Sunday, August 25, 2013

Memandu terlalu laju, banyak guna brek dan tidak guna gear rendah punca nahas Genting Highlands / Driving too fast, heavily relying on brakes and never use low gear caused the Genting Highlands crash



Nahas bas di Genting Highlands pada 21 Ogos 2013 yang mengorbankan seramai 33 orang
(Kredit gambar: Blog Ammar)





Salam sejahtera,

Terlebih dahulu Blog Jalan Raya Malaysia mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa nahas bas persiaran di KM3.5 Jalan Genting Highlands-Genting Sempah pada petang 21 Ogos 2013. Pada masa itu saya baru sahaja tiba di Kota Kinabalu untuk bercuti sambil mengambil kesempatan untuk mengadakan beberapa siri reviu jalan raya di Sabah. Nahas yang disifatkan sebagai nahas bas terburuk dalam sejarah negara itu telah mengorbankan seramai 33 orang termasuk pemandunya. Menurut mangsa yang terselamat, kemalangan berpunca daripada sikap pemandu yang memandu secara berbahaya sehingga bas hilang kawalan. Nampaknya pemandu tersebut langsung tidak mengambil iktibar daripada beberapa siri kemalangan di jalan raya pergunungan terutamanya yang melibatkan bas ekspres.

Tidak lama dahulu, kita dikejutkan dengan kemalangan yang melibatkan kereta Proton Satria dari arah Bukit Antarabangsa yang hilang kawalan lalu melanggar sebuah Perodua Viva di Jalan Lingkaran Tengah 2 FT28 sehingga menyebabkan kerangka Perodua Viva tersebut terkoyak dan kesemua penumpang serta pemandunya mati serta-merta.




Sentiasa gunakan gear rendah untuk menuruni jalan raya pergunungan dengan selamat


Jadi apa persamaan antara kedua-dua nahas tersebut? Kedua-dua nahas tersebut berkongsi punca yang sama, iaitu memandu laju semasa menuruni bukit sehingga menyebabkan kenderaan hilang kawalan apabila sistem brek mengalami kegagalan.

Justeru, setiap kali anda menggunakan sebarang jalan raya pergunungan, anda wajib fardhu ain mematuhi peraturan ibu jari berikut:-
  1. Pastikan bunga tayar dan kasut brek masih tebal
  2. Pastikan brek berfungsi dengan sempurna
  3. Pandu lebih perlahan daripada biasa
  4. Sentiasa lebih banyak bergantung kepada gear rendah dan bukannya brek bagi mengawal kenderaan
Kita seharusnya sedar bahawa memandu di jalan raya pergunungan sememangnya jauh berbeza daripada memandu di jalan raya yang rata. Di jalan raya yang rata, pemandu hanya perlu menangani tenaga kinetik dan daya geseran, tetapi di jalan raya pergunungan pula pemandu juga perlu menangani tenaga keupayaan yang terhasil akibat perbezaan ketinggian. Dengan kata lain, semakin curam sesebuah jalan, maka semakin kuat kuasa membrek yang diperlukan. Namun, kita tidak boleh terlalu berharap kepada brek semata-mata kerana membrek secara berterusan akan mengakibatkan brek lampau panas dan seterusnya sistem brek akan gagal. Sebaliknya, kita perlu lebih banyak bergantung kepada brek enjin, iaitu dengan menggunakan gear rendah bagi membolehkan enjin memperlahankan kenderaan. Sungguhpun demikian, bagi membolehkan brek enjin digunakan dengan lebih cekap, bunga tayar perlu dipastikan tebal kerana jika tayar botak digunakan, tayar akan hilang cengkaman terutamanya semasa hujan.

Malangnya, masih ramai pemandu yang masih lagi bersikap takbur dan bodoh sombong, dan tetap memandu laju di kawasan pergunungan, meskipun sudah banyak berita kemalangan seumpamanya yang disiarkan di dada akhbar dan kaca televisyen. Pemandu kenderaan yang menggunakan transmisi automatik juga tidak terkecuali; meskipun kebanyakan kenderaan transmisi automatik terkini dilengkapi dengan sistem logik kecerunan (grade logic) yang menurunkan gear secara automatik semasa mendaki atau menuruni cerun curam, ada kalanya sistem logik kecerunan tersebut tidak berfungsi seperti yang diharapkan. Sebab itulah kawalan manual tetap disediakan supaya pemandu boleh memaksa transmisi automatik untuk menurunkan gear secara manual jika keadaan yang tidak diingini berlaku.

Kenapa saya perlu berpesan-pesan mengenai perkara ini? Pengalaman saya memandu telah mengajar saya sedemikian. Semasa saya di Sabah, saya menyewa sebuah kereta Proton Saga BLM transmisi automatik untuk digunakan di sana. Kotak gear automatik Mitsubishi Invecs pada Proton Saga itu sepatutnya dilengkapi dengan sistem logik kecerunan, tetapi entah kenapa sistem logik kecerunan itu tidak berfungsi semasa saya mencuba Lebuhraya Tamparuni-Ranau FT22 yang mempunyai banyak naik turun cerun curam; kotak gear tidak menurunkan gear ke gear 3 secara automatik semasa menuruni bukit curam bagi mendapatkan brek enjin, maka saya terpaksa banyak bermain dengan tombol gear antara posisi D dengan D3 di sepanjang perjalanan. Tambahan pula, brek hadapan pada masa tersebut juga kurang makan dan berbunyi kuat akibat kasut brek retak.




Tanjakan kecemasan lori seperti di Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102 ini boleh membantu memberhentikan kenderaan yang hilang kawalan akibat kegagalan sistem brek dengan selamat


Jika kenderaan hilang kawalan akibat kegagalan brek, apa patut dilakukan? Pertama sekali, cuba gunakan brek tangan untuk memperlahankan dan memberhentikan kereta. Jika brek tangan pun tak makan, tukar ke gear satu (atau posisi L bagi transmisi automatik). Enjin mungkin akan meraung kuat, tetapi ia jauh lebih baik daripada ada nyawa yang melayang. Jika kenderaan masih tidak dapat dikawal, tindakan drastik yang boleh anda gunakan ialah dengan mematikan kunci penyalaan, tetapi lakukan ini hanya di lurusan sahaja. Jika jalan tersebut ada tanjakan kecemasan lori, gunakanlah tanjakan tersebut supaya kenderaan anda boleh diberhentikan dengan selamat.

Kesimpulannya, jika memandu di jalan raya pergunungan, pemandu mestilah memandu pada kelajuan yang lebih rendah agar kenderaan lebih selamat dikendalikan. Jika selama ini kita memandu pada kelajuan 90 km/j di jalan raya yang rata, kelajuan pemanduan yang selamat di jalan raya pergunungan mestilah sekitar 50-60 km/j. Untuk memperlahankan kenderaan pula, kita mestilah lebih banyak bergantung kepada gear rendah daripada brek enjin untuk mengelakkan daripada nahas yang berpunca daripada kegagalan sistem brek. Akhir kata, ingatlah orang yang tersayang.

1 comment: