Saturday, September 14, 2013

Kembara Merdeka Sabah 2013 Part 7: Lebuhraya Papar-Sindumin FSS1 / Papar-Sindumin Highway FSS1

Salam sejahtera,

Reviu kali ini merupakan reviu penutup bagi siri jelajah Blog Jalan Raya Malaysia ke Sabah dari 21 hingga 24 Ogos 2013. Sayu sungguh rasanya hati saya apabila memikirkan saya bakal meninggalkan bumi di bawah bayu yang sungguh menenangkan jiwa ini. Empat hari berada di negeri di bawah bayu ini terasa tidak mencukupi bagi saya - bukan sahaja kerana tidak cukup masa untuk menghasilkan reviu jalan raya sebanyak mungkin, tetapi juga kerana saya sudah pun tertarik dengan pemandangan yang sungguh menenangkan jiwa, yang pastinya sukar diperolehi setelah kembali semula ke Kuala Lumpur. Apa pun, saya berazam untuk kembali lagi ke Sabah sekurang-kurangnya selama seminggu bagi apresiasi jalan raya dan alam semula jadi Sabah dalam erti kata sebenar.

Sebelum ini, saya ada menulis secara sepintas lalu mengenai Lebuhraya Papar-Sindumin FSS1 ini. Lebuhraya Papar-Sindumin FSS1 ini merupakan komponen terakhir bagi Jalan Persekutuan 1 di Sabah sepanjang 428 km, yang juga membentuk sebahagian daripada rangkaian Lebuhraya Pan Borneo AH150 bagi menghubungkan antara Sabah, Sarawak, Brunei dan Indonesia. Lebuh raya persekutuan dua lorong sepanjang 112 km ini mula dibina pada tahun 1977 dengan menelan kos sebanyak RM50 juta dan siap pada tahun 1980. Ia dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 17 November 1981. Dengan siapnya Lebuhraya Papar-Sindumin FSS1 ini, pengguna jalan raya boleh memandu dari Kuching sehingga ke Kota Kinabalu. Namun, ia bukanlah bermakna Lebuhraya Pan Borneo sudah siap sepenuhnya; Lebuhraya Lawas-Merapok-Sindumin FSS1 hanya siap pada penghujung tahun 1981, manakala jajaran Lawas ke Temburong yang merupakan pautan putus terakhir dalam jajaran Jalan Persekutuan 1 di Sarawak hanya siap pada tahun 1997. Mungkin ada di antara anda tidak percaya bahawa usia lebuh raya ini sebenarnya masih muda lagi. Dalilnya? Ibu saya pernah menceritakan kepada saya bahawa dia pernah ke Sabah pada tahun 1970an semasa masih lagi anak dara, dan mendapati kawasan yang disinggahinya di Kampung Benoni dan Kimanis pada masa itu hanya dihubungkan ke dunia luar melalui jalan tanah merah.

Memandangkan usia jalan ini yang masih lagi muda, banyak pekan yang dilaluinya masih lagi muda. Namun demikian, Beaufort adalah antara pekan yang lebih dahulu maju sebelum jalan raya yang melaluinya dibina, hasil daripada pengangkutan kereta api. Pekan Sipitang adalah antara pekan paling cepat membangun hasil daripada pembukaan Lebuhraya Papar-Sindumin FSS1 ini, malah kebanyakan bangunan kedai di situ kelihatan masih baru, berkemungkinan dibina pada tahun 1980an (saya tak pasti, harap ada di antara pembaca yang berasal dari Sipitang boleh membantu memberi pencerahan). Malah, sebuah pusat pemprosesan minyak dan gas sedang dibina di Kimanis, yang berupaya merubah lanskapnya dari sebuah kampung (atau pekan koboi) kepada sebuah bandar baru yang pesat membangun setanding Kerteh di Terengganu kelak.

Kami memasuki lebuh raya ini di Bulatan Benoni, yang merupakan permulaan bagi lebuh raya ini, dari arah Papar melalui Jalan Papar Spur. Keadaan jalan di sepanjang jajaran Papar-Kimanis kurang baik, agak menggerutu dan banyak kawasan yang mendap disebabkan keadaan muka bumi yang berpaya di sepanjang laluan. Masalah tanah mendap di sepanjang jajaran ini memang sudah lama berlaku sejak pembinaan lebuh raya ini lagi, dan setakat ini masih belum ada sebarang jalan penyelesaian bagi menghentikan masalah tersebut. Sungguhpun demikian, jalan raya ini tetap penting dan pembinaannya tetap diteruskan demi membawa pembangunan kepada penduduk di kawasan barat daya Sabah.

Keadaan jalan bertambah baik setelah menghampiri Bulatan Kimanis, yang merupakan permulaan bagi Lebuhraya Kimanis-Keningau. Saya telah terlepas peluang mencuba jalan tersebut kali ini atas nasihat Makcik Dayang Siti Zaleha kerana tidak mahu saya hilang kawalan akibat keadaan jalan yang sangat curam; namun, setelah menyaksikan sendiri saya mengendalikan Proton Saga BLM dengan baik di Lebuhraya Tamparuli-Ranau FS22 dan Kinabalu Park yang bercerun curam, barulah saya berjaya meyakinkannya bahawa saya sudah cukup bersedia untuk menawan lebuh raya tercuram di Sabah itu.

Ada 2 jambatan kekuda besi di sepanjang jalan ini, iaitu Jambatan Kimanis dan Jambatan Beaufort. Antara kedua-dua jambatan tersebut, Jambatan Beaufort lebih dahulu wujud, dan ia menjadi ikon utama bagi bandar Beaufort. Jajaran Papar-Beaufort sememangnya jajaran paling sibuk di sepanjang lebuh raya ini, maka sudah banyak lorong memotong dibina bagi membolehkan pengguna jalan raya memotong kenderaan perlahan dengan selamat.

Semasa di Membakut, langit kelihatan semakin gelap dari arah Laut China Selatan, menandakan bakal berlaku ribut petir. Mujurlah kami sempat sampai di bandar Beaufort dan singgah di situ untuk solat Jumaat. Namun, hujan tidak jadi turun di Beaufort. Syukur alhamdulillah!

Bandar Beaufort sememangnya merupakan bandar yang sibuk, memandangkan ia adalah bandar persinggahan sebelum meneruskan perjalanan ke Sarawak melalui Lebuhraya Lawas-Merapok-Sindumin FSS1. Selain itu, ia juga bandar persinggahan bagi pengguna kereta api Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) sebelum menukar tren ke jeram Sungai Padas dan seterusnya ke Tenom, memandangkan jajaran Beaufort-Tenom masih belum mengalami pemulihan berikutan keadaan muka buminya yang mencabar, memaksa khidmat lokomotif lama digunakan bagi laluan tersebut.

Sebaik selesai menunaikan solat Jumaat, kami keluar dari Beaufort melalui Jambatan Beaufort dan meneruskan perjalanan ke Sipitang. Jambatan besi ini cukup terkenal sebagai ikon utama bandar Beaufort. Sayangnya, memandangkan ia cuma 2 lorong, maka jambatan ini sering sesak. Sehubungan dengan itu, Jabatan Kerja Raya Sabah mengambil inisiatif membina jambatan kedua bagi mengurangkan kesesakan jambatan lama Beaufort. Tidak seperti jambatan lama Beaufort, jambatan kedua Beaufort ini dibina sebagai jambatan konkrit biasa sahaja. Laluan baharu yang melalui jambatan itu bermula dari Bulatan Bingkul dan berakhir di Bulatan Luagan. Sebelum pembinaan jambatan tersebut, Bulatan Bingkul asalnya merupakan simpang tiga bagi pengguna jalan raya yang hendak ke Kuala Penyu dan ke Labuan melalui jeti Menumbok.

Pada beberapa kilometer terawal setelah meninggalkan Beaufort, keadaan jalan agak kurang baik berhampiran Sekolah Menengah Vokasional Beaufort, berikutan kerja-kerja pembaikan jalan, sebelum ia kembali elok semula. Tidak seperti jajaran Papar-Beaufort, jajaran Beaufort-Sindumin pula sangat kurang kenderaan. Memandangkan bilangan kenderaan yang begitu kurang, saya akhirnya mengakui bahawa dalam keadaan sebegini Sabah masih belum memerlukan sebatang lebuh raya ekspres. Jika sebelum ini saya pernah menyeru agar kerajaan membina lebuh raya ekspres di Sabah dan Sarawak, tetapi setelah saya datang sendiri ke Sabah, saya tarik balik kata-kata tersebut. Biarlah pekan-pekan yang baru saja hendak bernafas ini membesar sehingga sudah cukup maju dahulu. Saya tidak sanggup melihat pekan-pekan dan kampung-kampung yang mendamaikan ini diragut nyawanya oleh lebuh raya ekspres. Pendapat saya ini turut dipersetujui teman wanita saya dan Makcik Dayang Siti Zaleha.

Kami akhirnya tiba di Sipitang. Pekan ini nampak begitu cantik dan ceria, berikutan lokasinya yang betul-betul terletak di tepi Laut China Selatan. Sejak Lebuhraya Papar-Sindumin FSS1 dibuka, pekan Sipitang menjadi maju dalam masa sebegitu pantas serta menerima banyak infrastruktur untuk kesejahteraan rakyat, termasuklah sebuah hospital. Memandangkan Sindumin sudah jauh, saya pada asalnya mencadangkan agar singgah sebentar di Sindumin, tetapi memandangkan hari sudah petang dan Makcik Dayang Siti Zaleha pula ingin mengajak saya menikmati keindahan matahari terbenam di Kota Kinabalu, maka kami akhirnya kembali semula ke Kota Kinabalu.

Jadi bagaimana keadaan jajaran dari Sipitang ke Sindumin? Bukannya jauh sangat pun lagi. Sebelum anda meninggalkan Sabah, simpang utama terakhir ialah Bulatan Sipitang-Tenom untuk memasuki Lebuhraya Sipitang-Tenom pula. Sebaik tiba di bulatan terakhir di Sindumin, anda perlu belok kiri jika mahu meneruskan perjalanan ke Sarawak - tetapi sebelum itu, anda perlu melalui checkpoint imigresen dan mengecap pasport anda. Eehhh...? Takkanlah dalam Malaysia sendiri pun kena cap pasport...? Saya akan tulis mengenainya dalam entri akan datang.

Ternyata, perjalanan melalui Lebuhraya Papar-Sindumin FSS1 ini benar-benar menginsafkan saya. Sebelum ini saya mengkritik kerajaan kerana enggan membina lebuh raya ekspres di Sabah, tetapi setelah saya bertandang sendiri ke Sabah dan menyaksikan keadaan pekan-pekan dan kampung-kampung yang baru hendak bernyawa hasil pembinaan Lebuhraya Papar-Sindumin FSS1 ini, pemikiran saya pun berubah. Kerana jalan raya dua lorong seperti inilah rakyat Sabah menjadi pengguna jalan raya yang begitu sabar dan menghargai jalan raya yang banyak berjasa kepada mereka. Anda mungkin tidak akan percaya jika saya katakan nyawa sesebuah bandar atau pekan sebenarnya bakal dibunuh sekiranya lebuh raya ekspres dibina. Tak percaya? Insya-Allah saya akan menulis mengenainya nanti dalam entri Mythbuster.

Bagaimana pula jika hendak ke Sarawak melalui jalan ini? Izinkan saya menulis mengenainya sebelum saya menutup siri jelajah ke Sabah kali ini.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.







Panjang Lebuhraya Papar-Sindumin FSS1 ialah 112 km






Persimpangan lampu isyarat Kampung Benoni






Bulatan Kimanis untuk ke Lebuhraya Kimanis-Keningau






Jambatan Kimanis






Bulatan Bongawan






Bulatan Bandau






Pekan Membakut






Jangan terkeliru - ini bukanlah simpang sebenar untuk ke Jalan Persekutuan 502 ke Menumbok, tetapi hanyalah jalan pintasnya sahaja...






...simpang sebenar untuk ke FS502 dan Menumbok ialah di Beaufort - juga dihubungkan ke jambatan baru Beaufort!






Lintasan kereta api menandakan kami semakin hampir ke pusat bandar Beaufort






Bulatan utama bandar Beaufort - ambil pusingan pukul 3 untuk ke Sindumin dan Sarawak






Pemandangan dari jambatan kekuda besi yang menjadi ikon Beaufort






Bertemu semula dengan jambatan baru Beaufort di Bulatan Luagan






Simpang ke Weston






Pekan Mesapol memang kecil, sehinggakan jarak 300 m pun masih belum terasa aura pekan






Inilah dia pekan Mesapol






Bulatan Sipitang






Sepetang di Sipitang

No comments:

Post a Comment