Tiga buah lebuh raya ekspres menghubungkan antara Kuala Lumpur dengan Putrajaya, iaitu Lebuhraya Maju (MEX) E20 (atas), Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37 (tengah) dan Lebuhraya Besraya E9 (bawah)
Salam sejahtera,
Sudah agak lama juga saya tidak mengemaskini Blog Jalan Raya Malaysia ini. Setelah saya berdepan dengan bebanan kerja yang begitu banyak, saya akhirnya dapat bercuti selama seminggu bermula Ahad lalu. Peluang cuti kali ini dapat saya manfaatkan dengan menulis beberapa entri khas buat anda semua.
Sekali lagi saya terpaksa rehatkan dahulu siri Dari Negara Pakcik Sam bagi memberi laluan kepada entri panduan pemintas tol dari Kuala Lumpur ke Putrajaya. Entri ini ditulis khas bagi menjawab persoalan oleh bekas Naib Ketua Pemuda Umno Wangsa Maju, Shahbudin Husin, yang mendakwa kononnya tiada laluan bebas tol dari Kuala Lumpur ke Putrajaya. Kenyataan tersebut dibuat bagi menyanggah satu kenyataan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, yang mencadangkan warga kota agar bangun lebih awal pada waktu pagi untuk mengelakkan kesesakan di laluan-laluan pemintas tol yang dikenal pasti.
Sebelum saya teruskan dengan laluan pemintas tol KL-Putrajaya, biar saya terangkan serba sedikit mengenai laluan utama dari KL ke Putrajaya. Terdapat tiga buah lebuh raya yang menghubungkan antara ibu negara rasmi Malaysia dengan pusat pentadbiran kerajaan persekutuan, iaitu Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37 (dan Lebuhraya Utara-Selatan E2), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) E9 dan Lebuhraya Maju (MEX) E20, yang mana ketiga-tiganya dikenakan tol. Namun, percayakah anda bahawa anda sebenarnya boleh berulang-alik dari KL ke Putrajaya tanpa perlu membayar tol walau sesen pun...? Rahsianya adalah dengan mengeksploitasikan jajaran bebas tol di Lebuhraya KL-Seremban E37 dan Lebuhraya Besraya E9, memandangkan kedua-dua lebuh raya tersebut menggunakan sistem tol terbuka.
Peta laluan pemintas tol bagi laluan Kuala Lumpur-Putrajaya
(sila besarkan untuk melihat perincian laluan)
Untuk memulakan perjalanan bebas tol anda dari Kuala Lumpur, sila gunakan Lebuhraya KL-Seremban E37. Namun, sebaik sahaja melepasi Exit 516 Persimpangan Sri Petaling, himpit ke lorong paling kiri, dan sebaik sahaja melepasi jejambat Lebuhraya Bukit Jalil FT217, terus ambil jalan susur ke stesen minyak Shell, Hotel Nouvelle dan stesen minyak Petron dan belok kiri sebaik selepas stesen minyak Petron. Seterusnya, belok kanan ke Persiaran Serdang Perdana. Jalan terus sehingga ke penghujungnya dan anda akan dilencongkan ke kiri ke Jalan Seri Kembangan FT3215 dan seterusnya ke Lebuhraya Besraya E9. Apa lagi, belok kanan dan masuk ke Lebuhraya Besraya E9 melalui Exit 903 Persimpangan Seri Kembangan. Teruskan perjalanan anda ke Putrajaya melalui E9, Lebuhraya Kajang Silk E18 dan akhir sekali SKVE E26.
Peta laluan pemintas tol bagi laluan Putrajaya-Kuala Lumpur
(sila besarkan untuk melihat perincian laluan)
Bagaimana pula dengan laluan Putrajaya-KL...? Gunakan SKVE E26 untuk ke Kuala Lumpur. Di Exit 1809 Persimpangan Uniten, ambil jalan susur pertama ke Lebuhraya Besraya E9. Seterusnya, keluar ke Seri Kembangan di Exit 903 Persimpangan Seri Kembangan dan buat pusingan U di pekan Seri Kembangan untuk membolehkan anda memasuki Jalan Serdang Raya. Sebaik selepas membuat pusingan U, belok kiri ke Jalan Serdang Raya dan jalan terus sehingga ke penamatnya di jalan susur ke Lebuhraya Bukit Jalil FT217 - belok kanan untuk memasuki Lebuhraya KL-Seremban E37 bagi meneruskan perjalanan sehingga ke pusat bandar raya Kuala Lumpur.
Mudah kan...? Berapa lama pula masa yang perlu diambil untuk menggunakan jalan alternatif ini...? Masa perjalanan ialah lebih kurang setengah jam jika anda menggunakannya pada luar waktu gegas. Habis tu bagaimana pula kalau awal pagi ataupun lewat petang...? Tak kiralah anda ikut lebuh raya tol mahupun jalan pemintas tol, kedua-duanya sama sesak. Jika anda tanya saya, saya lebih suka menggunakan motosikal kerana saya tidak mahu membazirkan masa, duit minyak dan duit tol dengan sia-sia hanya kerana tersangkut dalam kesesakan jalan raya.
Selamat mencuba...!!!
Selamat mencuba...!!!
Untuk Laluan KL-Putrajaya, terdapat satu lagi laluan yang boleh digunakan sekiranya anda datang dari Lebuhraya Besraya E9. Himpit kira di Exit 904 Sg Besi-Puchong. Ambil jam 9 (belok kiri di Bulatan Lumba Kuda). Kemudian, ambil simpang kiri selepas menyeberangi Lebuhraya Besraya E9. Terus sahaja dan anda akan dilencongkan ke Jalan Seri Kembangan FT3215.
ReplyDeleteUntuk laluan Putrajaya-KL, boleh juga menggunakan laluan sama. Setibanya di Jalan Bukit Jalil FT217, ambil simpang pertama untuk ke Kuala Lumpur. Tapi, berhati-hati. Lihat papan tanda betul-betul. Sekiranya anda terlalu himpit ke kiri, anda akan dilencongkan ke Jalan Serdang Raya.
Anda semua patutlah bersyukur atas sistem tol terbuka yang berlaku di kebanyakan jajaran lebuhraya di Lembah Klang/Kuala Lumpur Raya. Cubalah tengok kat Jakarta, meski tol di Jakarta berlakukan "sistem tol terbuka", kenyataannya anda tak bisa mengelak dari pembayaran tol di Jakarta. Sebut sahaja Lebuhraya Lingkaran Luar Jakarta (JORR), dimane setiap masuk lebuh raya dari mana-mana persimpangan bertingkat, anda mahu-tak mahu kena membayar kadar tol JORR yang mahal. Jadi, di Jakarta, tiada tol terbuka yang sebenar, hanya kadarnya yang disamaratakan di plaza tol tiap2 persimpangan
ReplyDeleteTerima kasih atas pesanan tersebut. Cuma ada satu perkara yang anda harus tambah kepada pengguna jalan tol di Malaysia. Semua sepeda motor bisa menggunakan jalan tol di Malaysia secara gratis. Jika dibandingkan, kalau tidak silap saya sepeda motor tidak dibenarkan untuk memasuki jalan tol Indonesia (kecuali Jalan Tol Bali Mandara kerna ada jalur khusus sepeda motor).
Delete