Salam sejahtera,
Bagaimana keadaan cuaca di tempat anda sekarang...? Cuaca di Kuala Lumpur ini masih lagi hujan, tetapi alhamdulillah setakat sekarang tiada sebarang petanda banjir di Kuala Lumpur. Buat masa sekarang, banjir di beberapa buah negeri khususnya di pantai timur masih lagi belum menunjukkan petanda akan surut. Apa pun, sama-samalah kita berdoa kepada Allah agar menghentikan curahan hujan, menyegerakan surut air banjir, memudahkan kerja-kerja pemulihan infrastruktur dan premis serta memberi kekuatan kepada semua mangsa banjir untuk bangkit semula meneruskan kehidupan.
Hari ini, Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang mengadakan satu misi kemanusiaan untuk membantu mangsa-mangsa banjir. Untuk menjayakan misi tersebut, satu kempen derma barangan keperluan diadakan di ibu pejabat JKR Malaysia di Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur.
Tak tahu hendak ke sana...? Biar saya tunjukkan. Mercu tanda paling penting untuk ke sana ialah Bulatan Dato' Onn (aka Bulatan Bank Negara) yang menghubungkan Jalan Kuching FT1 dengan Jalan Parlimen. Namun, jika anda perhatikan betul-betul, bulatan tersebut bukanlah bulatan cabang empat tetapi cabang lima. Ambil cabang ke Jalan Sultan Salahuddin - dari arah selatan, ambil pusingan pukul sepuluh, manakala dari arah utara, ambil pusingan pukul empat. Kemudian, belok kiri di persimpangan lampu isyarat pertama di situ. Dari situ, ibu pejabat KKR terletak di sebelah kanan manakala di sebelah kiri pula merupakan ibu pejabat JKR. Terdapat sebuah dewan di sebelah kiri, dan di situlah pusat pengumpulan barang-barang yang didermakan.
Apa barangan keperluan harian yang boleh anda dermakan di sana...?
- Wang tunai
- Selimut
- Lampin pakai buang
- Susu tepung / susu formula
- Botol susu
- Beras
- Gula
- Garam
- Telekung
- Makanan dalam tin seperti sardin
- Biskut
- Air minuman
- Tuala wanita
- Pakaian, dsb.
Semasa saya menulis entri ini, program derma barang keperluan sudah dua jam berlangsung, bermula jam 9.00 pagi tadi. Anda sibuk bekerja...? Tak apa, kempen derma barang keperluan berlangsung sehingga jam 9.00 malam hari ini. Jadi, daripada membazir masa tersangkut dalam kesesakan jalan raya untuk pulang ke rumah, ada baiknya anda singgah sebentar ke ibu pejabat JKR untuk menderma. Tak dapat derma banyak, derma sedikit pun jadilah - yang penting, mangsa-mangsa banjir dapat bangkit semula meneruskan kehidupan. Hari ini hari mereka yang memerlukan bantuan, manalah tahu akan datang nanti kita pula yang dilanda musibah dan orang yang kita tolong itulah yang membantu kita pula.
Sumbangan anda semua amat dihargai.
No comments:
Post a Comment