Sunday, December 7, 2014

Melawat semula ke Jalan Jabi-Bukit Tempurung J156 / Jalan Jabi-Bukit Tempurung J156 revisited

Salam sejahtera,

Setahun yang lalu, saya ada menceritakan kepada anda kisah zaman kanak-kanak saya di Segamat, Johor, terutamanya pengalaman saya membesar bersama-sama Jalan Jabi-Bukit Tempurung J156. Di situlah saya pernah menunggang basikal sejauh 4 km bersama rakan-rakan sebaya. Di situ jugalah saya pernah menunggang motosikal tanpa lesen semasa berusia 15 tahun. Malah, setelah saya memperoleh lesen memandu semasa berusia 18 tahun, jalan itu jugalah litar ujian saya untuk berlatih memandu kereta dan menunggang motosikal. Begitu besar jasa Jalan Negeri Johor J156 ini terhadap saya serta keluarga.

Saya kembali semula ke jalan J156 hampir setahun setelah saya pertama kali menulis mengenainya Disember tahun lalu. Apa yang membuatkan saya tertarik untuk kembali semula ke jalan J156 itu...? Jawapannya terletak pada penemuan terbaru saya terhadap jalan tersebut yang menarik perhatian saya setelah Google mengemaskini petanya. Dalam kemas kini terbaru Google Maps, saya dapati bahawa sungguhpun Jalan Jabi-Bukit Tempurung J156 berakhir di Kampung Bukit Tempurung yang terletak 14 km dari bandar Segamat, namun sebenarnya jalan tersebut masih berterusan sebagai jalan tanah merah yang lurus dan seterusnya berakhir di Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12.




Imej Google Maps yang menunjukkan terdapat jalan yang menghubungkan antara Kampung Bukit Tempurung yang sepatutnya menjadi penamat jalan J156 terus ke Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12


Pemandangan di sepanjang jalan J156 sememangnya mendamaikan, lebih-lebih lagi kerana di sinilah terletaknya kampung halaman saya. Namun, di sebalik kedamaian suasana desa di sepanjang jalan ini, terdapat beberapa kisah menarik mengenai pembukaan beberapa buah kampung di sini. Untuk pengetahuan anda semua, kebanyakan nama tempat di Segamat memperoleh namanya hasil mitos Hikayat Malim Deman, salah satu daripada karya kesusasteraan Melayu klasik yang masih kekal terpelihara sehingga sekarang. Hikayat Malim Deman mengisahkan tentang sebuah kerajaan kuno yang pernah memerintah Segamat pada zaman dahulu sebelum kebangkitan Kesultanan Melayu Melaka. Kebanyakan karya kesusasteraan Melayu klasik musnah akibat beberapa siri kebakaran dan peperangan, tetapi ada di antara karya-karya tersebut telah berjaya diselamatkan dan dipulihara, antaranya termasuklah Sejarah Melayu dan Hikayat Malim Deman.

Saya mulakan terlebih dahulu dengan sejarah Kampung Bumbun yang terletak hanya 1 km dari permulaan Jalan Jabi-Bukit Tempurung J156 di Jalan Buloh Kasap FT1/AH142 dekat Pekan Jabi, Segamat. Kampung Bumbun dan Kampung Sermin yang terletak sebelah-menyebelah mula dibuka oleh seorang anak raja bernama Sang Nila Utama, sebagaimana yang telah diceritakan dalam Hikayat Malim Deman. Baginda pergi berburu di satu kawasan yang berjerumbun (atau dengan kata lain, satu kawasan yang dipenuhi pokok buluh yang merimbun). Kawasan yang berjerumbun itulah asal-usul nama Kampung Bumbun. Kebetulan pula, kawasan yang berjerumbun itu terletak berhampiran dengan Bukit Cermin, dan Bukit Cermin itu pula menjadi asal-usul kepada nama Kampung Sermin.

Memandangkan kedua-dua kampung ini - bersama-sama Kampung Jabi yang juga terletak di sepanjang J156 - terletak betul-betul di pinggir bandar Segamat, maka sudah tentulah kampung-kampung tersebut memperoleh limpahan pembangunan di sekitar bandar Segamat tetapi masih mampu mengekalkan suasana kampung yang mendamaikan pada masa yang sama. Ibu saya sendiri yang merupakan anak jati di kawasan ini juga pernah menyatakan bahawa jalan J156 dua lorong yang siap berturap ini memang sudah lama wujud sejak ibu saya kecil lagi, sekaligus membuktikan bahawa tahap kemajuan di ketiga-tiga kampung ini seiring dengan arus kemajuan bandar Segamat.

Semasa saya menguji jalan J156 dari hujung ke hujung, JKR Segamat baru sahaja memasang papan tanda jarak lebih kurang 3 hari sebelumnya. Di sebelah papan tanda jarak tersebut terletaknya kompleks perumahan guru daerah Segamat. Asalnya, kawasan tersebut menempatkan Sekolah Agama Pekan Jabi yang kini berpindah ke bangunan baru yang terletak hanya 1 km dari sini. Di sebelah kompleks perumahan guru pula menempatkan Balai Raya Kampung Bumbun.

Keadaan jalan mula berkelok-kelok. Lebih kurang 1 km berikutnya, terdapat Surau Kampung Bumbun dan juga bangunan baru Sekolah Agama Pekan Jabi. Sungguhpun Kampung Bumbun ini merupakan sebuah kampung yang besar, namun hanya surau sahaja yang didirikan di kampung ini kerana masjid paling hampir iaitu Masjid Kampung Sulir di Pekan Jabi terletak hanya 2 km dari Kampung Bumbun; populasi penduduk serta lokasi yang sangat hampir dengan Masjid Kampung Sulir sudah tentunya tidak mengizinkan untuk pembinaan masjid baharu di Kampung Bumbun. Malah, Rasulullah sendiri melarang pembinaan masjid baharu di sesebuah kawasan sekiranya kapasiti masjid lama masih belum dimanfaatkan sepenuhnya. Justeru, larangan pembinaan dua buah masjid di kawasan yang sama oleh Rasulullah sebenarnya merupakan salah satu asas kepada bidang perancangan bandar.

Kampung Sermin terletak hanya 2 km dari Kampung Bumbun. Lintasan talian penghantaran elektrik 132 kV membentuk sempadan antara kedua-dua kampung tersebut. Di Kampung Sermin ini jugalah terletaknya kuari JKR Segamat yang menjadi salah satu sumber utama batu kerikil untuk pembinaan jalan raya di daerah Segamat. Sebaik sahaja melepasi simpang masuk ke Kampung Sermin, J156 menyempit sedikit di sebuah selekoh 90 darjah sebelum ia melebar kembali. 

Kampung Jabi terletak 1 km dari Kampung Sermin. Tidak seperti Kampung Bumbun dan Kampung Sermin, Kampung Jabi langsung tidak pernah disebut-sebut di dalam Hikayat Malim Deman; sebaliknya, kisah pembukaan Kampung Jabi pula sangat berbeza sama sekali. Kampung Jabi mula dibuka pada tahun 1803 oleh seorang pengembara yang bernama Mohd. Salleh dari Bonjol, Indonesia, bersama-sama tiga orang sahabatnya. Peristiwa pembukaan Kampung Jabi ini juga menjadikan Kampung Jabi sebagai kampung termuda antara ketiga-tiga kampung tersebut. Mohd. Salleh juga telah diberi gelaran sebagai Dato' Seri Maharajalela. Maka, SK Dato' Seri Maharajalela yang terletak di Pekan Jabi, Segamat itu sebenarnya dinamakan sempena nama tokoh yang bertanggungjawab kepada pembukaan Kampung Jabi dan bukannya tokoh yang bertanggungjawab membunuh JWW Birch di Pasir Salak, Perak...!!! Sementara itu pula, Pekan Jabi asalnya merupakan salah satu daripada perkampungan baru Cina yang didirikan dalam Rancangan Briggs bagi tujuan penempatan semula orang-orang Cina yang tinggal di sekitar Kampung Bumbun, Kampung Sermin dan Kampung Jabi. Ia dibangunkan sebelah-menyebelah dengan Kampung Sulir yang rata-rata penduduknya terdiri daripada orang-orang Melayu. Sebab itulah interaksi antara dua kaum di Pekan Jabi sangat kuat, dan ia turut diakui oleh seorang pengarah terkenal, David Teo yang merupakan anak jati Pekan Jabi.

Di Kampung Jabi, Kompleks Penghulu Mukim Jabi mentadbir kedua-dua Mukim Jabi dan Mukim Sermin, tidak seperti kebanyakan mukim yang mempunyai seorang penghulu dan sebuah Kompleks Penghulu bagi mukim masing-masing. Di sini turut menempatkan sebuah klinik desa. J156 sekali lagi menyempit sedikit semasa melalui sebuah selekoh tajam dan mendaki sebuah bukit. Sebaik sahaja melepasi Masjid Kampung Jabi dan Balai Raya Kampung Jabi, terdapat sebuah selekoh yang asalnya merupakan penamat bagi jajaran berturap J156. Jajaran J156 dari Kampung Jabi sehingga ke penghujungnya di Kampung Bukit Tempurung hanya diturap sekitar tahun 2000-2001.

Sebaik meninggalkan Kampung Jabi, sudah tiada lagi kelibat rumah-rumah kampung di sepanjang laluan. Majoriti pemandangan di J156 selepas Kampung Jabi kini disajikan dengan pemandangan ladang getah dan kelapa sawit. Jalan J156 ini juga semakin hampir dengan Sungai Kapeh, menjadikannya berisiko tinggi untuk mengalami banjir setiap kali musim tengkujuh. Jalan Jabi-Bukit Tempurung J156 secara rasminya berakhir betul-betul sebelum Jambatan Sungai Kapeh, sebelum ia mula menyempit menjadi jalan kampung selorong sehinggalah ke Kampung Bukit Tempurung. Namun, adakah ia betul-betul berakhir di Bukit Tempurung...?

Sebaik melepasi Jambatan Sungai Kapeh, terdapat dua cabang untuk dipilih. Cabang ke kanan itu berturap, tetapi jalan tersebut sekejap sahaja tamat di Kampung Bukit Tempurung. Cabang sebelah kiri (atau saya patut kata sebagai tegak) pula merupakan jalan batu kerikil yang seterusnya berumah menjadi jalan tanah merah. Saya sudah agak; sudah tentulah jalan tanah merah itulah yang akan membawa saya sehingga ke Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12. Jalan batu kerikil dan tanah merah itu lurus sahaja, tetapi keadaan jalan yang tidak begitu elok hanya mengizinkan saya untuk memandu pada kelajuan sekitar 20-30 km/j sahaja. Tiada apa-apa yang menarik di sepanjang laluannya selain pemandangan estet kelapa sawit sahaja. Setelah menempuh laluan batu kerikil dan tanah merah dengan penuh sabar, saya akhirnya tiba di penghujung jalan di Lebuhraya Tun Razak FT12, terletak berhampiran dengan Jambatan Sungai Kapeh FT12 dan Persimpangan Bangas untuk ke Jalan Gelang Chinchin J158.

Setelah mencuba sendiri jalan J156 bersama-sama jalan tanah merah yang menghubungkannya dengan Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12, saya ada satu cadangan untuk diutarakan kepada JKR Segamat dan JKR Johor. Apa kata kalau JKR Johor dan JKR Segamat membina sambungan jalan berturap J156 dari Kampung Bukit Tempurung ke Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12...? Ia boleh dilakukan dengan menaik taraf jalan tanah merah yang saya maksudkan itu kepada jalan raya berturap 2 lorong biasa (piawaian JKR R3 dengan lebar lorong 3 m sudah cukup memadai bagi jalan ini) serta menggantikan Jambatan Sungai Kapeh selorong di Kampung Bukit Tempurung dengan jambatan 2 lorong baharu. Cadangan sambungan jalan J156 ini sangat penting kerana terdapat kawasan mudah banjir di Bukit Tempurung yang boleh menyebabkan penduduk Kampung Bukit Tempurung terputus hubungan sepenuhnya dengan dunia luar setiap kali banjir. Oleh itu, sekiranya jalan tersebut disambung, penduduk Kampung Bukit Tempurung masih ada alternatif lain untuk ke bandar Segamat iaitu melalui Lebuhraya Tun Razak FT12. Selain itu, pengguna Lebuhraya Tun Razak FT12 yang berdepan dengan kesesakan luar biasa terutamanya pada musim perayaan boleh menggunakan Jalan Jabi-Bukit Tempurung J156 sebagai jalan pintas untuk ke bandar Segamat. Paling penting, sebagai anak kampung yang membesar bersama-sama jalan ini, penyambungan laluan J156 sehingga ke FT12 sudah tentulah akan menyempurnakan jalan ini demi menambah baik sistem pengangkutan jalan raya di daerah Segamat khasnya.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.







Permulaan Jalan Jabi-Bukit Tempurung di Jalan Buloh Kasap FT1/AH142, Pekan Jabi, Segamat






Kuarters guru ini asalnya menempatkan bangunan lama Sekolah Agama Pekan Jabi sebelum ia dirobohkan dan digantikan dengan perumahan guru






Penghujung jalan J156 di Kampung Bukit Tempurung terletak 12 km dari bandar Segamat






Balai Raya Kampung Bumbun, Segamat






Suasana desa yang begitu mendamaikan






Bangunan baharu Sekolah Agama Pekan Jabi di Kampung Bumbun terletak 1 km dari tapak lama yang telah dijadikan kuarters guru






Simpang ke Kampung Sermin. Awas, ada selekoh tajam dan sempit betul-betul selepas simpang ke Kampung Sermin






Klinik Desa Kampung Jabi






Kompleks Penghulu Mukim Jabi






Lagi selekoh 90 darjah di hadapan






Jalan Jabi-Bukit Tempurung J156 asalnya hanya berturap sehingga di sini sebelum jajaran berturap disambung sehingga ke Bukit Tempurung






Kampung Jabi berakhir di sini - jajaran seterusnya menyajikan pemandangan kebun getah dan kelapa sawit






Jalan Jabi-Bukit Tempurung J156 berakhir betul-betul sebelum Jambatan Sungai Kapeh sebelum diturun taraf menjadi jalan kampung selorong






Cabang dua untuk dipilih. Cabang ke kanan itu berturap, tetapi berakhir sebaik sahaja di Kampung Bukit Tempurung. Mari kita cuba cabang sebelah kiri yang dikatakan berakhir di Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12






Sebahagian besar jajaran jalan dari Bukit Tempurung ke Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12 hanya sekadar jalan batu kerikil dan jalan tanah merah, tetapi terdapat sedikit jajaran yang berturap, itu pun sering rosak






Jalan sambung tanah merah ini berakhir di Lebuhraya Tun Razak FT12

No comments:

Post a Comment

Advertisement