Tuesday, December 17, 2013

Istilah "lebuh raya" yang kabur / The ambiguous "highway" term









Istilah "lebuh raya" tidak semestinya merujuk kepada jenis spesifik jalan raya yang bersifat seperti Lebuhraya Karak E8/FT2 (gambar atas), tetapi ia juga boleh merujuk kepada jalan raya dua lorong biasa seperti Lebuhraya Tun Razak FT12 (gambar tengah), hatta jalan batu kerikil sekalipun seperti Lebuhraya Kalabakan-Sepulot (gambar bawah).


Salam sejahtera,

Kali ini saya ingin membuka satu topik perbincangan yang agak menarik, iaitu penggunaan istilah "lebuh raya". Ia adalah hasil daripada pertanyaan oleh Saudara Johari Mohamed Salleh, seorang pengunjung setia laman Facebook Blog Jalan Raya Malaysia. Jika anda perhatikan betul-betul, ramai yang bercanggah pendapat mengenai penggunaan istilah "lebuh raya". Ada yang mengatakan "lebuh raya" mestilah bersifat seperti Lebuhraya Utara-Selatan yang dibina sebagai jalan raya kembar dengan sekurang-kurangnya 4 lorong tanpa sebarang lintasan searas, mempunyai had laju yang tinggi, tiada jalan keluar masuk terus ke mana-mana premis hartanah, dan keluar masuk hanya melalui persimpangan bertingkat berlainan aras yang dihadkan bilangannya dan dihubungkan ke jalan raya arteri sahaja. Ada juga yang mengatakan "lebuh raya" adalah jalan raya utama jarak jauh yang menghubungkan antara 2 lokasi utama. Jadi mari kita perhatikan siapa yang betul...!!!

Sebenarnya, dakwaan oleh kedua-dua belah pihak adalah betul. Tak percaya...? Cuba rujuk kepada maksud istilah "lebuh raya" di dalam Kamus Dewan. Menurut Kamus Dewan, istilah lebuh raya bermaksud "jalan raya utama yg lebar, biasanya menghubungkan sebuah bandar (bandar raya) dgn bandar (bandar raya) lain". Dengan kata lain, mana-mana jalan raya utama hatta jalan tanah merah sekalipun boleh dianggap sebagai "lebuh raya", selagi ia memenuhi fungsi asasnya sebagai penghubung utama antara dua bandar utama. Definisi oleh Kamus Dewan itu langsung tidak menyebut mengenai keperluan mekanisme kawalan masuk penuh sebagai kriteria untuk melayakkan sesebuah jalan raya untuk dipanggil sebagai "lebuh raya". Jika kita kaji balik penggunaan istilah lebuh raya, istilah tersebut memang sudah digunakan sebelum pembangunan rangkaian lebuh raya ekspres di Malaysia. Ia samalah seperti penggunaan istilah "highway" dalam Bahasa Inggeris, yang memang sudah lama digunakan sebelum pembangunan Sistem Lebuh Raya Interstate di Amerika Syarikat pada 29 Jun 1956.

Bagi sesiapa yang terlalu biasa menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2, jangan terkejut jika ada yang memanggil jalan raya dua lorong biasa seperti Jalan Persekutuan 12 sebagai "lebuh raya". Penggunaan istilah "lebuh raya" bagi merujuk kepada jalan raya 2 lorong utama paling ketara di beberapa kawasan seperti di Sabah dan Sarawak, memandangkan mereka tiada jalan raya khusus yang dikenakan kawasan masuk penuh untuk dipanggil sebagai "lebuh raya".

Sebenarnya, jenis jalan raya seperti Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 adalah tergolong dalam satu kategori lebuh raya yang lebih khusus iaitu "lebuh raya ekspres". Lebuh raya ekspres adalah khusus bagi merujuk kepada jalan raya yang dikenakan kawalan masuk penuh, melalui penggunaan persimpangan bertingkat berlainan aras yang dihadkan bilangannya bagi menggantikan persimpangan searas, pemasangan pagar di sepanjang laluan bagi mencegah haiwan ataupun manusia melintasi lebuh raya, serta ketiadaan akses terus ke mana-mana premis hartanah. Maka, semua lebuh raya ekspres sememangnya lebuh raya, tetapi sesebuah lebuh raya tidak semestinya leluh raya ekspres.

Kesimpulannya, semua lebuh raya ekspres adalah lebuh raya, tetapi tidak semua lebuh raya itu lebuh raya ekspres. Maksud sebenar istilah "lebuh raya" ialah laluan jarak jauh utama dari titik A ke titik B; maka ia boleh merujuk kepada mana-mana jalan raya biasa ataupun jenis jalan raya khusus dengan kawalan masuk penuh. Oleh itu, tidak perlulah kita berbalah mengenai penggunaan istilah "lebuh raya" ini, kerana dakwaan daripada kedua-dua pihak kesemuanya betul, selagi ia memenuhi peranannya sebagai penghubung utama antara dua tempat yang berbeza. Kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, saya ingin mencadangkan agar definisi khusus bagi istilah "lebuh raya ekspres" turut dimasukkan dalam edisi terkini Kamus Dewan supaya tidak berlaku khilaf di kalangan penutur Bahasa Melayu.

No comments:

Post a Comment

Advertisement