Sunday, July 14, 2013

Blog Jalan Raya Malaysia @ Cameron Highlands 2013 Part 6: Jalan Gunung Brinchang FT432 Reconquista

Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana lambat mengemaskini entri reviu jalan penutup bagi siri jelajah Blog Jalan Raya Malaysia ke Cameron Highlands kali ini. Sebagai penutup bagi siri reviu jalan raya di Cameron Highlands, kami mengambil kesempatan untuk menakluki jalan raya tertinggi di Malaysia, Jalan Gunung Brinchang FT432, buat kali kedua. Jika anda terlepas reviu pertama kami mengenai jalan raya berturap tertinggi di Malaysia, anda boleh membacanya di sini.

Apa yang membezakan antara perjalanan kali pertama dengan kali kedua ini ialah jentera yang digunakan, dan kali ini kami menakluki sehingga ke penghujung jalan ini iaitu di menara pemancar Gunung Brinchang. Kebetulan pula ramai pelancong asing yang datang ke Gunung Brinchang dengan menggunakan perkhidmatan pengangkutan Land Rover. Bukan itu sahaja, malah ada pelancong tempatan yang menggunakan Perodua Kancil sahaja untuk mendaki Gunung Brinchang. Tak sangka begitu gagah rupanya Perodua Kancil itu sungguhpun terpaksa mendaki dengan kecerunan sekitar 20%! Selain itu, terdapat sepasang pelancong mat salleh yang menakluki Gunung Brinchang dengan menaiki motosikal Honda EX5, sayangnya saya tidak berkesempatan untuk mengambil gambar mereka. Tak sangka betul, rupa-rupanya Honda EX5 yang hanya ditenagai enjin 100 cc itu sangat perkasa! Dengan kata lain, apa sahaja kenderaan boleh menakluki Gunung Brinchang, asalkan anda tahu menggunakan teknik yang betul.

Jika anda benar-benar serius mahu menakluki Gunung Brinchang, berikut merupakan beberapa tip yang saya rumuskan buat panduan anda:-
  1. Pastikan kenderaan anda dalam keadaan yang paling sempurna. Pastikan kasut brek serta bunga tayar cukup tebal. Pastikan kesemua brek anda berfungsi dengan sempurna. Bagi yang menggunakan transmisi manual, pastikan klac anda berfungsi dengan sempurna dan tiada masalah klac tergelincir (slip).
  2. Setiap kali anda berada di selekoh, sentiasa bunyikan hon untuk memaklumkan kewujudan anda kepada kenderaan lain yang mungkin terselindung. Jika anda mendengar bunyi hon dari arah hadapan, balas kembali bunyi hon tersebut untuk memaklumkan kewujudan anda. Dalam keadaan tersebut, bersiap sedialah untuk berselisih, kerana jalan ini merupakan jalan selorong seperti jalan kampung. Jika anda bimbang akan berlaku kesukaran untuk berselisih dengan selamat, maka saya sarankan agar anda menggunakan motosikal untuk menakluki Gunung Brinchang.
  3. Sentiasa nyalakan lampu walaupun pada waktu siang untuk membolehkan kenderaan lain nampak kenderaan anda.
  4. Jika anda berselisih semasa menuruni bukit, berikan keutamaan kepada kenderaan yang mendaki bukit.
  5. Pastikan anda lebih banyak bergantung kepada brek enjin (gunakan gear rendah) daripada brek biasa (brek tangan / kaki). Memandangkan terdapat cerun yang sangat curam sehingga 20%, anda mungkin terpaksa naik atau turun dengan menggunakan gear 1.
  6. Jangan pandu melebihi 20 km/j. Anda mungkin perlu menjangkakan bahawa perjalanan dari kaki bukit ke puncak Gunung Brinchang sejauh hanya 6.7 km akan mengambil masa lebih kurang setengah jam.
  7. Jangan gunakan Jalan Gunung Brinchang FT432 semasa cuaca buruk, berikutan ancaman tanah runtuh.
Satu perubahan yang saya dapat saksikan pada jalan ini ialah jajaran dari tapak perkhemahan Gunung Irau ke Gunung Brinchang sudah pun diperbaiki, dengan menggunakan turapan konkrit pada bahagian yang curam. Selain itu, sebagai panduan tambahan kepada pengguna jalan raya, pihak Boh Plantation telah mendirikan sebuah papan tanda yang begitu besar.

Selebihnya, biarlah gambar-gambar di bawah ini berbicara bagi pihak saya, memandangkan apa yang ingin saya ceritakan sebenarnya lebih kurang sama seperti pengembaraan dua tahun lalu yang telah saya tulis pada penghujung tahun lalu.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.







Jalan masuk ke Jalan Gunung Brinchang FT432 kini ditandakan oleh sebuah papan tanda besar yang didirikan oleh Boh Plantation






Dua jentera yang berjaya menakluki Jalan Gunung Brinchang FT432






Pemandangan di puncak Gunung Brinchang dari balai cerap berhampiran






Papan tanda ini langsung tidak boleh dipercayai; kecerunan sebenar yang terpaksa ditempuhi berhampiran papan tanda ini ialah sekitar 20%






Bermulanya penurunan bukit yang curam






Lumut merah dekat Gunung Brinchang






Terdapat satu kebun strawberi di sini






Sebuah Land Rover sedang mendaki Gunung Brinchang






Banyak jalan pertanian di sini yang diturap semula dengan konkrit supaya tahan lama






Pemandangan Ladang Teh Boh Sungai Palas yang begitu indah dan menenangkan jiwa






Antara selekoh di Jalan Gunung Brinchang FT432






Ada juga yang sekadar ingin berjalan kaki untuk mendaki Gunung Brinchang






Papan tanda ini menunjukkan arah sebenar untuk ke Gunung Brinchang - jika tersilap ambil jalan, anda akan tiba di Ladang Teh Boh Sungai Palas






Sesetengah selekoh di sepanjang jalan ini cukup lebar untuk membolehkan kenderaan berselisih dengan selamat

No comments:

Post a Comment