Salam sejahtera,
Tahun lalu saya ada membuat satu reviu mengenai Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29 sepanjang 23 km yang dibina sebagai alternatif kepada jalan lama Seremban-Port Dickson FT53 yang berbengkang-bengkok. Kali ini, saya membuat satu reviu eksklusif mengenai jalan lama itu sendiri.
Kembara kali ini dimulakan dari bandar Seremban. Ketika itu, keadaan di Seremban begitu sesak, memandangkan saya berada pada masa kebanyakan orang hendak pulang ke rumah selepas habis waktu bekerja. Namun, keadaan pula berbeza di bahagian pangkal FT53 ini, berikutan kerja-kerja penggantian jejambat lama di situ. Pangkal FT53 ini terletak di Jalan Zaaba FT1, dan seterusnya FT53 melalui satu jejambat besi lama merentangi Jalan Tuanku Antah FT1. Untuk pengetahuan anda, jejambat besi tersebut merupakan jejambat terawal di Malaysia kerana ia dibina semasa zaman penjajahan British lagi. Malah, had ketinggian di situ juga ditulis menggunakan unit imperial dan bukannya unit metrik sebagaimana sekarang. Kenapa pula jejambat itu hendak digantikan? Ada dua sebab - pertama, kerana jejambat itu sudah terlalu tua dan tidak lagi mampu menampung kadar aliran trafik yang tinggi secara berterusan; dan kedua, kerana kelegaan maksimum di bawah jejambat iaitu di Jalan Tuanku Antah hanyalah sekitar 3.7 m, sedangkan sekarang sudah ada banyak bas-bas dua tingkat yang tinggi, berkemungkinan tidak mampu melepasi jejambat tersebut. Seterusnya, FT53 melalui jejambat lintasan kereta api jenis kekuda besi yang juga dibina semasa zaman penjajah dan turut digantikan atas alasan yang sama. Projek penggantian kedua-dua jejambat tersebut adalah satu langkah bagi menjadikan pangkal FT53 sebagai jalan raya kembar, sedangkan jajaran FT53 dari Rasah ke Mambau sudah pun dinaik taraf menjadi jalan raya kembar.
Sebaik melepasi jejambat lintasan kereta api, FT53 berubah menjadi jalan raya kembar. Jajaran dari sini sehingga ke Exit 219 Persimpangan Port Dickson di Lebuhraya Utara-Selatan E2 pula dinaik taraf menjadi jalan raya kembar sebagai sokongan kepada projek Jalan Lingkaran Dalam Seremban yang masih belum siap sepenuhnya. Sementara itu, jajaran dari Exit 219 ke Exit 2901 Persimpangan Mambau dinaik taraf sebagai pelengkap kepada Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29, di mana FT53 dilencongkan keluar melalui persimpangan tersebut, bermakna laluan terus akan membawa anda ke E29 dan bukannya FT53.
Sebaik keluar ke pekan Mambau, FT53 berubah menjadi jalan raya tunggal. Di situ, FT53 turut melintasi satu bekas lintasan kereta api bagi laluan ke Port Dickson yang sudah ditanggalkan. Ia sungguh menyedihkan, kerana pencabutan landasan tersebut benar-benar menunjukkan bahawa sistem pengangkutan rel semakin dipinggirkan dan tidak begitu diambil perhatian di Malaysia. Sementara sistem rangkaian jalan raya Malaysia berkembang dengan pesatnya sejak zaman penjajah sehingga sekarang, sistem rangkaian landasan kereta api pula sebaliknya - panjang rangkaian landasan kereta api sebenarnya makin menyusut dan bukannya makin berkembang. Projek landasan berkembar utara-selatan dari Padang Besar ke Johor Bahru sebenarnya hanya menggandakan kapasiti laluan tersebut dan bukannya menambah panjang rangkaian.
Lanskap seterusnya berubah daripada lanskap perbandaran kepada lanskap hutan, perkampungan dan estet. Saya dapati Jalan Persekutuan 53 ini walaupun agak berkelok-kelok tetapi sangat seronok untuk bermotor - jalannya cantik dan elok, ditambah pula kurang kenderaan yang melaluinya. Seronok!
Panjang FT53 ini ialah 33 km, hanya 10 km lebih panjang daripada Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29 yang menggantikannya. Jika diambil kira faktor E29 bermula di Exit 2901 sebagai KM7, E29 hanya memendekkan jarak perjalanan sebanyak 3 km sahaja. Walau apa pun pilihan anda untuk ke Port Dickson sama ada FT53 ataupun E29, kedua-dua menjanjikan keseronokan sendiri - di E29, anda boleh bermain drag sepuas hati anda, manakala FT53 pula menjanjikan syurga selekoh berkelok-kelok dan laluan lurus untuk dinikmati superbikers. Jalan Persekutuan 53 bertemu semula dengan Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29 di Exit 2902 Persimpangan Lukut, menandakan semakin hampir dengan penamat FT53. FT53 tamat di pekan Lukut di simpang Jalan Sepang FT5; jalan terus membawa ke FT5 ke Port Dickson dan Melaka, manakala belok kanan membawa anda ke Sepang dan Klang melalui FT5.
Kesimpulannya, keputusan kerajaan membina Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29 bagi menggantikan FT53 pada 1990an mungkin satu kesilapan yang membuatkan E29 gagal mencapai unjuran trafik sasaran, tetapi sebenarnya ada hikmah tersembunyi di sebaliknya. Kedua-dua jalan tersebut menyajikan keseronokan tersendiri kepada kaki lipat selekoh mahupun kaki drag. Apa pun, Plus Expressways Berhad serta Majlis Perbandaran Port Dickson perlulah mempromosikan Port Dickson secara agresif bagi membuktikan pembinaan E29 tetap berbaloi dan bukan satu kesilapan.
Untuk galeri penuh, sila klik sini.
Permulaan Jalan Seremban-Port Dickson FT53 (Jalan Rasah) di Jalan Zaaba FT1
Persimpangan Hospital Tuanku Jaafar yang sibuk
Persimpangan Jalan Lingkaran Dalam Seremban
Simpang masuk ke Lebuhraya Utara-Selatan E2 ke Johor Bahru...
...dan juga ke Kuala Lumpur
FT53 dilencongkan keluar ke pekan Mambau
Bekas lintasan kereta api di Mambau
Siapa kata jalan lama FT53 ini tak seronok? Tengok, jalan tetap cantik walaupun agak berkelok-kelok
Penamat FT53 di simpang Jalan Sepang FT5 dari arah Port Dickson
Kembali semula ke Seremban melalui Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29
Permulaan Jalan Seremban-Port Dickson FT53 (Jalan Rasah) di Jalan Zaaba FT1
Persimpangan Hospital Tuanku Jaafar yang sibuk
Persimpangan Jalan Lingkaran Dalam Seremban
Simpang masuk ke Lebuhraya Utara-Selatan E2 ke Johor Bahru...
...dan juga ke Kuala Lumpur
FT53 dilencongkan keluar ke pekan Mambau
Bekas lintasan kereta api di Mambau
Siapa kata jalan lama FT53 ini tak seronok? Tengok, jalan tetap cantik walaupun agak berkelok-kelok
Penamat FT53 di simpang Jalan Sepang FT5 dari arah Port Dickson
Kembali semula ke Seremban melalui Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29
Good account and pictures :-)
ReplyDeleteThanks! ;)
Delete