Salam sejahtera,
Masih ingatkah dengan projek Lebuhraya Kalabakan-Sepulot yang pernah dicemari skandal songlap dan korupsi oleh kontraktor terdahulu...? Projek lebuh raya sepanjang 145 km bernilai RM565 juta yang dibina sepanjang Rancangan Malaysia Kelapan bersama-sama Lebuhraya Kimanis-Keningau dan Lebuhraya Sipitang-Tenom itu sepatutnya siap pada tahun 2008, tetapi akhirnya ia hanya disiapkan secara cincai sebagai jalan batu kerikil dengan kos spesifik RM3.9 juta sekilometer - satu angka yang tidak masuk akal sama sekali bagi jalan batu kerikil. Skandal songlap projek jalan raya yang terbesar di Sabah ini tentunya meranapkan harapan penduduk Kalabakan dan Sepulot untuk menikmati jaringan perhubungan dengan dunia luar.
Bagi memperbaiki keadaan, projek penurapan semula Lebuhraya Kalabakan-Sepulot dimulakan pada Oktober 2011 oleh kontraktor baharu, dengan kos sejumlah RM270 juta. Memang sakit hati kalau difikirkan bagaimana wang rakyat hangus begitu sahaja sepanjang tempoh asal pembinaannya akibat disonglap oleh kontraktor penyangak yang membinanya, dan kini wang rakyat terpaksa dibakar lagi untuk memperbaiki keadaan, tetapi sekurang-kurangnya kita perlu berterima kasih kepada kontraktor baharu ini kerana menunaikan tanggungjawabnya dengan penuh amanah sehinggakan sudah dua pertiga daripada jumlah keseluruhan yang sudah siap diturap setakat November 2013. Sungguhpun demikian, projek penurapan semula itu sebenarnya lewat daripada jadual asal yang sepatutnya siap pada Oktober 2013, tetapi kelewatan tersebut adalah disebabkan terdapat beberapa bahagian jalan tersebut yang sudah mendap dan rosak akibat lori-lori berat yang melalui jalan asal yang tidak sempurna itu, memerlukan kontraktor baharu tersebut untuk memperbaiki jajaran yang terjejas. Ia sememangnya memberi tekanan kepada JKR Sabah kerana mereka bukan sahaja terpaksa berdepan dengan orang ramai bagi menjawab isu skandal korupsi jalan tersebut, tetapi juga terpaksa membaikinya setelah kontraktor penyangak asal itu sudah melarikan diri. Apa pun, yang lebih penting ialah projek penurapan semula itu kali ini dilakukan oleh kontraktor baru yang lebih amanah tanpa sebarang songlap.
Kali ini saya akan memetik reviu oleh dua blogger lain yang sempat mencuba lebuh raya yang belum siap sepenuhnya itu. Terima kasih kepada Saudari Alin dan Saudara Syahrin kerana sudi berkongsi pengalaman mereka mencuba lebuh raya tersebut masing-masing pada Oktober dan Disember 2013. Menurut Saudari Alin, sepanjang menggunakan laluan tersebut, hanya tinggal lebih kurang 50 km sahaja lagi yang belum siap diturap semula setakat Oktober 2013 (reviu oleh Saudara Syahrin pula melaporkan hanya tinggal 40 km sahaja lagi), dan kita boleh menjangkakan bahawa Lebuhraya Kalabakan-Sepulot akan siap sepenuhnya pada tahun 2014. Harap-harap lebuh raya tersebut sempat disiapkan sebelum kunjungan kedua saya ke Sabah pada tahun hadapan.
Berikut saya senaraikan beberapa kelebihan dan keburukan menggunakan Lebuhraya Kalabakan-Sepulot dari Tawau ke Kota Kinabalu:-
Kelebihan
- Lebih jimat masa - Perjalanan dari Tawau ke Kota Kinabalu melalui Lebuhraya Kalabakan-Sepulot hanya mengambil masa lebih kurang 5-6 jam berbanding jalan biasa (Jalan Persekutuan 13, 22 dan 1) yang mengambil masa lebih kurang 8-10 jam.
- Kurang kenderaan - Dari segi tahap perkhidmatan, tahap perkhidmatan Lebuhraya Kalabakan-Sepulot boleh diberikan gred A; hanya setelah berada di Kimanis barulah tahap perkhidmatan turun kepada sekitar B hingga C. Dengan kata lain, sangat kurang kenderaan yang melaluinya. Laluan biasa pula kebanyakannya boleh diberikan gred B atau C, bergantung kepada tempat dan masa.
- Lebih jimat minyak - Kurang kenderaan dan jarak yang pendek membolehkan penggunaan bahan api yang lebih jimat, kerana anda hanya perlu meluncur sahaja tanpa memerlukan kuasa yang banyak untuk memecut atau memotong.
- Laluan yang siap berturap berada dalam keadaan yang sangat bagus - Kebanyakan jajaran Lebuhraya Kalabakan-Sepulot beraspal mulus kerana baru sahaja siap diturap, tetapi masih ada baki 50 km lagi yang belum siap diturap. Namun, kerja-kerja pembinaan yang dapat anda saksikan sepanjang perjalanan mampu memberikan keyakinan kepada anda bahawa kualiti turapan jalan ini tidak akan mengecewakan setelah ia siap kelak.
- Panorama indah - Sepanjang lebuh raya ini, anda disajikan dengan pemandangan hutan dara yang masih belum diteroka. Jika anda pencinta alam sekitar, anda juga boleh singgah ke Maliau Basin yang memang terletak dalam laluan lebuh raya ini.
Keburukan
- Tiada stesen minyak - selepas Felda Umas, stesen minyak seterusnya berada di Nabawan, tetapi bekalan minyak di sana tidak berapa stabil dan boleh cepat habis. Dengan kata lain, anda mungkin perlu melalui jarak sekurang-kurangnya 180 km tanpa stesen minyak. Kepada penunggang motor kapcai, jangan gunakan jalan ini tanpa membawa bersama dua botol bekalan petrol simpanan bersaiz sekurang-kurangnya 4 liter setiap satu. Jika terserempak dengan stesen minyak, isi minyak sepenuh-penuhnya.
- Jalan terlalu sunyi - Lebuhraya Kalabakan-Sepulot adalah jalan raya baharu yang sebahagian besarnya melalui kawasan tidak berpenghuni. Jadi pastikan anda bersedia dengan peralatan membaiki kecemasan terutamanya kit membaiki tayar. Pastikan kenderaan berada dalam keadaan paling sempurna kerana keadaan yang sunyi bermaksud tiada bengkel kereta atau motosikal sepanjang lebih 200 km.
- 50 km (dan semakin berkurangan) jalan batu kerikit tidak berturap - Sungguhpun sebahagian besar lebuh raya ini beraspal mulus kerana baru saja diturap, tetapi jangan lupa bahawa ia masih belum siap sepenuhnya. Kepada penunggang motosikal, seeloknya tunggu sahajalah sehingga jalan ini siap sepenuhnya, kerana menunggang melalui jalan batu kerikil menyebabkan pengendalian merosot dan mudah hilang kawalan.
- Banyak lori balak - Memandangkan lebuh raya ini sebahagian besarnya melalui kawasan hutan, maka terdapat banyak lori balak yang mengangkut lori balak, yang mana kebanyakannya mengangkut muatan berlebihan. Inilah punca utama kerosakan jalan ini. Tambah memburukkan keadaan, tiada stesen penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengambil tindakan terhadap lori-lori lebih muatan ini. Di jajaran jalan batu kerikil, lori-lori ini boleh melayangkan batu-batu kerikil longgar sehingga memecahkan cermin kereta, jadi berhati-hatilah.
- Tiada hentian rehat - Keadaan jalan yang sunyi dan melalui kawasan tidak berpenghuni menyebabkan tiada hentian rehat, menyebabkan kesulitan kepada pengguna jalan raya untuk makan, menunaikan solat dan "melepaskan hajat" mereka. Namun percayalah, pasti akan banyak kampung dan pekan yang tumbuh bagai cendawan lepas hujan bagi memenuhi keperluan asas pengembara. Bukti paling jelas ialah pembinaan Lebuhraya Papar-Sindumin FT1 dan Lebuhraya Tamparuli-Ranau FT22 yang menyaksikan banyak pekan dan kampung yang tumbuh dan berkembang.
- Tiada liputan telefon bimbit - juga kerana kawasan masih baharu dan masih tiada penduduk. Namun, ketiadaan menara-menara pemancar telefon bimbit sudah tentu menyukarkan perhubungan terutama pada saat-saat kecemasan.
Begitulah sedikit-sebanyak rumusan yang dapat saya petik daripada reviu oleh Saudari Alin dan Saudara Syahrin ini. Semoga jalan ini berjaya disempurnakan sebelum kunjungan kedua saya ke Sabah tahun hadapan kelak. Jutaan terima kasih buat JKR Sabah dan kontraktor baharu bagi projek ini kerana sudi menjayakan projek Lebuhraya Kalabakan-Sepulot dengan penuh amanah dan dedikasi demi memenuhi harapan rakyat luar bandar yang memerlukan infrastruktur asas bagi mengubah taraf hidup mereka.
Kredit kepada: Saudari Alin dan Saudara Syahrin
No comments:
Post a Comment