Salam sejahtera dan Selamat Hari Deepavali bagi pembaca Blog Jalan Raya Malaysia yang berketurunan India,
Sebelum ini saya telah menulis reviu mengenai Toyota Vios 2013 yang mana hasil reviu saya lebih banyak negatif daripada positif berikutan kekecewaan saya mengenai penggunaan enjin dan kotak gear 4 kelajuan kuno tanpa sebarang pembaharuan, menjadikan pembeliannya sangat tidak berbaloi. Sebuah laman forum berbahasa Melayu telah berkongsi entri tersebut dan topik tersebut telah mendapat pelbagai reaksi daripada pembaca. Ada yang bersetuju dengan pendapat saya itu dan ada juga yang masih merasakan pembelian mereka itu berbaloi atas dasar persepsi kualiti dan penjimatan bahan api (terutamanya dari kalangan pemilik Vios generasi kedua aka Vios Dugung). Namun demikian, ada juga yang mempertikaikan sama sekali pendapat saya tersebut; lebih kelakar lagi, terdapat golongan yang memberi komen dangkal yang menyatakan kononnya Mitsubishi sendiri pun menggunakan "enjin purba" pada Mitsubishi Lancer Evolution selama 15 tahun (1992-2007) sebelum beralih kepada enjin serba baru pada tahun 2007.
Enjin 4G63 yang digunakan pada Mitsubishi Lancer Evolution IX
Biar saya terangkan secara lebih lanjut mengenai sejarah enjin 4G63 yang digunakan pada Mitsubishi Lancer Evolution itu. Enjin 4G63 adalah salah satu daripada keluarga enjin Mitsubishi Sirius yang mula dikeluarkan pada tahun 1980an dan mempunyai sejarah pembangunan yang begitu panjang. Ia mula digunakan pada kereta Mitsubishi Starion model tahun 1982. Model Proton Perdana terawal (1996-1999) turut menggunakan enjin 4G63 16 injap SOHC 2 liter NA sebelum beralih kepada enjin 6A12 V6 pada tahun 1999. Sejak mula digunakan pada tahun 1982, enjin 4G63 mempunyai varian yang sangat banyak berikutan teknologi yang diterapkan ke dalamnya. Ia boleh didapati sama ada dalam varian SOHC atau DOHC, 8 injap atau 16 injap, berkaburetor atau menggunakan pancitan bahan api, pernafasan biasa (NA) ataup turbo, serta dilengkapi MIVEC (Pemasaan dan bukaan injap kawalan elektronik inovatif Mitsubishi) atau tidak. Sungguhpun terdapat sebegitu banyak varian, namun kesemuanya menggunakan nama enjin yang sama iaitu 4G63.
Enjin 4G13 yang digunakan pada Proton Saga
Perangai yang sama turut dikongsi pada enjin 4G13, salah satu ahli keluarga Mitsubishi Orion, yang digunakan pada Proton Saga (1985-2008) dan Proton Wira (1993-2007). Ia juga mempunyai pelbagai varian sepanjang pengeluarannya, daripada jenis 8 injap berkarburetor, 12 injap berkarburetor sehinggalah kepada 12 injap dengan pancitan bahan api. Begitu juga dengan enjin Campro yang dibina sendiri oleh Proton, sungguh terdapat palbagai varian seperti enjin asas DOHC, IAFM, CPS dan juga CFE, kesemuanya berkongsi kod enjin sama iaitu S4PH (bagi enjin 1.6 liter) dan S4PE (bagi enjin 1.3 liter).
Enjin 1NZ-FE yang digunakan pada Toyota Vios
Berbeza pula dengan enjin Toyota 1NZ-FE yang mula dikeluarkan pada tahun 1999 bermula dengan Toyota Platz sebagai kereta pertama yang menggunakan enjin tersebut. Sejak mula diperkenalkan pada tahun 1999 sehingga sekarang, spesifikasi teknikalnya kekal sama tanpa sebarang perubahan atau penambahbaikan - 109 PS @ 6,000 rpm, 141 N-m @ 4,200 rpm. "Kembar" hibridnya iaitu enjin 1NZ-FXE pula berkongsi lubang x lejang dan sesaran yang sama, tetapi mempunyai nisbah mampatan yang berbeza kerana menggunakan profil sesondol yang berbeza untuk menghasilkan kitar Atkinson (nisbah pengembangan lebih besar daripada nisbah mampatan) yang amat diperlukan pada kereta hibrid. Sungguhpun tiada perubahan pada 1NZ-FXE, tetapi sekurang-kurangnya sistem rangkaian kuasanya (Hybrid Synergy Drive) sentiasa ditambah baik.
Kesimpulannya, perubahan dan penambahbaikan adalah satu proses yang amat penting sebagai usaha untuk terus maju ke arah yang lebih baik, malah Rasulullah SAW sendiri pun menuntut kita melakukan perubahan ke arah yang lebih baik. Keadaan enjin yang "cukup bagus" untuk memenuhi keperluan piawaian emisi dan penggunaan bahan api semasa sahaja bukanlah alasan untuk tidak menambah baik sesuatu enjin, kerana teknologi yang dianggap "bagus" dalam keadaan semasa mungkin tidak lagi relevan pada 10 tahun akan datang, berikutan piawaian emisi dan penggunaan bahan api yang semakin ketat. Oleh itu, pengeluar kereta tidak sewajarnya terus berada dalam zon selesa tetapi sentiasa berusaha untuk membina enjin yang bukan sahaja semakin jimat minyak, tetapi juga semakin mesra alam dan semakin berkuasa.
No comments:
Post a Comment