Wednesday, December 5, 2012

Jaringan Lebuhraya Borneo (JLB): Adakah ia berdaya saing? / Borneo Expressway Network (JLB): Is it viable?



Salam sejahtera,

Dua bulan lalu, saya pernah menulis mengenai impak Bajet 2013 yang diumumkan oleh kerajaan, yang saya sifatkan sebagai "masih banyak kekurangan yang perlu diperbaiki" serta "hanya sekadar menyediakan penyelesaian jangka pendek bagi kos sara hidup", termasuklah rebat telefon pintar yang mana kos bagi rebat tersebut sepatutnya digunakan bagi memajukan rangkaian jalan raya terutamanya di Sabah dan Sarawak. Baru-baru ini, saya mendapati satu penemuan yang bunyinya agak menarik, iaitu tawaran "Jaringan Lebuhraya Borneo" (JLB) dalam bajet alternatif yang disediakan oleh Pakatan Rakyat.

Idea mengenai pembinaan lebuh raya ekspres rentas Borneo ini sebenarnya sudah saya utarakan terlebih dahulu sebelum Pakatan Rakyat mengumumkannya dalam bajet alternatif mereka. Saya juga sudah memikirkan idea Jalan Pintasan Brunei terlebih dahulu sebelum Pakatan Rakyat turut mengemukakannya dalam bajet mereka. Namun, dalam entri ini, saya tidak mahu mempertikaikan mengenai siapa ciplak idea siapa ataupun siapa yang lebih dahulu mengemukakan idea tersebut. Sebaliknya, entri kali ini lebih merupakan perbincangan adakah idea Jaringan Lebuhraya Borneo oleh Pakatan Rakyat ini betul-betul boleh direalisasikan.

Saya memang pernah menulis dalam entri terdahulu mengenai pentingnya pembinaan lebuh raya ekspres rentas Borneo bagi menambah baik rangkaian jalan raya di Sabah dan Sarawak yang jauh ketinggalan berbanding Semenanjung Malaysia. Namun, apabila Pakatan Rakyat mengemukakan idea yang sama dalam bajet alternatif mereka, masih ada beberapa persoalan besar yang perlu dijawab oleh mereka terlebih dahulu.

Persoalan pertama ialah sama ada mereka mahu membina keseluruhan jajaran lebuh raya ekspres tersebut sekaligus. Ia adalah kerana taburan penduduk Sabah dan Sarawak yang tidak sekata - ada kawasan yang berpenduduk ramai dan mempunyai kadar aliran trafik yang tinggi yang menimbulkan keperluan pembinaan lebuh raya ekspres seperti pantai barat Sabah, kawasan Kuching-Serian serta kawasan Sarikei-Sibu, manakala sebahagian besar kawasan lain di Sabah dan Sarawak berpenduduk jarang sehinggakan jarak antara pekan ada kalanya boleh mencecah lebih 100 km. Inilah yang menjadikan pembinaan lebuh raya ekspres di kawasan berpenduduk jarang tidak berdaya saing, terutamanya apabila ia dibina empat lorong sekaligus. Jika ia tetap dibina, kadar aliran trafik akan menjadi sangat kurang sehingga menyebabkan kerugian disebabkan kadar kutipan tol tidak dapat menampung kos pembinaan dan operasi. Nasib yang menimpa Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29 sepatutnya menjadi iktibar, memandangkan ia adalah mimpi ngeri bagi mana-mana syarikat konsesi lebuh raya ekspres. Oleh itu, penyelesaian terbaik ialah membina dua lorong sahaja dahulu kerana kos pembinaannya lebih rendah daripada empat lorong. Namun demikian, Pakatan Rakyat melalui PAS pernah menentang pembinaan jajaran dua lorong Cahaya Baru-Penawar di Lebuhraya Senai-Desaru E22 dan mengancam mahu mengadakan tunjuk perasaan sekiranya kutipan tol dimulakan, atas alasan kononnya tidak pernah ada negara lain di dunia yang membina lebuh raya tol dua lorong sahaja. Sebenarnya, banyak negara maju terutamanya Jepun, Switzerland, malah Amerika Syarikat yang membina lebuh raya dua lorong, maka Pakatan Rakyat mestilah sanggup membina lebuh raya tunggal dua lorong di jajaran berpenduduk jarang, kecualilah jika mereka sanggup menanggung hutang negara yang tinggi menggunung akibat kos pembinaan dan operasi lebuh raya tidak tertampung.

Persoalan seterusnya ialah dari mana mereka mahu memperoleh dana bagi pembinaan jaringan lebuh raya ekspres yang sangat panjang itu. Untuk pengetahuan semua, jarak bagi Lebuhraya Pan Borneo FT1 sedia antara Kuching ke Miri sahaja pun sudah melebihi 1,000 km. Kos pembinaan bagi Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai di Kelantan yang hanya sependek 73 km itu pun sudah mencecah RM1.8 bilion. Jadi anda bayangkanlah berapa ratus bilion ringgit yang diperlukan bagi membina keseluruhan lebuh raya ekspres tersebut dari Kuching sehingga ke Tawau. Maka, adalah mustahil untuk membina keseluruhan lebuh raya tersebut dengan hanya bergantung kepada hasil bumi Sabah dan Sarawak tanpa kutipan tol serta tempoh konsesi yang panjang, walaupun setelah kadar royalti minyak Sabah dan Sarawak dinaikkan sehingga lebih 20%. Tambah menambah parah keadaan, sebahagian besar muka bumi di sana adalah bergunung-ganang, yang memerlukan belanja yang sangat besar untuk mengukuhkan cerun serta membina terowong. Terowong Genting Sempah yang hanya sepanjang 900 m itu pun memerlukan perbelanjaan sebanyak lebih kurang RM500 juta untuk membinanya. Jadi, dari mana mereka mahu cekau duit?

Kesimpulannya, meskipun cadangan Jaringan Lebuhraya Borneo berbunyi menarik serta secara kebetulan hampir sama dengan idea pembinaan rangkaian lebuh raya ekspres rentas Borneo yang pernah saya kemukakan sebelum ini, namun masih ada beberapa kekangan yang bertentangan dengan prinsip Pakatan Rakyat sendiri. Pakatan Rakyat mahu membina lebuh raya ekspres rentas Borneo, tetapi dalam masa yang sama mereka menentang keras kutipan tol serta pembinaan lebuh raya tunggal dua lorong di kawasan berpenduduk jarang. Saya menulis entri ini bukanlah bermaksud saya mewakili Umno / Barisan Nasional ataupun Pakatan Rakyat, tetapi atas sudut pandangan sebagai pengkritik serta pengkaji jalan raya. Setiap idea pembinaan rangkaian jalan raya atau lebuh raya perlulah bersikap realistik, dan satu-satunya cara untuk menjadikan idea pembinaan Jaringan Lebuhraya Borneo itu realistik ialah dengan menceburi sendiri bidang industri pembinaan lebuh raya ekspres itu sendiri. Sebenarnya, Pakatan Rakyat melalui kerajaan negeri Selangor memang sudah menceburi bidang industri lebuh raya ekspres melalui Lebuhraya Shah Alam E5 dan Lebuhraya Cheras-Kajang E7, maka perkembangan di dua lebuh raya tersebut sepatutnya berupaya menjadi kayu pengukur sama ada Pakatan Rakyat boleh membina lebuh raya ekspres rentas Borneo sepanjang hampir 2,000 km tanpa tol seperti yang didakwa.

Peringatan: Segala penulisan di Blog Jalan Raya Malaysia adalah bersifat neutral tanpa memihak kepada mana-mana parti politik, sebaliknya ditulis dalam sudut pandangan sebagai pengkritik jalan raya. Oleh itu, sebarang komen berbaur sentimen politik akan dibuang dengan serta-merta.

No comments:

Post a Comment