Thursday, June 20, 2013

Apa Kejadahnya: Pembohongan dan hipokrasi di sebalik lawatan pemantauan lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 / What The Hell: Lies and hypocrisy behind the Federal Highway FT2 motorcycle lane monitoring visit



Datuk Fadillah Yusof dan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussen bermotosikal meninjau kepincangan dan kebobrokan di sepanjang lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2
(kredit gambar: Kementerian Kerja Raya)

Salam sejahtera,

Seperti yang telah dijanjikan sebelum ini, Menteri Kerja Raya yang baru, Datuk Haji Fadillah Yusof, bersama-sama dengan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, telah turun padang melakukan pemantauan di sepanjang lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan FT2 berikutan kontroversi ketiadaan penyelenggaraan terhadap laluan berkenaan setelah video mengenainya telah dimuat naik di laman sosial Facebook dan seterusnya membangkitkan kemarahan orang ramai khususnya penunggang motosikal. Blog Jalan Raya Malaysia juga turut menyelar pihak-pihak yang terlibat mengenai kontroversi kebobrokan lorong motosikal tersebut tidak lama dahulu.

Lawatan tersebut diadakan pada kelmarin, 18 Jun 2013 jam 10.00 pagi bermula dari stesen LRT Universiti dan berakhir di Batu Tiga. Saya sepatutnya menghadiri acara berkenaan pada masa tersebut, tetapi saya tidak dapat menghadirinya atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Namun, di sebalik wajah-wajah ceria kedua-dua menteri berkenaan memeriksa keadaan lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan FT2 sebenarnya terselit pembohongan dan hipokrasi yang dimainkan oleh pihak-pihak yang sepatutnya diamanahkan untuk menyelenggara lorong motosikal berkenaan serta segelintir media massa arus perdana.

Pada hari sebelumnya, semasa saya menuruni Kerinchi Link E23 ke Lebuhraya Persekutuan FT2 arah Kuala Lumpur, saya terkejut melihat lorong-lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 diturap cantik, beraspal mulus dan garisan jalan dicat terang. Ini kes penipuan pertama di sebalik lawatan dua menteri tersebut. Memanglah elok kalau lorong motosikal yang selama ini keadaannya lebih teruk daripada jalan raya di Afghanistan itu diturap semula, tetapi soalnya kenapa sekarang baru hendak turap? Kenapa sebelum ini langsung tak kisah nak turap balik? Kenapa bila dua orang menteri hendak datang memeriksa barulah terhegeh-hegeh nak turap balik? Kenapa, takut kena marahkah dengan bukan satu tapi dua orang menteri sekaligus? Eloklah kalau mereka kena marah dengan Datuk Fadillah dan Datuk Seri Hishamuddin, sekurang-kurangnya selepas ini puak-puak yang sepatutnya menyelenggara lorong motosikal itu sedar diri dan tidak lagi berseronok-seronok tidur lena dan makan gaji buta hasil cukai jalan daripada duit rakyat! Tindakan menipu dua orang menteri sebegitu hanya akan memperbodohkan diri sendiri, kerana rakyat sekarang sudah celik dan tidak lagi mudah diperbodohkan. Tanyalah mana-mana penunggang motosikal yang melalui lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2, selama ini pernahkah pihak-pihak yang diberi amanah menyelenggara lorong motosikal itu menurap semula laluan berlubang di samping penyelenggaraan lain? Rata-rata jawapan mereka mudah sahaja - tak ada. Nampak? Nak buat perangai munafik sebegitu pun agak-agaklah sikit!

Perangai hipokrit kedua di sebalik lawatan dua menteri di sepanjang lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 ialah sikap masuk bakul angkat sendiri yang dimainkan oleh sebuah akhbar arus perdana berbahasa Melayu. Sudahlah masuk bakul angkat sendiri, siap buat perangai "lembu punya susu, sapi dapat nama" pula tu! Sebenarnya, akhbar yang benar-benar bersusah-payah memperjuangkan isu kebobrokan lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 ialah sebuah akhbar arus perdana berbahasa Inggeris, The Star, bukannya akhbar berbahasa Melayu yang syok sendiri itu! Memang dasar tak tahu malu, bila video mengenai segala cacat-cela lorong motosikal itu dimuat naik ke laman Facebook barulah terhegeh-hegeh nak cari berita tentang lorong motosikal. Sebenarnya, seminggu yang lalu saya ada menghantar sepucuk surat pembaca kepada akhbar terbabit memohon agar kerajaan mengkaji semula piawaian yang digunakan pada lorong motosikal yang sudah tidak lagi relevan sekarang serta memohon agar pihak polis menangguhkan sementara tindakan saman terhadap penunggang yang enggan menggunakan lorong motosikal sehinggalah lorong motosikal disahkan benar-benar selamat, tetapi sehingga hari ini ia langsung tidak disiarkan. Ia memang menunjukkan bahawa akhbar terbabit juga tidak amanah. Sepatutnya sebagai akhbar arus perdana, akhbar tersebut sepatutnya bertanggungjawab menjadi media penghubung antara kerajaan dan rakyat, serta menjadi wadah bagi rakyat meluahkan masalah kepada kerajaan untuk ditangani segera, bukannya sebagai alat propaganda yang dipenuhi rencana-rencana mengampu pemimpin dan mengutuk parti lawan sepanjang masa! Patutlah masyarakat khususnya orang-orang muda sudah tidak lagi mempercayai berita yang dicanangkan dalam surat khabar, memandangkan isi kandungannya sudah hilang kredibilitinya. Anda nak tahu apa nama akhbar yang saya maksudkan? Akhbar yang saya maksudkan itu ialah Berita Harian.

Apa pun, jutaan terima kasih saya ucapkan kepada Datuk Fadillah dan Datuk Seri Hishamuddin kerana sudi meluangkan masa membuat tinjauan terhadap keadaan lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan FT2, meskipun ia dicemari dengan penipuan dan hipokrasi oleh pihak yang mahu menutup pekung sendiri daripada dilihat oleh kedua-dua menteri tersebut. Namun, jika benar kerajaan benar-benar prihatin dan serius dalam menangani isu kebobrokan lorong motosikal, berikut saya senaraikan beberapa tuntutan kepada pihak terlibat agar isu kontroversi lorong motosikal dapat dibanteras secara total:-

  1. Lebar minimum mestilah sekurang-kurangnya 3.81 m supaya sesuai dgn had laju 70-80 km/j (4.25 m bagi kes Lebuhraya Guthrie E35 untuk had laju reka bentuk 120 km/j, dan wajib ada bahu jalan keras tersendiri)
  2. Besarkan jejari selekoh, jangan ada lagi selekoh tajam 90 darjah
  3. Buat susur keluar kecemasan setiap 2 km supaya penunggang dalam kecemasan (seperti dikejar perompak dsb.) boleh keluar dengan selamat
  4. Hantar polis meronda lorong motor sepanjang masa, dan tingkatkan kekerapan pada waktu malam
  5. Bina pos kawalan polis setiap 2 km
  6. Gantikan kesemua penutup longkang jenis besi kepada jenis konkrit
  7. Buang semua pokok di kiri dan kanan lorong motor supaya tiada lagi tempat untuk perompak dan binatang berbisa menyorok
  8. Sentiasa menyelenggara rumah pam secara berkala
  9. Pasang lampu jalan di sepanjang lorong motor dan terowong, dan kalau ada mentol yang terbakar, gantikannya dengan serta-merta dan jangan tunggu
  10. Sentiasa pastikan lorong motor berturap cantik, selesa dan sempurna, bukannya tunggu menteri nak datang baru terhegeh-hegeh nak turap
  11. Lakukan perkara yang sama di lorong motosikal Lebuhraya Shah Alam E5, Lebuhraya Guthrie E35 dan lorong-lorong motosikal di Putrajaya.
  12. INI PALING PENTING --> Kaji semula Arahan Teknik yang digunakan dan gubal semula satu Arahan Teknik baharu khusus untuk lorong motosikal. Arahan Teknik (Jalan) 10/86: A Guide to the Design of Cycle Track sudah tidak lagi relevan memandangkan motosikal kapcai moden rata-ratanya boleh mencecah kelajuan lebuh raya 110-120 km/j dengan mudah; oleh itu, ia TIDAK BOLEH DIGUNAKAN sama sekali untuk membina lorong motosikal.
Apa pun langkah pemulihan yang diwarwarkan oleh Datuk Fadillah, saya tidak mahu penurapan semula serta pembaikan terhadap lampu-lampu terowong hanya dilakukan sekadar ubat tutup mulut dan berhenti menyelenggara lorong motosikal. Beberapa laporan oleh The Star pernah mendedahkan mengenai isu lorong motosikal beberapa tahun lalu, dan pembaikan yang dilakukan hanya sekadar ubat tutup mulut dan kemudiannya tidak lagi diselenggara menjadi semakin teruk. Kepada dua golongan munafik itu tadi, sudah-sudahlah membuat wayang bodoh sebegini, jika tidak api nerakalah padahnya.

No comments:

Post a Comment