Wednesday, June 5, 2013

Rentas Sempadan: Bukit Kayu Hitam / Border Crossing: Bukit Kayu Hitam




Salam sejahtera,

Kali ini, Blog Jalan Raya Malaysia akan memperkenalkan satu lagi segmen baru iaitu segmen Rentas Sempadan. Segmen ini amat berguna sekiranya anda ingin melancong ke negara jiran atau sebaliknya melalui jalan raya.

Sebagai pembuka tirai segmen ini, saya akan bawakan proses-proses yang anda perlu lalui jika ingin memasuki Thailand melalui Bukit Kayu Hitam. Sila ambil perhatian bahawa anda perlu membawa pasport serta geran kenderaan yang asal (bukan fotostat) untuk pengesahan sebelum merentasi sempadan. Jika kenderaan anda masih ada hutang dengan bank, sila hubungi bank untuk memohon geran asal kenderaan. Dah ada semua dokumen? Bagus!

Satu-satunya jalan untuk ke Bukit Kayu Hitam ialah dengan melalui Lebuhraya Utara-Selatan E1. Sebaik sahaja melepasi Exit 182 Persimpangan Jitra Utara, sila perlahankan kenderaan anda pada kelajuan 90 km/j, kerana pada ketika ini anda memasuki zon bukan piawaian lebuh raya ekspres sehinggalah ke Bukit Kayu Hitam. Dengan kata lain, pada titik tersebut Lebuhraya Utara-Selatan E1 bukan lagi lebuh raya ekspres tetapi merupakan jalan raya kembar dengan kawalan masuk separa. Kenapa pula boleh jadi begitu? Ia disebabkan oleh sejarah pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan itu sendiri. Lebuhraya Utara-Selatan dibina bagi merentasi bahagian barat Semenanjung Malaysia dari Bukit Kayu Hitam sehingga ke Johor Bahru. Maka, kedua-dua jajaran asal Jalan Persekutuan 1 berhampiran kedua-dua pintu masuk sempadan ini dinaik taraf sebagai jalan raya kembar. Namun, jajaran jalan raya kembar di Johor Bahru itu tidak dimasukkan sebagai sebahagian daripada Lebuhraya Utara-Selatan E2 tetapi sebaliknya menjadi Lebuhraya Skudai FT1. Sementara itu pula, jajaran jalan raya kembar dari Bukit Kayu Hitam ke Jitra pula diserap masuk sebagai sebahagian daripada Lebuhraya Utara-Selatan E1. Maka, jajaran ini bertindan dengan Jalan Persekutuan 1 sehinggalah ke Bukit Kayu Hitam. Zon bukan piawaian lebuh raya ekspres ini ditandakan sendiri oleh Plus Expressways Berhad menggunakan simbol "lebuh raya tamat" tetapi tanpa sebarang tulisan.

Seperti yang telah saya nyatakan tadi, anda perlu memandu dengan penuh berhati-hati di sepanjang jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1/FT1 ini kerana ia hanya dikenakan kawalan masuk terhad, bermaksud ada banyak kenderaan yang melintasi lebuh raya untuk keluar masuk simpang. Selain itu, ada dua pekan yang betul-betul berada di tengah-tengah laluan Lebuhraya Utara-Selatan E1 ini iaitu Changlun dan Bukit Kayu Hitam. Gunakan kesempatan ini untuk menukar mata wang Ringgit Malaysia ke Baht Thailand secukupnya serta mengisi penuh tangki minyak. Kepada penunggang motosikal, diingatkan bahawa anda tidak dibenarkan untuk membawa minyak simpanan di dalam botol ketika merentas sempadan. Maka, langkah terbaik yang boleh anda lakukan ialah mengisi minyak di stesen minyak BHP Bukit Kayu Hitam (anda perlu belok kanan) kerana stesen minyak itulah yang paling dekat dengan sempadan. Oh ya, sebelum saya terlupa, anda perlu membeli insurans kenderaan Thailand (dan kad putih) di mana-mana kedai insurans di Changlun kerana insurans kereta di Malaysia hanya sah laku di Malaysia; maka, anda perlu membeli insurans Thailand mengikut jumlah hari yang anda ingin berada di sana. Untuk menggunakan telefon bimbit di Thailand, anda perlu menghidupkan perkhidmatan perayauan antarabangsa.

Simpang lampu isyarat terakhir di Bukit Kayu Hitam ditandakan sebagai Exit 185 Persimpangan Bukit Kayu Hitam. Terdapat satu sekatan jalan di situ yang diadakan sepanjang masa bagi mencegah penyeludupan. Tidak jauh dari situ terletaknya Kompleks Kastan dan Imigresen Bukit Kayu Hitam. Di situ, anda tidak perlu turun dari kenderaan kerana kompleks tersebut merupakan kompleks pandu lalu; sebaliknya, anda cuma perlu beri salam, serahkan pasport untuk dicap dan ucapkan terima kasih kepada pegawai kastam di situ. Teruskan perjalanan anda sehinggalah Lebuhraya Utara-Selatan E1/FT1 mencerut menjadi jalan raya tunggal kerana di situlah terletaknya Kompleks Checkpoint Danok di sempadan Malaysia-Thailand. Di situ, anda perlu mencari parkir dan berjalan kaki ke kaunter checkpoint kerana checkpoint tersebut bukan jenis pandu lalu. Di situ, anda perlu menyistiharkan kenderaan anda dengan menyerahkan dokumen yang diperlukan iaitu  pasport anda (dan sedikit duit kopi sekitar RM1 atau RM10), geran kenderaan, kad putih dan insurans Thailand yang anda beli tadi dan seterusnya menandatangani buku log kastam. Sila ambil perhatian bahawa hanya pemilik asal kenderaan sahaja yang dibenarkan membawa masuk kenderaan ke negara jiran, jadi anda tidak boleh menggunakan kenderaan pinjam ataupun kenderaan yang didaftarkan menggunakan nama orang lain kecuali jika orang tersebut ada bersama-sama anda. Prosedur sama juga perlu diikuti jika anda mahu masuk semula ke Malaysia kerana kegagalan anda mengisytiharkan kenderaan anda di sempadan akan mengakibatkan anda didenda RM200 pada lawatan seterusnya.

Selepas proses mengisytiharkan kenderaan di sempadan yang tentunya memakan masa lebih lama pada hari cuti, anda tentunya mahu berehat sebentar. Sila setkan jam anda sejam lebih lewat kerana Waktu Piawai Thailand ialah UTC +7 manakala Waktu Piawai Malaysia pula UTC +8. Sebaik melepasi pekan Danok, jalan yang asalnya ialah Lebuhraya Utara-Selatan E1 kini merupakan Jalan Kebangsaan Thailand 4 yang juga dikenali sebagai Jalan Phetkasem Laluan 4. Jangan lupa untuk mendapatkan cap pasport di Kompleks Kastam dan Imigresen Danok yang terletak lebih kurang 3 km dari sempadan.

Sebagai rumusan, saya ringkaskan kembali prosedur untuk memasuki Thailand melalui Bukit Kayu Hitam:-

  1. Sebelum memulakan perjalanan, bawa pasport, geran kenderaan, alat GPS dengan peta Thailand serta wang tunai secukupnya. Jika tiada geran asal disebabkan kenderaan anda masih ada hutang, pergi ke proses 2.
  2. Jika anda tiada geran asal disebabkan anda masih berhutang, dapatkan geran yang disahkan daripada bank (bagi kereta) atau kedai motor (bagi motosikal).
  3. Beli insurans Thailand di Changlun dan dapatkan juga kad putih di situ.
  4. Minyak Thailand mahal...!!! Isi minyak sepenuh-penuhnya di Changlun atau Bukit Kayu Hitam
  5. Serahkan pasport di kaunter Kompleks Kastam dan Imigresen Bukit Kayu Hitam untuk dicap (kaunter pandu lalu)
  6. Di sempadan Malaysia-Thailand di Danok, serahkan pasport (dan duit kopi), geran kenderaan, insurans Thailand dan kad putih dan tandatangan buku log di sana (bukan kaunter pandu lalu; anda perlu parkir kenderaan dan menapak sendiri ke kaunter).
  7. Dapatkan cap pasport yang kedua di Kompleks Kastan dan Imigresen Danok
Tips tambahan kepada pelancong dari Malaysia dan Thailand:-
  1. Waktu Piawai Thailand ialah UTC +7 manakala Waktu Piawai Malaysia ialah UTC +8. Cepatkan jam (jika memasuki Malaysia) atau lambatkan jam (jika memasuki Thailand sebanyak sejam.
  2. Bagi pelancong Malaysia, isi minyak sepenuh-penuhnya di Changlun atau Bukit Kayu Hitam kerana harga minyak di Thailand adalah mahal. Jika anda terpaksa membeli minyak di Thailand, pastikan anda memilih untuk mengisi "benzena" atau "petrol" untuk mengelak kesulitan. Ataupun, anda boleh meminta untuk mengisi "RON95" untuk kereta atau "RON91" untuk motosikal kapcai.
  3. Bagi pelancong Thailand, anda hanya dibenarkan mengisi minyak RON97 sahaja di Malaysia kerana petrol jenis ini tidak disubsidikan oleh kerajaan Malaysia.
  4. Jika anda merancang untuk memasuki Thailand pada waktu hujung minggu serta musim perayaan, saya cadangkan agar anda memasuki Thailand melalui Durian Burung kerana ia kurang sibuk, maka segala urusan imigresen serta pengisytiharan kenderaan adalah jauh lebih pantas.
  5. Peralatan elektrik dari Malaysia dan Thailand menggunakan voltan yang sama (240 V) tetapi plag yang berbeza. Dapatkan penyuai yang bersesuaian sebaik tiba di bandar-bandar sempadan supaya anda boleh menggunakan peralatan elektrik anda.
Sebagai rujukan tambahan, saya sertakan entri-entri serupa daripada blog-blog lain:-

4 comments:

  1. kenapa perlu hulur duit KOPI???
    hulur di msia atau thai..minta info

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hulur di Thailand... di sana rasuah lebih teruk berbanding di Malaysia. Proses imigresen di sebelah Thailand lebih lambat sebab di sana tiada kaunter pandu lalu, jadi terpaksa ke kaunter untuk urusan imigresen termasuk isytihar kenderaan. Maka, kononnya dengan duit rasuah itulah yang memberikan pegawai-pegawai imigresen "lebih semangat" untuk menjalankan kerja "melepaskan" kita dengan lebih cepat.

      Delete
  2. Nak tanye sikit, kalau geran kereta nama wife saya tapi wife saya tidak ikut, boleh tak saya bawak sijil nikah untuk pengesahan?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sila hubungi Pejabat Imigresen Bukit Kayu Hitam di 04-9221621 untuk pertanyaan mengenainya.

      Delete

Advertisement