Wednesday, July 10, 2013

Blog Jalan Raya Malaysia @ Cameron Highlands 2013 Part 5: Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185 (Simpang Pulai-Blue Valley) / Second East-West Highway FT185 (Simpang Pulai-Blue Valley)




Salam sejahtera,

Terlebih dahulu Blog Jalan Raya Malaysia ingin mengucapkan selamat menyambut kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak yang mulia ini kepada seluruh pembaca setia Blog Jalan Raya Malaysia yang beragama Islam. Sempena bulan Ramadan ini, kami di Blog Jalan Raya Malaysia sedang merancang untuk mengadakan satu reviu jalan raya eksklusif di sebatang jalan raya persekutuan yang memerlukan kami untuk menunggu sehingga bulan Ramadan sebagai bulan yang paling sesuai. Jalan apa yang saya maksudkan itu? Nantikanlah kemunculannya di Blog Jalan Raya Malaysia!

Jika anda perasan, kami sudah pun mengubahsuai reka letak blog ini supaya nampak lebih kemas. Tab-tab khas telah ditambah pada bahagian atas blog supaya anda dapat mencari reviu-reviu jalan raya dengan lebih pantas dan mudah. Pemain lagu pun telah ditambah untuk menceriakan suasana. Kami harap anda suka akan perubahan yang kami lakukan ini serta memudahkan anda!

Kita kembali semula kepada kisah pengembaraan Blog Jalan Raya Malaysia di Cameron Highlands yang kini memasuki episod kelima. Setelah kami dikecewakan pada hari pertama lawatan berikutan ketiadaan tempat penginapan akibat disapu licin oleh para pelancong yang luar biasa ramainya, kami terpaksa turun ke Simpang Pulai dan menginap di sebuah hotel bajet di situ; pagi esoknya barulah kami naik semula ke Cameron Highlands. Semasa turun melalui Lebuhraya Timur-barat Kedua FT185, kami terpaksa mengejar masa kerana keadaan jalan yang gelap serta garisan jalan yang sudah tidak kelihatan sudah tentunya menjadikan penglihatan kurang baik, terutamanya Khairul Azmi berikutan visor yang berwarna gelap pada topi keledarnya. Seterusnya, masa malam kami diluangkan dengan makan dan bersiar-siar di Uptown Tambun dekat Ipoh bersama-sama dua orang lagi sahabat kami, Harvey dan Pearl.

Keesokan paginya, kami naik semula ke Cameron Highlands melalui FT185 dan mengisi minyak di satu-satunya stesen minyak di sepanjang jalan FT185 ini. Kebetulan pula ada segerombolan penunggang superbike yang mengisi minyak di situ sebagai bekalan untuk berkonvoi ke Cameron Highlands. Maka, sekiranya anda mahu terus ke Gua Musang dengan menaiki motosikal kapcai, anda wajib membawa bersama bekalan minyak petrol di dalam botol kerana hanya ada satu sahaja stesen minyak di sepanjang jalan FT185 sepanjang 152 km ini. Melencong keluar ke Brinchang dan mengisi minyak di sana sebelum meneruskan perjalanan ke Gua Musang juga bukanlah idea yang bagus kerana sungguhpun jarak antara kedua-dua bandar tersebut ialah 117 km, namun naik turun bukit sudah tentunya menjadikan motosikal anda lebih pelahap, kecualilah jika anda membawa bersama bekalan minyak petrol di dalam botol.





Sedikit mengenai sejarah jalan FT185 ini. Jalan Persekutuan 185 dari Simpang Pulai ke Gua Musang ini adalah sebahagian daripada projek Lebuhraya Timur-Barat Kedua bagi menghubungkan antara Ipoh dengan Kuala Terengganu (atau lebih tepat lagi, Kuala Berang). Ia terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Simpang Pulai-Gua Musang (FT185) dan Felda Chiku-Kuala Jeneris; kedua-dua bahagian dipisahkan oleh Lebuhraya Kuala Krai-Gua Musang FT8. Jajaran dari Simpang Pulai ke Gua Musang dibina pada tahun 1997 dan siap pada tahun 2003, dengan menggunakan Jalan Simpang Pulai-Pos Slim (Jalan Negeri Perak A181) dan sebahagian Jalan Kampung Raja-Lojing (Jalan Negeri Pahang C165) dari Blue Valley ke Lojing sebagai laluan perintis. Kini, kedua-dua jalan negeri tersebut sudah pun dilucutkan pewartaannya, di mana jalan A181 dan jajaran jalan C165 dari Blue Valley ke Lojing diserap sebagai sebahagian daripada Jalan Persekutuan 185 manakala baki jajaran C165 (Kampung Raja-Blue Valley), bersama-sama jalan C7 dari padang golf Cameron Highlands ke Kampung Raja kini merupakan sebahagian daripada Jalan Persekutuan 59. Pihak yang bertanggungjawab membina bahagian pertama Lebuhraya Timur-barat Kedua ialah MTD Construction, yang pernah terlibat dalam projek Lebuhraya Pantai Timur E8 dan naik taraf Lebuhraya Karak E8/FT2.

Sementara itu pula, jajaran dari Felda Chiku ke Kuala Jeneris sepatutnya sudah siap sepenuhnya pada tahun 2007, tetapi malangnya jajaran dari Felda Chiku ke Felda Aring masih tidak disiapkan lagi, malah pengguna terpaksa melalui jalan Felda Chiku-Felda Aring yang berlubang-lubang di sana-sini macam baru lepas perang. Sebenarnya, tidak salah pun jika hendak menggunakan jalan Felda sebagai sebahagian jalan raya utama, tetapi jalan tersebut mestilah sentiasa diselenggara dengan baik walaupun sekadar jalan masuk ke tanah rancangan Felda sekalipun. Lihat sahajalah Jalan Felda Sungai Koyan C5/FT1503, ia dijaga dan diselenggara seperti menatang minyak yang penuh. Sebab itulah jalan tersebut sangat sesuai dijadikan jalan sambung antara Raub dengan pangkal Jalan Persekutuan 102 di Sungai Koyan.

Jajaran perintis dari Simpang Pulai ke Pos Slim ada banyak selekoh tajam. Akibatnya, kami terpaksa menunggang dengan penuh berhati-hati di sepanjang jalan, meskipun lebuh raya ini secara keseluruhannya dibina sebagai jalan super two. Kecerunan paling tinggi di sepanjang laluan ini juga terletak di jajaran perintis ini. Hanya setelah melepasi Pos Slim barulah keadaan jalan menjadi kurang berkelok-kelok dan kelajuan dapat ditingkatkan kepada sekitar 80 km/j berbanding antara 40-80 km/j semasa di jajaran pertama tadi.

Pendakian diteruskan. Pemandangan sekitar Banjaran Titiwangsa sememangnya sangat mengasyikkan. Lebuh raya ini memanfaatkan sepenuhnya teknologi kejuruteraan jalan raya terkini yang menjadikannya kurang berkelok-kelok berbanding jalan lama FT59. Namun, secanggih mana pun teknologi kejuruteraan jalan raya yang digunakan, tiada siapa yang mampu mencabar kekuasaan Allah. Sebagaimana jalan raya pergunungan yang lain, tanah runtuh merupakan ancaman terbesar, terutamanya dalam konteks Malaysia yang mengalami iklim panas dan lembap sepanjang tahun. Sebab itulah beberapa stesen tolok hujan didirikan di sepanjang laluan untuk mengira jumlah curahan hujan supaya dapat memberi amaran awal kemungkinan berlakunya tanah runtuh.

Selain ancaman tanah runtuh, lebuh raya ini sudah mula menunjukkan tanda-tanda penuaannya apabila beberapa bahagian lebuh raya yang mula kelihatan menggerutu, selain garisan jalan yang sudah tidak kelihatan. Ia berbeza dengan dua tahun lalu apabila kami mendapati bahawa keadaan jalan secara keseluruhannya sangat baik dan masih tiada lagi bahagian jalan yang terjejas selain daripada tanah runtuh. Memandangkan lebuh raya ini sudah pun berusia 10 tahun, maka saya ingin menggesa JKR Perak agar melakukan penurapan semula dan mengecat semula garisan jalan demi keselamatan pengguna jalan raya.

Selepas lebih kurang sejam, kami akhirnya memasuki daerah Cameron Highlands. keadaan jalan bertambah bagus. Begitu juga dengan keadaan cuaca yang sangat baik. Suhu sekeliling semakin sejuk walaupun hari itu cuaca cerah dengan matahari sudah berada tegak di atas kepala. Namun demikian, terdapat satu bahagian jalan yang terjejas akibat tanah runtuh sehingga memaksa satu lorong ditutup untuk kerja-kerja pembaikan. Nasib baiklah jalan ini jalan super two, kerana jika salah satu lorong terpaksa ditutup, pengguna masih boleh beranjak ke bahu jalan keras atau lorong kecemasan.

Kami singgah sebentar ke kedai Avant Chocolate. yang terletak di lokasi strategik di tepi lebuh raya FT185 ini. Khairul Azmi adalah peminat besar coklat keluaran syarikat ini yang bukan sahaja sangat sedap, malah mempunyai pembungkusan yang sangat menarik. Kumpulan penunggang superbike tadi juga berada di kedai Avant Chocolate untuk berhenti rehat. Selain daripada menjual coklat, Avant Chocolate juga menjual produk-produk lain seperti teh. Ia turut menempatkan sebuah kafeteria. Maka, Avant Chocolate juga merupakan satu lagi lokasi wajib untuk dilawati sekiranya anda berkunjung ke Cameron Highlands melalui FT185. Selain daripada Avant Chocolate, terdapat juga beberapa kebun sayur-sayuran dan kebun strawberi di sepanjang FT185 ini.

Kami akhirnya tiba di Simpang Tiga Blue Valley yang merupakan mercu tanda terpenting bagi menandakan kami sudah tiba ke Cameron Highlands. Namun, apa yang perlu kami tegur di sini ialah keperluan mendirikan sebuah kawasan rehat dan rawat di Blue Valley ini berserta dengan sebuah stesen minyak, kerana stesen minyak tersebut menjadi penyelamat bagi mereka yang hampir kehabisan minyak ketika melalui jalan ini, terutamanya motosikal kapcai yang tangkinya kecil dan mempunyak jarak perjalanan setangki penuh tidak melebihi 150 km. Kebanyakan aktiviti kami di Cameron Highlands sudah pun tercatat dalam entri mengenai Jalan Persekutuan 59.

Ikuti pengembaraan kami seterusnya di Jalan Gunung Brinchang FT432 apabila kami ingin menaklukinya buat kali kedua.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.







Permulaan Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185 di Simpang Pulai






Satu-satunya stesen minyak di sepanjang FT185, terletak di Simpang Pulai. Perhatikan segerombolan penunggang superbike yang mengisi minyak






Jajaran Simpang Pulai-Pos Slim ada banyak selekoh tajam, jadi berhati-hatilah






Mendaki bukit dengan kecerunan 10% di sini






Lagi selekoh mencabar untuk mengasah kemahiran penunggang superbike






Perkampungan Orang Asli di Pos Raya






Setelah melepasi Pos Slim, masih ada 30 km untuk ke Kampung Raja, pekan pertama yang bakal kami tempuhi dari arah jalan ini






Kehijauan alam mewarnai lanskap lebuh raya FT185






Jalan masih cantik tetapi garisan jalan sudah pudar






Tanah runtuh - ancaman terbesar pada mana-mana jalan raya pergunungan






Selekoh patah berkelajuan tinggi yang sesuai untuk mengasah kemahiran bermotosikal






Ada air terjun kecil!






Keadaan jalan di sini sudah menggerutu dan memerlukan turapan semula






Kesan tanah runtuh dua tahun lalu yang masih lagi kelihatan sehingga sekarang






Akhirnya kami berjaya memasuki daerah Cameron Highlands






Keadaan jalan yang sangat cantik di daerah Cameron Highlands






Singgah sebentar di Avant Chocolate sebelum memasuki FT59

4 comments:

  1. Sebenarnya, Jalan Felda Chiku-Felda Aring yang berlubang tu, kalau diorang turap balik, berlubang balik. Kan ade kilang sawit Felda Aring A & B kat situ. Lagipun, lori yang lalu tu kebanyakannya 10 tan lebih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Punca yang menjadikan sesebuah jalan raya itu berlubang balik walaupun baru ditampal semula ialah disebabkan oleh asasnya yang sudah menjadi lemah. Penggunaan Jalan Felda Chiku-Felda Aring yang memang mengalami masalah jalan berlubang sebagai sebahagian laluan ke Terengganu itu memburukkan keadaan, kerana jalan tersebut tidak direka untuk kadar aliran trafik yang tinggi. Lori 10 tan sepatutnya tiada masalah melalui sesebuah jalan kecuali jika dinyatakan had berat sebaliknya.

      Maka, penyelesaiannya ialah dengan mengukuhkan semula asas jalan menggunakan konkrit. Paling baik, jalan tersebut perlu dinaik taraf ke piawaian JKR R5.

      Delete
    2. Dan ade jalan baru yang jadi alternatif kepada jalan Felda Aring yang berlubang tu. Tak silap aku dia dekat somewhere ade perkataan R diantara Kuala Krai-Gua Musang. Rasanya Rebok. Dari situ, nak ke Tasik Kenyir, 109 Kilometer.

      Delete
    3. Terima kasih. Jika berkesempatan, insya-Allah saya akan cuba menjejak jalan tersebut.

      Delete