Thursday, June 13, 2013

Jalan Jelebu FT86

Salam sejahtera,

Bagi pengguna Lebuhraya Lekas E21 serta pemandu dari arah Seremban yang hendak ke Kuantan melalui Bahau dan seterusnya Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12, tentunya anda terpaksa bersabar menempuh kesesakan di sepanjang Jalan Seremban-Kuala Pilah FT51, malah ada kalanya kesesakan di situ berlarutan sehingga lebih 10 km jauhnya. Sejak tahun lalu (2012), projek menaik taraf jajaran Bukit Putus-Ulu Bendul sudah pun dimulakan, tetapi sayangnya jajaran tersebut cuma dinaik taraf menjadi jalan super two dan bukannya jalan raya kembar 4 lorong. Jadi, mahu tak mahu terpaksalah anda menempuhi kesesakan di sepanjang FT51 dengan penuh rasa sabar. Namun, sebenarnya memang ada jalan alternatif lain yang anda boleh pilih untuk mengelakkan kesesakan di sepanjang FT51 - itu pun kalau anda sanggup menggunakannya. Jalan yang saya maksudkan itu ialah Jalan Jelebu FT86.

Jalan Jelebu FT86 sepanjang 58.8 km menghubungkan antara Simpang Pertang di Jalan Persekutuan 9 dengan Ampangan, Seremban di Jalan Persekutuan 51. Ia merupakan laluan masuk utama bagi daerah Jelebu dengan dunia luar. Sebenarnya, memang ada satu lagi jalan raya utama bertaraf jalan negeri untuk ke Hulu Langat dan Kuala Lumpur, iaitu melalui Jalan Negeri Sembilan / Selangor N32/B32 dan Jalan Sungai Tekali B19 sehingga ke pekan Hulu Langat - sekali lagi, itu pun jika anda sanggup menggunakannya. Secara amnya, sepanjang saya mencuba jalan FT86 ini, amat jarang kenderaan melaluinya, itu pun kalau hendak ke Jelebu. Kenapa tidak banyak kenderaan yang menggunakan jalan FT86 ini? Teruskan membaca entri ini untuk mengetahui jawapannya.

Saya memulakan perjalanan dari Simpang Pertang. Dari arah FT9, Simpang Pertang ini kelihatan seolah-olah seperti pekan koboi dengan deretan kedai yang diperbuat daripada papan, tetapi setelah memasuki FT86, barulah kelihatan sedikit wajah "moden" pekan ini dengan taman perumahan dan deretan kedai yang diperbuat daripada batu. Ada dua stesen minyak di sini iaitu Caltex dan BHPetrol (stesen mini), tetapi entah bagaimana stesen Caltex yang diusahakan oleh sebuah koperasi Felcra di situ sudah kehabisan minyak. Tak apalah, janji ada stesen yang masih ada minyak.

Jalan Jelebu FT86 yang saya lalui ini agak sempit, dengan lebar lorong purata lebih kurang 3 meter sahaja (piawaian JKR R3). Tambahan pula, jalan ini ada banyak selekoh tajam. Sebab itulah had laju di sepanjang jalan ini cumalah sekitar 60 km/j sahaja. Mungkin pemandu lori serta kebanyakan pemandu kereta biasa tidak menggemari jalan ini kerana terpaksa bersilat di sepanjang laluan, tetapi bagi mat-mat motor kaki lipat selekoh, kaki touge serta kaki drift, laluan sebegini adalah syurga bagi mereka. Namun awas, kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga - jika salah perhitungan, boleh terbabas dan jatuh "bersepah".

Tidak jauh dari Simpang Pertang ialah pekan Pertang. Seperti pekan simpang jalan masuknya tadi, pekan Pertang juga merupakan sebuah pekan yang begitu sunyi berikutan kurang kenderaan yang melalui jalan ini. Memandangkan tiada apa-apa yang menarik, maka saya meneruskan perjalanan melalui jalan yang penuh berliku ini.

Selekoh di sepanjang jalan FT86 semakin lama semakin tajam, termasuklah di Kampung Petasih. Namun, tidak lama setelah melalui beberapa siri selekoh tajam dekat masjid Kampung Petasih, tiba-tiba jalan FT86 itu berubah daripada jalan yang sempit dan banyak selekoh tajam kepada jalan yang luas dan lurus. Jalan Jelebu FT86 sudah menjadi jalan super two! Sepanjang jalan super two tersebut, saya disajikan dengan pemandangan hutan hujan yang masih dara di sekitarnya. Saya juga mendapati ada beberapa selekoh tajam yang dipintas semasa pembinaan jalan super two ini. Memang nikmat! Namun, keghairahan menunggang laju di jalan super two tersebut tidak bertahan lama apabila ia kembali menyempit dan berselekoh tajam seperti ular di Kampung Peradong. Masa bermain sudah tamat!

Selekoh di jalan FT86 semakin tajam apabila semakin menghampiri pekan Kuala Klawang. Ia memang ironi, tetapi itulah hakikatnya. Kenapa jalan super two tadi sedikit sahaja dan tidak dikembangkan ke seluruh jajaran? Jawapannya ialah kerana komplikasi dalam Adat Perpatih yang menyukarkan usaha menaik taraf jalan. Sebagaimana di negeri lain, jika kerajaan mahu menaik taraf sesebuah jalan di Negeri Sembilan, ia melibatkan banyak pengambilan tanah. Namun, untuk mengambil alih tanah di Negeri Sembilan, ia bukanlah sekadar berjumpa tuan tanah, menguruskan pengambilalihan tanah di Pejabat Tanah Daerah dan seterusnya membayar pampasan semata-mata. Di Negeri Sembilan, jika anda ingin mengambil alih tanah, anda bukan sahaja perlu mendapatkan persetujuan daripada tuan tanah, tetapi anda juga perlu mendapatkan keizinan daripada ketua-ketua adat di sana (buapak, Dato' Lembaga, Undang / Penghulu Luak). Ia bukan perkara senang dan prosesnya agak memakan masa. Tambahan pula, perlembagaan persekutuan sendiri pun menjamin udang-undang adat berhubung tanah di Negeri Sembilan, jadi kita tidak boleh mempertikaikannya.

Setelah menempuh perjalanan penuh liku sepanjang 28 km, akhirnya saya tiba di pekan Kuala Klawang, juga dikenali sebagai pekan Jelebu, memandangkan ia adalah ibu daerah Jelebu. Ia bagaikan titik tengah bagi Jalan Persekutuan 86 ini. Jika dibandingkan dengan ibu-ibu daerah lain di Negeri Sembilan, Kuala Klawang merupakan ibu daerah dengan bilangan penduduk terkecil, malah lebih kecil daripada Bandar Seri Jempol. Dari segi geografi pula, Kuala Klawang menerima jumlah hujan tahunan yang paling sedikit di Malaysia, berikutan kedudukannya di kawasan lembah yang dikelilingi bukit-bukit dan gunung-ganang Banjaran Titiwangsa. Sungguhpun pekan Kuala Klawang ini kecil sahaja, namun ia masih mempunyai stadium, Muzium Adat Jelebu, serta sebuah hotel yang bagus (Hotel Sri Klawang). Di pekan Kuala Klawang, untuk meneruskan perjalanan ke Seremban, anda perlu membelok kiri di persimpangan lampu isyarat dekat bangunan Majlis Daerah Jelebu. Dari arah Seremban pula, anda perlu membelok ke kanan untuk ke Simpang Pertang.

Setelah meninggalkan pekan Kuala Klawang, keadaan Jalan Persekutuan 86 masih lagi sama seperti jajaran Simpang Pertang-Kuala Klawang - agak sempit dan banyak selekoh tajam. Di Kampung Rambai Baris, terdapat kerja-kerja meluruskan selekoh, maka berhati-hatilah kerana ada banyak batu-batu kerikil yang boleh menyebabkan anda hilang kawalan jika terlalu laju. Sebaik sahaja tiba di simpang Jeram Toi, jalan menjadi lebar sehingga empat lorong, kerana jalan FT86 ini akhirnya mendaki Banjaran Titiwangsa.  Pemandangan Banjaran Titiwangsa dari FT86 memang mengasyikkan, macam pergi ke Cameron Highlands pula! Terdapat sebuah jejambat yang tinggi betul-betul di atas jalan ke air terjun Jeram Toi. Tidak lama kemudian, saya mendapati jalan ke Air Terjun Sungai Toi tadi bertemu semula dengan jajaran utama FT86, tetapi ia ditandakan dengan papan tanda larangan masuk. Kenapa boleh jadi begitu? Sebenarnya, jajaran rentas Banjaran Titiwangsa ini dibina bagi menggantikan jajaran lama yang berselekoh sangat tajam dan sangat curam, yang saya sifatkan sebagai jauh lebih berbahaya daripada jalan lama Bukit Putus FT51. Jika jajaran sekarang pun mendaki Banjaran Titiwangsa dengan kecerunan 10%, maka kecerunan jalan lama Jeram Toi pula dianggarkan sekitar 15-20%. Memang curam gila, patutlah jalan tersebut tidak dibenarkan masuk! Jalan ke Jeram Toi adalah antara jajaran asal yang masih digunakan. Hasilnya, jajaran FT86 yang melintasi Banjaran Titiwangsa inilah jajaran yang paling kurang berselekoh. Ironik, bukan?

Namun demikian, bukan keseluruhan jajaran merentasi Banjaran Titiwangsa yang dibina sebegini cantik. Sebaik menuruni bukit, jalan menyempit menjadi 3 lorong (1 lorong menuruni bukit, 2 lorong mendaki) dan seterusnya 2 lorong yang berselekoh tajam. Namun, ia tidak lama sebelum jalan kembali lebar semula. Mungkin di situlah satu-satunya jajaran lama yang merentasi Banjaran Titiwangsa yang kekal digunakan pada jajaran utama, mungkin kerana jajaran tersebut terlalu sukar untuk dinaik taraf. Maklumlah, pendakian merentasi Banjaran Titiwangsa melalui FT86 sebenarnya lebih panjang daripada Jalan Bukit Putus Baru FT51. Berikutan pendakian yang panjang, maka kerja-kerja penggantian jajaran lama yang terlalu berbahaya itu terbahagi kepada dua bahagian berbeza.

Setelah menempuhi pendakian yang panjang, saya akhirnya tiba semula ke kaki Banjaran Titiwangsa. Jalan mula menyempit kembali. Perjalanan seterusnya membawa saya ke sebuah pekan kecil bernama Pantai. Tak ada laut, tak ada pasir, tak ada kelibat gadis-gadis seksi mandi-manda, malah ia terletak jauh daripada laut, tetapi ia tetap dinamakan Pantai. Ia mengingatkan saya kepada satu kawasan di pinggir Kuala Lumpur bernama Pantai Baru yang tiada laut, tiada pantai, tiada orang mandi-manda, yang ada hanyalah Sungai Klang, rumah-rumah pangsa dan kampung-kampung. Tidak jauh dari situ terletaknya satu simpang Y untuk ke Jalan Sikamat yang terus membawa anda ke pusat bandar Seremban.

Lebih kurang beberapa kilometer kemudian, saya akhirnya ditemukan dengan kelibat Exit 2106 Persimpangan Jelebu untuk ke Lebuhraya Lekas E21 ke Kajang dan Kuala Lumpur. Persimpangan tersebut menandakan bahawa saya semakin dekat ke bandar Seremban. Namun demikian, sungguhpun semakin hampir ke Seremban, namun Jalan Jelebu FT86 ini tetap kekal dua lorong sehingga ke penghujungnya di Jalan Seremban-Kuala Pilah FT51, menjadikan FT86 sebagai satu-satunya jalan persekutuan di Seremban yang tidak dinaik taraf kepada jalan raya kembar. Ia juga melihatkan seolah-olah kawasan yang dilalui FT86 di Seremban sebagai kawasan paling mundur di Seremban. Namun demikian, saya berpendapat jajaran FT86 dari Seremban ke Exit 2106 Persimpangan Jelebu seharusnya dinaik taraf sebagai jalan raya kembar, memandangkan ia juga pintu masuk ke Seremban dari E21. Malah, jalan FT86 juga merupakan pintu masuk ke Seremban melalui lebuh raya yang paling kurang sesak. Sekurang-kurangnya, aura pembangunan Seremban dapat juga dikembangkan ke kawasan yang dilalui FT86 tanpa disisihkan.

Setelah membaca entri ini, anda seharusnya berupaya memperoleh jawapan kenapa pengguna jalan raya lebih sanggup bersesak-sesak melalui Jalan Seremban-Kuala Pilah FT51 untuk ke Bahau dan Kuantan daripada mencuba Jalan jelebu FT86 sebagai laluan alternatif yang kurang sesak. Melalui entri ini, dapatlah disimpulkan kerana tidak ramai orang yang menggunakan FT86 berikutan keadaan jalan yang sukar diramal dan banyak berselekoh tajam, menjadikannya berbahaya untuk digunakan pada waktu malam. Namun, semasa musim perayaan, ada baiknya anda mempertimbangkan laluan ini sebagai alternatif kerana anda mungkin terpaksa menggunakan lebih masa perjalanan serta lebih petrol berikutan jarak yang lebih jauh, tetapi sekurang-kurangnya ia lebih baik daripada anda tersekat berjam-jam di FT51 dan membazirkan petrol hanya untuk bergerak menghampiri sifar kilometer sejam.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.







Masuk ke Jalan Jelebu FT86 melalui Jalan Persekutuan 9 di Simpang Pertang






Jarak ke Seremban masih jauh lagi






Jambatan ini cuma selebar 2.75 m setiap lorong, menjadikannya terlalu sempit untuk kenderaan berat






Keadaan berselekoh inilah yang digemari kaki lipat selekoh, kaki drift dan kaki touge






Pekan Pertang yang begitu sunyi






Selekoh 90 darjah - ada berani tak?






Nampak gayanya ada juga bahagian jalan yang rosak






Lagi bahagian jalan rayng rosak - JKR Jelebu, tolong buat sesuatu...!!!






Pakcik yang menaiki Honda Wave ini pun pandai lipat selekoh, walaupun belum sampai tahap Valentino Rossi






Jalan Jelebu FT86 bertukar menjadi jalan super two setelah mengharungi selekoh tajam






Pemandangan yang begitu mengasyikkan






Kecantikan hutan dara yang masih belum dinodai di tepi jalan super two ini






Baki selekoh tajam lama yang dipintas oleh jalan super two FT86






Jambatan berkembar






Jalan sudah menyempit semula - masa bermain sudah tamat!






Masjid di selekoh tajam - jadikanlah masjid ini sebagai persinggahan sementara untuk menunaikan solat, bukannya persinggahan terakhir untuk disolatkan






Pekan Kuala Klawang - belok kiri untuk ke Seremban






Muzium Adat Jelebu






Stadium Kuala Klawang






Simpang ke Jeram Toi - pendakian Banjaran Titiwangsa bermula






Pemandangan Banjaran Titiwangsa yang begitu mengasyikkan






Jajaran merentasi Banjaran Titiwangsa ini sememangnya jajaran terbaik dan tercantik di sepanjang Jalan Jelebu FT86






Sentiasa gunakan gear rendah untuk menuruni jalan raya pergunungan - gear Honda Wave 125X Ultimo diturunkan ke gear 3 sebelum mengambil selekoh dan seterusnya menuruni kecerunan 10%. Curam, bukan?






Pantai yang tiada laut dan tidak berpasir






Kelibat Exit 2106 Persimpangan Jelebu ini menunjukkan saya semakin hampir ke Seremban






Masih kekal jalan raya tunggal 2 lorong meskipun sudah hampir sampai ke Seremban






Penamat Jalan Jelebu FT86 di Jalan Seremban-Kuala Pilah FT51

No comments:

Post a Comment