Tanjakan kecemasan lori di Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102
Salam sejahtera,
Apa khabar seluruh pemandu lori pada hari ini? Saya harap anda semua dalam keadaan sihat sejahtera, meskipun sibuk dengan penghantaran barangan setiap hari. Juga pastikan anda sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan untuk kenderaan berat iaitu antara 70-80 km/j di jalan raya biasa (bukan 90 km/j ya!) dan antara 80-90 km/j di lebuh raya ekspres (bukan 110 ya!). Saya betul-batul tabik kepada pemandu kenderaan berat yang mematuhi had laju kenderaan berat ini. Namun, jika ada yang degil dan enggan mematuhi had laju tersebut, jangan menyesal sekiranya anda mengalami kemalangan akibat kenderaan hilang kawalan terutama di jalan raya pergunungan yang curam.
Kenapa kenderaan boleh hilang kawalan di jalan raya pergunungan? Mudah sahaja - semakin besar dan berat sesebuah kenderaan itu, maka semakin tinggi jugalah tenaga keupayaan yang dihasilkan. Kenderaan yang lebih berat bukan sahaja lebih lambat untuk digerakkan, malah lebih lambat untuk dihentikan. Maka, kenderaan berat yang dipandu pada kelajuan 80 km/j menghasilkan momentum (dan seterusnya impak pelanggaran) yang lebih besar daripada kereta pada kelajuan yang sama. Jika sebuah kereta pun berupaya untuk meruntuhkan tembok sebuah rumah, bayangkanlah kesan kemusnahan yang terhasil daripada sebuah lori atau bas pada kelajuan yang sama. Selain berat kenderaan, ketinggian juga turut meningkatkan tenaga keupayaan. Buktinya, kenderaan terpaksa bekerja keras (malah ada kalanya boleh mengalami masalah panas lampau) semasa mendaki bukit, tetapi turun bukit ibarat menaiki roller coaster. Jika keadaan tersebut berlaku pada kenderaan berat, sudah tentulah kenderaan menjadi lebih sukar untuk diperlahankan.
Selain berat kenderaan itu sendiri, kegagalan sistem brek juga turut menjadi penyumbang kepada sebab kenderaan hilang kawalan semasa menuruni bukit. Masih ingat akan tragedi sebuah Perodua Viva dilanggar dari tepi (T-bone) oleh sebuah Proton Satria yang hilang kawalan di MRR2 FT28 dekat Bukit Antarabangsa? Kegagalan brek adalah punca utama kemalangan tersebut. Sistem brek boleh gagal akibat 2 sebab, iaitu malas menyelenggara sistem brek sehingga menyebabkan ada komponen brek gagal berfungsi (malas mengisi minyak brek, malas menukar kasut brek, dsb.), serta cara penggunaan brek yang salah terutamanya di jalan raya pergunungan. Ramai di kalangan pemandu yang cenderung menggunakan brek secara berterusan semasa menuruni bukit. Cara ini salah kerana penggunaan brek yang berterusan semasa menuruni bukit curam akan menyebabkan sistem brek gagal akibat panas lampau dan kepudaran brek. Cara memperlahan brek yang sepatutnya diamalkan di jalan raya pergunungan ialah dengan lebih banyak bergantung kepada gear rendah bagi mendapatkan brek enjin.
Sebagai langkah kecemasan bagi menyelamatkan kenderaan (terutamanya kenderaan berat) yang hilang kawalan semasa menuruni bukit, sesetengah jalan raya dilengkapi dengan apa yang dipanggil sebagai "lorong kecemasan lori", "tanjakan kecemasan lori", "susur kecemasan lori" dan sebagainya, bergantung kepada konfigurasi pembinaannya sama ada sebagai bahu jalan (seperti di Lebuhraya Kimanis-Keningau), ataupun sebagai susur pendek jalan mati (pada kebanyakan rekaan, termasuklah di Lebuhraya Utara-Selatan E1 dekat bekas tapak Plaza Tol Jelapang dan Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102 dekat Lembah Bertam). Jenis pertama adalah rekaan paling ringkas, sesuai untuk jalan raya yang curam pada hampir sepanjang masa. Rekaan kedua pula lebih sesuai dibina di kawasan selekoh kerana kenderaan yang hilang kawalan lazimnya lebih cenderung untuk bergerak lurus.
Selain dikategorikan mengikut rekabentuk, lorong kecemasan lori juga dikategorikan mengikut mekanisme yang digunakan bagi menghentikan kenderaan yang hilang kawalan seperti berikut:-
- Lapisan penangkap - dibina dengan menggunakan lapisan batu kerikil yang tebal bagi mengenakan rintangan golekan yang tinggi untuk memperlahankan kenderaan. Semakin curam sesebuah serun, maka semakin panjang jugalah lorong kecemasan lori yang perlu dibina. Batu kerikil merupakan bahan asas yang digunakan kebanyakan lorong kecemasan lori.
- Susur tanjakan graviti - sebuah bukit buatan dibina bagi memperlahankan dan seterusnya menghentikan lori atau bas dengan menggunakan tarikan graviti itu sendiri. Maka, rekaan sebegini lazimnya dipanggil sebagai "tanjakan kecemasan lori", berikutan penggunaan susur keluar mendaki bukit sebagai asas rekaan. Contoh penggunaan adalah seperti di Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102 dekat Lembah Bertam. Susur sebegini juga perlu menggunakan lapisan batu kerikil bagi mengenakan rintangan golekan, bukan sahaja untuk membantu menghentikan lori, tetapi juga bagi menghalang lori bergolek semula ke belakang, yang merupakan kelemahan utama rekaan ini.
- Susur longgokan pasir - sama seperti lapisan penangkap kerikil, tetapi menggunakan pasir. Kelemahan paling ketara ialah penggunaan pasir tidak sesuai sama sekali di kawasan yang sering mengalami curahan hujan tahunan yang tinggi, kerana semasa hujan pasir akan hanya menyebabkan kenderaan semakin hilang kawalan daripada membantu menghentikannya.
- Penangkap mekanikal - menggunakan penangkap mekanikal seperti susunan tayar buruk, kabel pengadang, jaring keluli, dsb. untuk membantu menghentikan kenderaan. Kelebihan utama penggunaan rekaan ini ialah ia membolehkan susur kecemasan yang lebih pendek dibina, tetapi kosnya yang lebih tinggi adalah kelemahan utamanya. Susur kecemasan lori di Lebuhraya Utara-Selatan E1 dekat Jelapang ada menggunakan mekanisme sebegini.
Jadi apa yang patut anda lakukan sekiranya sistem brek mengalami masalah? Pertama sekali, cuba gunakan brek tangan. Jika brek tangan tidak mampu menghentikan kenderaan anda, tukar ke gear satu. Mungkin enjin akan meraung, tetapi ia lebih baik daripada nyawa anda melayang. Penggunaan gear satu sepatutnya berupaya memperlahankan kenderaan anda dengan banyak. Jika gear satu pun tidak mencukupi, langkah paling drastik yang anda perlu lakukan ialah mematikan enjin kenderaan untuk kuasa brek enjin yang maksimum, tetapi lakukan ini hanya di kawasan lurusan sahaja.
No comments:
Post a Comment