Wednesday, August 20, 2014

Pengumuman: Reviu Merdeka Khas - Lebuhraya Timur-Barat FT4 / Announcement: Special Merdeka Review - East West Highway FT4




Salam sejahtera,

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 pada tahun ini, Blog Jalan Raya Malaysia berbesar hati untuk mengadakan satu reviu jalan raya khas Hari Merdeka di Lebuhraya Timur-Barat FT4. Reviu khas Lebuhraya Timur-Barat FT4 ini adalah hasil cadangan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak yang mahukan sejarah pengorbanan para pekerja JKR serta pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menjayakan projek pembinaan Lebuhraya Timur-Barat FT4 diabadikan untuk tatapan generasi akan datang. Projek Lebuhraya Timur-Barat FT4 memakan masa selama 12 tahun, bermula pada tahun 1970 dan siap pada tahun 1982. Pembinaan lebuh raya persekutuan dua lorong sejauh 123 km itu mengambil masa yang begitu lama disebabkan oleh ancaman pengganas komunis yang sentiasa cuba untuk menggagalkan projek tersebut.

Buat pertama kalinya dalam sejarah Blog Jalan Raya Malaysia, reviu Lebuhraya Timur-Barat FT4 ini merupakan reviu jalan raya yang berskala besar kerana melibatkan pihak JKR secara langsung, terutamanya dari segi maklumat teknikal serta sejarah pembinaannya. Ia berbeza dengan kebanyakan reviu jalan raya sebelum ini di mana saya melakukan segala-galanya - selain mengambil gambar serta menulis reviu mengenainya, saya turut mengumpul maklumat serta melakukan kajian secara sendirian. Namun, untuk reviu Lebuhraya Timur-Barat FT4 kali ini, saya amat memerlukan penglibatan pihak JKR sendiri bagi memastikan segala maklumat mengenainya adalah tepat, benar, tulen dan sahih tanpa sebarang unsur tokok-tambah. Ia termasuklah video temu ramah dengan beberapa orang pegawai JKR Hulu Perak dan JKR Jeli.

Meskipun Lebuhraya Timur-Barat FT4 ini hanyalah sepanjang 123 km, namun saya terpaksa bergerak sejauh lebih 320 km untuk ke Gerik yang menjadi titik pangkal bagi Lebuhraya Timur-Barat FT4 ini, sekaligus memerlukan saya untuk menginap di Gerik sebelum memulakan kembara di sepanjang Lebuhraya Timur-Barat. Untuk perjalanan pulang pula saya memilih untuk ke Gua Musang melalui Jalan Persekutuan 66 dan Jalan Negeri Kelantan D29 dan seterusnya pulang ke Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Kuala Lipis-Gua Musang FT8, Jalan Persekutuan 8 dan seterusnya Lebuhraya Karak E8/FT2. Keseluruhan perjalanan pergi balik adalah sejauh lebih kurang 810 km.

Justeru, bagi menjayakan reviu jalan raya bersejarah ini, saya merayu kepada para pembaca sekalian agar menzahirkan sokongan anda terhadap usaha mendokumentasikan sejarah pengorbanan JKR dalam membina sebatang jalan raya yang banyak berjasa kepada rakyat ini dengan menderma kepada Blog Jalan Raya Malaysia, memandangkan kos bagi menghasilkan reviu ini adalah tinggi berikutan jarak jauh yang perlu dilalui serta melibatkan penginapan. Sumbangan anda membolehkan saya terus menyajikan lebih banyak reviu jalan raya yang berkualiti kepada anda semua demi menyemai sikap sayang akan rangkaian jalan raya negara, memandangkan reviu jalan raya yang panjang memakan belanja yang besar.

Jutaan terima kasih kepada para penderma kerana sudi bersama-sama saya dalam menjayakan projek Reviu Merdeka Khas Lebuhraya Timur-Barat FT4 ini. Juga jutaan terima kasih kepada JKR Perak dan JKR Kelantan kerana telah menyatakan kesediaan dalam membantu saya menjayakan projek reviu ini.

(Kemaskini: Rancangan awal untuk mengadakan temu bual terpaksa dibatalkan kerana kesukaran mendapatkan responden, memandangkan reviu kali ini diadakan pada hari cuti)


Tentatif projek reviu Lebuhraya Timur-Barat FT4
(Dikemaskini pada 20 Ogos 2014 jam 1.25 pm)

30 Ogos 2014 (Sabtu)

12.30 pm - Mula bertolak dari Kuala Lumpur
5.30 pm - Tiba di Gerik dan daftar masuk penginapan

31 Ogos 2014 (Ahad)

9.00 am - Sarapan dan daftar keluar penginapan
10.15 am - Memulakan kembara di Lebuhraya Timur-Barat FT4
11.15 am - Berhenti rehat di Tasik Banding dan melawat Galeri Banding
11.45 am - Meneruskan perjalanan ke Jeli
12.45 pm - Berhenti rehat di Jeli untuk makan tengah hari dan solat Zuhur
2.30 pm - Bertolak pulang ke Kuala Lumpur

1 comment: