Sunday, November 17, 2013

Apabila kenyataan Menteri Kerja Raya diputar-belitkan... / When the Minister of Works' statement was spun around...




Salam sejahtera,

Sejarah penggunaan motosikal di Malaysia bermula seawal zaman penjajahan British dahulu, apabila model-model motosikal buatan British dibawa masuk ke Tanah Melayu. Jenama motosikal buatan orang putih seperti Triumph, Norton, Royal Enfield, BSA dsb. pernah mewarnai arena motosikal di Tanah Melayu semasa zaman penjajahan British. Namun, motosikal sebegitu hanya mampu dimiliki oleh pegawai-pegawai British serta sebilangan kecil golongan elit Melayu sahaja, sedangkan rakyat biasa kebanyakannya tidak mampu memilikinya disebabkan harganya yang mahal dan penggunaan bahan api yang agak tinggi jika diikutkan standard sekarang, memandangkan motosikal-motosikal tersebut rata-ratanya mempunyai saiz enjin yang besar. 

Segala-galanya hanya berubah apabila seorang usahawan Cina, Tan Sri Dato' Loh Boon Siew, bercuti di Jepun pada tahun 1958 dan menyedari potensi jualan motosikal Honda Cub yang baru sahaja diperkenalkan dan popular di sana pada masa tersebut. Maka, beliau berjumpa sendiri dengan pengasas Honda, Soichiro Honda, bagi membincangkan untuk membawa masuk Honda Cub ke Malaysia. Setelah Honda Cub dibawa masuk ke Malaysia, dengan pantas ia laris seperti pisang goreng panas, berikutan harganya yang sangat murah dan mampu dimiliki orang kebanyakan, di samping sangat jimat minyak dan tahan lasak. Hasilnya, keluarga berpendapatan rendah di kampung pun akhirnya mampu memiliki kenderaan sendiri.

Fenomena sebegini bukan hanya berlaku di Malaysia sahaja, malah turut berlaku di negara-negara Asia Tenggara yang lain, sehingga menjadikan Asia Tenggara sebagai pasaran terbesar bagi motosikal kapcai. Motosikal kapcai amat digemari di Asia Tenggara kerana sangat murah, jimat minyak, mudah ditunggang, tahan lasak, mudah diselenggara dan mampu mengangkut muatan berat. Sehubungan dengan itu, adalah lazim bagi kita melihat penunggang-penunggang motosikal kapcai menunggang dengan relaks di jalan-jalan raya dan lebuh raya di seluruh negara, tak kiralah sama ada secara bersendirian ataupun berkonvoi beramai-ramai.

Sungguhpun demikian, penunggang motosikal kapcai di Malaysia kini sering berdepan dengan satu bentuk diskriminasi yang datang daripada segelintir golongan kufur nikmat yang menafikan hak penunggang motosikal untuk memperoleh layanan yang adil di atas jalan raya, dan kebanyakannya terdiri daripada pemandu kenderaan beroda empat dan ke atas. Kita sering terdengar bagaimana sebegitu ramai penunggang motosikal yang menjadi mangsa pemandu-pemandu bebal lagi haram jadah yang suka keluar masuk simpang atau menukar lorong tanpa menggunakan lampu isyarat membelok, melanggar lampu merah, memotong ketika sudah terlalu dekat, ataupun menghimpit penunggang motosikal ke bahu jalan. Tidak cukup dengan itu, terdapat juga puak-puak penunggang motosikal bahalul yang sengaja menambah parah diskriminasi terhadap penunggang motosikal, dengan melibatkan diri dalam kegiatan lumba haram Mat Rempit. Akibatnya, seluruh masyarakat melabelkan mana-mana penunggang motosikal sebagai "Mat Rempit", meskipun majoriti penunggang motosikal terdiri daripada penunggang motor kapcai yang sekadar menjadikan motosikal masing-masing sebagai kenderaan untuk berulang-alik ke tempat kerja atau sekolah, dan langsung tidak terlibat dalam mana-mana perlumbaan haram. Di samping itu, diskriminasi terhadap penunggang motosikal menjadi semakin membarah apabila ada di kalangan pihak yang mempunyai kuasa (sama ada sebagai pembuat dasar ataupun pelaksananya) yang turut serta dalam mendiskriminasikan penunggang motosikal, melalui undang-undang mengarut dan bersifat seakan-akan apartheid - contohnya, bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Samy Vellu pernah mencetuskan kontroversi apabila pernah mengusulkan untuk mengharamkan terus motosikal daripada menggunakan lebuh raya ekspres hanya kerana marahkan sekumpulan penunggang superbike yang memintas keretanya di Lebuhraya Utara-Selatan, yang seterusnya mencetuskan kemarahan di kalangan komuniti dua roda, serta kontroversi lorong motosikal yang lebih bersifat sebagai laluan perangkap yang lebih berbahaya buat penunggang motosikal, ibarat keluar mulut buaya, masuk mulut naga - juga angkara Datuk Seri Samy Vellu yang mengambil "jalan pintas kejuruteraan" dengan mewartakan lorong-lorong basikal di Lebuhraya Persekutuan FT2 sebagai "lorong motosikal", meskipun salah seorang jurutera yang bertanggungjawab membinanya menegaskan bahawa lorong basikal tersebut tidak direka untuk menampung aliran trafik motosikal.

Pelantikan Datuk Fadillah Yusof sebagai Menteri Kerja Raya yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Shaziman Abu Mansor membuka harapan baru buat penunggang motosikal, apabila beliau sendiri turut padang melihat sendiri kebobrokan di sepanjang lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 itu, meskipun lawatan tersebut dicemari skandal hipokrasi di kalangan pihak yang sepatutnya bertanggungjawab menyelenggara lorong motosikal tersebut yang hanya menurapnya semula apabila menteri hendak datang - sebelum itu tak ada langsung ambil kisah! Hasil daripada lawatan tersebut, pelbagai pendekatan diambil bagi menangani isu kontroversi lorong motosikal tersebut, antaranya seperti pelancaran Rakan Ronda Lebuhraya, dan baru-baru ini Kementerian Kerja Raya sedang mengkaji kemungkinan sama ada untuk membina lorong motosikal di kesemua lebuh raya ekspres ataupun sekadar mengenakan had sesaran enjin minimum bagi melindungi motosikal kapcai di lebuh raya ekspres.

Namun, satu perkara yang sekali lagi membangkitkan kemarahan komuniti penunggang motosikal di Malaysia ialah apabila Utusan Malaysia menyiarkan berita bertajuk "Kerajaan kaji cadangan tidak benarkan motosikal kapcai berada di lebuh raya" bertarikh 13 November 2013. Pada awalnya, saya sendiri pun berasa sangat marah apabila membaca berita tersebut, tetapi setelah saya menyemak semula berita serupa di Berita Harian, Sinar Harian dan Bernama, saya dapati bahawa tajuk berita yang disiarkan dalam Utusan Malaysia itu sebenarnya sudah diputar-belit. Sebagai seorang pengkritik jalan raya, saya mengecam keras tindakan tidak bermoral oleh Utusan Malaysia itu kerana ia boleh menimbulkan perasaan kebencian terhadap kerajaan di kalangan penunggang motosikal, sedangkan kenyataan sebenar oleh Datuk Fadillah sebenarnya bertujuan membela golongan beroda dua ini. Justeru, maksud sebenar kenyataan oleh Datuk Fadillah ialah Kementerian Kerja Raya sedang membuat kajian kemungkinan sama ada hendak membina lorong motosikal ataupun mengenakan had sesaran minimum di lebuh raya ekspres, bukannya mengharamkan terus kesemua motosikal kapcai daripada menggunakan lebuh raya! Dah banyak kali kena saman pun masih lagi tidak serik sehinggakan kenyataan menteri kerajaan pun diputar-belit.

Akibat tindakan tidak bertanggungjawab Utusan Malaysia yang menyiarkan tajuk yang bercanggah dengan kenyataan sebenar oleh Datuk Fadillah, maka niat murni Kementerian Kerja Raya untuk membela nasib golongan penunggang motosikal turut disalah erti sebagai "satu lagi bentuk diskriminasi". Jadi, bagaimana hendak mendapat sokongan rakyat apabila mesej sebenar kerajaan sudah pun diputar-belit sehinggakan niat murni untuk membela penunggang motosikal pun disalah erti? Sebagai salah satu media pro-kerajaan, Utusan Malaysia sepatutnya berperanan sebagai wadah bagi menerangkan dan menyampaikan dasar kerajaan agar rakyat dapat sama-sama berganding bahu dengan kerajaan untuk menjayakan dasar-dasar penting bagi kesejahteraan rakyat, bukannya sebagai alat propaganda yang lebih banyak memainkan isu-isu politik dangkal sehingga memecah-belahkan rakyat. Dengan itu, saya menuntut agar Utusan Malaysia mengeluarkan permohonan maaf secara rasmi kepada Datuk Fadillah Yusof dan Kementerian Kerja Raya serta memperbetulkan semula tajuk dalam artikelnya agar tidak lagi disalah erti oleh rakyat.

No comments:

Post a Comment