Thursday, August 29, 2013

Kembara Merdeka Sabah 2013 Part 1: Modus operandi penerbangan tambang murah / Modus operandi of low-cost carrier




Salam sejahtera,

Lebih kurang dua dekad lalu, menaiki kapal terbang merupakan satu bentuk kemewahan disebabkan tambangnya yang mahal. Maka, untuk menggalakkan orang-orang Semenanjung Malaysia untuk berkhidmat ke Sabah dan Sarawak, mereka ditawarkan elaun perjalanan yang membolehkan mereka membeli tiket kapal terbang untuk pulang ke kampung, meskipun jumlahnya masih terhad. Namun kini, sesiapa sahaja boleh pergi ke Sabah dan Sarawak disebabkan harga tiketnya yang mampu dibeli oleh sesiapa sahaja, hasil daripada penubuhan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia. 

Jadi bagaimana syarikat penerbangan tambang murah mampu memberikan kadar tambang kapal terbang yang sebegitu murah sedangkan kos sebenar pengangkutan kapal terbang adalah sangat tinggi? Hari ini saya ingin berkongsi sedikit sebanyak mengenai rahsia bagaimana syarikat penerbangan tambang murah boleh menyediakan tambang yang sebegitu murah.

Bagi mereka yang sudah biasa menaiki pesawat AirAsia, mereka tentunya sudah maklum bahawa mereka perlu menempah tiket kapal terbang beberapa bulan lebih awal. Kenapa begitu? Biar saya terangkan - untuk pengetahuan anda, harga tiket penerbangan tambang murah sebenarnya boleh berubah sebegitu dinamik, yang bermaksud harganya akan menjadi semakin lama semakin mahal jika anda bertangguh-tangguh semasa membeli tiket, berbeza dengan syarikat penerbangan biasa yang mana harga tiketnya kekal sama walaupun dibeli pada saat-saat terakhir. Sebenarnya dari segi teori, syarikat penerbangan tambang murah sebenarnya tidak untung (malah boleh rugi) semasa menawarkan tiket dengan tangga harga termurah; bagi mengatasinya, mereka mengamalkan sistem tangga harga yang semakin meningkat mengikut kapasiti bagi menggalakkan pengguna menempah tiket lebih awal sekaligus membolehkan mereka mendapat pulangan dengan lebih pantas. Bagi setiap penerbangan, setiap kerusi dibahagikan kepada beberapa tangga harga yang telah ditetapkan bilangannya, dan tiket dengan tangga harga terendah akan dijual terlebih dahulu. Biasanya, hanya lebih kurang 10% sahaja kerusi dengan tangga harga termurah (termasuk harga promosi) dijual. Setelah kesemua bilangan kerusi dengan tangga harga termurah habis dijual, maka tiket dengan tangga harga yang lebih tinggi pula dijual, dan proses tersebut berterusan sehinggalah tiket dengan tangga harga yang paling mahal dijual. Pada satu tahap, harga tiket akan meningkat sehingga ke takat yang mana harganya sudah jadi lebih mahal daripada tiket penerbangan biasa. Jika ini berlaku, maka lebih baik anda menaiki pesawat Penerbangan Malaysia sahaja. Oleh itu, anda mesti merancang percutian anda dengan teliti dan membeli tiket beberapa bulan lebih awal supaya anda tidak terkejut apabila harga tiket menjadi sebegitu cekik darah akibat suka bertangguh semasa membeli tiket. Jika anda jenis yang suka membeli tiket pada saat-saat akhir, maka tiket AirAsia sama sekali tidak sesuai untuk orang seperti anda. Tujuan caj bagasi dikenakan adalah bagi menggalakkan penumpang mengurangkan bagasi (kerana bagasi yang kurang memendekkan masa pemunggahan di lapangan terbang, sekaligus mengurangkan kos yuran parkir pesawat), di samping menjana keuntungan.

Selalunya, harga tiket termurah yang dinyatakan hanyalah bagi yang berlenggang-kangkung dan hanya membawa beg sandang kecil sahaja. Jika anda menempah tiket dengan bagasi, akan ada perbezaan harga yang agak kecil dan sama sahaja bagi setiap penerbangan. Namun, jika anda membeli tiket tanpa bagasi dan mahu menambah bagasi selepas pembelian tiket, maka caj yang dikenakan adalah lebih tinggi daripada perbezaan harga antara tiket dengan bagasi dan tanpa bagasi. Jika anda terhegeh-hegeh menambah bagasi semasa hendak menaiki pesawat, maka caj yang dikenakan adalah yang tertinggi. Begitu juga dengan penumpang yang membawa bagasi melebihi had berat. Ia adalah satu cara bagaimana syarikat penerbangan tambang murah menjana keuntungan yang besar. Modus operandi sebegini samalah seperti jualan pencetak komputer - pencetak dijual dengan harga yang lebih tinggi sedikit sahaja daripada kos pembuatannya, tetapi dakwatnya pula dijual dengan harga yang sebegitu mencekik darah, membolehkan pengeluarnya untung berlipat kali ganda.

Jika anda sudah pun membeli tiket, ini amaran keras untuk anda - jangan sekali-kali meminta menukar tarikh dan / atau masa penerbangan - rugi besar! Anda akan dikenakan caj penukaran serta perbezaan tambang sekiranya harga tiket pada masa penerbangan yang baru lebih mahal daripada yang lama. Jika harga tambang baru lebih murah daripada yang lama, ia tetap dianggap sifar dan bukan negatif - anda tetap perlu membayar penuh caj penukaran. Anda hanya boleh menukar tarikh dan masa sesuka hati anda tanpa sebarang caj tambahan jika dan hanya jika anda membeli tiket yang paling mahal - itu pun kalau ada.

Jika anda perhatikan betul-betul, syarikat penerbangan tambang murah beroperasi di terminal lapangan terbang yang kurang canggih (seperti di terminal LCCT berbanding terminal utama KLIA di Kuala Lumpur). Ada kalanya mereka beroperasi di lapangan terbang sekunder, misalnya Firefly beroperasi di lapangan terbang lama di Subang dan bukannya KLIA. Yuran parkir pesawat dan sewa premis yang lebih murah di samping peralatan penerbangan yang kurang canggih (seperti menggunakan tangga mudah alih yang digerakkan oleh lori dan bukannya jetway bagi mengelakkan sewaannya yang mahal).

Dari segi pesawat yang digunakan, syarikat penerbangan tambang murah selalunya hanya menggunakan satu atau dua jenis pesawat sahaja, dan pesawat-pesawat tersebut dibeli secara borong dalam kuantiti yang sangat banyak supaya membolehkan mereka mendapat diskaun niaga daripada pengeluar pesawat. Misalnya, AirAsia hanya menggunakan pesawat jenis Airbus A320-200. Pada tahun 2016 pula, mereka akan beralih kepada pesawat Airbus A320neo yang lebih baharu dan lebih jimat bahan api, tetapi bahagian dalaman, kokpit serta sistem pengendaliannya adalah sama seperti A320-200. Faktor sebegini sangat penting supaya kos bagi melatih juruterbang dan kru penerbangan dapat dijimatkan. 

Ciri-ciri pesawat yang digunakan itu sendiri turut menyumbang kepada penjimatan kos. Pesawat Airbus A320-200 hanya memerlukan seorang juruterbang dan pembantunya sahaja di dalam kokpitnya kerana menggunakan sistem pengurusan pesawat yang begitu canggih. Pesawat yag lebih lama memerlukan tambahan seorang jurutera penerbangan bagi menterjemah bacaan tolok-tolok dan meter-meter yang terdapat di dalam kokpit dan memaklumkannya kepada juruterbang. Pesawat Airbus A320-200 berupaya memuatkan seramai 180 orang penumpang, dan kerusi yang digunakan adalah menegak dan disusun rapat, dengan ruang kaki yang hanya cukup-cukup makan sahaja. Seramai lebih kurang 4 orang sahaja anak kapal di dalam setiap pesawat, dan mereka bukan sahaja menjadi pramugara atau pramugari, tetapi turut membuat kerja-kerja lain seperti menjadi tukang sapu dan penghantar makanan. Sayap pesawat turut diubahsuai dengan memasang sayap lawi (winglet) bagi meningkatkan kecekapan aerodinamik pesawat.

Sebut fasal makanan, harga tiket penerbangan tambang murah hanyalah tempat duduk semata-mata - ditetapkan sendiri secara automatik. Jika anda mahu menetapkan sendiri tempat duduk, anda akan dikenakan sedikit caj, sedangkan syarikat penerbangan tradisional pula membenarkan anda menetapkan tempat duduk tanpa sebarang caj tambahan. Begitu juga dengan makanan, tiada makanan disediakan beserta pembelian tiket, sebaliknya anda perlu membeli makanan dengan harga yang berlipat kali ganda lebih mahal daripada biasa. Anda bayangkan, setin Coca-Cola di dalam pesawat AirAsia berharga RM6, sedangkan dengan harga yang sama anda dapat membeli tiga atau empat tin di kedai-kedai biasa. Selain itu, sebungkus nasi lemak di dalam pesawat AirAsia berharga RM15 lebih kurang tujuh kali ganda lebih mahal daripada di warung, gerai atau restoran biasa. Patutlah boleh untung berbilion-bilion ringgit setiap tahun! Sebab itu jugalah saya pernah terfikir untuk "menyeludup" sedikit makanan dan minuman untuk "kunyah-kunyah" sepanjang perjalanan, tetapi saya membatalkannya kerana sudah makan dan minum sepuas-puas hati sebelum menaiki pesawat.

Sebenarnya, ada banyak lagi rahsia bagaimana syarikat penerbangan tambang murah mampu mengiklankan kadar tambang yang sebegitu murah. Bahan api dibeli dengan kuantiti yang sangat banyak semasa harganya jatuh. Jika harga bahan api menjadi mahal dan syarikat tidak mempunyai rizab bahan api mencukupi, surcaj bahan api akan dikenakan. Tiket juga selalunya dijual dalam talian supaya kurang pekerja kaunter diperlukan. Pendek kata, operasi penerbangan tambang murah adalah berkaitan dengan bagaimana hendak meminimakan kos pengendalian serendah mungkin tetapi dalam masa yang sama juga mengaut keuntungan semaksima mungkin. Untuk menjana pendapatan tambahan, syarikat penerbangan tambang murah juga ada kalanya turut mengendalikan tempahan hotel dan kereta sewa bagi mendapatkan komisen tambahan.

Begitulah sedikit-sebanyak mengenai rahsia bagaimana syarikat penerbangan tambang murah seperti AirAsia berupaya menawarkan tambang murah tetapi dalam masa yang sama untung berbilion ringgit. Ada kalanya AirAsia pernah dikritik di dalam parlimen berikutan sistem tangga harga tambang yang digunakan, sekaligus timbul dakwaan yang mengatakan AirAsia "menipu" pengguna. Ada kalanya, terdapat beberapa syarikat penerbangan tambang murah yang dikritik kerana enggan membawa penumpang kurang upaya. Apa boleh buat, kalau nak tambang murah, itulah layanan yang kita dapat. Sebab itulah saya serahkan kepada anda sendiri untuk membuat pilihan sama ada mahu menggunakan penerbangan tambang murah ataupun konvensional. Jika anda hanya sekadar mahu tambang yang murah, tak kisah terpaksa duduk menegak serta pandai merancang percutian beberapa bulan lebih awal, maka AirAsia adalah untuk anda. Tetapi jika anda jenis yang suka membeli tiket pada saat-saat terakhir, tidak pandai merancang percutian dan mahukan layanan kelas satu (siap dengan makanan, minuman dan selimut), maka MAS adalah untuk anda.

No comments:

Post a Comment