Saturday, November 9, 2013

Apa kejadahnya: Standard mata pelajaran Geografi KBSM yang semakin merosot / What The Hell: The declining standards of KBSM Geography subject




Salam sejahtera,

Tahun Melawat Malaysia 2014 sudah tinggal lebih kurang sebulan setengah sahaja lagi. Pada masa itu nanti, maka berduyun-duyun pelancong asing akan datang ke Malaysia untuk melawat destinasi-destinasi menarik yang ada di negara kita. Kebanyakan di antara mereka menggunakan perkhidmatan bas pelancong mengikut pakej yang disediakan oleh agensi pelancongan masing-masing, tetapi ramai juga yang memilih untuk menyewa kenderaan dan meneroka sendiri kawasan-kawasan menarik yang berpotensi tinggi untuk industri pelancongan, dengan hanya bermodalkan peta, kenderaan yang disewa serta sejumlah wang untuk dibelanjakan. Mereka hanya bergantung kepada kod laluan bagi memastikan bahawa mereka berada di jalan yang betul. Maka, masalah mulai timbul apabila mereka sudah terkeluar daripada laluan yang sepatutnya, atau dengan kata lain, tersesat jalan. Apabila pelancong-pelancong asing ini sudah tersesat, maka satu-satunya harapan mereka ialah bertanya kepada orang-orang tempatan iaitu kita sendiri. Namun, masalah terbesar yang timbul adalah kebanyakan daripada orang-orang kita masih lagi jahil dan buta sistem kod laluan jalan raya kebangsaan - jadi bagaimana hendak menunjukkan laluan yang betul kepada mat-mat saleh itu jika kita sendiri pun masih jahil...?

Masalah jahil kod laluan jalan raya negara ini paling ketara di ibu negara Malaysia sendiri iaitu Kuala Lumpur. Sebagai ibu kota persekutuan, Kuala Lumpur sepatutnya menjadi contoh dalam memartabatkan jalan raya negara melalui penggunaan kod laluan yang betul, tetapi keadaan yang sebaliknya pula yang berlaku. Lihat sahajalah pada papan-papan tanda yang ada di Kuala Lumpur, ada atau tidak diletakkan kod laluan yang sepatutnya? Majoritinya langsung tak ada; kalau ada pun hanyalah bagi segelintir lebuh raya ekspres. Beberapa daerah di negeri Selangor yang terletak di sekeliling Kuala Lumpur pun mampu menunjukkan contoh yang jauh lebih baik dalam penggunaan kod jalan raya, sesuatu yang sangat memalukan bagi Kuala Lumpur. Malah, laporan kesesakan trafik harian di corong-corong radio serta laporan rasmi oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Sistem Maklumat Trafik Bersepadu (ITIS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sendiri pun langsung tidak pernah memartabatkan kod jalan raya negara, sesuatu yang sangat memalukan bagi badan kerajaan sendiri.

Memandangkan badan kerajaan di ibu negara sendiri pun sudah menunjukkan contoh yang pincang, maka akibatnya warga kota sendiri rata-ratanya boleh dikatakan jahil akan sistem kod jalan raya negara. Jadi, kalau ada mat-mat saleh yang tersesat di KL, habislah mereka kerana tiada sesiapa pun yang mampu menunjukkan laluan yang betul mengikut kod jalan raya yang menjadi pelampung bagi mat-mat saleh tersebut. Saya sendiri pun pernah menyuarakan ketidakpuasan hati saya itu kepada pihak ITIS, tetapi malangnya warga kota sendiri pun mengiyakan sahaja dan merelakan kejahilan mereka tersebut tanpa sebarang langkah mahupun inisiatif bagi menjadikan warga kota lebih sedar dan lebih celik akan kepentingan penggunaan kod jalan raya negara. Apa pun, saya sudah tidak boleh menyalahkan warga kota atas kejahilan mereka, lagipun mereka sudah pun menjadi buluh keras yang sudah tidak boleh dilentur lagi.

Jadi siapakah yang patut dipersalahkan atas kejahilan orang-orang kita terhadap sistem kod jalan raya negara...?

Sistem pendidikan negara patut dipersalahkan kerana gagal mendidik anak-anak bangsa mengenal sistem kod jalan raya negara ketika mereka masih lagi rebung yang mudah dilentur. Dalil utama bagi mengesahkan dakwaan ini ialah standard mata pelajaran Geografi KBSM yang semakin merosot jika dibandingkan dengan beberapa dekad yang lepas. Semasa saya di bangku sekolah, saya mula didedahkan dengan ilmu geografi seawal sekolah rendah lagi iaitu melalui subjek Alam dan Manusia (ADM). Menurut Cikgu Azizan bin Borhan, guru yang pernah mengajar saya subjek tersebut, subjek Alam dan Manusia adalah gabungan 5 subjek - Sains, Sejarah, Geografi, Kenegaraan dan Sivik - dan diformulasikan untuk diajar di sekolah rendah berikutan had kekangan masa bagi pelajar sekolah rendah. Saya dan rakan-rakan sekolah adalah batch ketiga terakhir yang sempat merasai subjek tersebut sebelum ia dimansuhkan pada tahun 1995 dan digantikan dengan subjek Sains dan Kajian Tempatan. Sekurang-kurangnya, keputusan menjadikan Kajian Tempatan sebagai salah satu subjek pengganti ADM merupakan satu keputusan yang tepat kerana selain mengajar murid-murid untuk menghasilkan kerja kursus sebelum memasuki alam persekolahan menengah, ia mendidik murid-murid agar mengkaji sejarah dan ciri geografi dalam model yang paling asas iaitu di peringkat setempat (kampung / bandar). Semasa saya di bangku sekolah menengah pula, subjek Geografi yang diajar sepanjang peringkat menengah rendah pula terdiri daripada Geografi Malaysia (Tingkatan 1), Geografi Asia Tenggara (Tingkatan 2) dan Geografi Asia (Tingkatan 3). Jika dibandingkan dengan silibus Geografi yang lebih terkini, terus-terang saya katakan bahawa silibus mata pelajaran Geografi pada zaman persekolahan saya pada tahun 1990an adalah yang terbaik kerana ia diajar secara berperingkat dan tidak mengulangi perkara yang sama sahaja.

Bagaimana pula dengan silibus Geografi sekarang? Silibus Geografi sekarang pula jauh lebih teruk jika dibandingkan dengan silibus pada zaman persekolahan saya dahulu. Sudahlah bahagian Geografi Asia Tenggara dan Geografi Asia sudah dibuang, malahan susunan topik-topik Geografi Malaysia pun seakan berterabur dan tidak sistematik. Kalau subjek Geografi ini diajar sehingga ke Tingkatan 5, tak apa juga. Namun hakikatnya, majoriti pelajar sekolah hanya berupaya menemui subjek Geografi pada peringkat menengah rendah (Tingkatan 1-3) sahaja; hanya sebilangan kecil pelajar aliran Sastera yang berpeluang mempelajari ilmu Geografi sehingga ke Tingkatan 5.

Selain masalah pembuangan bahagian Geografi Asia Tenggara dan Geografi Asia di samping susunan topik-topik yang begitu berterabur, subjek Geografi yang diajar sekarang tidak mengambil kesempatan yang ada sekarang untuk mendidik para pelajar menggunakan sistem kod laluan negara. Ia satu perkara yang amat mengecewakan kerana kalau sudah hanya tinggal Geografi Malaysia sahaja, maka peluang sepatutnya diambil oleh para perekabentuk silibus agar menerapkan unsur-unsur memartabatkan jalan raya negara ke dalam subjek Geografi, tetapi malangnya ia tidak berlaku sama sekali. Semasa saya belajar subjek Alam dan Manusia di sekolah rendah dahulu, saya telah diajar bahawa sistem rangkaian jalan raya Malaysia (pada masa tersebut) adalah antara yang terbaik di Asia. Malah, pada zaman 1980an pembukaan jalan-jalan persekutuan baharu seperti Lebuhraya Timur-Barat FT4, Lebuhraya Kuala Krai-Gua Musang-Kuala Lipis FT8, Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14, Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12, Lebuhraya Tamparuli-Ranau FT22, Lebuhraya Tawau-Semporna FT13/SA51 dan Lebuhraya Papar-Sindumin FT1 pun sudah menjadi kebanggaan negara kerana lebuh raya persekutuan tersebut dibina dengan mutu kejuruteraan yang tertinggi dan diselenggara dengan baik dan kerap (pada masa tersebut). Sekarang? Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) E11 yang terang-terang mencabuli piawaian lebuh raya ekspres pula yang dimasukkan sebagai "lebuh raya perbandaran contoh" dalam Geografi Tingkatan 2, satu "lawak" yang bukan sahaja tidak kelakar malah menyakitkan hati - ibarat ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Sudahlah pendidikan mengenai kod jalan raya negara langsung tidak diajar, "lebuh raya" yang terang-terangan mencabuli piawaian pula yang dijadikan contoh hanya atas alasan penggunaan sistem pengurusan trafik "pintar". Pintarlah sangat, kalau dalam masa tidak sampai 5 tahun sudah mencapai tahap perkhidmatan E. Patutlah terlalu ramai yang jahil akan sistem kod jalan raya negara - baik media massa, polis, malah jabatan kerajaan sendiri - kesemuanya disebabkan oleh standard subjek Geografi yang terlalu lemah dan langsung tidak mengajar memartabatkan jalan raya negara. Satu-satunya rujukan Geografi KBSM yang benar-benar memartabatkan sistem jalan raya negara hanyalah Atlas Eksplorasi Geografi Tingkatan 1-5 oleh Oxford Fajar - itu sahajalah penawar hati saya buat masa sekarang.

Standard mata pelajaran Geografi KBSM yang semakin merosot sudah satu hal, ura-ura penyingkiran subjek Geografi dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah Menengah Rendah (PBSMR) yang bakal menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai 2014 juga satu lagi perkara yang membangkitkan kemarahan saya, seolah-oleh Kementerian Pelajaran Malaysia memperlekehkan subjek Geografi dan melayan subjek tersebut sebagai "subjek picisan" bersama-sama Kemahiran Hidup, Sejarah dan Pendidikan Islam. Sudah tahu orang sekarang semakin buta sejarah sehingga ada golongan bebal lagi dangkal yang mengangkat pengganas komunis yang menyembelih rakyat sebagai wira, lagi nak buang subjek Sejarah daripada PBSMR. Begitu juga dengan subjek Pendidikan Islam, sudah tahu generasi sekarang semakin rosak akhlaknya, lagi nak singkirkan daripada PBSMR. Apa kejadahnya semua ini...? Pentaksiran Berasaskan Sekolah itu sendiri pun sudah begitu banyak kepincangannya sehingga menjadi mimpi ngeri buat guru-guru - lebih banyak kerja perkeranian yang terpaksa dilakukan, lebih banyak penilaian berasaskan parameter yang lebih sukar diukur seperti kelakuan, nak key-in markah tapi lebar jalur server kerajaan pula lebih lembab daripada siput, dsb. Jadi berbaloikah menjadikan guru-guru dan anak-anak murid sebagai "tikus makmal" bagi golongan yang hanya sedap duduk di kerusi empuk di dalam bilik berhawa dingin tanpa mengambil tahu langsung akan kesengsaraan yang dihadapi guru-guru dan anak-anak murid...? Beginikah hasil yang dikehendaki dalam Rangka Tindakan Pelajaran Malaysia 2013-2025...? Jika begini jadinya sekarang, maka kita sebenarnya semakin ke belakang dan bukannya semakin di depan.

Kesimpulannya, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kepincangan dalam subjek Geografi KBSM serta dasar pendidikan negara itu sendiri menjadi penghalang utama kepada Dasar Memartabatkan Jalan Raya Kebangsaan oleh Kementerian Kerja Raya. Apa tidaknya, kalau anak-anak bangsa langsung tidak diajar untuk menggunakan sistem kod jalan raya kebangsaan serta memartabatkan jalan raya negara, bagaimana hendak mengharapkan polis dan media massa mempraktikkan penggunaan kod jalan raya dalam kerjaya mereka? Dan bagaimana kita hendak menunjukkan kepada pelancong asing laluan yang betul jika mereka tersesat kelak? Sanggupkan kita menjatuhkan maruah negara sendiri dengan kejahilan kita terhadap sistem kod laluan kita sendiri? Kod laluan persekutuan pertama kali diwartakan pada tahun 1989, tetapi sehingga sekarang rakyat Malaysia masih jahil akan sistem kod jalan raya sendiri. Apa sudah jadi? Apa yang saya harapkan sekarang ialah tindakan daripada kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran bagi menangani kepincangan sebegini - jika tidak, Dasar Memartabatkan Jalan Raya Kebangsaan oleh Kementerian Kerja Raya hanya sekadar one-man's war (perjuangan seorang diri) tanpa sebarang pembelaan daripada badan-badan kerajaan yang lain.


No comments:

Post a Comment