Salam sejahtera,
Setelah menunggang selama hampir empat jam, kami akhirnya tiba di sebatang jalan raya baru yang amat kami nanti-nantikan selama ini, iaitu Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102. Sebagai persiapan untuk mendaki Banjaran Titiwangsa untuk sampai ke Cameron Highlands, kami terlebih dahulu menikmati Nasi Ayam Gemas dan memenuhkan tangki minyak di Sungai Koyan.
Sedikit mengenai Jalan Ringlet-Sungai Koyan ini. Sebelum tahun 2003, Jalan Persekutuan 59 merupakan satu-satunya laluan untuk ke Cameron Highlands, tetapi jalan tersebut hanya boleh dicapai dari negeri Perak iaitu dari Tapah. Maka, orang Pahang adalah yang paling sengsara kerana mereka terpaksa keluar dari negeri Pahang untuk ke daerah terkecil dalam negeri sendiri itu. Bukan itu sahaja, kebergantungan terhadap jalan lama FT59 sebagai satu-satunya jalan ke Cameron Highlands juga ada banyak keburukannya. Memandangkan keadaan jalan FT59 yang agak sempit dan begitu banyak selekoh tajam (dikatakan ada lebih kurang 750 selekoh kesemuanya dari Tapah sehinggalah ke penghujungnya di Blue Valley), pemanduan terpaksa dilakukan dengan berhati-hati agar tidak terbabas jatuh ke dalam gaung. Maka, pemanduan yang perlahan sudah tentunya memberi kesan terhadap masa penghantaran produk-produk pertanian dari Cameron Highlands, yang memerlukan hanya produk paling segar sampai ke tangan pengguna akhir. Selain itu, ancaman terbesar yang dihadapi oleh mana-mana jalan raya pergunungan sudah tentunya tanah runtuh, dan ia lebih ketara di negara beriklim panas dan lembab sepanjang tahun seperti Malaysia. Maka, jika berlakunya tanah runtuh, pastinya Cameron Highlands terputus hubungan sepenuhnya dengan dunia luar selama berhari-hari.
Memandangkan adalah tidak praktikal untuk membiarkan hanya satu sahaja jalan masuk ke Cameron Highlands, maka kerajaan persekutuan merancang untuk membina sebuah jalan raya alternatif yang jauh lebih selesa dan lebih selamat. Hasilnya ialah Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185 dari Simpang Pulai ke Gua Musang, yang mula dibina pada tahun 2001 dan siap pada tahun 2003. Sungguhpun lebuh raya baru itu memendekkan jarak perjalanan ke Cameron Highlands dari Kuantan atau Kuala Lipis dengan begitu ketara, namun orang-orang Pahang tetap terpaksa keluar dari negeri sendiri untuk ke Cameron Highlands, kali ini melalui Gua Musang pula. Berikutan dengan kesulitan yang dialami orang-orang Pahang, maka kerajaan merancang untuk membina sebuah lebuh raya baru terus ke Cameron Highlands di dalam negeri Pahang sendiri. Hasilnya ialah Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102.
Perancangan untuk membina sebuah lebuh raya terus ke Cameron Highlands di dalam negeri Pahang sendiri dilakukan secara berperingkat-peringkat bermula tahun 1996. Jajaran perintis dari Sungai Koyan ke Pos Betau sejauh 19 km dibina pada tahun 1999 dan siap pada tahun 2001 dengan kos RM52 juta. Asalnya, kod laluan bagi jajaran tersebut ditandakan sebagai Jalan Negeri Pahang C156 sebagai sambungan kepada Jalan Kuala Lipis-Sungai Koyan C156. Seterusnya, jajaran dari Pos Betau ke Bukit Petubung sejauh 22 km dibina pada tahun 2002 dan siap pada tahun 2005 dengan kos RM151 juta. Kenapa pula jajaran ini jauh lebih mahal daripada jajaran terawal walaupun cuma beza 3 km sahaja? Teruskan membaca reviu jalan ini untuk mengetahui jawapannya.
Jajaran dari Bukit Petubung ke Sungai Susu sejauh 19.5 km pula memakan belanja yang jauh lebih mahal, iaitu RM232 juta dan mengambil masa selama 5 tahun untuk disiapkan sejak pembinaannya dimulakan pada tahun 2004. Kos pembinaan bagi jajaran ini sangat tinggi berikutan pembinaan 10 buah jambatan - termasuklah jambatan terpanjang di jalan ini. Sementara itu, jajaran terakhir sejauh 18.6 km dari Sungai Susu ke Ringlet mula dibina pada tahun 2005 dan siap pada tahun 2010 dengan kos RM173 juta. Setelah siap, jalan ini diwartakan sebagai sebuah Jalan Persekutuan dengan kod laluan FT102.
Semasa mula memasuki lebuh raya FT102 ini dari Sungai Koyan, kami dapati lebar jalan ini lebih kurang sama seperti kebanyakan jalan raya utama, iaitu lebih kurang 3.25 m bagi setiap lorong (piawaian JKR R4). Jajaran dari Sungai Koyan ke Pos Betau ini juga tiada bahu jalan keras, maka ia sudah tentunya bukan jalan super two. Jalan ini mula mendaki bukit dan mula berkelok-kelok setelah tiada lagi kelibat ladang kelapa sawit Felda Sungai Koyan.
Sebaik tiba di Pos Betau, barulah jalan ini bertukar kepada jalan super two dengan lebar lorong 3.5 m dan ada bahu jalan keras (piawaian JKR R5). Keadaan di Pos Betau juga menunjukkan kawasan perkampungan Orang Asli itu menerima impak terbesar hasil pembinaan lebuh raya ini. Selain sebuah klinik kesihatan, sekolah dan masjid, sebuah kawasan rehat dan rawat baru saja siap dibina di sini. Maka, tidak mustahil Pos Betau berpotensi untuk berubah menjadi sebuah pekan persinggahan dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang.
Pendakian diteruskan. Selepas beberapa kilometer dari Pos Betau, garisan jalan sudah pun pudar. Keadaan sebegini tentunya menyukarkan pemanduan pada waktu malam. Oleh itu, saya ingin menggesa agar JKR Lipis segera mengecat semula garisan jalan yang sudah pudar itu. Bukannya susah sangat. Keadaan jalan yang sebegitu bagus serta bilangan kereta yang amat kurang bukanlah alasan untuk tidak menyelenggaranya secara berkala.
Pendakian melalui Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102 sememangnya begitu mengasyikkan. Kami disajikan dengan panorama indah di Banjaran Titiwangsa. Secara jujurnya, saya mendapati bahawa antara tiga jalan masuk utama ke Cameron Highlands, jalan inilah yang paling kurang berselekoh. Sebab itulah Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102 ini merupakan syurga bagi penunggang superbike. Namun, satu lumrah yang terpaksa diterima setiap kali melalui jalan raya pergunungan ialah jika ada bahagian yang terjejas akibat tanah runtuh. Terdapat satu kawasan yang paling teruk terjejas apabila tanah runtuh menimbus kedua-dua arah laluan, memaksa FT102 dilencongkan melalui satu lencongan dua lorong yang begitu sempit - saya sifatkan lencongan ini adalah bahagian paling sempit bagi FT102. Mungkin jalan lencongan ini satu bentuk penyelesaian jangka pendek, tetapi saya amat berharap agar bahagian jalan yang terjejas itu digantikan dengan jalan lencongan baru yang benar-benar sempurna, iaitu sama lebar seperti jalan asal. Selain kawasan tersebut, saya dapati terdapat sekurang-kurangnya lima lagi kawasan tanah runtuh di sepanjang FT102, ada di antaranya yang begitu teruk sehingga memaksa satu lorong ditutup. Sekurang-kurangnya jalan ini dibina sebagai jalan super two, maka boleh jugalah beranjak ke lorong kecemasan atau bahu jalan keras apabila sebelah lorong terpaksa ditutup akibat tanah runtuh. Apa pun, risiko tanah runtuh memang tidak dapat dielakkan terutamanya di negara yang menerima jumlah hujan tahunan yang tinggi seperti Malaysia.
Sebaik sahaja melepasi kawasan Bukit Petubung, garisan jalan jelas kelihatan semula. Ia menjadi ketara sebaik sahaja memasuki daerah Cameron Highlands, apabila perjalanan ke Ringlet berbaki lebih kurang 31 km. Satu lagi perkara yang saya perlu tegur kepada JKR Lipis ialah ketiadaan batu penunjuk jarak perjalanan, sedangkan batu-batu tersebut sudah pun ditempatkan di sepanjang jajaran FT102 di daerah Cameron Highlands, siap dengan kod laluan lagi.
Satu perkara yang menarik perhatian saya sebaik memasuki daerah Cameron Highlands ialah kerja-kerja pembinaan sebuah empangan hidroelektrik baru di situ oleh Tenaga Nasional Berhad. Projek empangan tersebut yang dinamakan sebagai Empangan Ulu Jelai mula dibina pada tahun 2011 dengan kos RM2.15 bilion dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2015. Setelah siap, empangan tersebut akan mempunyai kapasiti penjanaan setinggi 372 megawatt. Meskipun projek tersebut melibatkan pemindahan beberapa buah perkampungan Orang Asli, mereka ditempatkan di perkampungan terancang yang mempunyai infrastruktur yang lengkap. Di samping itu, pembinaan empangan tersebut sebenarnya merupaya menawarkan peluang pekerjaan kepada masyarakat Orang Asli di sana.
Laluan menjadi semakin curam semasa semakin menghampiri penghujungnya di Ringlet. Kecerunan meningkat kepada sekitar 9-11%, menyebabkan kelajuan turun kepada 60 km/j dan memaksa gear diturunkan ke gear 3. Kelibat kebun-kebun sayur sudah mula kelihatan, menunjukkan bahawa kami hampir sampai ke penghujung lebuh raya ini di Ringlet. Pekan pertama yang kami temui sebaik memasuki daerah Cameron Highlands ialah Lembah Bertam Malah, Lembah Bertam merupakan satu-satunya pekan di Cameron Highlands yang tidak terletak di Jalan Persekutuan 59. Buat penunggang motosikal, pekan ini turut mempunyai sebuah kedai motosikal sekiranya berlaku sesuatu kerosakan yang tidak diingini pada motosikal anda. Sebenarnya sebelum pembinaan FT102 memang ada jalan dari Ringlet ke Lembah Bertam, tetapi laluan tersebut diubah sedikit semasa pembinaan FT102; misalnya, di Balai Polis Ringlet laluan dari Lembah Bertam ke pekan Ringlet dilencongkan ke satu jejambat yang dihubungkan terus ke Jalan Persekutuan 59. Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102 tamat di pekan Ringlet, betul-betul di hadapan stesen minyak Shell Ringlet.
Semasa dalam perjalanan pulang pula, kami menemui satu ciri utama jalan ini yang kami langsung tidak perasan sebelum ini - lorong tanjakan kecemasan lori. Sepanjang lebuh raya FT102 ini, terdapat dua tanjakan seumpamanya semasa menuruni bukit arah Sungai Koyan, dan kedua-duanya terletak dekat Lembah Bertam, memandangkan keadaan jalan di situ yang begitu curam.
Ikuti pengembaraan kami seterusnya di Jalan Persekutuan 59 pula.
Untuk galeri penuh, sila klik sini.
Laluan menjadi semakin curam semasa semakin menghampiri penghujungnya di Ringlet. Kecerunan meningkat kepada sekitar 9-11%, menyebabkan kelajuan turun kepada 60 km/j dan memaksa gear diturunkan ke gear 3. Kelibat kebun-kebun sayur sudah mula kelihatan, menunjukkan bahawa kami hampir sampai ke penghujung lebuh raya ini di Ringlet. Pekan pertama yang kami temui sebaik memasuki daerah Cameron Highlands ialah Lembah Bertam Malah, Lembah Bertam merupakan satu-satunya pekan di Cameron Highlands yang tidak terletak di Jalan Persekutuan 59. Buat penunggang motosikal, pekan ini turut mempunyai sebuah kedai motosikal sekiranya berlaku sesuatu kerosakan yang tidak diingini pada motosikal anda. Sebenarnya sebelum pembinaan FT102 memang ada jalan dari Ringlet ke Lembah Bertam, tetapi laluan tersebut diubah sedikit semasa pembinaan FT102; misalnya, di Balai Polis Ringlet laluan dari Lembah Bertam ke pekan Ringlet dilencongkan ke satu jejambat yang dihubungkan terus ke Jalan Persekutuan 59. Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102 tamat di pekan Ringlet, betul-betul di hadapan stesen minyak Shell Ringlet.
Semasa dalam perjalanan pulang pula, kami menemui satu ciri utama jalan ini yang kami langsung tidak perasan sebelum ini - lorong tanjakan kecemasan lori. Sepanjang lebuh raya FT102 ini, terdapat dua tanjakan seumpamanya semasa menuruni bukit arah Sungai Koyan, dan kedua-duanya terletak dekat Lembah Bertam, memandangkan keadaan jalan di situ yang begitu curam.
Ikuti pengembaraan kami seterusnya di Jalan Persekutuan 59 pula.
Untuk galeri penuh, sila klik sini.
Jajaran terawal FT102 dari Sungai Koyan ke Pos Betau tidak dibina sebagai jalan super two
FT102 mula bertukar sebagai jalan super two dari Pos Betau. Perhatikan jambatan berkembar di situ
Mula mendaki bukit di Pos Betau
Garisan jalan raya sudah mula kabur
Pemandangan Banjaran Titiwangsa yang menenangkan jiwa
Jalan terpaksa dilencongkan akibat tanah runtuh
Laluan yang ditutup akibat tanah runtuh, dari arah Ringlet
Keadaan jalan yang bagus bukanlah alasan untuk tidak mengecat semula garisan jalan
Bahagian lurusan sebaik melepasi Bukit Petubung
Lagi tanah runtuh di Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102
Mendaki dan terus mendaki
Salah satu daripada dua lorong tanjakan kecemasan lori di sepanjang Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102 dekat Lembah Bertam
Kebuh-kebun sayur ini menunjukkan bahawa kami sudah hampir ke penghujung jalan
Lagi kebun sayur di Lembah Bertam
Pekan Lembah Bertam yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan hasil pembinaan lebuh raya baru ini
Land Rover Siri 2, kenderaan yang popular di kalangan petani di Cameron Highlands
Jejambat terakhir di Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102
Jalan Persekutuan 102 tamat betul-betul depan Shell Ringlet
No comments:
Post a Comment