Thursday, January 17, 2013

Jalan Persekutuan 9 - bagai syurga dengan neraka / Federal Route 9 - like heaven and hell

Salam sejahtera,

Reviu Jalan Persekutuan 9 dari Karak ke Tampin merupakan reviu pembuka tirai bagi tahun 2013 ini. Reviu kali ini adalah atas permintaan pembaca setia Blog Jalan Raya Malaysia dari Negeri Sembilan iaitu Saudara Shah Rizan Mohd. Zin berikutan rasa tidak puas hatinya terhadap kualiti jalan tersebut yang dikatakan sangat teruk dari sempadan Pahang-Negeri Sembilan (Simpang Pelangai) ke simpang Serting (FT1268 ke Bandar Seri Jempol / FT11). Untuk memastikan kesahihan dakwaan tersebut, saya mengambil kesempatan untuk ke Tampin dari Kuala Lumpur, tetapi melalui Jalan Persekutuan 9, bukannya melalui Lebuhraya Utara-Selatan E2, jalan FT19 dan FT1 yang sering saya gunakan.

Sedikit latar belakang ringkas mengenai jalan FT9 ini. Jalan Persekutuan 9 menghubungkan antara pekan Karak dangan Tampin, dan jalan sejauh 138.19 km ini melalui sepanjang kaki bukit bahagian timur Banjaran Titiwangsa, selari dengan Jalan Persekutuan 1 (jajaran Tampin-Kuala Lumpur) yang melalui kaki bukit bahagian barat Banjaran Titiwangsa. Ia membentuk sebahagian Jalan Raya Utama Tengah (Central Spine Highway) bersama-sama Jalan Persekutuan 8 dari Ketari ke Kota Bharu, maka ia merupakan laluan penting bagi pemandu dari arah Melaka ke Kota Bharu dan sebaliknya.

Bagi reviu kali ini, saya menggunakan Lebuhraya Karak E8/FT2 dan singgah mengisi minyak motosikal Honda Wave 125X Ultimo saya di pekan Karak sebelum meneruskan perjalanan. Sungguhpun pekan Karak ini kecil sahaja tetapi ia begitu sibuk dengan kenderaan yang singgah sebenar sebelum meneruskan perjalanan melalui Lebuhraya Karak E8/FT2 ke Kuala Lumpur atau Kota Bharu. Kepentingan pekan Karak sebagai pekan persinggahan sedikit pun tidak terjejas sungguhpun ia dipintas oleh Lebuhraya Pantai Timur E8. Dari pekan Karak, saya membelok ke kanan untuk ke FT9 di Exit 230 dekat Balai Polis Karak.

Sebaik memasuki FT9, saya rasakan keadaan jalan ini sangat berbeza dengan jalan FT9 yang sering saya guna di Kuala Pilah untuk ke Segamat melalui Lebuhraya Lekas E21. Keadaan FT9 yang biasa saya gunakan di jajaran Juasseh-Kuala Pilah mempunyai saiz yang lebih kurang sama seperti kebanyakan jalan persekutuan utama, iaitu lebar lorong sekurang-kurangnya 3.25 m (JKR R4). Namun, semasa saya melalui jalan yang sama di Karak pula, saya rasakan ia begitu sempit dengan lebar lorong lebih kurang 3.0 m (JKR R3), lebih kurang sama lebar seperti jajaran jalan B27 yang menyempit di Hutan Simpan Batu Arang, Selangor. Bukan itu sahaja, kualiti jalan juga tidak konsisten - di daerah Bentong, ada jajaran yang beraspal mulus, tetapi pada kebanyakan jajaran di daerah Bentong pula keadaan jalan sangat teruk dengan lubang di sana-sini, batu-batu yang bertaburan, keadaan jalan yang menggerutu serta garisan jalan yang sudah kabur tetapi tidak dicat semula. Terdapat juga sesetengah jajaran yang baru sahaja diturap tetapi berlubang semula tidak lama kemudian, menampakkan kualiti turapan yang teruk dan dibuat secara cincai senipis kulit bawang. Patutlah tak lama kemudian pasti berlubang semula di tempat yang sama! Hanya satu patah perkataan sahaja sudah cukup untuk menggambarkan keadaan jalan yang sepatutnya menjadi laluan tulang belakang kawasan tengah Semenanjung Malaysia (central spine highway) - MEMALUKAN. JKR Bentong, apa sudah jadi ni? Saya menuntut penjelasan yang memuaskan daripada pihak JKR Bentong mengenai kualiti jalan yang terlalu teruk ini! Sudahlah majoriti jajaran FT9 di daerah Bentong ini sempit dan berbengkang-bengkok, kualiti jalan pula sudah boleh dibandingkan dengan negara-negara mundur. Sebaik sahaja melepasi Kampung Telemung, ada beberapa siri selekoh S dan U yang saya sifatkan sebagai "banyak memakan korban", berikutan keadaan jalan yang sangat teruk - sudahlah sempit, berlubang, batu-batu berterabur di hujung selekoh, dan garisan jalan pun sudah tiada. Nasib baik saya melalui FT9 pada waktu siang dalam cuaca cerah serta kurang kenderaan, jika tidak sudah tentu buruk padahnya.

Sebaik melepasi sempadan Pahang-Negeri Sembilan, saya sangkakan keadaan jalan sudah elok kembali berikutan turapan beraspal mulus dekat sempadan sebaik melepasi pekan Simpang Pelangai. Rupa-rupanya sangkaan saya meleset sama sekali - keadaan jalan di daerah Jelebu sebenarnya dua kali lima saja dengan daerah Bentong di Pahang. Paling ketara ialah antara jajaran Simpang Durian-Simpang Pertang, yang mana kualiti jalan masih teruk walaupun jalan sudah lebar sedikit mengikut piawaian JKR R4. Jalan di situ tetap berlubang di sana-sini macam baru lepas dibom bertubi-tubi. JKR Jelebu, apo dah jadi ni Jang? Ese botul-botul tak pueh hati ni!

Hanya setelah melepasi Simpang Pertang (simpang Jalan Jelebu FT86) dan seterusnya masuk ke daerah Jempol barulah keadaan jalan berubah menjadi sangat bagus dan sangat selesa. Kebanyakan jajaran FT9 di daerah Jelebu beraspal mulus kerana baru sahaja diturap semula. Ini bukan bermakna dakwaan Saudara Shah Rizan tidak benar, tetapi sebenarnya mungkin semasa beliau membuat permintaan reviu FT9 ini jajaran di Simpang Pertang ke Serting masih teruk dan belum diturap. Tak apalah, sekurang-kurangnya saya masih berjaya membuktikan kesahihan dakwaannya.

Sebaik tiba di Batu Kikir, sudah 95 km saya meninggalkan pekan Karak, tetapi jarum tolok bahan api Wave 125X Ultimo ini masih menunjukkan tanda setengah. Rancangan asal saya ialah mengisi minyak di pekan Batu Kikir, tetapi memandangkan minyak motor masih banyak lagi saya mengambil keputusan untuk mengisi minyak di Kuala Pilah pula. Di Kuala Pilah, sekali lagi saya mengisi penuh minyak Wave 125X Ultimo saya dan mendapati penggunaan bahan api kali ini semakin baik iaitu 2.58 liter petrol bagi perjalanan sejauh 108 km, bersamaan 41.98 km/L.

Bandar Kuala Pilah merupakan bandar terbesar yang dilalui Jalan Persekutuan 9 ini. Sesuai dengan saiznya, bandar ini sememangnya sangat sibuk kerana ia merupakan bandar persinggahan bagi pengguna jalan raya dari arah Seremban melalui Jalan Seremban-Kuala Pilah FT51 untuk ke Kuantan melalui Jalan Juasseh-Bahau FT13 dan Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12. Daerah Kuala Pilah ini juga boleh dikatakan sebagai salah satu pusat kebudayaan utama di Negeri Sembilan, kerana di sinilah terletaknya bandar diraja Negeri Sembilan iaitu Seri Menanti. Di sini juga terletaknya lima luak kecil, iaitu Luak Inas, Luak Jempol, Luak Gunung Pasir, Luak Terachi dan Luak Ulu Muar. Luak-luak kecil ini digabungkan membentuk Luak Tanah Mengandung. Setiap luak kecil ini diketuai oleh Penghulu Luak yang mana mereka tertakluk di bawah bidang kuasa Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Empat luak utama (Jelebu, Johol, Rembau dan Sungai Ujong) serta Tampin diketuai oleh Undang (di Tampin pula dikenali sebagai Tunku Besar Tampin) dan mereka berkuasa memilih Yang Dipertuan Besar baru apabila Yang Dipertuan Besar terdahulu mangkat.

Di pekan Johol pula ada satu jambatan Bailey yang didirikan, mungkin jambatan baru yang lebih besar dan lebih selesa bakal didirikan. Di pekan Johol, saya menemui satu stesen minyak mini yang kelihatan unik kerana hanya ada satu tiang petrol dan kelihatan seperti zaman kolonial (walaupun pam minyaknya sendiri sebenarnya moden seperti kebanyakan stesen minyak biasa). Jalan Persekutuan 9 ini tamat di Kampung Repah, Tampin.

Jadi apa kesimpulan yang saya dapat daripada Jalan Persekutuan 9 ini? Kesimpulannya, dakwaan Saudara Shah Rizan mengenai keadaan jalan yang sangat teruk itu terbukti benar, merangkumi jajaran dari Karak sehingga ke Simpang Pertang. Kepada JKR Bentong dan JKR Jelebu, saya menuntut penjelasan yang memuaskan mengenai kenapa keadaan jalan menjadi sangat teruk sedangkan di daerah lain pula keadaan jalan sangat cantik dan sangat selesa. Imej jalan teruk ini sememangnya memalukan negara, lebih-lebih lagi jalan ini sepatutnya merupakan jalan raya tulang belakang utama bagi membolehkan orang-orang Melaka untuk ke Kelantan dengan lebih mudah. Jalan ini perlu dinaik taraf ke piawaian JKR R5 (had laju rekabentuk: 100 km/j; lebar lorong: 3.5 m) demi keselesaan pemandu yang memandu jauh dari Melaka ke Kota Bharu. Namun, menaik taraf sahaja tidak memadai sekiranya kerja pembinaan dan penyelenggaraan kelak dilakukan secara cincai kerana membina jalan raya yang baik adalah amanah oleh rakyat yang membayar cukai jalan kepada pihak yang bertanggungjawab membina jalan berkenaan. Jika jalan berkenaan berkeadaan baik dan dapat dimanfaatkan oleh setiap orang, maka mereka yang bertanggungjawab membina jalan tersebut (dari buruh kasar sehinggalah kepada Menteri Kerja Raya dan Perdana Menteri) akan menerima pahala amal jariah kelak. Namun, sekiranya keadaan jalan sangat teruk sehingga menyebabkan pengguna jalan raya menyumpah-menyeranah, maka nerakalah balasannya kepada golongan yang tidak amanah tersebut.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.






Keluar ke laluan asal Lebuhraya Karak FT2 di Exit 813 Persimpangan Karak






Penamat sebenar Lebuhraya Karak FT2 di mana ia bertukar menjadi jalan raya persekutuan dua lorong biasa






Isi minyak sebentar di pekan Karak






Pekan Karak yang sibuk






Memasuki FT9 di Exit 230 Persimpangan Simpang Pelangai dekat Balai Polis Karak






Garisan jalan sudah pudar






Kualiti jalan yang tak konsisten. Ada bahagian yang nampak cantik, tetapi sebahagian besar keadaan FT9 di daerah Bentong berkeadaan teruk






Lagi bukti kualiti jalan yang tak konsisten di jajaran Karak-Simpang Pelangai. Di selekoh ini, keadaan jalan di hadapan saya begitu menggerutu...






...tetapi di selekoh yang sama di bahagian belakang saya pula keadaannya agak baik






Keadaan jalan yang menggerutu seolah-olah tidak pernah diselenggara






Mana perginya garisan jalan di selekoh ini?






Batu-batu yang berlonggok ini seakan-akan sedang menunggu mangsanya






Selekoh paling berbahaya di FT9 ini terletak di Batu 36 selepas Kampung Telemong. Selekoh hairpin tajam + batu-batu berlonggok + jalan berlubang dan menggerutu + garisan jalan sudah hilang = selekoh penyembelih orang






Untuk apa kita pemandu jalan raya membayar cukai jalan kalau jalan raya berlubang di sana-sini macam baru lepas perang?






Pekan Manchis






Sempadan Pahang-Negeri Sembilan. Nampaknya keadaan jalan nampak elok dan sudah lebar sedikit...






Keadaan jalan nampak cantik dan beraspal mulus, tetapi jangan mudah terpedaya






Nah, nampak saja jalan cantik tetapi rupa-rupanya berkualiti sampah dengan turapan senipis kulit bawang!






Nampak gayanya tauke bengkel kereta dan motosikal akan cepat kaya hasil menukar rim dan tayar kereta yang rosak akibat jalan berlubang sebegini






Lagi jalan berlubang akibat turapan kulit bawang. Mana perginya pemantauan oleh JKR Jelebu?






Keadaan jalan FT9 sekitar 8 km sebelum tiba di Simpang Pertang, macam dibom bertubi-tubi






Simpang Jalan Jelebu FT86 di Simpang Pertang. Nasib baik kualiti jalan sudah elok semula di sini






Turapan segar beraspal mulus sebaik memasuki daerah Jempol setelah melalui jalan neraka penyembelih orang di sepanjang Karak-Simpang Pertang






Simpang FT1268 untuk ke Kuantan melalui Bandar Seri Jempol (FT11) dan Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12






Batu Kikir jambatan bosi... eh mana ada jambatan besi di sini? ;p






Simpang Juasseh untuk ke Bahau melalui Jalan Persekutuan 13






Honda Wave Ultimo saya ini hanya memerlukan sebanyak 2.58 liter petrol bagi perjalanan sejauh 108 km dari Karak ke Kuala Pilah, bersamaan 41.98 km/L. Jimat kan?






Bandar Kuala Pilah






Simpang Jalan Seremban-Kuala Pilah FT51, simpang jalan tersibuk di sepanjang FT9






Jambatan bailey di pekan Johol, menunjukkan kemungkinan jambatan baru akan dibina di situ






Stesen minyak mini cap kerang yang begitu unik di pekan Johol






Jalan Persekutuan 9 tamat di Kampung Repah dekat Tampin

12 comments:

  1. tahniah di atas review yang begitu baik dan lengkap..saya merasakan seolah-olah saya berada disana. jalan yang disebutkan itu macam boleh dijadikan laluan untuk melakukan aksi teknik menggelongsorkan kereta..:)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Nak main drift di jalan FT9 ni? Lebih baik jangan, jalan situ terlalu teruk untuk bermain drift sebab keadaan jalan teruk... ada banyak lubang, banyak batu berterabur, jadi berbahaya. Kalau Jalan Bukit Putus Lama FT51, jalan masih cantik walaupun berbengkang-bengkok, paling sesuai main touge dan drift.

      Delete
  2. Replies
    1. Sebenarnya tak juga; sistem suspensi belakang motor ni lembut sangat jadi tak boleh nak ambil selekoh laju sangat. Purata kelajuan saya di jajaran Karak-Simpang Pertang cuma sekitar 60-70 km/j je, cuma sekali-sekala boleh main 90-100 km/j kalau jalan elok.

      Delete
  3. sy paling menyampah kalau bawak kenderaan yg lalu atas jalan yg bertampal2 cam dlm gambar kat atas... kat malaysia, klau ada jalan berlubang, kontraktor turap main2, lepas tar, bukan nak steamroll kan jalan yg dtampal tu bagi padat, sebaliknyer biar gitu je lepas tar, last2, berliku2 jalan tu... harap saudara dpat buat entry khas sal teknik betul sal turap/tampal jalan yg rosak...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tau tak apa... sebenarnya semasa saya menggunakan jalan FT9 bagi reviu kali ni saya sempat menyaksikan kerja-kerja penampalan jalan dekat Simpang Pertang, tapi tak dapat nak ambil gambar sebab tak ada tempat yang sesuai (bahu jalan) untuk saya berhenti. Serius saya katakan, kerja yang dilakukan memang cincai dan tak boleh diterima sama sekali. Kalau dah tempat yang sama tu berlubang banyak kali, lebih baik turap semula keseluruhan jajaran yang bermasalah tu, bukannya main tepek-tepek macam tahi anjing!

      Sebelum ini saya ada juga menyelar mengenai kualiti turapan tampalan jalan di Lebuhraya Pasir Gudang FT17 dan Lebuhraya Senai-Desaru E22. Nanti saya akan himpunkan punca-punca utama kenapa jalan raya asyik berlubang teruk untuk perhatian JKR, syarikat konsesi dan juga kontraktor-kontraktor yang diamanahkan untuk menyelenggara jalan raya di Malaysia.

      Delete
  4. Bagi saya,keadaan jalan tu masih agak elok sikitlah daripada jalan lama Tapah-Slim River,terutamanya sekitar selepas pekan Bidor menghala ke Sungkai. Jalan bertampal-tampal,kalau Inggerisnya kata 'patched up'... Tapi sekarang dah tampal elok,cuma lepas pekan Sungkai ke arah Slim River tu jalan dia lebih kurang sama je dengan jalan yang tuan tanah 'review' nih. Lepas Slim River ke Tanjung Malim,jalan ok.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya ke? Terima kasih atas makluman. Kalau bahagian Slim River-Tanjung Malim FT1, jalan situ elok sebab jalan tu asalnya jalan bertol, boleh rujuk di http://blogjalanraya.blogspot.com/2012/03/lebuhraya-slim-river-tanjung-malim-ft1.html untuk sejarah jalan tu.

      Delete
  5. Cuba buat review di FT5 dari Sabak Bernam ke Teluk Intan. Dari Jambatan Sg Bernam ke Simpang Empat, Hutan Melintang, keadaan jalan rayanya sangat teruk walaupun telah dinaiktaraf kepada empat lorong.Banyak aduan telah dibuat oleh orang awam di akhbar mengenai perkara ini, namun, selepas dinaiktaraf masalah masih sama sahaja, malah lebih teruk.

    ReplyDelete
  6. T.Kasih info.Jan 2020 kali pertama nk drive ke K.Pilah.
    Senang bt pilihan jln klau mcm niii.kr bkn sekali jln jerr
    entah brapa kali jln selama 3 tahun..
    Harap sampai K.Pilah dgn senyuman.
    Nurseing Collage#anak Kelate.

    ReplyDelete
  7. Salam tuan. Macam mana ya kualiti jalan persekutuan 9 ni pada 2020? Ada peningkatan atau sama saja?

    ReplyDelete