Friday, June 28, 2013

Blog Jalan Raya Malaysia @ Cameron Highlands 2013 Part 2: Jalan Felda Sungai Koyan C5/FT1503

Salam sejahtera,

Setelah jalan baru Ringlet-Sungai Koyan FT102 dibuka pada tahun 2010, orang-orang Pahang tidak lagi perlu untuk keluar dari negeri Pahang untuk ke Cameron Highlands. Namun, sebelum sampai ke jalan tersebut, anda perlu terlebih dahulu melalui Jalan Sungai Koyan C5/FT1503 dari Raub ke Felda Sungai Koyan; bagi mereka dari Kuala Lipis pula, anda boleh menggunakan Jalan Negeri Pahang C156 dari Kampung Berchang di Jalan Persekutuan 8 dekat Kuala Lipis.

Satu perkara yang saya kurang berkenan sebaik tiba di bandar Raub ialah ketiadaan papan tanda bagi arah perjalanan ke Cameron Highlands melalui Felda Sungai Koyan. Arah ke Felda Sungai Koyan itu ada pula. Akibatnya, sudah tentulah ramai orang Pahang yang langsung tidak tahu mengenai kewujudan Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102, berikutan kurangnya papan tanda yang membantu. Nasib baiklah ada papan tanda penunjuk arah ke Cameron Highlands pada saat-saat akhir di Felda Sungai Koyan. Rugilah kalau mereka tidak mencuba jalan FT102 yang sebegitu bagus. Oleh itu, saya ingin menggesa JKR Raub agar memasang papan tanda penunjuk arah ke Cameron Highlands melalui Felda Sungai Koyan agar dapat membantu para pelancong untuk melawat Cameron Highlands.

Jalan Felda Sungai Koyan C5/FT1503 ini terbahagi kepada dua bahagian, iaitu bahagian jalan negeri (dari Raub ke Kampung Chin) dan bahagian jalan persekutuan (dari Kampung Chin ke Felda Sungai Koyan. Kebanyakan peta masih lagi melabel keseluruhan jalan ini sebagai C5, walaupun sebenarnya jalan ini ada bahagian persekutuan dan negeri. Satu-satunya tanda sebagai penentu bahagian jalan persekutuan dan negeri ialah papan tanda sempadan penyelenggaraan oleh Roadcare. Maka, adalah sukar untuk membezakan antara jajaran persekutuan dan jajaran negeri.

Secara amnya tiada apa-apa yang menarik sepanjang jalan ini. Seperti tanah rancangan Felda yang lain, keadaan di Jalan Felda Sungai Koyan adalah lebih kurang sama sahaja - lebar lorong purata ialah sekitar 3 m (JKR R3). Setelah menempuh perjalanan 52 km dari Raub, kami akhirnya tiba di Felda Sungai Koyan. Sebelum memulakan pendakian ke Cameron Highlands, kami terlebih dahulu singgah sebentar di Restoran Nasi Ayam Gemas untuk makan tengah hari. Setelah perut sudah diisi, kami memenuhkan tangki minyak pula walaupun minyak masih lagi banyak kerana pendakian ke Cameron Highlands melalui Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102 pastinya menjadikan jentera-jentera kami menjadi pelahap.

Ikuti reviu Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102 dalam entri seterusnya.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.







Simpang ke Cheroh dan ke Felda Sungai Koyan sebelum meneruskan perjalanan ke Cameron Highlands






Pekan Cheroh






Laluan alternatif bagi memintas kesesakan Jalan Persekutuan 8 di Raub, Benta dan Kuala Lipis melalui FT1498






Jom kita makan nasi ayam Gemas sebelum memulakan pendakian yang panjang!






Simpang ke Jalan Sungai Koyan-Kampung Berchang C156






Bersedia untuk memulakan pendakian di Jalan Ringlet-Sungai Koyan

No comments:

Post a Comment

Advertisement