Friday, November 15, 2013

Perodua Alza: Kereta, MPV juga kereta estet / A car, an MPV and a station wagon

Salam sejahtera,

Kali ini Blog Jalan Raya Malaysia berpeluang memandu uji sebuah Perodua Alza secara eksklusif, sungguhpun kalau diikutkan ia diadakan lewat empat tahun daripada sepatutnya. Peluang memandu uji Perodua Alza dalam perjalanan jauh ini datang pada 14 November 2013 setelah beberapa orang rakan meminta pertolongan saya untuk menghantar mereka ke Terminal Tambang Murah (LCCT), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menaiki sebuah Perodua Alza yang sarat dengan bagasi. Rakan-rakan saya itu hendak ke Padang, Sumatera Barat, Indonesia untuk bercuti, maka mereka meminta pertolongan saya untuk menghantar mereka, memandangkan saya tidak ikut serta. Terima kasih kepada Saudara Syamin kerana sudi meminjamkan sebuah Perodua Alza yang baru sahaja "habis tempoh pantang" untuk dipandu uji.

Perodua Alza ini dikeluarkan oleh Perodua pada tahun 2009 sebagai menyahut cabaran bagi menghasilkan sebuah kenderaan serba guna (MPV) keluaran tempatan, sekaligus memulakan "perang MPV" dengan Proton Exora. Ia dibina berasaskan model MPV Toyota Passo Sette / Daihatsu Boon Luminas yang dikeluarkan di Jepun sebagai versi MPV bagi Daihatsu Sirion. Maka, Perodua Alza ini boleh juga dianggap sebagai "Perodua Myvi versi MPV", kerana kedua-dua kenderaan dibina berasaskan pelantar yang sama. Memandangkan Alza ini lebih besar dan perlu mengangkut 7 orang penumpang, maka satu-satunya pilihan enjin yang ada ialah enjin 3SZ-VE 1.5 liter DOHC DVVT 16 injap sejukan air. Enjin ini berbeza daripada enjin 1NZ-FE yang digunakan pada Toyota Vios, kerana kuasa kuda yang dihasilkan adalah berbeza, malah susunan rongga masukan dan ekzos juga berbeza (3SZ-VE mempunyai susunan konvensional rongga masukan di belakang dan rongga ekzos di hadapan, manakala 1NZ-FE pula terbalik). Enjin 1NZ-FE mampu menghasilkan 109 PS @ 6,000 rpm manakala enjin 3SZ-VE pula sekadar menghasilkan 104 PS @ 6,000 rpm. Di atas kertas, enjin 3SZ-VE ini kelihatan seolah-olah tidak cukup berkuasa, tetapi hakikat sebenar adalah berbeza. Tak percaya? Baca reviu ini terlebih dahulu sampai habis.

Saya, Syamin dan rakan saya Khairul Azmi memulakan perjalanan dari Desa Jenaris, Kajang. Sebelum itu, kami memunggah 8 bagasi yang memerlukan kerusi baris belakang dilipat sepenuhnya dan salah satu daripada kerusi baris tengah dilipat. Seterusnya, kami ke LCCT melalui Jalan Pintasan Kajang, Lebuhraya Cheras-Kajang E7, Lebuhraya Kajang Silk E18, SKVE E26, Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya FT29, Hubungan Putrajaya E6, Lebuhraya Elite E6 dan Lebuhraya KLIA FT26/E6. Setelah petrol diisi, kami meneruskan perjalanan dalam cuaca hujan seawal 2.00 pagi tatkala kebanyakan warga Lembah Klang lena diulit mimpi.

Perodua Alza ini tiada brek tangan, sebaliknya brek kecemasannya dikendalikan dengan menggunakan injak kaki - hampir sama seperti Mercedes-Benz - bezanya, brek kecemasan Mercedes-Benz dilepaskan dengan menarik tuas pelepas brek kecemasan, manakala brek kecemasan Perodua Alza pula dilepaskan dengan menekan kembali injak brek kecemasan yang sama. Sepanjang memandu Alza ini, saya merasakan bahawa Alza adalah kereta Perodua paling stabil setakat ini, sungguhpun pengendaliannya kurang lincah sedikit berbanding kereta-kereta keluaran Proton berikutan badannya yang tinggi. Namun, kelemahan tersebut diatasi dengan badannya yang panjang. Apa pun, ia tetap lincah meskipun ia sarat dengan muatan dalam cuaca hujan. Pengendaliannya turut dibantu pemilihan stereng kuasa hidraulik konvensional berbanding stereng kuasa elektrik (EPS) yang digunakan Myvi generasi kedua. Saya sedikit pun tidak terasa Alza ini tidak cukup kuasa (underpowered), kerana enjin 3SZ-VE ini memang lebih menumpukan kepada sebaran kilasan yang lebih baik pada kelajuan rendah, yang mana sifat sebegini sangat kritikal bagi sesebuah MPV. Jika dibandingkan dengan Proton Exora CPS pula, meskipun ia kelihatan lebih berkuasa di atas kertas, tetapi enjinnya agak malas dan memerlukan pemandu menekan injak pendikit dengan kuat apabila enjin Campro CPS itu digunakan pada Exora, kerana sifat enjin Campro CPS lebih menumpukan sebaran kilasan pada kelajuan tinggi. Sebab itulah Alza ini sebenarnya gagah walaupun angka kuasa kuda di dalam kertas nampak kecil sahaja. Kelajuan tertinggi yang saya berani uji ialah sekadar 140 km/j berikutan cuaca hujan, meskipun kalau diikutkan Alza ini sebenarnya boleh mencapai kelajuan maksimum 155 km/j.

Satu lagi kekuatan utama Perodua jika dibandingkan dengan Proton ialah kehalusan buatannya (refinement), dan inilah faktor utama yang membawa kepada persepsi kereta Perodua lebih berkualiti daripada Proton. Saya bukanlah hendak memperlekehkan Proton, tetapi jika Proton berupaya meningkatkan tahap kehalusan buatannya, maka sudah tentulah persepsi masyarakat turut berubah.

Perjalanan dari Kajang ke Terminal LCCT mengambil masa hampir sejam. Sebaik tiba, kami menunggu empat orang lagi rakan kami sebelum memunggah keluar kesemua bagasi di dalam Alza tersebut. Setelah bagasi habis dipunggah keluar, saya mengucapkan selamat jalan kepada rakan-rakan sebelum pulang ke Kajang bersendirian.

Peluang pulang bersendirian dimanfaatkan dengan melencong sebentar ke Petronas LCCT bagi mengambil beberapa keping gambar serta menguji kerusi-kerusi baris tengah dan hadapan. Kerusi baris hadapan dan tengah memang selesa seperti menaiki Myvi, dengan ruang kaki dan ruang kepala yang besar. Namun, apabila hendak masuk ke kerusi baris belakang, ia satu pengalaman yang menyeksakan bagi seorang yang mempunyai ketinggian 178 cm seperti saya. Untuk masuk ke kerusi belakang, penumpang bukan sahaja perlu menarik tuas pada kerusi tengah untuk melipatnya, malah perlu juga menggelungsurkan kerusi tengah itu ke hadapan. Kalau hendak keluar pula lebih menyeksakan; sekadar menarik tuas kerusi tengah sahaja dari belakang tanpa pertolongan penumpang baris tengah untuk menggelungsurkan kerusi tengah tidak membolehkan orang baris belakang untuk keluar sekiranya ada kejadian yang tidak diingini. Berbeza pula dengan Proton Exora; penumpang hanya perlu tarik tuas pada kerusi tengah untuk melipat kerusi tengah ke hadapan untuk keluar masuk, satu tindakan yang hanya mengambil masa 2 saat. Ruang kaki dan ruang kepala di baris belakang pula begitu sempit, menyebabkannya kurang praktikal untuk mengangkut orang dewasa di kerusi belakang. Maka, kerusi baris belakang lebih sesuai untuk penumpang kanak-kanak sahaja. Jika kesemua 7 kerusi digunakan, ruang simpanan barang di belakang hanya mampu memuatkan lebih kurang 4 atau 5 beg sekolah sahaja, tetapi jika kerusi baris belakang dilipat, maka ruang simpanan barang memang besar.

Kesimpulannya, Perodua Alza ini lebih praktikal jika ia dipandu sebagai sebuah kereta, atau lebih tepat lagi kereta estet, yang memuatkan 5 penumpang sahaja. Jangan salah sangka, kereta estet di sini bukanlah bermaksud kereta untuk dilenjan di dalam estet getah atau kelapa sawit, tetapi ia adalah sejenis kereta hatchback dengan ruang kargo yang besar. Lagipun, semua MPV moden memang berevolusi daripada kereta estet. Berikutan ruang kerusi baris belakang yang begitu sempit, Perodua Alza ini amat sesuai untuk keluarga yang mempunyai anak-anak kecil ataupun untuk sesiapa yang mahukan kereta yang menyerupai Perodua Myvi tetapi dengan ruang simpanan barang yang besar. Jika anda mahukan MPV bajet yang boleh memuatkan 7 orang dewasa, maka saya cadangkan anda membeli sebuah Toyota Avanza, Toyota Innova ataupun Proton Exora CFE.

Bagaimana pula dengan Proton Exora CFE? Nantikanlah pada reviu akan datang mengenainya.

Laman web rasmi: http://www.perodua.com.my


Spesifikasi 2009 Perodua Alza

Enjin: 3SZ-VE DOHC 16 injap 4 silinder sebaris 1.5 liter DVVT
Sesaran: 1,495 cc
Lubang x lejang: 72 x 91.8 mm
Nisbah mampatan: 10:1
Kuasa kuda: 76 kW (104 PS) @ 6,000 rpm
Tork: 136 N-m @ 4,400 rpm
Jarak roda: 2,750 mm
Berat kering: 1,120-1,150 kg
Muatan tangki bahan api: 42 liter
Saiz tayar: 185/55 R15

Apa yang saya suka
  1. MPV mampu milik pada harga berpatutan
  2. Kereta keluaran Perodua yang paling stabil pengendaliannya setakat ini
  3. Ruang barangan yang luas jika ia dijadikan sebagai sebuah kereta estet 5 tempat duduk
  4. Ruang kaki dan kepala yang luas di bahagian hadapan dan tengah
Apa yang saya tidak suka
  1. Ruang kerusi baris belakang yang terlalu sempit
  2. Keluar masuk barus belakang yang menyukarkan terutamanya apabila hendak keluar
  3. Ruang barangan yang terlalu kecil jika ia dijadikan sebagai MPV 7 tempat duduk






Pandangan hadapan Perodua Alza






Pandangan belakang Perodua Alza






Panel meter Perodua Alza sebelum enjin dihidupkan...






...dan setelah enjin dihidupkan






Ruangan tengah papan pemuka yang terdiri daripada radio, kawalan pendingin udara serta sebatang tombol gear automatik yang begitu comel






Ruangan enjin Perodua Alza






Ruang kaki di kerusi baris belakang yang begitu sempit bagi orang yang tinggi lampai seperti saya






Kerusi baris tengahnya pula seluas Myvi






Ruangan barang Alza - sangat kecil jika dijadikan MPV 7 tempat duduk, tetapi sangat luat apabila dijadikan kereta estet 5 tempat duduk

No comments:

Post a Comment