Sunday, December 30, 2012

Lebuhraya Papar-Sindumin FT1: Sepintas lalu / Papar-Sindumin Highway FT1: Overview

Salam sejahtera,

Lebuh kurang dua minggu lalu, saya ada menulis mengenai petikan ucapan perasmian Lebuhraya Papar-Sindumin FT1 oleh Tun Dr. Mahathir pada 19 November 1981. Lebuh raya dua lorong tersebut merupakan jajaran terakhir laluan A2 yang siap diturap, yang mana kemudiannya dicantumkan dengan laluan A1 bagi membentuk Jalan Persekutuan 1 di negeri Sabah pada tahun 1996 berikutan penyeragaman sistem kod jalan persekutuan di sana. Lebuh raya sejauh 109 km ini bermula dari Bulatan Bongawan dekat Papar dan tamat di Pusat Imigresen Merapok-Sindumin, bagi menghubungkannya dengan Lebuhraya Lawas-Merapok-Sindumin FT1 di Sarawak.

Sejak siapnya lebuh raya ini pada tahun 1981, pekan-pekan dan bandar-bandar yang dilaluinya menjadi maju dengan sebegitu pantas. Bandar Papar, Beaufort dan Sipitang berkembang dengan sebegitu pesat. Pekan Kimanis juga bakal berkembang maju sebagaimana Paka di Terengganu setelah Terminal Petroleum dan Gas Sabah di Kimanis milik Petronas dibina.

Kali ini Blog Jalan Raya Malaysia ingin mengambil kesempatan untuk berkongsi pengalaman seorang blogger yang menggunakan Lebuhraya Papar-Kimanis FT1 untuk ke Brunei untuk tatapan para pembaca. Terima kasih buat Saudara Hasidy Harun kerana sudi berkongsi pengalaman beliau menggunakan jalan raya tersebut.




Perjalananku Ke Brunei Darussalam. (Bahagian II)

.........setelah berehat untuk mandi dan membuang air kecil dan besar, saya dan kawan saya bersiap untuk meneruskan perjalanan. Perjalanan kami dimulakan dengan sarapan pagi di sebuah restoran melayu di Pekan Putatan. Tidak banyak pilihan makanan di restoran ini. Walau apapun, perut kena diisi. Santapan mee goreng dan minuman panas. Jam menunjukkan pukul 10 pagi, kami memulakan perjalanan yang jauh dan menyeronokkan.

Berdasarkan peta Sabah yang kami muat turun daripada internet, perjalanan kami ini akan menemui pekan Kimanis iaitu 45 km dari Kota kinabalu. Untuk ke Pekan Kimanis, terdapat 2 laluan yang boleh dipilih. Laluan melalui pekan Kinarut dan Papar atau laluan terus ke Kimanis tanpa perlu ke Pekan Kinarut dan Papar. Persimpangan laluan lampu isyarat ini boleh ditemui selepas sahaja melalui Kem Askar Lok Kawi. Laluan untuk ke Pekan Kimanis melalui Pekan Kinarut dan Papar adalah simpang ke sebelah kanan, manakala laluan terus ke Pekan Kimanis tanpa perlu ke Pekan Kinarut dan Papar adalah terus kehadapan. Saya dan kawan saya memilih untuk terus ke laluan Pekan Kimanis. Perjalanan dijangka mengambil masa 40-45 minit. Perjalanan satu lorong sehala ini melalui kampung dan rumah-rumah kampung ditepi jalan yang berselekoh tajam kiri dan kanan. Berhati-hati ketika melalui jalan ini kerana saiz jalan dia kecil dan mempunyai selekoh. Dalam perjalanan ini, kita akan temui suatu kawasan yang rata dan cantik pemandangannya. Jelapang padi Sabah gelaran diberi. Jauh mata memandang, teringat kenangan. Setelah hampir 10.43 minit perjalanan, kami sudah hampir untuk sampai ke Pekan Kimanis. 




2 Km sebelum sampai ke Pekan Kimanis dan 39 Km untuk sampai di Daerah Beaufort.


Pekan Kimanis tidaklah besar tatkala hendak dibandingkan Pekan Kunak atau Pekan Telupid, memang tidak boleh dibandingkan. Ianya sebuah pekan yang hanya terdapat beberapa deretan kedai papan. Walaupun begitu, umum sudah mengetahui Projek Carigali Petronas (SAMUR) telah pun dimulakan. Kita boleh melihat projek itu yang terletak ditepi jalan dan beberapa projek pembinaan rumah kedai beberapa deret yang begitu rancak boleh diandaikan pekan ini akan maju tidak berapa lama akan datang.


Kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya, Pekan Beaufort, tidak kurang 37 Km daripada Pekan Kimanis. Untuk ke Pekan Beaufort ini, perjalanannya tidaklah rumit kerana hanya satu laluan utama sahaja untuk terus ke Pekan Beaufort ini. Sebelum sampai ke Pekan Beaufort, kita akan bertemu Bulatan Bongawan yang mana bulatan ini membahagikan perjalanan ke Pekan Bongawan dan Jalan Bongawan Estate.




Bulatan Bongawan




Setelah melalui Bulatan Bongawan, kita akan temui Papan Tanda Jarak destinasi Seterusnya..




Pemandangan biasa ketika melalui Laluan Utama ke Pekan Beaufort dari Pekan Kimanis iaitu Station Laluan Keretapi KK-Weston


Tepat pukul 12.10pm, setelah melalui pekan Kimanis, Bulatan Bongawan dan Pekan membakut kami tiba di Pekan Beaufort, setelah melalui perjalanan untuk 2 Jam. Pekan ini besar, dan pada firasat saya ia boleh dipanggil bandar kerana infrastrukturnya yang sempurna. Kawan yang saya amat kasihi yang turut bersama saya, dapat mengutip cebisan foto pekan Beaufort untuk tatapan kalian.




Ketibaan kami disambut dengan papan tanda Pekan Beaufort. 




Replika Buah Kelapa menjadi simbolik kepada Pekan Beaufort.


Pasar Pekan Beaufort




Masjid Pekan Beaufort




Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Beaufort. Betul-betul ditengah Pekan Beaufort.




Terminal Kereta Sewa Pekan Beaufort dan "Bini-bini".




Papan Tanda Jalan Ke Tapak Stesen Kereta Api, pekan Beaufort.




Ke Sipitang, kena melalui jambatan. Laluan utama ke Pekan Sipitang, Lawas Dan Brunei Darussalam.



Inilah dia jambatan yang dimaksudkan. Jambatan ini menghubungkan Pekan Beaufort dan laluan ke Pekan Sipitang yang dipisahkan oleh Sungai Padas. Panjang jambatan atau lebar Sungai Padas adalah lebih kurang 600 m.


Habis cerita mengenai Pekan Beaufort, jom kita teruskan perjalanan bersama kami ke Pekan Sipitang. Pekan Sipitang merupakan daerah yang paling hujung di sebelah selatan Negeri Sabah. Jarak antara Pekan Beaufort dan Pekan Sipitang adalah 44 km. Ia mengambil masa dalam 40-45 minit perjalanan. Pemandangan menuju ke pekan Sipitang amat cantik dengan kiri dan kanan laluan utama kelihatan luas walaupun dipenuhi oleh tumbuhan lalang. Di sebelah kanan sepanjang laluan ke Pekan Sipitang ini, kita boleh lihat, lautan luas Laut China Selatan. Pemandangan sepanjang laluan ke Pekan Sipitang kami kongsikan bersama.




Papan Tanda Jarak. Sipitang 33 Km.




Cantik. Satu-satunya, laluan utama ke Pekan Sipitang dari Pekan Beaufort.




19 km sebelum sampai ke Pekan Sipitang, kami bertemu dengan simpang masuk ke Pekan Weston (Sebelah kanan).




Lagi. Pemandangan laluan utama menuju ke Pekan Sipitang.


Jam menunjukkan pukul 1.30 petang. Pemandangan yang indah disepanjang laluan ke Pekan Sipitang membuatkan kami alpa dan lalai sehinggakan kami tidak menyedari bahawa kami telah sampai di Pekan Mesopol, sebuah pekan kecil dibawah pentadbiran Pekan Sipitang. Mesapol terdiri daripada deretan kedai dan terdapai masjid utama ditepi jalan.




Papan tanda menunjukkan kami menghampiri Pekan Mesapol




Sedikit gambaran dan sekitar Pekan Mesapol. 


Kami meneruskan perjalanan tanpa memasuki Pekan Mesapol kerana hari sudah petang. Walaupun masih awal tetapi perancangan waktu perlu diatur lebih awal agar tidka terburu-buru mengejar waktu. Tidak jauh dari Pekan Mesapol, kini tiba di Pekan Sipitang, daerah terakhir Sabah sebelum masuk ke Lawas, Sarawak


Pekan Sipitang agak besar. Terletak betul-betul ditepi Laut China Selatan. Majoriti kaum di Daerah Sipitang ini adalah daripada suku kaum kedayan, brunei, murut dan pelbagai bangsa. Sipitang terkenal dengan pesta tahunan mereka yang dimasukkan sebagai kalendar pelancongan daerah ini iaitu Pesta GATA Sipitang. Antara tempat menarik di Sipitang ini adalah Taman Esplanade. Taman ini terletak betul-betul di Pekan Sipitang itu. Sebelum sampai ke Pekan Sipitang, terdapat stesen minyak Shell di tepi sebelah kanan. Cebisan gambar untuk kalian, saya muatkan.




Susur masuk ke Pekan Sipitang dan kenderaan kami ini berada diatas Jambatan.




Stesen Minyak Shell yang dimaksudkan. Kalau kita lihat, di jauh ke dalam gambar ini, Laut China Selatan.


Kami meneruskan perjalanan dan selepas sahaja melalui Pekan Sipitang ini, kami temui bulatan yang menujukan arah ke Pekan Kecil Sindumin dan Lawas, Sarawak. Hati dan fikiran sudah mulai "excited" kata orang putih. Sebentar lagi, kami akan melangkah ke luar negeri Sabah. 




Papan tanda arah selepas melalui Pekan Sipitang.




Untuk ke Lawas, Sarawak, kita akan menuju ke Pekan SIndumin, iaitu pekan kecil dibawah pentadbiran Sipitang, bersempadan dengan Lawas, Sarawak.


Sedikit masa lagi, perjalanan kami di Sabah akan berakhir dan kami hanya berada di Sabah dalam 20-25 minit sahaja lagi. Jarak Pekan Sipitang dengan Pekan kecil Sindumin adalah 22 Km. Laluan ke pekan Sindumin ini agak berbukit. 




Papan tanda arah ini menunjukkan kami sampai ke penghujung Negeri Sabah. Persimpangan bulatan ini menunjukkan Ke simpang kanan adalah Pekan Kecil Sindumin, Sabah. Manakala, simpang kiri adalah Pos Imigresen SIndumin, Sabah - Pos Imigresen Merapok, Lawas, Sarawak.



Kredit kepada: Hasidy Harun

No comments:

Post a Comment