Thursday, January 10, 2013

Jornada del Muerto: Camino de las Yungas (Perjalanan maut: Jalan Yungas / Death journey: Yungas Road)





Salam sejahtera,

Menjelang musim perayaan Aidilfitri tahun lalu, saya ada menyenaraikan jalan-jalan raya di Malaysia yang dikenal pasti oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai El Camino de la Muerte ataupun jalan raya yang kerap berlaku kemalangan maut. Namun demikian, jalan-jalan raya yang disenaraikan itu sebenarnya masih lagi sangat selamat sekiranya pemandu benar-benar berdisiplin di atas jalan raya. Kali ini, jalan raya yang saya ingin persembahkan kepada anda ini tetap banyak meragut korban tak kira walau bagaimana berhati-hati sekalipun pemandu yang melaluinya, dan kita sepatutnya bersyukur kerana kita tidak ada jalan raya yang mempunyai tahap bahaya sebegitu.

Jalan raya yang saya maksudkan itu ialah Jalan Yungas di Bolivia. Jalan sepanjang 61 km tersebut menghubungkan antara bandar raya La Paz dengan Coroico. Ia mula dibina pada tahun 1930an oleh banduan Paraguay semasa Perang Chaco. Jalan ini merentasi Banjaran Andes dan menuruni kawasan hutan hujan Amazon di sebelah timur.

Apa yang menjadikan jalan raya ini sangat berbahaya? Ada banyak faktor yang menyebabkan jalan raya ini banyak memakan korban, sehingga dikatakan antara 200-300 pengguna jalan raya maut setiap tahun di sepanjang jalan itu sahaja. Pertama, jalan ini sangat sempit dan hanya selorong sahaja. Kebanyakan jajaran jalan ini mempunyai lebar tidak melebihi 3.2 m serta tiada rizab atau bahu jalan, menyebabkan kenderaan terutamanya lori dan bas sangat sukar untuk berselisih. Jika dibandingkan, Arahan Teknik (Jalan) 8/86: A Guide on Geometric Designs of Roads oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia menetapkan bahawa jalan raya selorong di Malaysia (piawaian R1) mestilah mempunyai lebar minimum 5.0 m termasuk bahu jalan. Jika berlaku tanah runtuh, jalan ini tentunya akan menjadi lebih sempit dan lebih berbahaya.

Kedua, tiada pengadang jalan di sepanjang laluan, menjadikan Jalan Yungas ini terlalu berbahaya. Untuk menjadikannya bertambah berbahaya, gaung di sepanjang Jalan Yungas ini sedalam sekurang-kurangnya 600 m. Maka, jika terjatuh ke dalam gaung di sini, pasti mati. Keadaan gaung yang terlalu dalam dan terlalu curam juga menyebabkan usaha menyelamat tidak dapat dilakukan kerana terlalu berbahaya. Berselisih dengan kenderaan lain di sepanjang jalan ini adalah ibarat bermain rolet Rusia kerana salah satu kenderaan berisiko tinggi untuk terjatuh ke dalam gaung. Disebabkan itulah sementara pemandu di jalan-jalan raya lain di Bolivia memandu di sebelah kanan, pemandu di Jalan Yungas pula memandu di sebelah kiri supaya pemandu dapat melihat dengan jelas keadaan roda sebelah luar agar dapat berselisih dengan selamat.

Selain itu, jalan ini juga tidak berturap, menyebabkan jalan ini berlumpur ketika hujan dan berhabuk ketika cuaca kering. Hujan, kabut dan habuk yang dilayangkan boleh mengurangkan jarak penglihatan. Jalan yang berlumpur juga bermakna kerap berlaku tanah runtuh serta boleh menyebabkan batu-batu jatuh daripada jalan terutamanya ketika berselisih.

Saya cuba membuat perbandingan dengan Jalan Gunung Brinchang FT432 yang lebarnya hanya selorong sahaja. Meskipun hanya selorong, FT432 ini jauh lebih selamat kerana ia berturap, agak lebar sedikit iaitu lebih kurang 5 m termasuk bahu jalan, mempunyai pengadang jalan di sesetengah jajaran berbahaya, dan yang paling penting ialah FT432 ini mempunyai kadar perselisihan yang sangat rendah, memandangkan jalan ini hanya digunakan oleh lori-lori teh, pekebun sayur, pekebun strawberi dan juga segelintir pengunjung yang hendak ke Gunung Brinchang. Jalan Yungas pula tidak berturap, sangat sempit, tiada pengadang jalan serta dijadikan laluan utama dengan kadar perselisihan yang sangat tinggi. Jadi tidak hairanlah kenapa Jalan Yungas terlalu berbahaya.

Jadi apa tindakan kerajaan Bolivia menangani kadar kemalangan yang sangat tinggi di jalan raya maut itu? Sebatang jalan raya pengganti berturap telah dibina bermula tahun 1986 dan siap sepenuhnya pada tahun 2006. Jalan raya baharu yang membentuk sebahagian Ruta Nacional 3 (Laluan Kebangsaan 3) itu selebar 2 lorong, ada bahu jalan, ada pengadang jalan, serta mempunyai banyak elemen kejuruteraan jalan raya moden (jambatan, pembetung, longkang, dsb.), menjadikannya jauh lebih selamat daripada jajaran lama Jalan Yungas. Ia samalah seperti Jalan Bukit Putus Baru FT51 yang lebih lebar dan lebih selesa memintas jajaran Jalan Bukit Putus Lama FT51 yang agak sempit dan mempunyai banyak selekoh tajam. Setelah jajaran Jalan Yungas Baru itu siap, Jalan Yungas Lama yang terlalu berbahaya itu sudah tidak lagi digunakan kecuali di kalangan penunggang basikal yang sukakan cabaran - itu pun jika dan hanya jika mereka tak takut mati, tak takut gayat, dan benar-benar ada telur untuk menggunakan jalan itu.











Jalan Yungas Baru, sebahagian jajaran Ruta Nacional 3 di Bolivia




Jadi apa pula pengajaran yang kita boleh ambil daripada kisah Jalan Yungas ini? Kesimpulannya, kita sepatutnya bersyukur kerana Kementerian Kerja Raya tidak pernah dan tidak akan sekali-kali membenarkan pembinaan dan pewartaan jalan raya yang terlalu berbahaya sebegini untuk dijadikan laluan utama. Sebaliknya, angka kemalangan yang tinggi di negara kita sebenarnya berpunca daripada segelintir pemandu Malaysia yang tidak berdisiplin serta memandu secara berbahaya. Memang saya akui, masih terdapat banyak jalan raya yang berkeadaan kurang baik disebabkan penyelenggaraan atau pembinaan yang dilakukan secara cincai tanpa mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Arahan-arahan Teknik JKR; oleh itu, saya menggesa JKR agar bertindak lebih tegas dan mengenakan lebih tekanan kepada kontraktor-kontraktor yang diamanahkan untuk membina dan menyelenggara jalan-jalan persekutuan dan negeri mengikut garis panduan yang telah ditetapkan dalam Arahan-arahan Teknik JKR supaya sentiasa berada dalam keadaan sempurna demi keselamatan pengguna jalan raya.

No comments:

Post a Comment