Tuesday, January 15, 2013

Honda EX5 Dream motosikal kapcai kegemaran Malaysia / Honda EX5 Dream, Malaysia's favourite underbone motorcycle




Salam sejahtera,

Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, Honda Cub merupakan motosikal yang paling laris di dunia sejak ia mula dikeluarkan pada tahun 1958. Bukan itu sahaja, malah Honda Cub juga merupakan kenderaan bermotor yang paling banyak dikeluarkan di dunia, dengan lebih 60 juta unit terjual. Honda Cub mula dibawa masuk oleh Boon Siew Honda tidak lama setelah ia mula dikeluarkan. Berikutan populariti Honda Cub, Boon Siew Honda memulakan program pemasangan tempatan di kilangnya di Mak Mandin, Pulau Pinang pada tahun 1969. Kini, Boon Siew Honda sedang membina kilang kedua di Batu Kawan, Pulau Pinang bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Sejak Honda Cub mula diperkenalkan, pelbagai evolusi telah dilaluinya - daripada enjin pushrod kepada enjin SOHC, daripada saiz enjin sekecil 50 cc kepada 100 cc, daripada lampu bulat kepada lampu petak, dsb. Hasilnya, model 100 cc mula dikeluarkan di Thailand pada tahun 1986 sebagai Honda Dream dan di Malaysia pada tahun 1987 sebagai Honda EX5. EX5 ini merupakan peningkatan ketara terhadap model-model lama Cub, dengan menggunakan sistem gantungan hadapan teleskopik yang lebih moden, transmisi 4 kelajuan, sistem elektrik 12 volt bagi menggantikan sistem 6 volt yang lama, sistem penyalaan CDI (sebelum ini mula digunakan pada Honda C70 lampu petak), dan sistem pengunci hendal yang disatukan dengan kunci penyalaan (yang diceduk dari model Honda Fame 90 cc). Cuma elemen Honda Cub lama yang dikekalkan dalam EX5 ialah penggunaan kerangka jenis keluli bercap serta penggunaan karburetor, sungguhpun Honda Cub terbaru di Jepun kini menggunakan sistem pancitan bahan api serta menggunakan kerangka tiub keluli yang sama seperti Honda Wave. Sehingga hari ini, model EX5 ini tetap laris di pasaran, sungguhpun berdepan dengan persaingan daripada Modenas Kriss pada penghujung 1990an yang merampas takhta motosikal kapcai paling laris di Malaysia sebelum ia dirampas pula oleh Yamaha Lagenda pada tahun 2005. Kini, cabaran yang dialami Honda EX5 ialah reputasinya sebagai antara motosikal "panas" yang paling banyak dicuri selain Yamaha 135LC.

Apa sebenarnya yang membuatkan Honda EX5 ini sangat diminati? Pertama, motosikal ini sangat jimat minyak. Di kawasan bandar, kadar penggunaan petrol Honda EX5 ialah sekitar 50 km/L Selain itu, EX5 juga tahan lasak, berikutan penggunaan kerangka jenis keluli bercap yang juga membentuk badan motosikal ini. Harganya pun agak murah iaitu di bawah RM4,000. Ia juga sangat mudah untuk ditunggang walaupun oleh penunggang baru. Alat gantinya juga sangat mudah untuk dicari dan kos penyelenggaraannya sangat rendah. Boleh dikatakan semua mekanik bengkel motosikal boleh memperbaiki motosikal ini. Dan kenapa pula pencuri motosikal dan mat rempit sangat menyukai motor ini? Honda EX5 ini ringan sahaja, jadi ia merupakan motosikal yang paling mudah untuk berwheelie berikutan nisbah kuasa kepada berat yang agak besar. Sistem keselamatannya juga agak primitif; pengunci hendal yang digunakan sangat mudah untuk dipecahkan oleh pencuri motosikal. Tak percaya, tanyalah mana-mana pegawai polis yang mengendalikan kes curi motosikal - mereka sendiri pun boleh menunjukkan demonstrasi bagaimana pencuri mencuri EX5 dengan mudah.

Demi mengekalkan populariti EX5 ini, saya ingin mencadangkan agar Boon Siew Honda bekerjasama dengan Honda Thailand untuk membangunkan satu sistem pancitan bahan api PGM-FI kos rendah yang boleh dipasang (retrofit) dengan mudah tanpa perlu membina jaringan abah-abah elektrik yang berbeza dengan EX5 karburetor biasa. Selain mematuhi peraturan emisi terkini, sistem PGM-FI juga lebih jimat bahan api, lebih cekap, lebih mudah dihidupkan semasa cuaca sejuk serta kurang memerlukan penyelenggaraan. Perkembangan industri automotif negara yang lembab serta tiada hala tuju berikutan Dasar Automotif Nasional yang caca-marba serta tiada hala tuju menyebabkan Malaysia kini semakin ketinggalan dalam pembangunan teknologi automotif - model-model motosikail Honda di Thailand, Indonesia dan Vietnam kini sudah mula menggunakan sistem pancitan bahan api PGM-FI. Kita pula bila lagi?

2 comments:

  1. betul jugak tu... motor-motor kapcai kat Malaysia ni masih menggunakan teknologi primitif (karburetor). kenapa Honda Malaysia tak bawak masuk yang EFI punya ya? kalau pakai EFI ni jimat lagi dari karb,walaupun ada pandangan yang lebih gemar karb sebab katanya tahan lasak.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sekarang motor EX5 Dream Thailand pun dah pakai fuel injection, siap naik cc jadi 110 cc lagi tu... maklumat lanjut sila rujuk rujuk http://motomalaya.net/blog/2011/12/06/honda-new-dream-110i-in-thailand-pgm-fi-fuel-injection-ex5/

      Dari segi yang mana lebih tahan lasak, sebenarnya kedua-dua karburetor dan fuel injection sama-sama tahan lasak. Cuma kelemahan ketara fuel injection ialah ketika banjir, sebab air banjir boleh menyebabkan ECU rosak akibat litar pintas.

      Delete

Advertisement