Salam sejahtera,
Semasa saya sedang menulis entri ini, keadaan cuaca hari ini (14 Julai 2013) di Kuala Lumpur secara amnya mendung sepanjang hari, dengan jarak penglihatan melebihi 10 km. Namun demikian, semasa saya dan rakan saya, Khairul Azmi menamatkan program jelajah Blog Jalan Raya Malaysia di Cameron Highlands yang berlangsung selama 3 hari 2 malam pada 24 Jun 2013, cuaca secara amnya cerah tetapi keadaan jerebu menjadi teruk sehingga mula menular ke Cameron Highlands. Sehubungan dengan itu, kami terpaksa meminda rancangan perjalanan balik kami - jika dalam perancangan awal sebelum ini kami bercadang untuk pulang semula ke Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Utara-Selatan E1, kali ini kami terpaksa menggunakan jalan yang sama untuk pergi ke Cameron Highlands (Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102, Jalan Felda Sungai Koyan C5/FT1503, Jalan Persekutuan 8 dan Lebuhraya Karak E8/FT2), berikutan kebimbangan kami terhadap jarak penglihatan yang berkemungkinan sudah merosot teruk di sepanjang E1.
Sebagai persediaan, kami membeli sepasang topeng pelindung habuk jenis gred NIOSH N95. Pada mulanya kami menjangkakan Cameron Highlands masih lagi selamat daripada jerebu, namun malangnya sangkaan kami meleset sama sekali. Semasa kami minum petang di kedai teh Cameron Bharat sebelum pulang ke Kuala Lumpur, ruang udara Cameron Highlands mula dilitupi jerebu. Tanpa membuang masa lagi, kami terus memakai topeng pelindung habuk sebaik sahaja selepas minum petang. Berikutan keadaan jerebu yang semakin teruk, kami perlu sampai ke Kuala Lumpur sebelum matahari tenggelam!
Sebenarnya, Kuala Lumpur memang sudah mula berjerebu semasa kami mula bertolak ke Cameron Highlands pada 21 Jun. Ini bermakna kami telah berjaya melarikan diri daripada keadaan berjerebu selama beberapa hari sebelum ruang udara Cameron Highlands turut dilitupi jerebu.
Setiap kali berlakunya jerebu, maka kita dengan pantas terus menuding jari kepada Indonesia kerana gagal mengawal peladang-peladangnya di Riau daripada membakar hutan atas alasan meningkatkan kesuburan tanah. Namun, sedarkah kita bahawa kita sendiri turut mempunyai saham besar terhadap fenomena jerebu dahsyat tahun ini? Sekurang-kurangnya petani di Riau hanya mencemar udara setahun sekali, tetapi kita pula mencemar udara setiap hari melalui asap kereta-kereta yang kita pandu secara bersendirian. Saya sudah pun menyatakannya dalam entri mengenai banjir kilat terburuk di Kuala Lumpur tahun ini, dan saya perlu menyebutnya sekali lagi dalam entri ini, kerana kedua-dua bencana alam ini berasal daripada punca yang sama. Soalnya, adakah orang kita ambil peduli tentang semua ini? Apa yang sebenarnya berlaku tak ubah seperti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri sahaja.
Ingatlah, bahawa bumi kita ini adalah amanah Allah yang mana menjadi wajib fardhu ain bagi setiap manusia untuk menjaga dan mengurusnya dengan baik. Jika bumi kita yang satu ini habis musnah angkara kita sendiri, bumi mana lagi yang harus kita duduki? Renung-renungkanlah.
No comments:
Post a Comment