Salam sejahtera,
Seperti dalam perancangan asal, kami tidak menggunakan laluan konvensional untuk ke Cameron Highlands (Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan seterusnya Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185), sebaliknya kami memilih laluan di sebelah timur Banjaran Titiwangsa pula, iaitu Lebuhraya Karak E8/FT2, Jalan Persekutuan 8, Jalan Sungai Koyan C5/FT1503 dan akhir sekali Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102.
Sedikit mengenai sejarah Jalan Persekutuan 8 ini. Jalan Persekutuan 8 sepanjang 402.7 km ini menghubungkan antara Bentong dengan Kota Bharu serta menjadi laluan utama bagi orang-orang Kelantan untuk ke Kuala Lumpur dan sebaliknya. Jalan Persekutuan 8, bersama-sama Jalan Persekutuan 9 (Karak-Tampin) membentuk satu sistem jalan raya yang dikenali sebagai Jalan Raya Utama Tengah. Sebelum merdeka, asalnya laluan yang ada hanyalah dari Bentong ke Kuala Lipis dan dari Kota Bharu ke Kuala Krai; pautan putus dari Kuala Krai ke Kuala Lipis hanya boleh dihubungi melalui jalan kereta api. Maka, perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu menjadi sejauh lebih 630 km kerana terpaksa melalui jalan pantai timur. Pautan putus dari Kuala Krai ke Kuala Lipis kemudian dibina sebagai Lebuhraya Kuala Krai-Gua Musang FT8 (siap tahun 1983) dan seterusnya Lebuhraya Kuala Lipis-Gua Musang FT8 (siap tahun 1986). Dengan siapnya pautan-pautan putus tersebut, jarak dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu kini hanya sekitar 470 km sahaja.
Kilometer sifar bagi Jalan Persekutuan 8 terletak di Exit 810 Persimpangan Bentong Timur di Lebuhraya Karak E8/FT2. Sebaik melepasi persimpangan tersebut, keadaan jalan agak menggerutu, menunjukkan ia kurang diselenggara oleh JKR Bentong. Meskipun keadaanya tidaklah seteruk Jalan Persekutuan 9 yang saya pernah kecam sebelum ini berikutan keadaan jalan yang terlalu teruk, ia tetap tidak boleh dimaafkan, memandangkan jalan FT8 ini ialah laluan utama untuk orang-orang Kelantan ke Kuala Lumpur dan sebaliknya.
Keadaan jalan kembali elok semasa di pekan Ketari yang mana terletaknya simpang tiga penamat bagi Jalan Gombak FT68 (juga dikenali sebagai Jalan Karak Lama). Reviu penuh mengenai Jalan Gombak FT68 dari hujung ke hujung akan dilakukan dalam bulan Ramadan ini, insya-Allah. Jalan menjadi sesak di sepanjang pekan Ketari dan seterusnya bandar Bentong, memandangkan Bentong adalah bandar persinggahan pertama bagi pengguna Jalan Persekutuan 8 yang hendak ke Kelantan.
Tidak lama selepas meninggalkan bandar Bentong, terdapat satu simpang tiga untuk ke Bukit Fraser yang ditandakan dengan kod FT55. Namun, jalan tersebut sebenarnya bukanlah Jalan Persekutuan 55, sebaliknya ia adalah jalan lama dari Bentong ke Raub yang betul-betul melalui kaki Banjaran Titiwangsa; simpang sebenar ke Bukit Fraser dan seterusnya Kuala Kubu Bharu terletak di Teranum yang juga terletak di jalan lama Bentong-Raub itu. Sebab itulah ia berbengkang-bengkok seperti ular kena palu. Maka, jalan lama Bentong-Raub itu kemudiannya dipintas oleh sebatang jalan super two baru yang lurus yang kini membentuk sebahagian Jalan Persekutuan 8; jalan lama Bentong-Raub itu pula diwartakan semula sebagai Jalan Persekutuan 218.
Jalan super two FT8 tersebut melalui simpang Felda Mempaga, yang menjadi laluan alternatif pemandu dari Kuantan yang hendak ke Kuala Lipis, serta Felda Lurah Bilut, tanah rancangan Felda pertama di Malaysia. Meskipun jalan super two yang kami lalui ini secara amnya sangat lurus dan sangat selesa, ia tetap memerlukan penyelenggaraan kerap, dibuktikan daripada keadaan jalan yang ada kalanya mendap sedikit dan agak menggerutu sedikit berikutan kadar aliran trafik yang tinggi terutamanya pada musim perayaan.
Jalan super two FT8 ini tamat di simpang kedua ke jalan lama Bentong-Raub dan seterusnya Bukit Fraser. Simpang tersebut menandakan kami sudah pun hampir sampai ke bandar Raub, sebuah bandar yang mempunyai rizab emas terbesar di Malaysia. Sejarah bandar Raub bermula dengan sejarah industri pelombongan emas di situ pada abad ke-18, yang mana penemuan emas di situ menyebabkan Raub mendapat namanya daripada istilah raub yang bermaksud segenggam emas. Industri pelombongan secara besar-besaran bermula pada awal abad ke-20 oleh syarikat Raub Australian Gold Mining yang melombong emas di Bukit Koman, Raub sehingga tahun 1961. Setelah beberapa lama aktiviti pelombongan emas dihentikan, ia dihidupkan semula oleh syarikat Peninsular Gold. Asalnya syarikat tersebut melombong hasil tinggalan lombong lama, tetapi mereka kemudiannya melombong emas di lombong baru berhampiran. Semasa mereka memulakan penggalian lombong tersebut pada tahun 2011, mereka menjumpai dua lagi kawasan rizab emas tambahan di bawah dan sebelah lombong lama, menjadikan Raub sebagai kawasan yang mempunyai rizab emas terbesar di Malaysia.
Tidak seperti bandar pelombongan lain yang mati atau sekurang-kurangnya tidak berkembang apabila sumber galian sudah habis, Raub pula sebaliknya. Semasa industri pelombongan emas di sana terhenti pada tahun 1961 pun Raub masih lagi hidup hasil aktiviti pertanian dan peladangan, di samping peranannya sebagai ibu daerah Raub. Sementara itu pula, Bukit Besi menjadi bandar mati setelah lombong besi di situ habis dilombong sehinggalah ia dihidupkan semula oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah). Di Perak pula, Kampung Kepayang dekat Simpang Pulai sudah mati sepenuhnya.
Setelah sampai di Raub, kami mengisi minyak sebentar. Semasa mengisi minyak, saya terkejut apabila mendapati motosikal Honda Wave Ultimo yang saya gunakan dalam konvoi kali ini hanya menggunakan 2.1 liter petrol bagi perjalanan sejauh 110 km dari Kuala Lumpur (52.4 km/L). Memang jimat gila! Rakan konvoi saya, Khairul Azmi pula menggunakan 2.59 liter bagi perjalanan sama menggunakan motosikal Yamaha Lagenda 110Z.
Ikuti sambungan seterusnya di Jalan Felda Sungai Koyan C5/FT1503.
Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.
Memasuki Jalan Persekutuan 8 dari Exit 810 Persimpangan Bentong Timur
Simpang Jalan Gombak FT68 (a.k.a. Jalan Karak Lama) di Ketari
Pasangan sehala FT8 di pusat bandar Bentong. Ada lagi 44 km sebelum tiba di Raub
Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Bentong
Dataran Bentong
Simpang ke Bukit Fraser. Sebenarnya, jalan lama Bentong-Raub dilencongkan keluar di sini dan diwartakan semula sebagai FT218
Simpang ke Felda Mempaga yang dijadikan laluan pintas untuk ke Kuantan
Felda Lurah Bilut, tanah rancangan Felda terawal di Malaysia
Jalan lama Bentong-Raub FT218 berakhir di simpang ini
Pasangan sehala FT8 di Raub. Kita rehat sebentar sebelum ke Sungai Koyan!
No comments:
Post a Comment