Saturday, September 7, 2013

Kembara Merdeka Sabah 2013 Part 5: Lebuhraya Tamparuli-Ranau FS22 / Tamparuli-Ranau Highway FS22

Salam sejahtera,

Kali ini saya ingin bawakan kepada anda satu kisah pengembaraan paling menyeronokkan sepanjang percutian saya di Sabah, iaitu pengembaraan di sepanjang Lebuhraya Tamparuli-Ranau FS22, yang merupakan sebahagian komponen Lebuhraya Pan Borneo AH150. Pada rancangan asal, saya ingin memandu ke Tawau, tetapi akibat kekangan masa dan juga bajet (kerana memerlukan tambahan kos penginapan, memandangkan masa perjalanan dari Kota Kinabalu ke Tawau adalah sangat lama dan tidak mungkin boleh balik hari) saya terpaksa memendekkan perjalanan sehingga setakat Ranau sahaja - atau lebih spesifik lagi, Kampung Nalapak yang menempatkan Ladang Teh Sabah. Kalau sudah tengah hari baru setakat sampai di Tamparuli, silap-silap bila sudah tengah malam baru sampai di Lahad Datu - masih jauh lagi! Tak apalah, lain kali saya pasti akan kembali semula ke Sabah bagi melengkapkan koleksi reviu-reviu jalan raya menarik di sana buat tatapan anda semua.

Lebuhraya Tamparuli-Ranau sejauh 72 km merupakan jajaran terakhir bagi Jalan Kota Kinabalu-Sandakan FS22. Ia mula dibina sebaik sahaja jajaran dari Telupid ke Ranau siap dan dibuka kepada lalu lintas pada tahun 1970an dan siap pada tahun 1982. Tidak seperti jajaran dari Sandakan ke Ranau, jajaran dari Tamparuli ke Ranau tidak termasuk dalam Projek Jalan Raya Malaysia-Australia yang hanya merangkumi jajaran dari Sandakan ke Ranau sahaja. Sebaliknya, Makcik Dayang Siti Zaleha memberitahu saya bahawa jajaran terakhir kali ini adalah usaha sama dengan kontraktor dari Jepun pula, memandangkan Jepun lebih berkemahiran membina jalan-jalan raya pergunungan seperti Lebuhraya Tamparuli-Ranau FS22 ini.

Titik permulaan sebenar (atau sepatutnya disebut sebagai "kilometer terakhir", memandangkan jarak bagi Jalan Persekutuan 22 ini dikira dari Sandakan) bagi Lebuhraya Tamparuli-Ranau ini terletak di Bulatan Tamparuli dan bukannya di Bulatan Berungis seperti yang dilabelkan dalam sesetengah peta termasuklah peta GPS oleh Malfreemaps. Sebaik sahaja memasuki lebuh raya ini, pendakian merentasi Banjaran Crocker terus bermula.

Sepanjang lebuh raya ini ada banyak naik turun cerun yang curam (dengan kecerunan antara 5-10%), meskipun tidaklah securam Lebuhraya Kimanis-Keningau. Sebab itulah ada banyak lorong memotong disediakan di sepanjang laluan. Namun, jika terserempak dengan kenderaan-kenderaan perlahan seperti lori berat, jenuh juga hemdak menunggu dengan sabar sehingga keadaan benar-benar mengizinkan untuk memotong sama ada di lurusan ataupun di lorong memotong. Itulah satu sebab utama kenapa laluan ini sibuk dengan kenderaan, kerana ramai di kalangan penduduk di sepanjang jalan raya ini seperti di Nabalu, Kundasang dan Ranau yang berulang-alik ke Kota Kinabalu, di samping pemandu luar yang hendak ke destinasi yang lebih jauh seperti Sandakan dan Tawau. Lurusan di sesebuah jalan raya pergunungan adalah sangat pendek, jadi pemasaan yang baik adalah sangat penting, di samping kenderaan yang cukup berkuasa untuk memotong dalam jangka masa yang pendek. Di sinilah saya berupaya menguji kehebatan sebenar Proton Saga BLM yang ditenagai enjin Campro 1.3L sekuat 94 kuasa kuda yang merupakan enjin 1.3L pernafasan biasa (NA) paling berkuasa dalam kelasnya. Sebaik sahaja keadaan mengizinkan untuk memotong, deruman enjin Campro 1.3L bagaikan seekor harimau perkasa dan enjin tersebut terbukti sangat gagah mendaki banjaran gunung yang menempatkan Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Malaysia. Sungguhpun demikian, saya hanya mengehadkan kelajuan pemanduan sekitar 60 km/j sebagai kelajuan selamat sepanjang melalui jalan raya pergunungan ini.

Perjalanan melalui FS22 ini begitu mengasyikkan, sungguhpun jarak antara Tamparuli dengan pekan pertama yang dilalui FS22 ini iaitu Nabalu ialah hampir 40 km. Sebelum itu, persimpangan utama yang pertama di sepanjang Lebuhraya Tamparuli-Ranau FS22 ialah simpang Jalan Kota Belud-Ranau, dan jaraknya dari Bulatan Tamparuli ialah lebih kurang 26 km. Jalan tersebut membolehkan orang-orang Kota Belud yang majoritinya berketurunan Bajau memandu ke Ranau dan Sandakan dengan lebih cepat dan lebih mudah tanpa perlu melalui Tuaran dan Tamparuli.

Sepanjang perjalanan, saya dapat rasakan ada dua perkara yang tidak kena pada kereta Proton Saga BLM ini. Pertama, saya dapati breknya seakan kurang menggigit, dan yang kedua ialah sistem logik kecerunan pada transmisi automatik Mitsubishi Invecs yang digunakan pada Proton Saga ini seakan tidak berfungsi seperti yang diharapkan. Ia tidak menurunkan gear secara automatik seperti yang saya harapkan semasa di selekoh tajam dan cerun curam! Dua perkara tersebut sudah tentu menggusarkan kami, memandangkan pada masa itu sedang heboh dengan berita bas persiaran yang terjunam ke dalam gaung di Genting Highlands angkara pemandunya yang memandu bas yang mengalami kerosakan brek itu dengan laju. Di Sabah pula, kejadian kemalangan maut melibatkan sebuah bas pelancongan yang membawa pelancong Brunei yang berlaku di jalan ini dua tahun lalu masih segar di ingatan. Sungguhpun demikian, hasil pengalaman saya menggunakan jalan raya pergunungan termasuklah jalan raya berturap tertinggi di Malaysia, saya sudah pun bersedia sejak awal-awal lagi. Setiap kali sebelum mengambil selekoh, tombol gear ditolak ke posisi D3 untuk mendapatkan brek enjin supaya dapat mengurangkan kebergantungan terhadap brek biasa dan menukar semula ke posisi D sebaik selepas mengambil selekoh. Begitu juga setiap kali menuruni cerun yang curam, saya menurunkan posisi tombol gear kepada D3 dan kembali ke D sebaik melepasi cerun curam. Hanya setelah saya banyak bermain dengan tombol gear barulah saya benar-benar yakin untuk mencuba Lebuhraya Kimanis-Keningau pada masa akan datang kelak. Keesokan paginya, saya menelefon pengusaha kereta sewa untuk memintanya menukar kasut brek yang bermasalah itu.

Pekan Nabalu merupakan pekan pertama di sepanjang jalan ini. Ia terkenal sebagai salah satu pusat kraftangan utama di Sabah. Terdapat banyak kedai yang menjual cenderamata di situ. Selain itu, pekan Nabalu juga menawarkan panorama Banjaran Crocker yang sungguh indah. Kami meneruskan perjalanan dan tidak singgah di situ kerana kesuntukan masa.

Pendakian yang lebih curam bermula. Kelibat Gunung Kinabalu semakin jelas kelihatan. Lokasi seterusnya ialah di Bundu Tuhan, yang turut menyaksikan panorama yang menarik semasa cuaca berkabus. Namun, kami tidak singgah di situ memandangkan cuaca pada hari tersebut yang begitu panas sehinggakan tiada kabus terbentuk.

Taman Kinabalu pula terletak hanya 2 km sahaja dari Bundu Tuhan. Setelah jauh mengembara, kami mengambil keputusan untuk melawat Taman Kinabalu - bukan untuk mendaki Gunung Kinabalu tetapi untuk bersiar-siar. Setelah melalui jalan lingkaran utama di taman tersebut, saya cuba mendaki di sepanjang jalan ke Pintu Timpohon yang menjadi tempat utama bagi menurunkan para pendaki gunung dengan kenderaan. Jalan itu merupakan jalan selorong yang sangat curam sehingga ada kalanya saya terpaksa turun menggunakan gear 1 untuk mendaki dan menuruninya! Memang curam gila! Setelah kami kembali semula ke pintu masuk, kami meneruskan perjalanan ke Kundasang.

Jarak dari Taman Kinabalu ke Kundasang hanya 6 km sahaja. Kundasang boleh dikatakan sebagai syurga sayur-sayuran dan buah-buahan di Sabah. Malah, saya boleh membandingkannya dengan Cameron Highlands di Pahang. Namun, ada beberapa perbezaan mengenai industri pertanian di Kundasang jika dibandingkan dengan di Cameron Highlands - Kundasang mempunyai lebih banyak varieti tanaman iaitu sayur-sayuran, buah-buahan dan padi huma, sedangkan di Cameron Highlands pula industri pertanian lebih tertumpu kepada penanaman strawberi, sayur-sayuran, bunga dan teh. Dari segi teknologi pertanian dan pembungkusan hasil produk pertanian, Kundasang masih lagi menggunakan kaedah tradisional. Padi huma diproses tanpa dibuang lapisan perangnya, menjadikannya seakan-akan beras perang. Sementara rasa beras perang selalunya tidak begitu sedap tetapi bagus sebagai sumber utama Vitamin B kompleks, saya pernah mencuba menanak nasi padi huma dan saya dapati rasanya sama seperti nasi putih biasa. Selain beras padi huma, kami turut membeli sedikit strawberi yang juga ditanam di Kundasang. Selain daripada buah-buahan, padi huma dan sayur-sayuran, Ranau sebenarnya ada ladang ternakan lembu tenusu.

Memandangkan badan sudah berasa sedikit penat, maka kami mengambil kesempatan untuk minum petang sebentar di Kundasang. Makcik Dayang Siti Zaleha mengatakan bahawa pekan Kundasang sekarang jauh lebih maju daripada dulu, dan saya turut mengakuinya - sekarang sudah ada KFC di Kundasang!

Selepas berehat sebentar sambil minum petang, kami meneruskan perjalanan ke Ranau yang jaraknya hanya 14 km dari Kundasang. Ranau boleh dikatakan sebagai bandar kedua terbesar yang dilalui Jalan Persekutuan 22 selepas Sandakan. Ia juga merupakan bandar tanah tinggi terbesar di Malaysia, dengan jumlah penduduk seramai lebih kurang 94 ribu orang yang mendiami daerah tersebut yang terletak pada ketinggian lebih kurang 1,176 meter dari aras laut.. Selain Jalan Persekutuan 22, Ranau turut dihubungkan ke Tambunan dan Keningau melalui Jalan Ranau-Tambunan SA2. Ada yang mengatakan bahawa jalan tersebut merupakan jalan raya paling teruk di Sabah, berikutan kekerapan berlakunya tanah runtuh serta kadar pembaikan jalan yang sangat lambat. Saya tidak tahu keadaan jalan tersebut sekarang, jadi lain kalilah.

Seterusnya, kami pergi ke Kampung Nalapak yang terletak hanya beberapa kilometer dari Ranau kerana di situlah terletaknya Ladang Teh Sabah. Asalnya, ladang teh tersebut merupakan milik kerajaan negeri Sabah sebelum ia bertukar tangan kepada Yee Lee Corporation pada tahun 1997. Sejak ia dimiliki oleh Yee Lee Corporation, promosi produk Teh Sabah dijalankan dengan agresif sehinggakan ia turut terkenal di Semenanjung. Apa yang menariknya mengenai Teh Sabah ialah ia tidak menggunakan sebarang racun makhluk perosak. Sungguhpun pada awalnya kami teruja hendak melawat ladang teh tersebut, kami membatalkannya pada saat-saat akhir kerana untuk masuk ke ladang teh berkenaan, kami perlu melalui sebatang jalan batu kerikil yang sangat curam. Saya tidak begitu yakin untuk memandu di atas jalan sebegitu kerana takut boleh hilang kawalan - lainlah kalau saya memandu sebuah kenderaan pacuan 4 roda! Sayang betul!

Kami mengambil keputusan untuk pulang ke Kota Kinabalu. Saya dapati perjalanan pulang pula lebih cepat berbanding perjalanan pergi tadi. Kenapa boleh jadi sedemikian? Saya berpendapat mungkin kerana saya sudah pun cepat membiasakan diri dengan jalan FT22 ini tetapi Makcik Dayang Siti Zaleha memberitahu saya bahawa masyarakat Sabah percaya bahawa pada perjalanan pergi bagi pelancong kali pertama, ia akan menjadi lambat kerana kononnya pokok-pokok di sepanjang jalan "memberi salam" kepada orang baru tersebut, dan semasa pulang pula pokok-pokok tersebut "mengucapkan selamat jalan". Begitu kuat hubungan antara orang-orang Sabah dengan alam semulajadi. Kami tiba di Kota Kinabalu pada sekitar pukul 6.20 petang, tetapi keadaan sudah gelap seperti pukul 7.30 petang di Semenanjung.

Secara amnya, pengalaman saya memandu di sepanjang jalan ini sangat menyeronokkan. Terdapat banyak pemandangan indah di sepanjang perjalanan yang menjadikan pemanduan tidak membosankan. Jalan ini secara amnya dibina mengikut piawaian JKR R4 dengan lebar lorong 3.25 m, menjadikan had laju selamat di sepanjang jalan ini ialah 60 km/j. Sepanjang perjalanan, saya dapati keadaan jalan dari Ranau ke Tedupid (saya hanya melaluinya sehingga ke Kampung Nalapak sahaja) kurang baik berbanding jajaran lain, berikutan terdapat bahagian mendap. Apa pun, pengalaman menggunakan jalan ini sememangnya sangat berharga - rugi kalau anda datang ke Sabah tanpa mencuba jalan ini!

Ikuti perjalanan hari berikutnya di Jalan Pengalat-Lok Kawi-Papar Spur A25 pula.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.







Jarak dari Tamparuli ke Ranau ialah 72 km






Sejak Lebuhraya Tamparuli-Ranau FT22 dibuka, ia sudah banyak kali dilakukan pengukuhan cerun kerana berisiko mengalami tanah runtuh






Melalui rumpun buluh






Turapan segar pada salah satu lorong memotong di sini






Simpang masuk ke Jalan Kota Belud-Ranau






Pekan Nabalu






Kelibat puncak Gunung Kinabalu semakin jelas kelihatan






Menuju ke Bundu Tuhan






Taman Kinabalu






Kampung-kampung dan kebun-kebun sayur di Lembah Kundasang






Pekan Kundasang adalah antara pekan yang sangat cepat menjadi maju hasil pembukaan Lebuhraya Tamparuli-Ranau. Di sini ada bank...






...dan ada restoran KFC!






Antara gerai-gerai yang menjual produk-produk pertanian di Kundasang






Strawberi Kundasang






Stesen Petronas Ranau menunjukkan bahawa kami hampir tiba di Ranau






Kedai motosikal di Ranau






Balai polis Ranau






Bulatan Ranau untuk ke pusat bandar Ranau






Antara pejabat-pejabat kerajaan di Ranau






Simpang ke Jalan Ranau-Tambunan SA2

2 comments:

  1. wah....kalau pergi Tawau lagi best...lebih2 lagi kawasan Lahad Datu...apapun tahniah...mengapa ndak singgah di Sg Moroli...dekat dengan pintu masuk ladang teh sabah tu...ikan2nya besar dan jinak...

    jom singgah ke entri Kancil

    http://kancil8349.blogspot.com/2013/06/tagal-sg-moroli-kampung-luanti-baru.html

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hahaha... memang rugi sangat tak berkesempatan untuk drive sampai ke Tawau... masih ada banyak tempat menarik yang saya sudah terlepas... rugi sangat... apa pun terima kasih banyak-banyak Cikgu Kancil kerana sudi singgah di blog ini dan memberikan cadangan tempat-tempat menarik lain di Sabah. Insya-Allah saya pasti kembali semula ke Sabah dan berkunjung ke tempat-tempat tersebut.

      Jadi pengajaran yang patut saya ambil:-

      1.) Kalau alang-alang nak memandu di Sabah, setakat 4 hari memang tak cukup, kena ambil cuti sekurang-kurangnya seminggu baru puas nak berjalan-jalan
      2.) Kalau nak memandu dari KK ke Tawau, wajib bertolak sebaik sahaja selepas solat Subuh. Jauh tu! Jarak perjalanan lebih kurang 550 km (lebih kurang sama seperti jarak JB ke Ipoh melalui Lebuhraya Utara-Selatan E2 dan E1), tapi masa perjalanan pula sangat lama, lebih kurang 9-10 jam
      3.) Kena rancang perjalanan sebaik-baiknya dan mula menyimpan dari awal!

      Delete