Proton Saga FLX SV
Kali ini, dua biji beg udara ditawarkan walaupun pada varian termurah Saga FLX ini
Tali pinggang belakang tengah kali ini ditukarkan kepada jenis tiga titik berbanding jenis riba dua titik sebelum ini
(Semua kredit gambar: Paul Tan)
Salam sejahtera,
Semalam (15 Jun 2013), Proton telah melancarkan satu varian mampu milik bagi model kereta yang menjadi ikon kebangsaan Malaysia, Proton Saga FLX SV. Ia dikeluarkan bagi menggantikan varian spesifikasi rendah Saga FLX. Dengan harga serendah RM33,438 bagi model transmisi manual, ia mampu dimiliki oleh kebanyakan rakyat Malaysia termasuk golongan berpendapatan rendah dan pelajar universiti, berikutan bayaran ansuran bulannya kini serendah RM250. Lebih menarik, rakyat Malaysia boleh memiliki Proton Saga yang dilengkapi dua biji beg udara dengan harga yang lebih murah daripada varian yang digantikannya itu.
Sejarah Proton Saga bermula seiringan dengan sejarah Proton sendiri, memandangkan ia merupakan model kereta sulung bagi syarikat pengeluar kereta nasional pertama Malaysia itu. Dilancarkan pada tahun 1985, ia sangat digemari ramai rakyat Malaysia berikutan harganya yang mampu milik, kualiti dan teknologi menyamai model-model pesaing buatan Jepun pada masa itu seperti Honda Civic, kos penyelenggaraan yang murah serta jimat minyak. Sebab itulah pengeluaran bagi generasi pertamanya bertahan sebegitu lama sehingga 22 tahun, paling lama dalam sejarah Proton. Oleh kerana generasi pertama Saga sudah tidak lagi relevan dengan piawaian emisi dan keselamatan terkini, generasi kedua Saga dikeluarkan pada tahun 2008 berasaskan pelantar Proton Savvy yang dipanjangkan. Malah, Saga generasi kedua terbukti lebih kukuh daripada Saga lama, apabila Proton Saga FLX keluaran tahun 2013 berjaya memperoleh tiga bintang dalam ujian pelanggaran Asean NCAP.
Saya percaya mungkin ramai yang akan berasa kecewa apabila melihat Saga SV ini sebenarnya kereta yang sama sahaja. Ia memang benar, tetapi sebenarnya ada tiga perubahan penting yang dilakukan pada Proton Saga FLX SV ini berbanding Proton Saga FLX Executive - tambahan 2 biji beg udara, tali pinggang belakang tengah jenis tiga titik (berbanding jenis riba dua titik pada Saga FLX sebelumnya), serta struktur badan yang semakin diperkuatkan - kesemuanya dengan harga RM5,000 lebih murah daripada varian Saga FLX Standard terdahulu.
Mungkin ada lagi rakyat Malaysia yang masih lagi skeptikal terhadap kereta keluaran tempatan, terutamanya berikutan reputasi buruk Proton semasa zaman Tengku Mahaleel dahulu kesan daripada skandal kualiti pada masa itu. Namun percayalah, Proton yang ada sekarang jauh lebih bagus dan jauh lebih bermutu daripada dahulu. Salah seorang rakan serumah saya memiliki sebuah Proton Persona dan menyifatkan keretanya itu sebagai kereta yang paling selesa dan paling boleh diharap di dunia. Salah seorang adik lelaki saya turut memiliki sebuah Proton Saga FLX dan berupaya membuktikan bahawa keretanya itu sangat boleh diharap serta sangat jimat minyak. Malah, pak uda saya sendiri ada memiliki sebuah Proton Wira yang dibeli semasa zaman Tengku Mahaleel tetapi masih boleh bertahan sehingga sekarang tanpa sebarang masalah. Oleh itu, tiada sebab mengapa kita perlu skeptikal terhadap kereta buatan Malaysia, kerana Proton Saga FLX SV ini dijamin bermutu tinggi sungguhpun harganya jauh lebih murah daripada varian FLX berspesifikasi rendah sebelum ini.
Jika bercakap mengenai Proton Saga generasi kedua ini, kita sudah tentunya akan membandingkannya dengan dua pesaing utamanya, iaitu Perodua Myvi dan Perodua Viva. Perodua Myvi merupakan pesaing terdekat Proton Saga kerana kedua-duanya adalah kereta segmen B. Kedua-duanya juga sama-sama memperoleh tiga bintang dalam Asean NCAP. Sungguhpun demikian, sejak ia mula dikeluarkan, Perodua Myvi memperoleh reputasi sebagai sebuah kereta yang sangat boleh diharap, berikutan kualiti buatannya. Namun demikian, harganya pula lebih mahal daripada Proton Saga. Tambahan pula, Perodua Myvi masih lagi menggunakan transmisi automatik 4 kelajuan yang kini sudah dianggap sudah lapuk dan ketinggalan zaman, sedangkan Proton Saga sudah pun berhijrah kepada transmisi boleh laras berterusan (CVT) yang jauh lebih cekap. Malah, penggunaan CVT sahaja sudah menjadikan Proton Saga FLX sebagai kereta segmen B yang paling jimat minyak di Malaysia, malah lebih jimat daripada Honda City (6.0 L/100 km berbanding 6.1 L/100 km oleh Honda City). Jika dibandingkan dari segi harga pula, Perodua Viva pula merupakan pesaing terdekat Proton Saga, tetapi harga yang ditawarkan oleh Viva nampaknya tidak berbaloi kerana dengan perbezaan harga yang sebegitu kecil sahaja sudah membolehkan anda memiliki sebuah kereta dengan saiz sesaran enjin yang lebih dua kali ganda lebih besar, lebih luas dan berupaya untuk membawa lebih banyak barangan. Tambahan pula, akhir-akhir ini reputasi Viva semakin tercalar hasil beberapa kemalangan maut yang melibatkan Viva terutamanya yang berlaku di Jalan Lingkaran Tengah 2 KL (MRR2) FT28 dekat Bukit Antarabangsa, apabila dawai pengadang jalan berupaya membelah bumbung kereta dan memutuskan kepala mangsa setelah dirempuh oleh sebuah Proton Satria dari arah Bukit Antarabangsa yang hilang kawalan akibat kegagalan membrek. Maka, beg udara berkembar yang kini dipasang pada kesemua varian Viva pun seolah-olah tidak begitu membantu melindungi pemandu dan penumpang daripada impak pelanggaran.
Kesimpulannya, inisiatif Proton mengeluarkan kereta mampu milik dengan ciri keselamatan yang dipertingkatkan wajar dipuji. Namun demikian, Proton juga perlu menambah baik varian Saga FLX Executive dengan menambah beg udara tepi serta program kestabilan kenderaan (ESC), memandangkan kedua-dua ciri tersebut sudah pun diterapkan pada Proton S16 FLX (panggilan bagi Saga FLX di Australia) di Australia walaupun pada varian termurah. Ia penting agar Proton dapat menangkis tohmahan "kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan" di kalangan rakyat. Jika Proton berupaya melakukannya, maka saya patut tabik Proton kerana berjaya menjadikan Proton Saga generasi kedua sebagai kereta rakyat terbaik pernah dikeluarkan oleh Proton.
Laman web rasmi: http://www.proton-edar.com.my
Laman mikro: http://epicsaga.com.my
Spesifikasi Proton Saga FLX SV
Enjin: 1.3L DOHC 16 injap 4 silinder sejukan air
Sesaran: 1332 cc
Lubang x lejang: 76 x 73.4 mm
Nisbah mampatan: 10.0:1
Kuasa kuda: 94 bhp @ 5,750 rpm
Tork: 120 N-m @ 4,000 rpm
Jarak roda: 2,465 mm
Berat kering: 1,017 kg (manual); 1,055 kg (CVT)
Muatan tangki bahan api: 40 liter
Saiz tayar: 175/70-R13 (rim keluli berpenutup)
Apa yang saya suka
Apa yang saya suka
- Nilai terbaik untuk wang (dapat 2 biji beg udara pada harga yang lebih murah)
- Lebih selamat (2 biji beg udara, Asean NCAP 3 bintang)
- Enjin 1.3L yang paling berkuasa dalam kelasnya walaupun tanpa CPS
- Paling jimat minyak dalam kelasnya
Apa yang saya tidak suka
- Radionya tiada port USB untuk memainkan lagu dari pemacu kilat USB (hanya ada pada varian Executive sahaja)
- Tiada lampu kabus untuk penglihatan lebih jelas semasa hujan lebat atau berkabus pada waktu malam
salam... saya mahu bertanya kalau saga flx sv versi auto berapa pulak harganya...??
ReplyDeleteKalau auto, harganya RM36,888.00 (metalik).
Deletemau tanya...
ReplyDeletesatu tangki penuh sv auto, berapa jauh boleh jalan?
sebelom menggunakan sv, sy guna saga 1.3 auto, jika dibandingkan petrol rm50, saga 1.3 auto lebih jimat berbanding sv auto....
mohon penerangan yg lebih jelas. sebab rasa my saga sv makan minyak sgt la
Penggunaan petrol Saga FLX dan Saga S hampir sama seperti Honda City. Anda pula mendapati sebaliknya mungkin kerana cara anda menekan pedal pendikit. Jika anda melepaskan sedikit pendikit setelah mencapai kelajuan yang dikehendaki (tekan minyak hanya untuk sampai ke kelajuan yang dikehendaki; tekan lembut hanya untuk mengekalkan momentum), anda sepatutnya mampu memperoleh lebih penjimatan.
DeletePerkiraan ini setelah 3x sy isi minyak. Hampir sama ke3-3 kalinye
Deleteceq punye SV,kiraan kelajuan malar 110km/j
bar paling atas - 40-45km ( cuma 30km jika 140km/j)
bar kedua paling atas - 70km
bar ketiga paling atas - 70km
bar keempat paling atas - 70-80km
bar kedua paling bawah - 40km
bar paling bawah tak pasti
adakah normal begini?
Cara terbaik bagi mengira penggunaan minyak ialah cuba isi penuh (sehingga muncung pengisi di stesen minyak berhenti mengisi petrol) dan reset tripmeter. Kemudian, semasa mengisi semula minyak, isi penuh seperti sebelumnya dan catatkan bacaan tripmeter dan berapa liter minyak yang anda isi (pada pam minyak). Kemudian, bahagikan bacaan tripmeter itu dengan bacaan berapa liter petrol yang anda isi itu untuk mendapatkan nilai penggunaan petrol dalam unit kilometer seliter (km/L).
Deleteberbanding dengan Saga FLX Standard milik kawan saya walaupun pakai aircond, SV milik saya penggunaan minyak memang kuat.apakah ianya disebabkan elekrik yang tidak stabil dalam kereta atau setting minyak?
DeleteSetting minyak tidak ada kena-mengena kerana Saga BLM, Saga FL, Saga FLX dan Saga SV kesemuanya menggunakan pancitan bahan api, maka tidak perlu setting minyak. Namun, bekalan elektrik tidak stabil memang memberi kesan terhadap penggunaan minyak kerana bekalan elektrik yang tidak cukup kuat menyebabkan api palam pencucuh pun tidak cukup kuat, dan bila api palam pencucuh tak cukup kuat, maka lebih banyak petrol yang dibazirkan untuk menghasilkan kuasa. Jika bateri anda memang sudah lemah, ada baiknya anda tukar bateri.
Delete