Monday, August 18, 2014

Rumah terbuka Aidilfitri di Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Kementerian Kerja Raya / Eid ul Fitr open house at Malaysian Highway Authority and Ministry of Works



Majlis rumah terbuka Aidilfitri di Wisma LLM




Majlis rumah terbuka Aidilfitri di ibu pejabat Kementerian Kerja Raya - masih mampu tersenyum walaupun terpaksa menahan kesakitan akibat kemalangan


Salam sejahtera,

Semasa menghadiri taklimat media mengenai isu tol Lebuhraya JB EDL E14 di ibu pejabat Kementerian Kerja Raya pada 11 Ogos 2014, saya menerima jemputan oleh pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri di ibu pejabat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada keesokan harinya, diikuti dengan majlis serupa di peringkat KKR sendiri pada 14 Ogos. Jemputan tersebut disampaikan sendiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KKR, Tuan Hj. Sarani bin Dollah, serta Ketua Pengarah LLM, Dato' Ir. Hj. Ismail bin Md. Salleh. Jemputan serupa turut disampaikan kepada saya oleh Menteri Kerja Raya sendiri, Datuk Fadillah Yusof. Ketiga-tiga 'orang kuat' dalam KKR ini merupakan peminat setia Blog Jalan Raya Malaysia. Jutaan terima kasih kepada Datuk-Datuk dan Tuan-Tuan kerana menyokong kuat perjuangan Blog Jalan Raya Malaysia.

Sebenarnya, ramai di kalangan pegawai-pegawai tertinggi dalam KKR yang sekian lama mencari siapakah gerangan penulis Blog Jalan Raya Malaysia bernama Mohd. Hezery bin Hussin ini, kerana nama tersebut memang tiada dalam senarai pekerja KKR, LLM mahupun Jabatan Kerja Raya (JKR). Beberapa orang sahabat dalam Unit Komunikasi Korporat (UKK) KKR seperti Encik Fauzi dan Encik Zul ada menceritakan kepada saya bagaimana mereka sering "dibambu" oleh pegawai-pegawai atasan kerana kesukaran untuk mendapatkan maklumat mengenai jalan raya. Lucu juga jika difikirkan, tetapi itulah hakikat sebenarnya yang turut saya alami. Sebenarnya, terus-terang saya katakan, saya sendiri pun mengalami kesukaran yang sama, kerana maklumat mengenai jalan raya Malaysia amat jarang didokumentasikan secara bertulis. Malah, ada di antara maklumat jalan raya Malaysia yang hanya didokumentasikan melalui cakap-cakap mulut semata-mata, yang sudah tentunya boleh jadi meragukan. Mungkin saya mempunyai akses maklumat yang tidak ada pada KKR, tetapi dalam masa yang sama KKR sendiri mempunyai banyak maklumat yang saya sendiri pun tidak ada. Justeru, perkongsian maklumat mengenai jalan raya antara KKR dan Blog Jalan Raya Malaysia sangat dialu-alukan demi mendidik rakyat Malaysia agar menyayangi rangkaian jalan raya negara kita.

Pada 12 Ogos, saya tiba agak awal di ibu pejabat LLM yang terletak betul-betul di tepi Lebuhraya Kajang Silk E18. Majlis tersebut bukan sahaja dihadiri oleh warga kerja LLM sendiri tetapi juga wakil-wakil dari syarikat-syarikat konsesi lebuh raya ekspres seperti SKVE Holdings (SKVE E26), KLSEB (Latar E25), Kesturi (Duke E33), Lekas (E21) dan ramai lagi. Malah, Datuk Fadillah sendiri turut hadir dalam majlis rumah terbuka LLM ini. Sebelum saya pulang, Dato' Ir. Hj. Ismail sendiri memberikan kepada saya sekeping kad Touch 'n Go edisi khas Gaza sebagai cendera hati.

Keesokan harinya, saya pulang sebentar ke kampung halaman di Segamat, Johor kerana ingin meninjau situasi di sana berikutan kejadian ribut dan hujan batu yang melanda Segamat pada 9 Ogos. Semasa di sana, saya mendapati beberapa kawasan seperti Jalan Temenggung J40, Kampung Berata dan Jalan Pemuda J152 yang terjejas akibat ribut, tetapi saya amat bersyukur kerana rumah keluarga saya serta saudara-mara saya tidak mengalami apa-apa kesan.

Namun, malang menimpa saya semasa dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur keesokan harinya untuk menghadiri majlis rumah terbuka di ibu pejabat KKR. Semasa bertolak dari Segamat pada awal pagi, keadaan cuaca boleh dikatakan redup. Namun, berbeza pula keadaan di Tampin yang hujan lebat pada pagi tersebut. Semasa saya tiba di Tampin, hujan sudah hampir reda tetapi keadaan jalan pula sangat licin. Sebaik berada di sebuah persimpangan di Jalan Seremban-Tampin FT1 dekat SMK Tunku Besar Tampin, sebuah kereta berwarna hitam tiba-tiba berhenti untuk membelok memasuki simpang tanpa menggunakan lampu isyarat membelok. Akibat kebebalan si pemandu kereta hitam haram jadah itu, motosikal saya hilang kawalan semasa cuba mengelak kereta tersebut lalu tersembam jatuh di atas jalan. Kereta hitam lahanat itu pula sudah pun memasuki persimpangan tanpa sedikit pun rasa bersalah. Haram jadah punya perangai! Nasib baiklah sebuah kereta peronda polis yang kebetulan berada di belakang membantu saya mengangkat motosikal serta memeriksa kecederaan saya. Saya hanya mengalami luka-luka ringan sahaja di bahu kanan, lutut kanan dan telapak tangan kanan, manakala motosikal saya pula sekadar cermin sisi pecah dan injak gear bengkok. Memandangkan saya sudah lewat, saya hanya singgah menukar cermin sisi dan mengetuk semula injak gear sebaik sahaja selepas mengisi minyak di Seremban.

Akibat kemalangan tersebut, saya lewat tiba di Kuala Lumpur iaitu pada pukul 1.45 petang. Akibatnya, saya terlepas peluang untuk sekali lagi bertemu dengan Datuk Fadillah yang pada masa itu sudah pun bergegas ke Johor Bahru. Saya turut dikhabarkan bahawa pada sebelah paginya, KKR menerima kunjungan daripada delegasi dari Jepun yang diketuai Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun, Akihiro Ohta-san. Cis, bertambah rugilah saya kerana terlepas satu lagi peristiwa penting pada hari tersebut...!!! Apa pun, saya tetap bersyukur kerana masih berupaya sampai ke ibu pejabat KKR dengan selamat serta masih sempat bertemu dengan Tuan Hj. Sarani dan Dato' Ir. Hj. Ismail.

Jika dibandingkan dengan suasana di ibu pejabat LLM, suasana di KKR pula begitu sederhana sekali. Mungkin juga kerana keadaan cuaca yang tidak seceria dua hari sebelumnya, tetapi sebenarnya negara masih lagi berkabung sempena peristiwa nahas MH17 yang disifatkan sebagai yang terburuk dalam sejarah industri penerbangan negara.

Peluang berkunjung ke dua majlis rumah terbuka anjuran LLM dan KKR merupakan satu lembaran baharu dalam sejarah Blog Jalan Raya Malaysia, malah saya menyifatkan perkembangan tersebut sebagai satu pencapaian besar dalam sejarah Blog Jalan Raya Malaysia kerana mendapat sokongan padu daripada warga KKR serta agensi-agensi di bawahnya. Perkembangan tersebut membuka ruang lebih besar kepada kedua-dua pihak untuk bekerjasama mengadakan perkongsian maklumat, memandangkan Blog Jalan Raya Malaysia dan KKR berkongsi matlamat yang sama untuk mendidik rakyat Malaysia agar memartabatkan dan menyayangi rangkaian jalan raya negara. Saya berdoa agar hubungan sebegini dapat dieratkan dan berkekalan buat selama-lamanya.

Untuk lebih banyak gambar mengenai majlis rumah terbuka di LLM dan KKR, anda boleh melihatnya di laman Facebook KKR dan Datuk Fadillah Yusof.

No comments:

Post a Comment