Monday, December 9, 2013

Peta laluan alternatif semasa banjir / Map of alternative routes during floods




Salam sejahtera,

Musim banjir kini tiba lagi. Banyak jalan raya yang terputus hubungan akibat ditenggelami air. Akibatnya, ramai pengguna jalan raya yang terperangkap dan tidak dapat ke mana-mana. Kalau ada pun laluan alternatif, ia mungkin akan menyebabkan anda terpaksa membazirkan masa kerana terpaksa mengikut laluan yang lebih jauh untuk ke destinasi yang dituju.

Selain itu, ada juga laluan yang terpaksa ditutup akibat kejadian tanah runtuh susulan banjir. Misalnya, semasa banjir yang melanda Pahang dan Terengganu baru-baru ini, sebuah jambatan di Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12 dekat Persimpangan Chini runtuh akibat arus deras, disusuli pula dengan kejadian jambatan runtuh di bandar Chukai. Selain itu, terdapat banyak jalan yang masih boleh dilalui tetapi sudah rosak teruk dan berlubang di sana-sini akibat banjir.

Jadi apa yang anda boleh lakukan untuk merancang perjalanan? Mudah sahaja - anda boleh memanfaatkan peta lokasi banjir di atas bagi mengenal pasti laluan yang terpaksa ditutup akibat banjir. Jutaan terima kasih kepada Jabatan Kerja Raya kerana menyediakan peta lokasi banjir interaktif bagi membantu pengguna jalan raya. Seterusnya, anda boleh menggunakan peta yang sama bagi mengenal pasti laluan alternatif yang anda boleh gunakan.

Sekiranya laluan di hadapan anda sudah pun ditenggelami air, jangan terus redah air banjir tersebut. Sebaliknya, perhatikan sama ada kenderaan berat boleh melaluinya, diikuti kenderaan yang lebih kecil sedikit. Jika jalan tersebut hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat ataupun tidak boleh dilalui langsung, anda tiada pilihan melainkan berpatah balik sahaja. Ingat, air banjir boleh merosakkan kenderaan melalui pelbagai cara - merosakkan ECU, menyebabkan litar pintas sehingga boleh merosakkan keseluruhan peralatan elektrik kereta, menyebabkan enjin dilimpahi air, dsb. Kerosakan kenderaan akibat banjir boleh menyebabkan kos pembaikan yang amat mahal; lebih teruk lagi, anda tidak boleh menuntut pampasan insurans sekiranya kenderaan rosak akibat banjir.

Kepada mangsa banjir sekelian, semoga anda semua tabah menghadapi ujian oleh Allah ini.


No comments:

Post a Comment

Advertisement