Monday, June 3, 2013

Maksud sebenar lesen memandu / The real meaning of driver's licence




Salam sejahtera,

Saya percaya rata-rata pembaca Blog Jalan Raya Malaysia amat bencikan pesalah jalan raya. Saya juga begitu. Merekalah punca utama kemalangan jalan raya sehingga ada kalanya meragut nyawa pengguna jalan raya lain yang tidak bersalah. Sungguhpun demikian, masih ramai di kalangan bajingan-bajingan jalan raya ini yang masih tidak serik-serik membuat onar di jalan raya - memandu melebihi had laju, melanggar lampu merah, memotong pada garisan berkembar ataupun semasa kenderaan dari arah hadapan sudah dekat, keluar masuk simpang tidak ikut aturan keutamaan, tidak menggunakan lampu isyarat membelok dan cermin sisi sebelum membelok atau menukar lorong, dan banyak lagi. Persoalannya sekarang, kenapa masih ramai lagi golongan-golongan haram jadah ini sungguhpun angka-angka kemalangan maut di negara kita sekarang sudah sampai ke tahap yang amat membimbangkan? Maka, timbullah istilah-istilah seperti "lesen kopi O", "lesen terbang", "lesen rasuah" dan sebagainya bagi menunjukkan bahawa golongan-golongan bangsat jalan raya ini sepatutnya tidak layak untuk diberikan lesen memandu berikutan tindakan mereka mengkhianati amanah yang diberikan bersama-sama lesen memandu mereka.

Sejarah lesen memandu di dunia bermula pada penghujung kurun ke-19 apabila pencipta kereta petrol moden, Karl Benz, memperolehi surat keizinan untuk mengendalikan kereta ciptaannya, Motorwagen, di atas jalan raya awam, susulan bantahan dan komplen daripada jiran-jiran sekitar kediamannya di Mannheim, Jerman. Mereka membuat komplen dengan mendakwa bahawa bunyi enjin kereta Motorwagen yang bising dan berasap banyak itu mengganggu ketenteraman awam. Maka, Karl Benz terpaksa membuat rayuan untuk membenarkannya mengendalikan Motorwagen itu di atas jalan raya awam agar beliau dapat melakukan penambahbaikan terhadap kereta tersebut. Hasilnya, surat keizinan dikeluarkan oleh pihak berkuasa Grand Ducal, yang menjadi lesen memandu pertama di dunia. Sebab itu jugalah lesen memandu dipanggil "surat izin mengemudi" di Indonesia.

Berikutan sejarah asal-usul lesen memandu ini, maka kita sepatutnya menyedari apa sebenarnya maksud "lesen memandu" ini. Kita sepatutnya sedar bahawa setiap kali kita mengendalikan sebarang jenis kenderaan bermotor, kita sebenarnya sudah banyak menyusahkan orang awam yang lain. Kita mengganggu ketenteraman orang awam dengan bunyi bising enjin kenderaan kita. Kita juga mencemar udara sekeliling dengan asap ekzos kenderaan kita. Apabila kita mengendalikan kenderaan bermotor, kita turut menyusahkan golongan pejalan kaki dan penunggang basikal untuk melintas jalan, berikutan kelajuan kenderaan bermotor yang lebih laju dan cukup kuat untuk membunuh kedua-dua golongan ini. Selain itu, apabila kita memandu kenderaan di atas jalan raya, kita juga menyusahkan pemandu-pemandu lain yang sedia ada, kerana bilangan pemandu yang bertambah akan menyesakkan jalan raya, menambah halangan terhadap kelancaran jalan raya, menyebabkan mereka semakin susah untuk membelok keluar masuk simpang, dan seterusnya meningkatkan ancaman berlakunya kemalangan yang ada kalanya boleh meragut nyawa.

Berikutan dengan sebegitu banyak kesulitan yang ditimbulkan apabila kita mengendalikan kenderaan bermotor, maka kita wajib fardhu ain meminta keizinan formal daripada pihak berkuasa untuk mengendalikan kenderaan kita. Untuk memperoleh keizinan bertulis itu, kita mesti membuktikan kepada pihak berkuasa bahawa kita mampu mengendalikan jentera-jentera kita dengan cekap dan selamat tanpa menyusahkan pengguna jalan raya lain iaitu dengan mengambil kursus latihan memandu dan ujian memandu. Apabila kita sudah lulus ujian memandu, barulah pihak berkuasa memperakui keupayaan kita memandu dan seterusnya mengizinkan kita untuk memandu di atas jalan raya awam dengan mengeluarkan lesen memandu kepada kita. Dengan pengurniaan lesen memandu tersebut, maka kerajaan mengizinkan kita untuk bebas memandu di mana-mana jalan raya yang diwartakan di negara kita. Oleh itu, jika pengguna jalan raya tiada lesen memandu, maka dia berhak untuk dipersalahkan terlebih dahulu, walaupun dia sepatutnya tidak bersalah. Namun, penerimaan lesen memandu juga bermaksud kita bersetuju untuk mematuhi segala peraturan jalan raya sebagai balasan terhadap pengurniaan lesen memandu kepada kita. Dengan itu, kita sebenarnya memikul amanah yang amat berat bagi memastikan keselamatan kita dan pengguna jalan raya yang lain apabila menerima lesen memandu.

Apa yang dikesalkan ialah ramai di antara pemandu di negara kita ini yang mengkhianati dan mencabuli amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka sebagai pemegang lesen memandu sah dengan memandu secara berbahaya dan tidak mematuhi peraturan jalan raya. Maka, golongan pesalah trafik ini sebenarnya jauh lebih teruk daripada orang yang tiada lesen memandu. Malah, ada di kalangan mereka yang langsung tidak rasa bersalah malah berbangga dengan onar yang dilakukan di jalan raya. Bila kena saman, tahu pula melenting! Mereka sepatutnya berasa malu kerana masih diberi peluang untuk memandu di atas jalan raya walaupun setelah membahayakan pengguna jalan raya lain dengan gaya pemanduan mereka yang macam lahanat. Maka, bajingan-bajingan trafik ini sebenarnya tidak ubah seperti pendatang haram yang diberikan kad pengenalan secara percuma. Oleh itu, jika kita berasa marah akan isu pendatang haram yang diberikan kad pengenalan percuma dan nekad mahu memerangi mereka, maka kita juga sepatutnya memerangi bangsat-bangsat jalan raya yang tidak sepatutnya diberikan lesen memandu, kerana ia merupakan satu penghinaan terhadap para pengguna jalan raya lain yang bersusah-payah hendak mendapatkan lesen memandu. Begitu juga dengan para penentang AES yang rata-ratanya terdiri daripada pelesit jadian yang suka melanggar had laju serta si buta warna yang suka melanggar lampu merah, lebih baik mereka gunakan lesen memandu mereka itu sebagai pengganti tisu tandas bagi membersihkan najis sendiri, kerana menentang rasional penguatkuasaan had laju serta penggunaan lampu isyarat bermaksud mereka tidak layak untuk memiliki lesen memandu kerana enggan mematuhi peraturan jalan raya sebagai balasan pengurniaan lesen memandu.

Kesimpulannya, kita sewajarnya berasa insaf dan bukannya bersifat takbur apabila memiliki lesen memandu. Memiliki lesen memandu itu sebenarnya bermaksud kita bersetuju memikul amanah dan tanggungjawab yang berat bagi memastikan keselamatan kita dan para pengguna jalan raya yang lain. Oleh itu, kepada para bajingan jalan raya, jika anda tidak boleh memikul tanggungjawab memastikan keselamatan diri sendiri dan orang lain di atas jalan raya, maka lebih baik anda berhenti menjadi manusia dan sebaliknya tinggal di  dalam kandang zoo sebagai seekor haiwan!

No comments:

Post a Comment