Sunday, December 1, 2013

Proton Persona SV dilancarkan / Proton Persona SV was launched



Proton Persona SV




Seperti Saga SV, dua biji beg udara ditawarkan pada varian termurah Persona Elegance ini






Cermin sisi Persona SV perlu dilaras secara manual
(Semua kredit gambar: Paul Tan)

Salam sejahtera,

Masih ingat lagi dengan entri mengenai Proton Saga FLX SV yang dilancarkan pada pertengahan Jun 2013...? Sejak Saga SV mula dikeluarkan, ia laris bagai pisang goreng panas kerana ciri keselamatan yang dipertingkatkan pada harga yang lebih murah daripada varian spesifikasi rendah yang digantikannya. Setakat November 2013, sudah 42,000 tempahan Saga SV sudah diterima. Kini, Proton meneruskan formula yang sama pada satu lagi model sedan popularnya iaitu Proton Persona.

Sedikit sejarah ringkas mengenai Proton Persona ini. Segala-galanya bermula semasa Proton melancarkan model pengganti Proton Wira iaitu Proton Gen-2 pada Februari 2004. Proton Gen-2 merupakan kereta pertama yang menggunakan enjin Campro rekaan Proton sendiri, menjadikannya kereta pertama rekaan Proton sepenuhnya. Namun demikian, ia dikritik hebat kerana tiada kotak barang (glovebox), ruang kepala yang sempit di kerusi belakang, kedudukan suis tingkap kuasa yang tidak ergonomik, penutup soket penyala rokok yang mudah patah, dan yang paling ketara ialah junaman tork pada kelajuan enjin antara 3,000-3,500 rpm. Selain itu, bentuk badan hatchback juga tidak begitu disenangi pengguna yang berkeluarga. Sehubungan dengan itu, Proton yang pada ketika itu diterajui Datuk Seri Syed Zainal Abidin yang menggantikan Tengku Mahaleel, mengambil langkah merekabentuk sebuah sedan berasaskan Gen-2 bagi mengatasi kesemua kelemahan yang ada pada Gen-2. Hasilnya, model Proton Gen-2 sedan dilahirkan pada tahun 2007 dengan nama Proton Persona. Di United Kingdom dan Indonesia, Proton Persona dikenali dengan nama Proton Gen-2 Persona.

Semasa Proton Persona mula-mula dikeluarkan, ia laris bagai pisang goreng panas berikutan banyak pembaharuan yang dilakukan bagi mengatasi kelemahan yang ada pada Gen-2 sebelum ini. Rekaan dalaman bagi pintu diperbaharui dengan pembuka pintu, hendal penutup pintu serta suis tingkap kuasa direka semua supaya lebih ergonomik. Suis tingkap kuasa pemandu dipindahkan ke bahagian pintu, bersama-sama suis cermin sisi elektrik dan suis pengunci pintu. Kotak barangan ditambah dan jam analog di bahagian tengah papan pemuka dibuang. Bumbungnya direka semula untuk menambah ruang kepala di bahagian kerusi belakang. Batch pertama menggunakan enjin Campro lama yang digunakan pada Gen-2, manakala batch seterusnya pula menggunakan enjin Campro IAFM dengan rongga masukan boleh laras kawalan vakum enjin bagi mengatasi masalah junaman tork pada enjin Campro lama yang hanya ada rongga masukan pendek sahaja. Selain itu, enjin Campro IAFM juga menggunakan empat gelung penyalaan (satu bagi setiap palam pencucuh) bagi mengurangkan kehilangan kuasa dari kabel palam pencucuh, menjadikannya lebih jimat minyak daripada enjin Campro asas lama. Enjin Campro lama dan Campro CPS masih menggunakan dua pek gelung penyalaan dan kabel palam pencucuh. Sementara itu, kotak gear 5 kelajuan manual dan 4 kelajuan automatik buatan Mitsubishi yang digunakan pada Gen-2 turut digunakan pada Persona.

Pada tahun 2010, Proton mengeluarkan model facelift yang dikenali sebagai Proton Persona Elegance. Ia menggunakan lampu belakang baharu jenis LED. Lampu isyarat membelok sisi pada bahagian tepi juga ditukar kepada jenis lampu isyarat membelok LED pada cermin sisi. Selain itu, radionya ditukar kepada jenis yang turut menyertakan port USB bagi memainkan lagu MP3 dan WMA daripada pemacu kilat USB. Panel meternya turut diubah kepada jenis "optitron", dengan cahaya latar berwarna putih terang yang menyala terang semasa lampu tidak dihidupkan dan dimalapkan apabila lampu dihidupkan (sebelum ini cahaya latar meter Persona berwarna jingga). Enjinnya kini lebih responsif, hasil penggunaan ECU 32 bit oleh Siemens VDO.

Sahabat saya, Khairul Azmi memiliki sebuah Proton Persona Elegance, dan saya beberapa kali diberi peluang memandunya apabila dia terlalu penat untuk memandu. Semasa dia dan beberapa orang rakan ke Padang, Indonesia baru-baru ini, dia mengamanahkan saya untuk menjaga keretanya itu, dan saya menggunakan kereta tersebut untuk pulang ke rumah setelah saya memulangkan kereta Perodua Alza yang digunakan untuk menghantar mereka dan bagasi mereka ke Terminal LCCT. Hasilnya, saya berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman memandunya sehinggalah Khairul Azmi dan rakan-rakan kembali semula dari Padang.

Sepanjang pemanduan, saya dapati Proton Persona ini paling jimat apabila dipandu di jalan persekutuan luar bandar yang lengang, dengan penggunaan bahan api purata 6.2 L/100 km (16.13 km/L). Semasa di lebuh raya ekspres pula, ia lebih lahap sedikit iaitu sekitar 7 L/100 km (14.29 km/L). Namun, ia paling lahap apabila dipandu di kawasan bandar raya yang sesak, dengan penggunaan bahan api purata 8.2 L/100 km (12.2 km/L). Bagi sebuah kereta keluaran tahun 2007 yang menggunakan enjin DOHC biasa tanpa sistem pemasaan injap boleh laras serta menggunakan transmisi automatik 4 kelajuan, ia boleh dikatakan agak jimat. Saya percaya angka-angka penggunaan bahan api pastinya boleh jadi lebih baik sekiranya enjin Campro CPS digunakan bersama-sama dengan kotak gear CVT. Namun, Proton tidak melakukannya pada Persona ini, sebaliknya kotak gear CVT digunakan pada penggantinya iaitu Proton Preve, manakala enjin yang digunakan adalah sama ada enjin Campro CFE turbo ataupun enjin IAFM+.

Sungguhpun model pengganti Proton Persona iaitu Proton Preve mula dikeluarkan pada Jun 2012, namun, permintaan terhadap Persona tetap tinggi. Kenapa Persona masih diminati meskipun penggantinya sudah pun dikeluarkan? Jawapannya amat mudah - Proton Persona merupakan kereta segmen C termurah dalam pasaran Malaysia. Selain itu, persepsi pengguna terhadap Proton Preve IAFM+ yang didakwa tidak cukup kuasa (underpowered) juga merupakan satu lagi faktor kenapa jualan Proton Persona masih tinggi. Proton Persona mempunyai nisbah kuasa kepada berat yang boleh dikatakan cukup "ngam" - enjin Campro IAFM 1.6L sekuat 110 kuasa kuda digunakan untuk menarik kereta seberat 1.2 tan tanpa sebarang masalah untuk memecut. Berbeza pula dengan Proton Preve Executive IAFM+ seberat 1.3 tan yang ditarik oleh enjin Campro IAFM+ yang kurang berkuasa berbanding sebelumnya (108 bhp vs 110 bhp), menjadikan Proton Preve Executive tidak cukup kuasa dan semakin kuat makan minyak berbanding versi Premium CFE.

Kita kembali semula kepada Proton Persona SV. Baru-baru ini, Proton telah melancarkan varian terbaru Persona iaitu Proton Persona SV sempena kempen Bola! Bola! Bola! Mega Test Drive Carnival di Shah Alam pada 30 November 2013. Seperti Saga SV, Persona SV bertujuan menggantikan model spesifikasi paling rendah dengan harga yang lebih murah tetapi dilengkapi 2 biji beg udara, ABS dan EBD. Selain itu, ia didatangkan dengan rim sport 15 inci dan brek cakera depan dan belakang. Akan tetapi, Persona SV tiada lambu kabut, tiada butang kawalan radio pada stereng, dan cermin sisinya perlu dilaras secara manual. Jika dibandingkan, Persona M-line mempunyai lampu kabut dan cermin sisi elektrik, tetapi hanya ada sebiji beg udara dan tiada ABS dan EBD. Proton Persona SV dijual bermula dengan harga serendah RM44,938 (5MT solid) sehinggalah RM48,388 (4AT metalik), dengan perbezaan harga lebih kurang RM1,000 berbanding varian B-line sebelum ini.

Bagaimana pula dengan M-line? Perbezaan antara varian M-line dengan varian H-line yang kini dihentikan pengeluarannya bagi memberi laluan kepada Proton Preve IAFM+ Executive hanyalah ketiadaan ABS dan EBD, hanya ada sebiji beg udara pemandu dan ketiadaan kemasan kulit. Itu sahaja. Kalau begitu, adalah lebih baik jika Proton memperkenalkan semula varian H-line bagi menggantikan M-line jika benar Proton amat mengutamakan keselamatan pemandu dan penumpangnya.

Kesimpulannya, Proton Persona SV meneruskan kecemerlangan Persona sebelum ini yang dikenali kerana reputasinya sebagai model sedan segmen C termurah dalam pasaran. Meskipun Proton Preve sudah dilancarkan, namun Proton Persona tetap tidak tergugat, berikutan persepsi pengguna yang mengatakan Preve IAFM+ tidak cukup kuasa. Oleh itu, bagi memenuhi kehendak pelanggan, Proton mengeluarkan Persona SV dengan harga mampu milik tetapi dilengkapi 2 biji beg udara, ABS dan EBD. Saya percaya Proton Persona akan terus popular selagi Proton tidak menggunakan enjin yang lebih berkuasa (sekurang-kurangnya Campro CPS) pada Proton Preve Executive. Cuma, apa yang mengecewakan saya ialah varian M-line yang lebih mahal masih kekal mempunyai sebiji beg udara sahaja dan tiada ABS dan EBD. Oleh itu, saya menggesa Proton agar mengeluarkan semula varian H-line bagi menggantikan M-line, memandangkan perbezaannya dengan M-line hanyalah ketiadaan ABS dan EBD serta kekurangan sebiji beg udara.


Spesifikasi Proton Persona SV

Enjin: 1.6L DOHC 16 injap 4 silinder sejukan air
Sesaran: 1597 cc
Lubang x lejang: 76 x 88 mm
Nisbah mampatan: 10.0:1
Kuasa kuda: 110 bhp @ 6,500 rpm
Tork: 148 N-m @ 4,000 rpm
Jarak roda: 2,600 mm
Berat kering: 1,170 kg
Muatan tangki bahan api: 50 liter
Saiz tayar: 195/60-R15 (rim sport)

Apa yang saya suka
  1. Nilai terbaik untuk wang (dapat 2 biji beg udara, ABS dan EBD pada harga yang lebih murah)
  2. Model sedan segmen C termurah dalam kelasnya
  3. Turut didatangkan dengan rim sport
Apa yang saya tidak suka
  1. Tiada lampu kabus untuk penglihatan lebih jelas semasa hujan lebat atau berkabus pada waktu malam
  2. Varian M-line yang lebih mahal pula tiada ABS dan EBD dan hanya mempunyai sebiji beg udara

No comments:

Post a Comment