Monday, August 26, 2013

Kembara Merdeka Sabah 2013: Prologue



Salam sejahtera kepada semua pembaca setia Blog Jalan Raya Malaysia!

Selamat datang ke negeri Sabah, negeri yang dikenali sebagai Negeri Di Bawah Bayu berikutan kedudukan strategiknya di bawah angin monsun. Sumber ekonomi utama Sabah ialah pelancongan, atau lebih spesifik lagi, eko-pelancongan. Sejumlah 9 Taman Negara atau Negeri telah diwartakan yang menyajikan pelbagai spesies flora dan fauna terutamanya bunga Rafflesia dan orang utan. Selain itu, terdapat beberapa lokasi berkayak yang mencabar seperti di Sungai Padas yang hanya boleh dihubungi melalui kereta api. Sabah turut menempatkan gunung tertinggi di Malaysia serta Kepulauan Melayu, iaitu Gunung Kinabalu setinggi 4,095 m.

Saya berkunjung ke Sabah pada 21 Ogos 2013 dan pulang semula ke Kuala Lumpur pada 24 Ogos 2013. Disebabkan masa yang begitu terhad di Sabah, banyak projek reviu jalan raya yang terpaksa saya tunda ke suatu tarikh yang akan saya tetapkan pada masa akan datang. Apa pun, pengalaman saya bercuti di Sabah merupakan suatu pengalaman yang amat berharga buat saya.

Untuk pengetahuan para pembaca dari Semenanjung yang belum pernah ke Sabah, saya perlu mengingatkan anda bahawa Sabah mempunyai kuasa autonomi dalam bidang imigresen, yang bermaksud pelancong dari Semenanjung dan Sarawak yang ingin memasuki Sabah perlu melalui pemeriksaan imigresen oleh Jabatan Imigresen Sabah. Malah, jika anda merentasi sempadan Sabah-Sarawak melalui jalan raya, anda juga dimestikan melalui proses pemeriksaan imigresen di Kompleks Imigresen Merapok/Sindumin, sungguhpun kedua-dua negeri adalah sebahagian daripada Persekutuan Malaysia. Asalnya, pelancong dari Semenanjung dan Sarawak wajib membawa pasport untuk ke Sabah, tetapi sekarang mereka hanya perlu membawa kad pengenalan dan diberikan pas lawatan sosial 90 hari yang perlu dipulangkan semula kepada Jabatan Imigresen semasa meninggalkan Sabah. Hak autonomi Sabah dalam bidang imigresen dijamin oleh Perlembagaan Malaysia dan kerajaan persekutuan tiada kuasa veto untuk membenarkan atau melarang kemasukan seseorang ke Sabah kecuali ketika darurat atau ancaman keselamatan.

Seperti di Semenanjung, jalan raya di Sabah terdiri daripada jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan tempatan (perbandaran atau jalan kampung). Jalan persekutuan di Sabah terbahagi kepada 3 jenis:-
  1. Lebuhraya Pan Borneo - diwartakan sebagai Jalan Persekutuan 1 (Kudat-Kota Kinabalu-Sindumin), 13 (Batu 32 Checkpoint Sandakan-Lahad Datu-Tawau) dan 22 (Kota Kinabalu-Sandakan)
  2. Jalan persekutuan sekunder (siri 500)
    • FS500 - Kota Kinabalu-Tambunan-Keningau-Tenom
    • FS501 - Jalan Penampang-Lok Kawi
    • FS502 - Beaufort-Menumbok (ke Labuan)
    • FS503 - Jalan baru Tuaran-Kota Belud (memintas jajaran lama FSU1 dari Tamparuli ke Kampung Pengkalan yang berbengkang-bengkok dan sempit)
  3. Jalan institusi persekutuan (siri 600) - setakat ini hanya 2 sahaja yang diketahui iaitu Jalan Persekutuan 601 (Tanjung Aru-Sembulan-pusat bandar raya KK-Universiti Malaysia Sabah-Bandar Indah Permai) dan 606 (Jalan Sepanggar).
Majoriti jalan raya utama di Sabah ialah jalan negeri. Malah, jalan persekutuan di Sabah sebenarnya hanyalah pada nama sahaja kerana Sabah turut mempunyai kuasa autonomi terhadap pembinaan jalan raya; perbezaan utama antara jalan persekutuan dan jalan negeri hanyalah sumber peruntukan utama, iaitu pembinaan jalan persekutuan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan. Ia berbeza daripada status jalan raya di Semenanjung, yang mana kerajaan persekutuan berkuasa penuh terhadap pembinaan jalan-jalan persekutuan, tetapi Jabatan Kerja Raya negeri dan daerah pula mempunyai kuasa terhadap penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan yang melalui negeri dan daerah masing-masing.

Jika anda berkunjung ke Sabah melalui udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu merupakan lapangan terbang utama di Sabah. Ia terbahagi kepada dua terminal, iaitu Terminal 1 (disebut sebagai "lapangan terbang baru") dan Terminal 2 (bangunan asal, kini mengendalikan penerbangan tambang murah). Dalam entri seterusnya saya akan menulis mengenai penerbangan tambang murah serta modus operandinya.

No comments:

Post a Comment