Sunday, December 28, 2014

Banjir terburuk di Semenanjung Malaysia / The worst flood in Peninsular Malaysia



Lebuhraya Pantai Timur E8 ditenggelami air dekat Exit 819 Persimpangan Temerloh
(Kredit gambar: Pahang Daily)


Salam sejahtera,

Terlebih dahulu, saya ingin memohon maaf kerana sudah lama tidak mengemaskini Blog Jalan Raya Malaysia berikutan urusan keluarga di kampung, di samping melawat keluarga adik saya yang dikejarkan ke hospital baru-baru ini akibat demam denggi. Seperti yang telah saya katakan sebelum ini, aplikasi Blogger untuk Android juga penghalang utama untuk mengemaskini blog ini berikutan antara muka yang sangat tidak mesra pengguna.

Seperti yang kita semua sedia maklum, negara kita sekali lagi ditimpa satu lagi musibah besar iaitu bencana banjir besar. Semasa solstis musim sejuk yang berlaku antara bulan Disember hingga Februari, angin Monsun Timur Laut bertiup dan membawa bersama udara sejuk dan lembap, menyebabkan berlakunya hujan lebat dan berterusan di negeri-negeri pantai timur Semenanjung iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor timur, yang seterusnya mengakibatkan banjir di negeri-negeri tersebut. Ia memang lumrah yang berlaku setiap tahun di negeri-negeri pantai timur. Namun, tidak seperti kebiasaannya, bencana banjir kali ini lebih teruk, sehinggakan negeri-negeri pantai barat Semenanjung terutamanya Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan dan Selangor, dengan jumlah penduduk dipindahkan kini sudah melebihi 100,000 orang. Itu baru cerita penduduk yang dipindahkan. 

Selain itu, terdapat banyak jalan raya yang terpaksa ditutup akibat banjir dan tanah runtuh, termasuklah Lebuhraya Pantai Timur E8, Jalan Persekutuan 2, Jalan Persekutuan 8, Lebuhraya Timur-Barat FT4 dan Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185. Sehubungan dengan itu, Blog Jalan Raya Malaysia mengambil inisiatif untuk menghimpunkan berita-berita mengenai jalan-jalan yang terpaksa ditutup, sama ada melalui kenyataan rasmi oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR), berita-berita oleh akhbar-akhbar utama mahupun laporan tidak rasmi oleh saksi-saksi yang telah disahkan kesahihannya. Oleh itu, sentiasalah menyemak status terkini banjir sama ada melalui media sosial rasmi KKR dan JKR mahupun laman Facebook rasmi kami bagi membantu anda merancang perjalanan.

Tentang persiapan banjir, mungkin agak terlewat bagi saya untuk memberikan panduan ini kepada anda, tetapi tidak salah rasanya jika anda menggunakan panduan ini untuk bersedia pada masa akan datang.


PERSEDIAAN SEBELUM BANJIR
  1. Dapatkan maklumat tentang banjir di tempat anda.
  2. Pastikan sistem amaran banjir dan dengar hebahan semasa yang disampaikan melalui radio,televisyen dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan serta Bilik-Bilik Gerakan Banjir Negeri atau Daerah yang berhampiran.
  3. Periksa lubang air seperi longkang atau saluran najis. Bersihkan halangan dan pastikan ia tertutup rapat supaya air banjir tidak masuk melaluinya.
  4. Pastikan di mana Pusat Pemindahan dan Pusat Bantuan Bencana di tempat anda.
  5. Sediakan peralatan kecemasan dan bekalan makanan secukupnya.
  6. Pastikan seluruh keluarga anda mengetahui cara-cara bertindak semasa kecemasan di rumah.



SEBELUM BANJIR - SEMASA TANDA-TANDA DIKESAN
  1. Dengar melalui pengumuman radio, televisyen atau pihak-pihak tertentu.
  2. Pindahkan perabut atau peralatan-peralatan lain ke tempat yang selamat.
  3. Letakkan dokumen penting di tempat yang selamat atau bawa bersama anda dalam bekas kalis air.
  4. Bersedia untuk menutup suis elektrik, injap utama bekalan air dan gas.
  5. Beritahu jiran anda dan bersedia untuk berpindah.



SEMASA BANJIR - SEMASA PEMINDAHAN
  1. Apabila menerima arahan, segeralah berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan. 
  2. Berpindah awal sebelum banjir meningkat atau pada waktu siang kerana ianya lebih mudah dan selamat.
  3. Ikut laluan yang ditentukan, laluan singkat mungkin terhalang.



SEMASA BANJIR  - DI DALAM KENDERAAN
  1. Jangan terus mengharungi kawasan banjir, hendaklah berpatah balik ke tempat yang selamat.
  2. Jika kenderaan anda terhenti, kunci kenderaan serta tinggalkan kenderaan tersebut dan pergilah. ke tempat yang selamat



SEMASA BANJIR - DI DALAM RUMAH
  1. Dengar pengumuman melalui radio, televisyen atau pihak tertentu.
  2. Bersedia dengan peralatan kecemasan.
  3. Jika diarahkan keluar dan berpindah, segera lakukan.



SEMASA BANJIR - DI LUAR RUMAH
  1. Pergi ke tempat tinggi dan selamat.
  2. Elakkan dari melalui kawasan banjir, arus deras yang boleh menghanyutkan anda.
  3. Jangan sengaja bersiar-siar di kawasan banjir sama ada dengan sampan mahupun berjalan kaki.
  4. Jangan sentuh mana-mana kabel atau wayar yang jatuh.
  5. Awasi kanak-kanak, jangan biarkan mereka bermain-main di longkang, sungai atau lombong.
  6. Jangan minum air banjir.



SELEPAS BANJIR
  1. Dengar pengumuman melalui radio atau tunggu arahan pihak yabg berkuasa, jangan kembali ke rumah sebelum dibenarkan atau sebelum keadaan benar-benar selamat.
  2. Beri bantuan kepada jiran anda atau orang kurang upaya (orang tua, kanak-kanak atau golongan istimewa).
  3. Periksa rumah anda, lihat tanda-tanda rekahan atau mendapan kerana ianya mengkin tidak selamat.
  4. Jangan terus memasukki rumah yang masih dibanjiri air, berhati-hati banyak bahaya yang tersembunyi.



SELEPAS BANJIR - SEMASA MEMASUKI BANGUNAN
  1. Pakai kasut.
  2. Periksa kerosakkan dinding, lantai, pintu dan tingkap.
  3. Periksa sebarang kehadiran binatang atau serangga berbisa yang merbahaya. Gunakan kayu untuk mengalihkan sebarang halangan yang bertaburan di lantai rumah anda.
  4. Perhatikan siling dan plaster dinding yang mungkin rekah, lerai dan jatuh.


SELEPAS BANJIR - PERIKSA ANCAMAN BAHAYA
  1. Periksa paip saluran gas yang mungkin pecah atau bocor.
  2. Periksa wayar elektrik yang terendam di dalam air.
  3. Periksa peralatan elektrik yang tenggelam.
  4. Periksa bahan-bahan yang mudah terbakar yang mungkin mengalir masuk semasa banjir (Minyak tanah, petrol, diesel dan sebagainya).
  5. Buang bahan-bahan makanan yang terendam yang terkena banjir termasuklah makanan dalam tin.
  6. Periksa kerosakan tangki septik untuk mengelakkan bahaya biologi. 

No comments:

Post a Comment