Salam sejahtera,
Hari ini (25 September 2014) merupakan satu hari yang cukup bersejarah bagi Proton, kerana model kereta hatchback subpadat pengganti Proton Savvy sudah pun selamat dilancarkan dari kilang Proton Tanjung Malim. Nama pengganti Savvy itu secara rasminya dikenali sebagai Proton Iriz.
Iriz mendapat namanya daripada bahagian berwarna yang mengelilingi anak mata, yang mana huruf S dalam Iris ditukarkan kepada huruf Z. Ia ditunjukkan melalui rekaan lampu-lampunya yang begitu anggun, terutamanya lampu hadapan, di samping kepelbagaian warna-warna ceria yang boleh anda pilih ketika membeli Iriz ini nanti. Selain itu, istilah "iris" juga merujuk kepada sejenis bunga, sesuai untuk ditujukan kepada antara pengguna sasaran utamanya iaitu pemandu wanita. Selain itu juga, rim sport yang digunakan pada varian 1.6 Premium juga bercorak seperti kelopak bunga.
Sejarah pembangunan Iriz ini bermula pada tahun 2009 berikutan jualan Proton Savvy yang kurang memberangsangkan sehinggalah menyebabkan Savvy dihentikan pengeluarannya pada tahun 2010. Masalah kualiti, kesukaran mendapatkan alat ganti enjin dan kotak gear serta reka bentuk yang kurang menarik menyebabkan Savvy gagal memecahkan dominasi Perodua Myvi yang kini menjadi kereta paling laris di Malaysia selama berturut-turut.
Seterusnya, pata tahun 2010, Proton mula membina sebuah model prototaip yang dikenali sebagai Proton Emas yang asalnya merupakan model konsep bagi kereta hibrid bandar raya. Ia mula ditampilkan pada Geneva Auto Show 2010. Sementara itu, Lotus juga turut membina model konsep serupa yang dikenali sebagai Lotus Ethos. Malangnya, kedua-dua model tersebut akhirnya tidak dikomersialkan, sebaliknya prototaip Emas itu mengalami satu proses evolusi yang menjadikannya jauh berbeza daripada prototaip asal Emas.
Saya berkesempatan ke Proton Edar 3S Setapak bagi melihat sendiri rupa Proton Iriz ini dari dekat pagi tadi. Pada masa itu, dua buah kereta di dalam bilik pameran masih berselubung lagi. Maka, saya mengambil kesempatan untuk menonton majlis pelancaran Proton Iriz yang disiarkan melalui YouTube oleh laman blog automotif Paul Tan. Proton Iriz akhirnya telah selamat dirasmikan lebih kurang jam 11.10 pagi.
Sebaik sahaja Proton Iriz dilancarkan di Tanjung Malim, staf-staf Proton Edar Setapak serta para pengunjung beralih ke ruang pameran untuk menyaksikan sendiri Iriz. Sebelum selubung dibuka, doa dibaca terlebih dahulu. Setelah selesai bacaan doa, selubung akhirnya dibuka - dan dua buah kereta Proton Iriz ditampilkan buat tatapan umum. Dua varian yang dipamerkan tersebut ialah varian termahal (1.6 Premium CVT) dan varian termurah (1.3 Standard Manual).
Saya membelek-belek kedua-dua buah kereta tersebut satu-persatu. Varian 1.3 Standard Manual ini menggunakan enjin siri terbaharu yang dilengkapi pemasaan injap boleh laras (VVT), menghasilkan 94 bhp @ 5,750 rpm dan tork 120 N-m @ 4,000 rpm, manakala varian 1.6 Premium CVT pula menggunakan enjin VVT 1.6L yang menghasilkan 107 bhp @ 5,750 rpm dan tork 150 N-m @ 4,000 rpm. Jika diikutkan angka-angka di atas kertas, ia seolah-olah nampak mengecewakan kerana enjin-enjin baharu Proton dengan VVT ini tiada bezanya seperti enjin IAFM+, tetapi tanggapan tersebut adalah salah sama sekali. Teknologi VVT menjadikan hantaran kuasa lebih sekata terutamanya pada kelajuan rendah. Faktor sebegini sangat kritikal memandangkan enjin kereta paling kuat makan minyak di dalam kawasan bandar, dan Proton sebelum ini dikritik kerana enjinnya dikatakan kuat makan minyak di kawasan bandar. Maka, penggunaan enjin VVT, digandingkan dengan kotak gear CVT, menjadikan Proton Iriz jauh lebih jimat minyak daripada sebelumnya.
Serius saya katakan, Iriz ini sememangnya kereta tercantik pernah dibina oleh Proton. Rekaan bentuk badan, gril radiator serta dalamannya nampak anggun dan praktikal. Bahagian dalamannya juga nampak premium dan sangat berkualiti. Ia satu penambahbaikan ketara jika dibandingkan dengan rekaan Proton Preve yang asalnya nampak gah pada model komsep tetapi akhirnya kurang fotogenik pada model pengeluarannya.
Satu lagi penambahbaikan yang diterapkan adalah pada sistem penghidup tekan pada varian 1.6 Premium. Sistem yang digunakan kali ini tidak lagi memerlukan anda untuk memasukkan fob kunci ke dalam slot; sebaliknya, anda hanya perlu sekadar berlenggang-kangkung dengan fob kunci di dalam kocek seluar, menekan brek dan menekan punat penghidup dengan selamba.
Satu inovasi yang pertama kali diterapkan pada mana-mana kereta ialah port pengecas USB untuk telefon pintar dalam dua kadaran arus berbeza, iaitu 2.1 A dan 1.5 A. Sebelum ini, pengguna perlu membeli sendiri pengecas untuk dipalamkan pada soket penyala rokok. Tanpa pengecas atau sekurang-kurangnya power bank, sudah tentulah anda akan mengealami kesulitan untuk mengecas peranti masing-masing. Namun, harus diingat bahawa ia hanya boleh digunakan pada telefom bimbit yang kadaran arusnya sekurang-kurangnya 1,500 mAh; untuk telefon bimbit yang mana kadaran arus baterinya kurang daripada 1,500 mAh, anda tidak boleh sama sekali menggunakan port-port pengecas ini. Kenapa tidak boleh...? Saya akan tulis mengenainya dalam entri akan datang.
Bergantung kepada varian mana anda beli, anda akan mendapat sama ada radio bersepadu 2-DIN biasa dengan Bluetooth ataupun unit multimedia skrin sentuh 6.2 inci dengan GPS dan pemain DVD terbina dalam, digelar sebagai Sistem Inforia Proton, yang menggunakan sistem pengendalian Android. Varian paling asas hanya ada dua biji pembesar suara, manakala varian lainnya mendapat 4 biji pembesar suara. Kesemua varian turut dilengkapi port USB di sebelah soket penyala rokok untuk membolehkan anda memainkan lagu dari pemacu kilat USB. Harus diingat, port USB tersebut hanya untuk memainkan lagu sahaja dan tidak boleh digunakan untuk mengecas telefon bimbit, dan pemacu kilat yang disambungkan pada port pengecas USB pula tidak akan dimainkan.
Dari segi keselamatan, kesemua varian didatangkan dengan dua biji beg udara, ABS, EBD, BA, kawalan cengkaman, dan kawalan kestabilan elektronik (ESC), termasuklah pada varian paling cikai. Varian 1.6 Premium pula mendapat tambahan empat lagi beg udara. Ia berbeza dengan Perodua Myvi yang menjadikan maksimum dua biji beg udara sebagai ciri standard; ABS dan EBD hanya pada varian-varian lebih mahal, manakala tiada ESC ditawarkan walaupun pada varian termahal. Maka tidak hairanlah kenapa Proton Iriz boleh memperoleh 5 bintang dalam ujian pelanggaran Asean NCAP dengan mudah pada kesemua varian, berbanding hanya 4 bintang bagi Myvi. Struktur kerangka RESS (Struktur Keselamatan Diperkuatkan) yang pertama kali digunakan pada Proton Preve turut diterapkan pada Iriz - maka, badan Iriz sememangnya sangat kuat dan bukannya kereta tin Milo.
Cuma, satu-satunya perkara yang perlu saya tegur Proton adalah mengenai penggunaan lampu kabut dan lampu pencahayaan siang (DRL). Model 1.6 Executive dilengkapi lampu kabut, tetapi ia dibuang pada model 1.6 Premium dan digantikan dengan lampu DRL. Harus saya ingatkan bahawa lampu kabut dan lampu DRL sememangnya dua jenis lampu yang berbeza dari segi fungsi. DRL membolehkan pengguna jalan raya lain nampak akan kereta anda terutamanya pada waktu siang dalam cuaca buruk. Lampu kabut pula berfungsi menyuluh jalan raya agar permukaannya serta penandaan jalan raya lebih mudah dilihat pada waktu malam yang gelap serta dalam cuaca buruk (hujan, salji atau kabus tebal). Justeru, lampu DRL tidak sewajarnya menggantikan lampu kabut tetapi sebaliknya perlu digandingkan bersama, kerana pengguna yang mempunyai masalah penglihatan pada waktu malam sudah tentu akan menghadapi masalah pada waktu malam sekiranya DRL menggantikan lampu kabut. Lainlah kalau LED yang digunakan pada lampu DRL itu sama terang seperti lampu kepala Honda Accord 2.4...!!!
Dari segi harga pula, saya perlu akui bahawa Proton Iriz ini memang mahal, walaupun pada varian termurah. Namun, Proton tidak sewenang-wenangnya mengetuk harga yang mahal begitu sahaja tanpa menerapkan ciri-ciri yang menjadikannya berbaloi. Nak kereta yang kualitinya lebih tinggi kan...? Nak kereta yang lebih selamat dan bukannya kereta tin Milo kan...? Jadi, jika mahukan ciri yang lebih premium, maka harganya pun lebih premium jugalah. Kalau dibandingkan, Perodua Myvi memang lebih murah sedikit, tetapi ciri yang diterapkan juga kurang. Jadi adillah tu.
Kesimpulannya, Proton Iriz kini sudah tampil bagi merampas mahkota kereta subpadat terlaris (dan kereta terlaris secara keseluruhan) di Malaysia. Dengan ciri-ciri premium yang diterapkan, Proton sememangnya mempunyai hak untuk "jadi kerek" dengan Perodua serta berkeyakinan tinggi untuk merampas mahkota kereta terlaris di Malaysia. Persaingan sihat sebegini sememangnya merupakan satu perkembangan positif kepada industri automotif negara agar syarikat-syarikat automotif nasional sentiasa meneroka teknologi automotif terkini untuk dipersembahkan kepada rakyat marhaen.
Laman web rasmi Proton: http;//www.proton.com
Laman web mikro Proton Iriz: http://www.betulbetulonz.com.my
Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.
Laman web mikro Proton Iriz: http://www.betulbetulonz.com.my
Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.
Spesifikasi Proton Iriz 1.3 dan 1.6
Enjin: DOHC 16 injap 4 silinder 4 lejang 1.3 liter atau 1.6 liter sejukan cecair
Sesaran: 1,332 cc (1.3L); 1,597 cc (1.6L)
Lubang x lejang: 76 x 73.4 mm (1.3L); 76 x 88 mm (1.6L)
Nisbah mampatan: 10:1
Kuasa kuda: 94 bhp @ 5,750 rpm (1.3L); 107 bhp @ 5,750 rpm (1.6L)
Tork: 120 N-m @ 4,000 rpm (1.3L); 150 N-m @ 4,000 rpm (1.6L)
Transmisi: Manual 5 kelajuan atau CVT
Transmisi: Manual 5 kelajuan atau CVT
Jarak roda: 2,555 mm
Berat kering: 1,130-1,185 kg
Muatan tangki bahan api: 40 liter
Apa yang saya suka
- Kesemua varian dilengkapi sekurang-kurangnya 2 biji beg udara, ABS, EBD, BA, kawalan cengkaman dan ESC walaupun pada varian termurah
- Stereng kuasa elektrik jenis sensitif kelajuan - pertama kali bagi Proton
- Port pengecas USB khas untuk telefon pintar
- Sistem penghidup tekan yang diperbaharui
- Enjin-enjin VVT generasi baharu yang terbukti jauh lebih jimat minyak
- Banyak pemegang cawan (ada 7 kesemuanya)
Apa yang saya tidak suka
- Lampu kabut pada varian 1.6 Executive dibuang pada varian 1.6 Premium - sepatutnya kedua-dua lampu tersebut perlu ada
Majlis perasmian disiarkan secara live streaming dari Tanjung Malim - ucapan oleh Pengerusi Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad
Proton Iriz sudah selamat dirasmikan di Tanjung Malim
Masa untuk membuka selubung
Bahagian belakang Proton Iriz 1.6 Premium...
...serta Proton Iriz 1.3 Standard
Bahagian tepi Proton Iriz
Pandangan hadapan Proton Iriz 1.6 Premium dengan DRL
Dua port pengecas USB untuk mengecas telefon pintar dan bukannya untuk memainkan lagu dari pemacu kilat USB
Port untuk memalamkan pemacu kilat USB pula di sebelah soket penyala rokok
Unit GPS ini menggunakan sistem pengendalian Android
Mod Radio
Unit LCD dengan GPS pada varian 1.6 Premium dan 1.6 Executive...
...manakala varian 1.3 Executive dan 1.3 Standard pula akan mendapat radio biasa sahaja
Enjin VVT generasi baharu menjadi nadi utama Iriz
Paparan meter Proton Iriz
Iriz merupakan model pertama Proton dengan stereng kuasa elektrik
Rim aloi berbentuk kelopak bunga pada varian 1.6 Premium
Lampu belakang Iriz yang menggunakan LED
No comments:
Post a Comment