Tuesday, December 3, 2013

Jambatan Pandaruan FT1 sudah hampir siap...!!! / Pandaruan Bridge FT1 is almost completed...!!!

Salam sejahtera,

Masih ingat lagi dengan entri merentasi 10 checkpoint imigresen dari Sabah ke Sarawak melalui Brunei dan sebaliknya...? Seperti yang kita sedia maklum, untuk memandu dari Miri ke Kota Kinabalu memerlukan anda melintasi 10 checkpoint imigresen, memandangkan satu-satunya jalan raya dari Sarawak ke Sabah memerlukan anda merentasi negara Brunei Darussalam, yang mana daerah Temburong yang merupakan sebahagian wilayah Brunei terletak di tengah-tengah antara Limbang dengan Lawas di Sarawak. 

Lintasan Sungai Pandaruan merupakan salah satu daripada pintu sempadan utama antara Limbang, Sarawak dengan Temburong, Brunei. Namun, selama berdekad-dekad lamanya, pengguna jalan raya yang hendak melintasi Sungai Pandaruan terpaksa menggunakan perkhidmatan feri sungai yang terhad kapasitinya. Akibatnya, pengguna jalan raya dari Miri dan Bandar Seri Begawan akan terperangkap berjam-jam lamanya setiap kali hendak ke Sabah melalui Sungai Pandaruan. Tambahan pula, perkhidmatan feri berkemungkinan terjejas semasa musim tengkujuh akibat arus sungai yang deras. Selain itu, pos imigresen lama di Kg. Puni juga menyulitkan pengguna kerana lokasinya yang tersorok sehingga menyebabkan pemandu cenderung untuk terlepas sehingga memaksa mereka berpatah balik.

Sehubungan dengan itu, kerajaan Malaysia dan Brunei menandatangai perjanjian pembinaan Jambatan Pandaruan pada 12 September 2011. Jambatan bernilai RM20.8 juta itu mula dibina pada 12 Mei 2012. Jambatan tersebut kini sudah siap, cuma masih belum dibuka kerana jalan penghubung ke kompleks imigresen baharu Pandaruan sepanjang 700 m masih dalam pembinaan dan dijangka siap Januari 2014. Sebanyak 10 kontraktor dipertanggungjawabkan dalam membina jambatan ini, iaitu 5 dari Malaysia dan 5 lagi dari Brunei.

Baru-baru ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof, telah melakukan satu lawatan kerja pada 29 November 2013 bagi meninjau kerja-kerja menyiapkan Jambatan Pandaruan FT1 bersama-sama jalan ke kompleks imigresen baharu Pandaruan. Selain lawatan ke tapak projek Jambatan Pandaruan FT1, beliau turut berkesempatan ke Lawas pada keesokannya bagi meninjau kerja-kerja pembaikan cerun di sana termasuklah projek penggantian Jambatan Batang Lawas FT1 selorong dengan sebuah jambatan gantung 2 lorong baharu.

Semoga kedua-dua projek ini dapat mengeratkan hubungan antara kerajaan Malaysia dan Brunei, di samping memudahkan perjalanan antara Miri dengan Kota Kinabalu. Oleh itu, Blog Jalan Raya Malaysia ingin mengucapkan tahniah kepada Jabatan Kerja Raya Malaysia dan Jabatan Kerja Raya Brunei kerana menjayakan projek pembinaan Jambatan Pandaruan FT1 ini.







Jambatan Pandaruan FT1






Bahagian jambatan yang menghala ke Limbang






Jambatan Pandaruan menghala ke Temburong






Dalam projek Jambatan Pandaruan ini, Sungai Pandaruan turut dipagar bagi mencegah pencerobohan dan penyeludupan






Datuk Fadillah Yusof bersama-sama tenaga kerja yang menjayakan projek Jambatan Pandaruan FT1






Projek penggantian Jambatan Lawas FT1 selorong kepada jambatan gantung dua lorong baharu

Semua kredit gambar: Laman Facebook rasmi Kementerian Kerja Raya

No comments:

Post a Comment