Wednesday, October 28, 2015

Jajaran Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) E8 dan projek naik taraf Jalan Pesisir Pantai Utara Terengganu T1 dan T3 dimuktamadkan / East Coast Expressway Phase 3 (ECE3) E8 alignment and Northern Terengganu Coastal Road T1 and T3 upgrade has been finalized



Peta jajaran Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) E8 yang sudah dimuktamadkan
(Kredit kepada: Laman Facebook Kuala Terengganu Bandaraya Warisan Pesisir Air dan Lebuhraya Malaysia)


Salam sejahtera,

Bahagian ketiga siri entri Dari Negara Pakcik Sam ditangguhkan seketika untuk memberi laluan kepada dua berita menarik buat anak-anak Terengganu. Berita pertama ialah jajaran dan senarai persimpangan bagi projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) E8 sudah pun dimuktamadkan, manakala berita kedua pula ialah kerajaan negeri Terengganu merancang untuk menaiktaraf Jalan Pesisir Pantai Utara Terengganu (Jalan Negeri Terengganu T1 dan T3) daripada jalan raya tunggal dua lorong kepada jalan raya kembar.




Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) E8 akan bermula dari Exit 865 Persimpangan Kuala Terengganu


Kami mulakan dengan projek LPT3 E8 terlebih dahulu. Projek sambungan kepada Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8 itu bakal dimulakan dari penamat LPT2 E8 di Exit 865 Persimpangan Kuala Terengganu dan berakhir di Tumpat ini, yang dianggarkan sepanjang 124 km. Setelah ia siap kelak, Lebuhraya Pantai Timur E8 akan menjadi satu laluan lebuh raya ekspres terpanjang di Malaysia, dengan panjang keseluruhan dianggarkan lebih kurang 570 km (setelah ditolak jarak dari Plaza Tol Gombak ke pusat bandar raya Kuala Lumpur sejauh 19 km, yang tidak lagi melalui E8). Ia sekaligus akan mengalahkan pemegang rekod terdahulu iaitu Lebuhraya Utara-Selatan Jajaran Utara E1 sepanjang 460 km. Kos keseluruhan bagi pembinaan LPT3 E8 ini dianggarkan sejumlah RM2.4 bilion, yang mana kerajaan negeri Terengganu akan mendahulukan wang mereka sebanyak RM1.8 bilion sebelum menuntutnya semula daripada kerajaan persekutuan untuk membolehkan jajaran di Terengganu dimulakan segera.

Senarai persimpangan bertingkat di sepanjang LPT3 E8 adalah seperti berikut:-
  1. Persimpangan Permaisuri - ke Bandar Permaisuri, Penarik dan jeti ke Pulau Redang melalui Jalan Negeri Terengganu T1
  2. Persimpangan Jertih - ke Jertih, Kampung Raja dan Besut melalui Jalan Persekutuan 84
  3. Persimpangan Machang (aka Persimpangan Pasir Puteh) - ke Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah dan Jeli melalui Jalan Persekutuan 3 dan 4
  4. Persimpangan Ketereh - ke Ketereh, Kok Lanas, Pulai Chondong dan Melor melalui Jalan Negeri Kelantan D14 ataupun Jalan Persekutuan 8
  5. Persimpangan Kota Bharu - ke Pasir Mas, Kota Bharu dan Wakaf Bharu melalui Jalan Persekutuan 3
  6. Persimpangan Tumpat (aka Persimpangan Pengkalan Kubor) - ke Tumpat dan Pengkalan Kubor melalui Jalan Persekutuan 134

Setelah melepasi Persimpangan Tumpat, LPT3 akan melalui plaza tol terakhir di Pengkalan Kubor dan kompleks imigresen dan kuarantin baharu di sana sebelum melintasi Sungai Golok untuk ke Tak Bai, Thailand melalui Jalan Kebangsaan Thailand 4084. Jenis lintasan pula masih belum dimuktamadkan sama ada melalui jambatan ataupun terowong, berikutan terdapat khabar angin yang mengatakan Thailand akan membina terowong melintasi Sungai Golok untuk ke Pengkalan Kubor. Walau apa pun jenis lintasan yang dipilih, ia mungkin akan menyebabkan tamatnya perkhidmatan feri sungai di Pengkalan Kubor yang dikendalikan oleh JKR Kelantan.

Bagaimana dengan senarai hentian rehat dan rawat serta hentian sebelah...? Maafkan saya, tiada butiran lanjut mengenainya yang dapat saya perolehi buat masa sekarang. Apa pun, jutaan terima kasih kepada laman Facebook Kuala Terengganu Bandaraya Warisan Pesisir Air dan juga laman Facebook sekutu kami, Lebuhraya Malaysia, atas maklumat yang diberikan ini.

Seterusnya kita ke berita kedua pula iaitu projek naik taraf Jalan Pesisir Pantai Utara Terengganu T1 dan T3 daripada jalan raya tunggal 2 lorong kepada jalan raya kembar 4 lorong. Projek naik taraf itu dijalankan bagi menyediakan laluan bebas tol yang lebih menjimatkan masa berbanding Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu FT3. Meskipun Jalan Persekutuan 3 sepatutnya merupakan jalan raya pantai timur Semenanjung Malaysia, namun jajaran dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu pula sebenarnya melalui kawasan pedalaman pantai timur dan bukannya betul-betul di kawasan pantai. Ia berbeza dengan Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3, Jalan Kuantan-Pekan FT3 dan Jalan Pekan-Mersing FT3 yang memang merupakan jalan raya pantai dalam erti kata sebenar.

Dalam projek naik taraf jalan raya ini, tidak semua jajaran yang dilalui itu benar-benar Jalan Negeri Terengganu T1 dan T3. Projek ini akan dimulakan dari Pengkalan Nyireh melalui Jalan Negeri Terengganu T167 ke Dendong dan seterusnya akan melalui satu laluan baharu yang memintas jalan T3 sehingga ke Taman Ilmu Terengganu. Dari Taman Ilmu Terengganu, projek jalan raya kembar ini akan melalui jalan T3 sedia ada sehingga ke Kampung Che Selamah, dan seterusnya jalan T1 dari Kampung Che Selamah ke Gong Badak Kuala Nerus dan Kuala Terengganu. Panjang keseluruhan dianggarkan lebih kurang 100 km dan jarak perjalanan dianggarkan lebih kurang sejam sahaja berbanding ketika menggunakan jalan FT3 yang mengambil masa sehingga 2 jam.

Teruja...? Saya pasti berita pembinaan LPT3 ke Pengkalan Kubor ini pasti akan menyebabkan anak-anak Kelantan dan Terengganu berasa teruja dan gembira. Berita sebegini juga mampu menangkis dakyah kononnya kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional meminggirkan kerajaan negeri Kelantan pimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), serta membuktikan bahawa anak-anak Kelantan sememangnya dambakan laluan lebuh raya ekspres yang bakal memacu perkembangan ekonomi di Terengganu dan Kelantan kelak. Semua ini tidak mungkin tercapai tanpa kesepakatan pucuk pimpinan kerajaan negeri Kelantan sekarang dengan kerajaan persekutuan yang sanggup mengenepikan persengketaan dan perbezaan fahaman politik demi kesejahteraan rakyat. Sementara itu pula, kerja naik taraf Jalan Pesisir Pantai Utara Terengganu T1 dan T3 juga membuktikan bahawa kerajaan melalui Jabatan Kerja Raya sememangnya bersungguh-sungguh mahu menyediakan laluan alternatif percuma tanpa tol yang bagus dan berjiwa rakyat dalam erti kata sebenar.

Bahagian ketiga siri entri Dari Negara Pakcik Sam akan bersambung selepas entri ini.

2 comments:

  1. Satu lebuhraya yang amat dinantikan para pemandu pantai timur. Sememangnya sangat membantu dari segi keselamatan, keselesaan dan penjimatan masa. Jika dilihat kepada susur keluar seperti yang dipaparkan, ianya lebih dekat dengan bandar- bandar berdekatan. Tidak seperti LPT2 yang mana memerlukan setiap susur keluar begitu jauh jaraknya dengan bandar-bandar terdekat. Saya juga yakin rakyat Kelantan semestinya mendapat tempias yang positif terutamanya ketika mahu pulang ke kampung halaman dari ibu kota. Walaupun lebuhraya Central Spine masih lagi dalam pembinaan, namun dapat dijangkakan ianya pasti akan mengambil masa yang lama untuk siap sepenuhnya. Saya juga berharap agar kualiti LPT3 lebih baik daripada LPT2 dari segi keadaan jalanrayanya, yang terang-terangan disebabkan oleh sikap kontraktor yang lepas tangan dalam menyiapkan pakej-pakej yang ditawarkan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sebenarnya pelan yang lebih terperinci belum dikeluarkan lagi. Namun, saya menjangka jajaran di sebelah Kelantan itulah yang lebih dekat dengan kawasan bandar jika dibandingkan dengan jajaran Pahang dan Terengganu.

      Delete