Salam sejahtera,
Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana sudah lama tidak mengemaskini blog ini berikutan kerosakan komputer selama beberapa hari yang berpunca daripada masalah pemproses terlampau panas. Kali ini saya ingin membawakan kepada anda satu entri khas yang berkaitan dengan kegawatan ekonomi negara yang berpunca daripada kenaikan kos serba-serbi seperti penarikan subsidi bahan api dan gula, kenaikan kadar tol, kenaikan tarif elektrik, dsb. atas 1 alasan dangkal iaitu "rasionalisasi subsidi".
Pesta naik harga ini bermula susulan pengumuman penarikan subsidi gula sebanyak 34 sen sekilogram yang membawa kepada kenaikan harga gula daripada RM2.50 kepada RM2.84 sekilogram, diikuti dengan pemotongan subsidi bahan api sebanyak 20 sen seliter, sungguhpun pada masa sekarang harga minyak dunia tidak pula naik. Seterusnya, kita terus didendangkan dengan berita kenaikan tarif elektrik dan kadar tol lebuh raya yang bakal berkuatkuasa 1 Januari 2014. Akibatnya, harga barangan rata-ratanya naik secara mendadak sehinggakan harga sebiji burger Ramly pun naik daripada sekitar RM2.30 kepada sekitar RM2.80.
Beginikah rupa "negara berpendapatan tinggi" yang dicanangkan oleh Datuk Seri Mohd. Najib Razak, pemimpin nombor satu negara...?
Tiada gunanya melaungkan slogan "negara berpendapatan tinggi" jika produktiviti masih di takuk lama atau semakin jatuh. Gaji yang tinggi pun tidak berguna kerana perbelanjaan bulanan pun semakin mencekik darah tetapi sekadar menghasilkan produktiviti yang rendah.
Jadi kenapa setiap kali harga minyak dan tol naik sahaja maka bermulalah festival naik harga barang sehingga ke tahap mencekik darah meskipun harga bahan bakar dan tol cuma naik beberapa sen sahaja...? Jawapannya mudah sahaja - penurunan produktiviti dan kecekapan pengangkutan yang diakibatkan oleh kebergantungan melampau kepada jalan raya.
Kenapa pula jalan raya yang dipersalahkan...? Bukankah jalan raya sepatutnya menjadi nadi pengangkutan yang mampu meningkatkan produktiviti para pekerja...? Lihat sajalah di kampung-kampung; pembinaan rangkaian jalan raya yang baik membolehkan para petani mengerjakan kebun masing-masing dengan lebih cepat kerana lebih mudah dihubungi. Melalui pembinaan jalan raya, hasil pertanian dapat dipasarkan ke bandar dengan lebih cepat dan lebih mudah.
Namun, keadaan jauh berbeza di bandar raya besar seperti Kuala Lumpur. Pembinaan sebegitu banyak lebuh raya di Lembah Klang tidak pula menjadikan warga kerja di Lembah Klang sampai lebih awal ke pejabat, tetapi keadaan sebaliknya berlaku. Perjalanan dari rumah ke pejabat yang sepatutnya tidak sampai setengah jam itu pula memakan masa berjam-jam lamanya. Tambah parah, ramai di kalangan warga Lembah Klang yang berkereta seorang sebuah, menurunkan kecekapan pengangkutan sehingga lebih kurang 20% sahaja. Jika seorang pemandu di Lembah Klang terpaksa membazirkan masa sebanyak sejam lebih lama daripada sepatutnya akibat tersangkut dalam kesesakan jalan raya, ini bermakna dia kehilangan 11 hari bermakna dalam setahun, yang sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk memperoleh tambahan gaji RM1,320 jika gaji bulanannya ialah RM2,400. Itu baru kira masa yang dibazirkan, belum lagi kira kos bayaran tol dan petrol yang dibakar secara sia-sia setiap kali tersangkut dalam kesesakan jalan raya. Secara keseluruhannya, pembinaan jalan raya dan lebuh raya hanya membawa kepada kejatuhan produktiviti warga kerja di Lembah Klang. Begitu juga dengan subsidi petrol yang diberikan; ia langsung tidak menjadikan pekerja sampai lebih awal ke pejabat, tetapi sebaliknya hanya mempengaruhi penduduk untuk lebih cenderung berkereta sehingga menyebabkan kesesakan jalan raya yang semakin kronik - datang ke pejabat makin lambat adalah...!!!
Namun, hendak menarik subsidi petrol bukan semudah mengumumkan kenaikan harga minyak semata-mata. Kerajaan sebagai badan yang bertanggungjawab mengawal bekalan bahan bakar sepatutnya tampil dengan pelan alternatif bagi mengurangkan impak kenaikan bahan api dengan mengalihkan subsidi minyak menjadi sebahagian daripada perbelanjaan pembangunan sistem pengangkutan rel yang ternyata lebih cekap dari segi kos pengangkutan. Malangnya, ia tidak pula berlaku di Malaysia - sebaliknya, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pula mengumumkan bahawa tambang LRT dan monorel bakal naik pada tahun 2014 atas alasan kadar tambang tidak pernah dikaji semula sejak 10 tahun lalu. Tak cukup dengan kenaikan harga minyak dan tol yang semakin melampau, sistem pengangkutan awam yang menjadi pelampung terakhir rakyat berpendapatan rendah pun hendak dinaikkan tambangnya. Apa kejadahnya semua ini...? Projek pembinaan landasan kereta api dari Mentakab ke Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bahru pula tidak lebih daripada sembang kosong semata-mata. Ia bukti jelas bahawa kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak menganaktirikan pengangkutan awam. Mana perginya rancangan membina landasan kereta api dari Mentakab ke Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu...? Sebutir habuk pun tak ada.
Sebuah lintasan kereta api yang terbiar di Jalan Seremban-Port Dickson FT53 di Mambau - bukti ketara sistem pengangkutan rel yang dianaktirikan
Kenapa saya amat menekankan sistem pengangkutan rel? Ada beberapa sebab kenapa saya menekankan kepentingan sistem pengangkutan rel. Pertama, sebuah lokomotif mampu menarik beratus-ratus tan muatan, sedangkan sebuah lori hanya dibenarkan untuk mengangkut muatan maksimum sekitar 30 tan sahaja. Jika lori dibiarkan mengangkut muatan melebihi 30 tan, maka ia akan merosakkan jalan raya melalui dua cara, iaitu melalui mendapan akibat berat lori dan juga kerosakan permukaan jalan akibat pusingan roda lori. Maka, jika muatan beratus-ratus tan perlu diangkut, maka ia memerlukan bilangan trip yang banyak sehingga boleh menyebabkan penurunan produktiviti, sedangkan jumlah muatan tersebut boleh diangkut oleh lokomotif dengan sekali trip sahaja. Malah, lokomotif wap Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) pun mampu mengangkut 400 tan muatan pada kelajuan 50 km/j. Cuba bayangkan, berapa banyak yang boleh dijimatkan sekiranya muatan seberat ratusan tan diangkut sekali sahaja menggunakan kereta api berbanding lori yang mungkin memerlukan banyak trip untuk mengangkut muatan yang sama. Memang benar, jaringan landasan kereta api tidak begitu menyeluruh, tetapi ia tidak jadi masalah pun. Hanya angkut muatan melalui kereta api ke stesen kereta api terdekat dan kemudiannya barulah gunakan lori untuk perjalanan baki. Justeru, kos pengangkutan yang selama ini tinggi disebabkan sistem pengangkutan yang tidak cekap dapat diminimakan jika dan hanya jika pengangkutan kereta api dimanfaatkan sebaik-baiknya.
Selain pembangunan sistem pengangkutan rel, kerajaan sepatutnya membangunkan dasar automotif yang holistik dan menumpukan kepada penjimatan bahan api dan penurunan emisi. Malangnya, dasar automotif Malaysia langsung tiada hala tuju dan sekadar dirangka sebegitu cincai sahaja. Dah tahu harga minyak makin mahal, kerajaan sepatutnya bersedia dengan membentangkan insentif pembangunan kereta mesra alam (eco car) yang jimat bahan api seperti yang dilakukan di Thailand dan India, bukannya sekadar dasar kosong tanpa hala tuju selain melindungi kroni semata-mata! Tak usahlah mendabik dada mengatakan kononnya Malaysia "berjaya menurunkan kandungan gas rumah hijau" kalau piawaian emisi yang digunakan pun tak pernah dikemaskini mengikut piawaian antarabangsa. Sedarlah, Malaysia sudah jauh ketinggalan dalam teknologi automotif. Thailand mula mengeluarkan motosikal kapcai pancitan bahan api pada tahun 2003, disusuli Indonesia pada tahun 2005. Malah, Vietnam pun sudah mula mengeluarkan kapcai pancitan bahan api pada tahun 2012. Kita pula barulah terkial-kial menghasilkan kapcai pancitan bahan api pada tahun 2013 - malu semalu-malunya...!!! Semuanya kerana piawaian emisi purba yang digunakan oleh Malaysia, sehingga menyebabkan ketiadaan inisiatif di kalangan pemain automotif di Malaysia untuk membangunkan teknologi automotif yang lebih jimat minyak dan mesra alam tetapi dalam masa yang sama pula lebih berkuasa. Macam mana rakyat hendak bersedia dengan kenaikan harga minyak kalau teknologi automotif pun masih di takuk lama...?
Bagaimana pula dengan cerita mengenai kenaikan kadar tol...? Secara amnya, Blog Jalan Raya Malaysia tidak menyokong mahupun membantah kenaikan kadar tol di kebanyakan lebuh raya ekspres kerana syarikat-syarikat konsesi perlu membayar kembali pinjaman bank yang dilakukan semasa pembinaan lebuh raya, di samping membayar kos penyelenggaraan, bil-bil utiliti dan gaji pekerja. Tak perlulah saya ulang kembali tentang perkara ini kerana saya sudah banyak kali menerangkannya di dalam entri-entri terdahulu. Malah, komen-komen yang mengatakan kononnya kadar tol sepatutnya turun apabila bilangan kenderaan meningkat adalah komen yang sangat dangkal. Sebenarnya, lebuh raya yang mempunyai kadar aliran trafik yang lebih tinggi itulah yang lebih banyak memerlukan penyelenggaraan kerana dari sudut kejuruteraan, lebuh raya tersebut terpaksa menanggung beban yang semakin tinggi sehingga boleh menjejaskan kekuatannya. Maka, kos penyelenggaraan di lebuh raya terbabit ternyata lebih tinggi.
Sebagai alternatif, Kementerian Kerja Raya telah melancarkan kempen Memartabatkan Jalan Persekutuan bagi menggalakkan pengguna jalan raya untuk beralih kepada jalan raya persekutuan yang percuma. Sudah banyak jalan raya persekutuan yang diturap semula dan dinaik taraf sama ada sebagai jalan raya kembar ataupun sebagai jalan super two bagi meningkatkan tahap keselesaan pengguna. Selain itu, papan tanda turut ditukar dengan yang baru dan lanskap jalan turut diceriakan. Sebab itulah mengembara melalui jalan persekutuan bukan sahaja dapat menjimatkan wang kerana tidak perlu membayar tol, tetapi juga lebih menyeronokkan kerana banyak pemandangan menarik yang disajikan kepada pengguna jalan raya, tidak seperti lanskap lebuh raya ekspres yang kosong dan monotonous sehingga boleh menyumbang kepada hipnosis lebuh raya. Jika alternatif sudah pun disediakan, maka tiada alasan kenapa anda masih menggunakan lebuh raya ekspres meskipun anda mengutuk kadar tol yang semakin mahal.
Namun, tidak semua lebuh raya ekspres yang layak dinaikkan tolnya. Terdapat beberapa "lebuh raya ekspres" yang dibina sekadar mengambil beberapa jalan arteri yang asalnya percuma tanpa mengira status kawalan masuknya. Akibatnya, "lebuh raya ekspres" tersebut bukan sahaja melanggar piawaian lebuh raya ekspres, malah ia menjadi laluan perangkap yang memaksa semua orang yang melaluinya membayar tol kerana tiada laluan alternatif bebas tol. Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) E11 merupakan contoh paling teruk bagi lebuh raya yang mencabuli piawaian kawalan masuk penuh. Sebab itulah "lebuh raya" sebegitu tidak layak untuk mengutip tol langsung walau sesen sekalipun. Akibat pencabulan piawaian, lebuh raya sebegitu mengalami kesesakan pramatang yang sangat teruk. Bayangkan, Lebuhraya Persekutuan FT2 mengambil masa lebih kurang 20 tahun sebelum mencapai kapasiti kemuncaknya, tetapi LDP E11 pula sudah mencapai kapasiti kemuncak dalam masa tak sampai 5 tahun. Inilah contoh laluan pemeras ugut yang mengutamakan kroni daripada rakyat. Akibat bebanan tol serta kesesakan pramatang yang tidak berkesudahan, lebuh raya sebegini sebenarnya hanya menyumbang kepada penurunan produktiviti dan peningkatan kos sara hidup ke tahap yang tidak masuk akal sama sekali.
Kesimpulannya, saya berasa amat kecewa kerana disebabkan dasar pengangkutan yang caca-marba, rakyat terpaksa menanggung akibatnya melalui kenaikan harga barangan dan peningkatan kos sara hidup yang berpunca daripada kenaikan harga minyak, kadar tol, tarif elektrik dan tambang pengangkutan awam. Malangnya, Datuk Seri Najib Razak gagal menangani isu sebegini dan hanya sekadar mengambil pendekatan memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang saya sifatkan sebagai kokain yang hanya mampu melegakan kesulitan rakyat dalam masa sekejap sahaja. Kita tidak perlukan BR1M sebagai ubat tutup mulut; sebaliknya, kita mahukan penyelesaian jangka panjang bagi menyerap kesan kenaikan harga barangan dan kos sara diri di samping meningkat produktiviti pekerja. Kementerian Kerja Raya sudah pun berada dalam landasan yang betul bagi mengurangkan beban kenaikan kadar tol serta penurunan produktiviti melalui Dasar Memartabatkan Jalan Persekutuan. Malangnya, dasar pengangkutan oleh kerajaan masih lagi lemah, yang dibuktikan melalui pengabaian rangkaian pengangkutan rel, sedangkan sistem pengangkutan rel itulah yang bukan sahaja boleh membantu menyerap beban kenaikan harga minyak dan kadar tol, malah turut membantu meningkatkan produktiviti melalui sistem pengangkutan kereta api yang efektif dari segi kos. Kegagalan Datuk Seri Najib Razak memikul tanggungjawab merangka strategi jangka panjang bagi mengurangkan beban kos sara hidup serta bebanan kewangan kerajaan akan membawa kepada kemelut ekonomi yang tidak berkesudahan, meskipun banyak negara yang sudah pun bangkit semula daripada kemelut ekonomi masing-masing.
No comments:
Post a Comment