengurangkan beban tanggungan subsidi, bukannya sekadar menghabiskan wang rakyat semata-mata untuk menurunkan harga minyak kepada beberapa sen lagi, sedangkan wang berbilion-bilion ringgit yang dibelanjakan untuk subsidi sepatutnya boleh digunakan untuk membina beberapa batang lebuh raya ekspres yang panjang serta ratusan buah sekolah. Nak buat kajian dan homework biar menyeluruh dan bukannya di peringkat permukaan sahaja; bak kata pepatah, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Sepatutnya, fikirkan masalah kenaikan harga bahan bakar sebagai masalah negara dan masalah rakyat, bukannya "perbahasan" (baca: sembang) politik antara Barisan Nasional vs Pakatan Rakyat!

Sekali lagi saya ingin menyelar sekeras-kerasnya Dasar Automotif Nasional (NAP) yang caca-marba dan tiada hala tuju itu, selain daripada sekadar melindungi Proton dan Perodua semata-mata. Mana perginya sasaran untuk mengurangkan kandungan karbon dioksida dalam gas ekzos? Mana perginya sasaran untuk mengurangkan kadar penggunaan bahan api? Semua itu langsung tak ada disebut dalam NAP yang dirangka secara cincai setebal 6 muka surat sahaja. Lihat sajalah di Thailand dan India, mereka ada menyediakan insentif bagi pembangunan kenderaan mesra alam yang jimat minyak, yang mana Mitsubishi Mirage, Mitsubishi Attrage dan Honda Brio merupakan antara produk yang terhasil daripada insentif tersebut. Adakah kita mempunyai insentif seumpamanya di Malaysia? Langsung tak ada!

Lihat sajalah piawaian emisi kuno yang masih lagi kita pakai sehingga sekarang. Sekarang sudah zaman Euro 5 (Euro 3 bagi motosikal), tapi kita masih lagi menggunakan piawaian Euro 2 yang sudah terlalu lapuk sejak tahun 1997. Sebab itulah Proton menjadi syarikat automotif yang mengeluarkan model kereta berkarburetor terakhir di Malaysia iaitu Proton Saga LMST (aka Proton Saga "kereta kebal") sebelum Proton Saga BLM yang menggunakan pancitan bahan api dikeluarkan pada tahun 2008. Sementara itu, Honda telah mengeluarkan motosikal kapcai pancitan bahan api pertama di dunia iaitu Honda Wave 125i pada tahun 2003, tetapi hanya selepas 10 tahun barulah motosikal kapcai pancitan bahan api mula dikeluarkan di Malaysia - itu pun keluaran Modenas dan bukannya Honda! Apa kejadahnya semua ini? Nama sahaja ada syarikat kereta nasional dan motosikal nasional, tapi negara makin jauh ketinggalan dalam bidang automotif! Di Thailand dan sekarang di Indonesia, motosikal kapcai di sana sudah mula diwajibkan untuk menggunakan sistem pancitan bahan api - Malaysia ada ke? Sungguh memalukan!

Kita sebagai rakyat Malaysia (terutamanya penduduk Lembah Klang) pun satu hal juga. Ramai di kalangan kita yang cuma tahu bising dan sembang kosong sahaja bila harga minyak naik, tetapi dalam masa yang sama pula langsung tidak mahu mengubah gaya hidup sesuai dengan kenaikan harga minyak. Dah tahu minyak mahal, tol mahal, petak parkir susah nak cari, tapi masih lagi berdegil hendak memandu kereta seorang sebuah. Kalau naik kereta tapi berkongsi dengan jiran-jiran dan kawan-kawan untuk ke tempat kerja, tak apa juga. Yang naik motor pula dihina dan dinafikan hak mereka (dengan gaya pemanduan macam haram jadah), sedangkan mereka itulah yang sedikit sebanyak membantu mengurangkan permintaan minyak (dan seterusnya menangguhkan kenaikan harga minyak) agar harga minyak kekal murah. Dah ada stesen LRT pun tak nak gunakan, meskipun stesen LRT betul-betul terletak di depan rumah dan depan pejabat! 

Saya faham, zaman sekarang kereta merupakan satu keperluan, tetapi itu pun hanya sebuah kereta bagi setiap keluarga dengan 3 orang anak ke bawah. Kalau dalam keluarga ada 4 orang anak atau lebih, tak apa juga kalau ada 2 buah kereta. Tetapi rata-rata setiap rumah di serata Lembah Klang mempunyai 2-3 buah kereta, atau mungkin lebih - termasuk rumah bujang - dan kesemua kereta tersebut digunakan sekaligus ketika hendak pergi pekerja. Sebab itulah jalan raya makin sesak. Pemandu pun makin ramai yang kurang sabar dan kurang ajar. Udara pun makin tercemar. Akibatnya kemalangan jalan raya semakin menjadi-jadi. Ribut petir pun semakin kerap dan semakin menggila. Banjir kilat pun semakin kerap. Bila dah banjir, pandai pula hendak salahkan Terowong SMART, tetapi tabiat dan pemikiran sendiri yang tak "smart" tapi dangkal itu tidak pula disalahkan!

Kesimpulannya, kenaikan harga minyak pada hari ini merupakan satu bukti kegagalan nasional yang menyeluruh untuk bersiap-siaga menghadapinya. Ia kegagalan kerajaan dalam menguatkuasakan dasar-dasar penjimatan bahan api bagi industri automotif serta kegagalan kerajaan dalam menyediakan infrastruktur pengangkutan awam mencukupi dan menyeluruh sebagai persediaan awal kepada rakyat. Ia juga satu kegagalan buat industri automotif negara kerana pembangunan teknologi automotif yang masih di takuk lama dan ketinggalan zaman berbanding negara-negara serantau yang lain. Ia juga satu kegagalan buat rakyat Malaysia kerana kita gagal mengubah pemikiran, mentaliti dan cara hidup kita untuk disesuaikan dengan trend kenaikan harga minyak dan kos sara hidup. Tahun 2020 sudah tinggal kurang daripada 7 tahun sahaja lagi untuk mencapai sasaran "negara maju", tetapi masih ramai di kalangan rakyat Malaysia yang mentalitinya masih lagi di zaman batu. Ulat di celah-celah batu pun boleh hidup, inikan pula kita manusia yang dikurniakan akal fikiran. Ingatlah, negara yang maju ialah negara yang rakyatnya hanya perlu berlenggang-kangkung ke pejabat tanpa bergantung kepada kereta.



(Nota: Siri jelajah Kembara Merdeka Sabah 2013 akan bersambung selepas entri ini.)



PERINGATAN: Segala penulisan oleh Blog Jalan Raya Malaysia adalah bersifat neutral tanpa memihak kepada mana-mana parti politik, sebaliknya ditulis dalam sudut pandangan sebagai pengkritik jalan raya. Oleh itu, sebarang komen berbaur sentimen politik akan dibuang dengan serta-merta.

No comments:

Post a Comment