Tuesday, December 31, 2013

Siri reviu akhir tahun 2013: Lebuhraya Timur-Barat FT4 Fasa 2 Pakej 4 (Gerik-Kupang) / 2013 year-end review series: East-West Highway FT4 Phase 2 Package 4 (Gerik-Kupang)

Salam sejahtera,

Seperti dijanjikan, reviu terakhir bagi menutup tirai tahun 2013 ini disudahi dengan reviu mengenai Lebuhraya Timur-Barat FT4 Fasa 2 Pakej 4 dari Gerik ke Kupang. Sebelum ini, saya pernah berkongsi sejarah pembinaan Lebuhraya Timur-Barat FT4 dari Gerik ke Jeli sejauh 123 km yang mengambil masa selama 12 tahun untuk disiapkan akibat sering diserang pengganas komunis. Dengan siapnya jajaran dari Gerik ke Kg. Lawar, Jeli pada tahun 1982, maka Jalan Persekutuan 4 pada mulanya dianggap sudah siap sebelumnya. 

Namun, keadaan Jalan Persekutuan 76 dari Kuala Kangsar ke Baling yang berbengkang-bengkok bagai ular kena palu, disusuli dengan kesesakan Jalan Persekutuan 67 dari Sungai Petani ke Baling, telah menyebabkan timbul keperluan untuk menyambung Jalan Persekutuan 4 sehingga ke Butterworth. Projek yang dikenali sebagai Lebuhraya Timur-Barat Fasa 2 itu bermula dengan pembinaan Lebuhraya Butterworth-Kulim E15 dan disusuli dengan sambungannya yang merupakan jalan raya dua lorong biasa dari Sungai Seluang ke Tawar, diwartakan sebagai Jalan Persekutuan 4. Seterusnya, FT4 bertindih dengan FT67 sehingga menghampiri Kuala Pegang, memintas pekan Kuala Pegang, dan seterusnya bertindih lagi dengan FT67 sehingga ke Kupang.

Bahagian terakhir bagi Jalan Persekutuan 4 sepanjang 51 km dibina dari Kupang sehingga ke Gerik. Jalan Negeri Kedah K171, K173 dan sebuah jalan kampung dua lorong ke Kampung Keda Kemangi yang tidak diwartakan sebarang kod laluan dijadikan sebagai laluan perintis bagi projek Lebuhraya Timur-Barat FT4 Fasa 2 Pakej 4. Projek dimulakan pada tahun 2001 dan siap sepenuhnya pada tahun 2005, manakala kerja-kerja pemasangan perabot jalan pula siap pada tahun 2007.

Majlis pertunangan sahabat saya Khairul Azmi berlangsung pada pagi Ahad, 29 Disember 2013. Tunangnya berasal dari Kampung Keda Kemangi yang menjadi laluan Lebuhraya Timur-Barat FT4 Fasa 2 Pakej 4. Menurut orang-orang kampung di situ, asalnya Kampung Keda Kemangi adalah kampung paling penghujung di kawasan Kupang dan terletak betul-betul di kaki Banjaran Bintang. Sebab itulah ada yang menggelarkan kampung tersebut sebagai "kampung hujung dunia". Namun, setelah siapnya Lebuhraya Timur-Barat FT4 Fasa 2 Pakej 4, keadaan sosio-ekonomi penduduk Kampung Keda Kemangi kini bertambah baik.

Setelah majlis pertunangan Khairul Azmi berjaya disempurnakan, maka tiba masanya untuk pulang semula ke Kuala Lumpur. Tanpa membuang masa lagi, saya tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar di sepanjang FT4 ini kerana sebaik tiba di Gerik, Khairul Azmi meminta saya untuk memandu kereta di sepanjang baki perjalanan sehingga ke Kuala Lumpur. Pada malam sebelumnya, saya tidak dapat mengambil gambar FT4 berikutan keadaan jalan yang gelap pada sebelah malam.

Panorama sepanjang mencuba Lebuhraya Timur-Barat FT4 Fasa 2 Pakej 4 sememangnya sangat indah dan menarik. Lebuhraya Timur-Barat FT4 Fasa 2 Pakej 4 ini tidak sekadar dibina dua lorong sahaja. Sekali-sekala, terdapat jajaran jalan raya kembar 2 lorong sebagai laluan mendaki Banjaran Bintang dengan kecerunan antara 5-10%. Namun, apa yang mendukacitakan saya ialah keadaan pembalakan dan penggondolan hutan yang dijalankan dengan begitu rakus sekali. Saya sendiri tertanya-tanya, mana perginya pemantauan oleh Jabatan Perhutanan Negeri...? Mahu tunggu berlaku tanah runtuh yang meragut banyak nyawa baru hendak ambil tindakan...? Sepatutnya peristiwa banjir lumpur di Cameron Highlands tidak lama dahulu itu dijadikan iktibar, tetapi malangnya masih ramai di kalangan orang kita yang sudah terhantuk berjuta-juta kali pun masih tidak terngadah.

Terdapat satu hentian rehat di sepanjang Lebuhraya Timur-Barat FT4 Fasa 2 Pakej 4, iaitu Hentian Rehat Bintang Hijau. Selain itu, terdapat stesen minyak BHP tidak jauh dari simpang masuk ke Kampung Keda Kemangi. Jadi, penunggang motosikal kapcai tidak perlu terlalu risau mengenai baki muatan bahan apinya, kecuali setelah memulakan perjalanan ke Kelantan.

Sungguhpun saya berasa seronok sepanjang menggunakan FT4, masih terdapat beberapa perkara yang tidak memuaskan hati saya:-
  1. Tiada batu penanda jarak di sepanjang laluan, meskipun sudah lama diwartakan sebagai Jalan Persekutuan 4 pada tahun 2007. Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102 yang lebih baharu itu pula sudah ada batu penanda jarak, sekurang-kurangnya di sebelah daerah Cameron Highlands.
  2. Keadaan jalan yang sudah menunjukkan tanda-tanda penuaan meskipun tidak sampai 10 tahun, menunjukkan kualiti turapan yang kurang baik. Jalan Persekutuan 76 yang siap lebih dahulu sebagai jalan super two pula mempunyai kualiti turapan yang sangat cemerlang. Jika FT4 itu dilalui oleh sebegitu bayak kenderaan kelak, dikhuatiri jalan akan cepat rosak.
  3. Garisan jalan yang sudah kabur tetapi tidak dicat semula
  4. Ada banyak lampu jalan berkuasa solar dipasang di selekoh-selekoh berbahaya, tetapi boleh dikatakan hampir kesemuanya rosak dan tidak diselenggara. Mentol lampunya dibiarkan terbakar tanpa sebarang penggantian.

Sebaik tiba di Gerik, kami mengisi minyak dan menukar pemandu, memandangkan Khairul Azmi sudah pun terlalu letih akibat memandu terlalu lama pada hari sebelumnya tanpa rehat yang mencukupi. Setelah mengisi minyak, kami berkonvoi pulang ke Kuala Lumpur dan tiba betul-betul sewaktu azan Maghrib sedang berkumandang. Memandangkan saya perlu memandu sepanjang baki perjalanan ke Kuala Lumpur, maka reviu bagi Lebuhraya Timur-Barat FT4 Fasa 2 Pakej 4 berakhir di sini. Akhir kata, Selamat Tahun Baru 2014 kepada semua pembaca yang telah menyokong Blog Jalan Raya selama ini.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.

(Kemaskini: Pihak JKR Baling sudah pun memberi respons terhadap keadaan jajaran FT4 dari Kupang ke Gerik baru-baru ini. Menurut JKR Baling, kerja-kerja pemasangan batu penanda jarak baharu dari Kulim ke Baling sudah pun dimulakan, dan ia akan diteruskan bagi jajaran Kupang-Gerik pada tahun ini sebaik sahaja peruntukan disalurkan. Begitu juga dengan penyelenggaraan lain seperti kerja-kerja menurap semula jalan dan mengecat semula garisan jalan. Terima kasih kepada JKR Baling atas maklum balas.)







Memasuki Lebuhraya Timur-Barat FT4 dari Kampung Keda Kemangi






Perjalanan dimulakan dengan mendaki Banjaran Keledang






Ada kalanya Lebuhraya Timur-Barat FT4 dibina sebagai jalan raya kembar 4 lorong untuk keselesaan pengguna semasa memotong






Ada banyak lampu jalan suria di sepanjang perjalanan, tetapi hampir kesemuanya rosak dan tidak diselenggara






Memasuki negeri Perak






Keadaan garisan jalan yang sudah hampir lenyap tetapi tiada tindakan membaiki jalan dilakukan






Hutan-hutan di sepanjang Lebuhraya Timur-Barat FT4 sudah digondolkan oleh pembalak penyangak yang tidak pernah serik.






Simpang laluan alternatif ke Gerik






Lampu-lampu jalan suria baharu yang menggunakan LED






Hanya tinggal 1 km sahaja lagi untuk ke Gerik






Penamat Lebuhraya Timur-Barat FT4 Fasa 2 Pakej 4 dekat Batu 2 Gerik

3 comments:

  1. Assalamualaikum, pada pendapat saudara, perlukah jajaran ini di upgrade sepenuhnya ke 4 losing (2 lorong sehala)? sy ada berbincang juga (bual kosong) dan ada yang bercadang buat 6 lorong terus.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Setakat ini belum ada keperluan melebarkannya kerana ADT masih belum mengizinkan.

      Delete
  2. Sekarang dah thn 2019 tp cat garisan jalan yg pudar dan hampif tidak kelihatan masih belum di cat juga. Sgt bahaya kpd pemandu terutamanya pada cuaca hujan.

    ReplyDelete