Salam sejahtera,
Kata orang, perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama. Tetapi bagi saya pula, perjalanan seribu kilometer bermula dengan kilometer sifar. Sejak saya membuka Blog Jalan Raya Malaysia, sudah berpuluh-puluh reviu jalan raya telah dihasilkan, mencecah beribu-ribu kilometer kesemuanya. Sungguhpun demikian, saya belum pernah menulis mengenai jalan raya utama di kampung halaman saya, maka kali ini saya ingin membawakan kepada anda mengenai jalan raya yang saya ibaratkan sebagai taman permainan semasa zaman kanak-kanak dahulu, iaitu Jalan Jabi-Bukit Tempurung, Jalan Negeri Johor J156.
Jalan Negeri Johor J156 sepanjang 9.8 km ini menghubungkan antara bandar Segamat dengan beberapa buah kampung iaitu Kampung Bumbun, Kampung Sermin, Kampung Jabi dan Kampung Bukit Tempurung. Selain J156, Kampung Bukit Tempurung juga dihubungkan dengan Kampung Tungku Tiga (penamat Jalan Negeri Johor J154), Kampung Sekijang dan Felda Pemanis melalui rangkaian jalan tanah merah.
Saya dilahirkan di Segamat pada tahun 1982, lebih kurang 3 hari sebelum Hari Raya Aidilfitri. Saya sememangnya anak jati Segamat - ibu saya memang berasal dari Segamat, manakala ayah saya pula dilahirkan di Kampung Seri Menanti, Muar, sebelum keluarga arwah datuk saya berpindah ke Felda Chemplak, Labis sebagai peneroka di sana. Sepanjang zaman kanak-kanak, saya membesar bersama-sama jalan J156 - di sepanjang jalan inilah saya berbasikal bersama-sama rakan-rakan, di jalan ini jugalah "litar latihan" saya setelah berupaya menunggang motosikal, dan pengalaman memancing pertama kali juga dapat saya alami di jalan yang sama juga.
Saya mula bersekolah di SK Dato' Seri Maharajalela Pekan Jabi, Segamat pada tahun 1989, terletak lebih kurang 1 km dari rumah saya. Sepanjang persekolahan di sana, saya dihantar berulang-alik ke sekolah oleh ibu saya dengan menaiki motosikal. Setelah saya dihadiahkan sebuah basikal oleh ayah saya kerana mendapat nombor satu di dalam kelas semasa Darjah 4, saya menjadikan basikal tersebut sebagai kenderaan pengangkutan saya ke sekolah agama di Sekolah Agama Pekan Jabi, Kampung Bumbun, Segamat. Sejak daripada itulah saya sering berbasikal di sepanjang J156 bersama-sama beberapa orang rakan sekolah iaitu Fairus, Farhan, Kamarul, Rahimee, Najid dan ramai lagi.
Saya turut menikmati pengalaman memancing buat pertama kali bersama-saya ayah saya di jambatan Sungai Kapeh berhampiran penghujung J156 di Bukit Tempurung. Sayang betul, pada masa itu saya tidak mendapat walau seekor ikan sekalipun, tetapi ia satu pengalaman yang sangat berharga. Selain saya, adik saya iaitu Hazwan juga pernah dibawa memancing bersama oleh ayah saya, dan hanya dia seorang sahaja di antara adik-beradik saya yang mewarisi hobi ayah saya sebagai seorang pemancing tegar.
Sebaik tamat persekolahan rendah, saya meneruskan persekolahan di Sekolah Tinggi Segamat sehingga tamat Tingkatan 5. Saya menaiki bas sekolah untuk ke Sekolah Tinggi Segamat yang terletak 4 km dari rumah. Sungguhpun sekolah tersebut terletak di bandar Segamat, peranan Jalan Jabi-Bukit Tempurung J156 tetap penting, kerana itulah laluan utama bagi bas sekolah yang saya naiki itu untuk mengambil penumpang sehingga ke penghujung Kampung Jabi.
Saya mula memperoleh lesen memandu kereta dan motosikal pada tahun 2000 semasa berumur 18 tahun, tetapi saya sudah pandai menunggang motosikal Honda Fame 90 cc milik ayah saya semasa di Tingkatan 2. Sebenarnya adalah salah untuk menunggang motosikal di bawah umur tanpa lesen memandu, tetapi situasi remaja bawah umur menunggang motosikal tanpa lesen adalah lumrah di kawasan kampung atas faktor sosio-ekonomi - ramai ibu bapa di kampung-kampung yang mengajar anak-anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen supaya dapat membantu mereka membeli barangan di kedai ataupun mengerjakan kebun. Situasi sama turut berlaku di sepanjang J156. Sepanjang menunggang motosikal Honda Fame ayah saya yang ditenagai enjin 4 lejang 89 cc 3 kelajuan dan mempunyai kekuatan 7.5 kuasa kuda, saya mampu mencapai kelajuan maksimum 90 km/j.
Kini setelah lebih 3 dekad membesar bersama-sama Jalan Negeri Johor J156, tidak banyak perubahan yang berlaku di sepanjang jalan tersebut. Jalan tersebut kekal 2 lorong dengan lebar lorong antara 2.75 hingga 3 meter (piawaian JKR R2 dan R3). Namun demikian, terdapat dua perubahan utama yang dilakukan terhadap jalan tersebut. Pertama, jalan yang asalnya hanya berturap sehingga ke Kampung Jabi itu kini sudah diturap habis sehingga ke penghujungnya di Bukit Tempurung. Kedua, persimpangan pangkalnya kini sudah didirikan lampu isyarat atas tujuan keselamatan. Namun, apa yang saya lebih harapkan ialah pembinaan jalan raya berturap bagi menghubungkan antara Felda Pemanis, Bukit Tempurung, Kampung Tungku Tiga dan Kampung Sekijang, kerana model jalan pengumpul seperti J156 ini boleh menyebabkan penduduk di sekitar Kampung Bukit Tempurung terputus hubungan dengan dunia luar selama berhari-hari sekiranya berlaku banjir; oleh itu, satu jalan penghubung berturap perlu dibina supaya penduduk kampung-kampung di kawasan pedalaman masih ada laluan alternatif sekiranya berlaku banjir. Apa pun, jalan-jalan seperti Jalan Jabi-Bukit Tempurung J156 ini adalah salah satu komitmen kerajaan dalam menyediakan infrastruktur asas demi kesejahteraan dan kemakmuran penduduk luar bandar.
(Kemaskini: Ikuti reviu eksklusif Jalan Jabi-Bukit Tempurung J156 di sini.)
(Kemaskini: Ikuti reviu eksklusif Jalan Jabi-Bukit Tempurung J156 di sini.)
No comments:
Post a Comment