Salam sejahtera,
Tahun 2013 bakal melabuhkan tirainya dalam masa beberapa jam daripada sekarang. Oleh itu, saya ingin mengambil kesempatan mengakhiri tahun 2013 yang saya sifatkan sebagai tahun paling produktif buat Blog Jalan Raya Malaysia dengan dua lagi reviu jalan raya iaitu Jalan Persekutuan 76 (Kuala Kangsar-Baling) dan jajaran Lebuhraya Timur-Barat FT4 dari Gerik ke Kupang. Kesempatan membuat dua reviu jalan raya ini datang dengan tidak disangka-sangka apabila saya dijemput untuk menghadiri majlis pertunangan sahabat saya, Khairul Azmi, yang berlangsung di Baling, Kedah sebagai pemandu tambahan, memandangkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Baling memakan masa yang begitu lama.
Jalan Persekutuan 76 sepanjang 163.72 km ini sememangnya tidak asing bagi orang-orang utara yang sering ke Kelantan dan Terengganu melalui Lebuhraya Timur-Barat FT4. Jalan Persekutuan 76 sememangnya menjadi prasyarat terawal sebelum memasuki Lebuhraya Timur-Barak FT4. Lebuh raya persekutuan dua lorong sepanjang 123 km dari Gerik ke Kampung Lawar, Jeli itu pula sangat penting bagi menghubungkan orang-orang utara dengan orang-orang pantai timur dan mampu memendekkan jarak perjalanan yang asalnya melebihi seribu kilometer kepada hanya beberapa ratus kilometer sahaja - lebih daripada separuh jarak perjalanan dapat dipendekkan.
Jalan Persekutuan 76 dahulunya sangat terkenal sebagai laluan yang kaya dengan selekoh-selekoh mautnya, terutamanya di sepanjang jajaran Kuala Kangsar-Gerik sejauh 100 km. Keadaan jalan yang mempunyai terlalu banyak selekoh itu menyebabkan pembentukan barisan-barisan kenderaan yang beratur panjang untuk memotong kenderaan berat yang tentunya lebih perlahan. Akibatnya, setiap cubaan memotong adalah amat berisiko dan boleh membawa kepada kemalangan maut. Sehubungan dengan itu, kerajaan persekutuan mengambil langkah menjadikan Jalan Persekutuan 76 sebagai jalan super two dan memotong jajaran-jajaran yang berselekoh banyak di sekitar Sauk dan Lenggong. Projek naik taraf FT76 menjadi jalan raya super two ini dimulakan pada tahun 2001 dan siap pada tahun 2005. Kini, Jalan Persekutuan 76 sudah berubah wajah daripada "jalan ular" kepada jalan raya super two yang mempunyai sangat kurang selekoh.
Rombongan keluarga besar Khairul Azmi yang terdiri daripada empat buah kereta bertolak dari Kuala Lumpur pada 28 Disember 2013 pada waktu yang berbeza-beza kerana ada yang mahu bertolak awal dan ada pula yang perlu mengambil beberapa orang saudara-mara yang lain. Saya, Khairul Azmi dan adiknya Amirul menaiki Proton Persona dan bertolak pada pukul 11.30 pagi. Khairul Azmi memandu di sepanjang perjalanan pergi ke Baling. Perjalanan kami di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan E1 diiringi cuaca cerah sebelum bertukar mendung dan seterusnya hujan di sepanjang jajaran Ipoh-Sungai Perak. Kami bertiga tiba di Kawasan Rehat dan Rawat Sungai Perak pada pukul 3.30 petang untuk menunaikan solat dan minum petang sementara menunggu dua buah lagi kereta iaitu sebuah Perodua Alza dan sebuah Proton Gen-2. Namun, setelah lebih sejam setengah menunggu, kedua-dua kereta tersebut masih tidak sampai-sampai kerana kedua-duanya tersesat di Rawang. Maka, kami terpaksa menukar rancangan dan menjadikan bandar Gerik sebagai tempat pertemuan baru.
Kami bertiga mengambil kesempatan atas kelewatan dua buah kereta tersebut dengan memandu secara relaks bagi membolehkan saya mengambil gambar di sepanjang FT76. Jalannya sangat bagus - beraspal mulus, sangat lurus dan lebar (piawaian JKR R5, lebar lorong minima 3.5 m, had laju reka bentuk 100 km/j), sekaligus menggoda sesiapa sahaja untuk memandu dengan laju. Sekali-sekala, lorong memotong disediakan bagi memotong kenderaan perlahan. Namun awas, keadaan jalan yang sangat bagus sebegini boleh membuatkan anda terdedah kepada risiko untuk disaman sama ada kerana melanggar had laju ataupun kerana memotong di garisan berkembar.
Memandangkan laluan baru lebuh raya FT76 ini banyak memotong laluan lama yang berselekoh, maka terdapat pekan-pekan utama yang turut dipintas oleh FT76 seperti Sauk dan Lenggong. Pekan Sauk pernah digemparkan dengan insiden pencerobohan Kem Batalion 304 Rejimen Askar Wataniah oleh kumpulan al-Ma'unah pada tahun 2000. Setelah Angkatan Tentera Malaysia berjaya menewaskan kumpulan militan al-Ma'unah, beberapa pemimpin kanannya ditangkap dan didakwa atas kesalahan memerangi Yang Dipertuan Agong, pertama kali dalam sejarah rakyat awam didakwa atas kesalahan sedemikian. Keadaan Sauk kembali tenang dan sunyi setelah insiden pencerobohan tersebut berakhir.
Jajaran Kampung Nyior-Lenggong adalah jajaran yang paling panjang dipintas oleh laluan baru FT76. Ia termasuklah pembinaan Jambatan Raja Dr. Nazrin Shah di Empangan Chenderoh. Sebenarnya di sebelah jambatan tersebut terdapat sebuah hentian rehat, tetapi ia kini sekadar projek gajah putih yang terbiar. Jalan untuk memasuki hentian rehat itu sendiri sudah ditutup. Kawasan persekitarannya juga dibiarkan bersemak-samun. Saya berasa amat kesal kerana tiada sebarang usaha bagi menghidupkan semula hentian rehat ini, sekaligus menjadikannya satu projek gajah putih yang membazir wang rakyat.
Sungguhpun saya berasa amat kecewa mengenangkan keadaan hentian rehat Tasik Chenderoh yang terbiar itu, sekurang-kurangnya saya masih boleh berasa lega kerana beberapa buah hentian rehat lain sepanjang FT76 ini seperti di Dataran Lenggong boleh dikatakan agak meriah. Bagi penunggang motosikal kapcai pula, anda tidak perlu risau kerana stesen minyak masih boleh didapati dengan mudah di sepanjang FT76 ini. Anda hanya perlu risau apabila hendak memasuki Lebuhraya Timur-Barat FT4 ke Jeli kerana anda tidak akan menjumpai stesen minyak sepanjang 123 km perjalanan.
Perjalanan diteruskan. Liputan radio semakin sukar diperolehi, tetapi ironinya siaran Thailand pula boleh ditala dengan mudah. Apa boleh buat, layan sajalah. Setelah puas mencari talaan radio, akhirnya ada juga stesen radio berbahasa Melayu, membuktikan bahawa masih ada liputan radio di kawasan pedalaman pula.
Kami akhirnya tiba di Gerik pada pukul 6.00 petang. Bandar Gerik sememangnya berkembang dengan begitu pesat selaras dengan fungsinya sebagai bandar persinggahan terpenting sebelum memasuki Lebuhraya Timur-Barat FT4. Di sinilah tempatnya pengembara memanfaatkan sehabis-habisnya masa rehat sebelum memasuki FT4 untuk ke Kelantan ataupun ke Butterworth dengan menunaikan solat, berehat, makan, mengisi minyak, membeli bekalan makanan, minuman dan keperluan lain, dsb. Ada dua restoran makanan segera di sini iaitu KFC dan Pizza Hut. Sebuah hentian rehat dan rawat terpenting di sepanjang Jalan Persekutuan 76 didirikan di Batu 2 Gerik, betul-betul selepas bulatan yang menjadi pintu masuk asal ke Lebuhraya Timur-Barat FT4. Pintu masuk utama ke Lebuhraya Timur-Barat FT4 sekarang ialah di persimpangan lampu isyarat yang terletak tidak sampai 1 km daripada bulatan pintu masuk asal.
Setelah dua buah kereta yang sebelum ini tersesat sudah tiba di Gerik, kami semua mengambil kesempatan untuk menunaikan solat dan seterusnya makan malam sebelum meneruskan perjalanan ke Baling. Seterusnya, kami meneruskan perjalanan ke Baling yang sudah tidak jauh daripada Gerik. Kembara sepanjang Jalan Persekutuan 76 terpaksa ditamatkan sehingga ke Gerik bagi membolehkan kami mengetahui jalan ke rumah tunang Khairul Azmi yang terletak di Kampung Keda Kemangi melalui Lebuhraya Timur-Barat FT4.
Ikuti sambungan seterusnya di Lebuhraya Timur-Barat FT4 Pakej 4 (Gerik-Baling) yang menjadi reviu terakhir bagi tahun 2013.
Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.
Memasuki Jalan Persekutuan 76 dari Lebuhraya Utara-Selatan E1 melalui Exit 143 Persimpangan Kuala Kangsar
Plaza Tol Kuala Kangsar
Selamat datang ke Kuala Kangsar, ibu kota diraja Perak - jalan terus untuk ke Gerik
Gerik terletak 100 km dari persimpangan ke Kuala Kangsar
Jalan raya kembar tamat
Keadaan Jalan Persekutuan 76 sebagai jalan super two yang sangat bagus - lurus, beraspal cantik tanpa cacat-cela dan kurang kenderaan
Salah satu daripada jajaran lama FT76 yang dipintas dekat Kati
Persimpangan lampu isyarat Sauk
Jambatan Raja Dr. Nazrin Shah
Lagi persimpangan lampu isyarat yang memintas laluan lama FT76 dekat MRSM Lenggong
Simpang masuk ke pekan Lenggong
Hentian rehat Selat Pagar
Hentian rehat Lawin
Suasana di Kampung Lawin
Antara beberapa lorong memotong di sepanjang Jalan Persekutuan 76
Liputan stesen radio Malaysia semakin sukar diperolehi tetapi stesen radio Thailand pula mudah dicari - apa boleh buat, layan sajalah
Sudah hampir sampai ke Gerik
Keadaan bandar Gerik semasa kami melaluinya
Balai bomba Gerik
Ada dua restoran makanan segera di Gerik iaitu KFC dan Pizza Hut
Bangunan Persekutuan Gerik yang menempatkan pejabat-pejabat kerajaan bagi daerah Hulu Perak
laluan untuk saya ulang alik dari perak ke klate, boleh kata yg jalan yg terbaik saya jumpa setakat ni.
ReplyDeleteSaya pernah singgah di kawasan rehat empangan chenderoh tu. Permandangannya cantik dan kawasan rehatnya pun elok juga waktu itu. Dah tutup dah tempat tu? Ruginya
ReplyDeleteYa, hentian rehat tersebut sudah pun ditutup.
Delete