Friday, July 26, 2013

Modenas 118EFI vs Modenas GT128: Mana lebih jimat minyak? / Which one is more fuel-efficient?



Salam sejahtera,

Sudah hampir sebulan rupanya pelancaran model motosikal kapcai pancitan bahan api pertama Modenas iaitu Modenas 118EFI, namun setakat ini saya masih belum berjaya menemui kedai motosikal yang mempamerkan model tersebut. Sementara itu, Modenas pula mengalami kesukaran untuk memenuhi tempahan yang datang bertalu-talu daripada pembeli yang rata-ratanya teruja dengan teknologi pancitan bahan api yang julung kali diperkenalkan di Malaysia. Apa pun, saya berharap agar Modenas berupaya memenuhi tempahan yang sebegitu banyak, kerana ia petanda baik bagi menandakan peningkatan penguasaan Modenas dalam pasaran motosikal negara. Selain itu, saya juga berharap agar Modenas dapan segera mengaturkan satu sesi tunggang uji khas buat media serta menjemput saya menyertainya.

Bercakap tentang Modenas 118EFI, ramai yang sering membandingkannya dengan Modenas GT128, berikutan dakwaan penggunaan bahan api yang agak ironik. Setakat ini, Modenas GT128 merupakan model motosikal keluaran Modenas yang paling jimat minyak iaitu 64.4 km/L @ 80 km/L, meskipun ia masih menggunakan karburetor. Angka ini diperolehi hasil ujian tunggangan mengelilingi Semenanjung Malaysia menggunakan model pendahulunya iaitu Modenas Xcite 130 (menggunakan enjin yang sama). Sementara itu pula, dakwaan penggunaan bahan api bagi Modenas 118EFI yang menggunakan pancitan bahan api pula ialah 50 km/L @ 80 km/j (angka yang dikemaskini ialah 59.5 km/L).

Jadi adakah ini bermakna sistem pancitan bahan api tidaklah begitu menjimatkan bahan api berbanding karburetor?

Sebelum anda terus membuat kesimpulan secara melulu, saya ingin mengingatkan anda supaya membuat perbandingan dengan model yang benar-benar setara. Pipit sama pipit, enggang sama enggang. Maka, jika hendak membuat perbandingan dengan 118EFI, maka bandingkanlah ia dengan model setara iaitu Kriss 120 ataupun Ace 115. Modenas GT128 pula sepatutnya dibandingkan dengan model sama yang menggunakan pancitan bahan api. 



Modenas GT128 dipopularkan dalam siri francais filem Adnan Sempit


Enjin yang digunakan pada GT128 dan Xcite 130 adalah berbeza daripada enjin yang digunakan pada Ace 115 dan 118EFI. Enjin GT128 mempunyai diameter lubang yang sama seperti enjin Kriss 110 / CT110, tetapi mempunyai lejang yang lebih panjang (undersquare). Sementara itu, enjin Ace 115 dan 118EFI pula ialah enjin oversquare dengan lejang pendek dan diameter lubang yang besar. Selain itu, enjin yang digunakan pada 118EFI dan Ace 115 pula diperbuat daripada besi tuang biasa dengan sarung silinder keluli serta menggunakan omboh besi tuang biasa, manakala enjin GT128 pula menggunakan silinder yang diproses secara in-mould cylinder liner serta menggunakan omboh bersalut molibdenum sulfida yang lebih tahan geseran. Malah, aci sesondolnya juga dikenakan rawatan haba bagi ketahanan yang lebih tinggi. Di samping penggunaan sensor kedudukan pendikit (TPS), binaan enjin GT128 itu sendiri menjadi faktor utama kenapa enjin GT128 lebih jimat minyak walaupun ia masih menggunakan karburetor.

Maka, model yang lebih baik dibuat perbandingan dengan 118EFI sudah tentulah Ace 115. Ace 115 mencatatkan penggunaan bahan api 46.1 km/L @ 80 km/j berbanding penggunaan bahan api 118EFI iaitu sekitar 50 km/L (angka dikemaskini: 59.5 km/L). Maka, ia sudah tentunya perbandingan yang cukup sepadan. Memandangkan kedua-dua 118EFI dan Ace 115 menggunakan enjin yang sama, maka ada 2 kesimpulan yang boleh dibuat setelah membandingkan antara kedua-duanya:-
  1. 118EFI terbukti jauh lebih jimat minyak daripada Ace 115
  2. Keluaran kuasa kuda 118EFI pula berkurangan berbanding Ace 115
Memandangkan Modenas baru sahaja berjinak-jinak dalam dunia pancitan bahan api, maka sudah tentulah hasil yang diperolehi masih ada sedikit kelemahan yang boleh diperbaiki. Saya tidak pasti sama ada ECU yang digunakan pada 118EFI adalah flashable (boleh memuatkan kemaskini talaan baru yang lebih baik) atau tidak, tetapi saya berharap ia flashable supaya Modenas boleh menambah baik talaan mereka secara berterusan. Ia samalah seperti mana Proton sentiasa menambah baik dan mengemaskini talaan ECU mereka. Lagipun, Modenas memang pernah menambah baik talaan enjin AN110 pada Modenas Kriss 110 dengan meningkatkan keluaran kuasa kuda daripada keluaran asal 7.5 PS kepada 9.0 PS, jadi saya percaya Modenas boleh melakukannya sekali lagi pada talaan ECU pancitan bahan api pula.

2 comments:

  1. kalu camtu, kena buat gt128 efi ler kalu semua pakat nak save minyak...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Idea yang bagus untuk penjimatan maksimum... :)

      Delete

Advertisement